Saturday, August 9, 2008

SEPINTAS KENANGAN

Hari ini saya tonton TV tentang kisah sejarah peperangan yang dinukil oleh Makwiyah dan kuturunannya. Habis keturunan Nabi dinyahkannya. Paling tragis ialah kisah di Karbala. Begitulah rupanya apabila Nabi disanjung tapi keturunannya ”dipancung”. Teringat pulak sejarah SC. Sengaja aku layangkan fikiran untuk menyingkap kisah lama. Kisah aku yang berkecimpung sejak awal lagi.

Banyak jasa Ustaz. Adatnya, tanpa usaha Ustaz maka SC tidak akan seindah sekarang. Mak Teh diberitakan memberi sokongan yang padu pada Ustaz. Beliau ditinggalkan untuk menjaga anak-anak. Ketika itu dikatakan kenikmatan hidupnya pun tak menentu. Berkat kesabaran, diakhiri kejayaan. SC dapat dikembangkan. Jasa beliau tetap dijulang. Tapi pada satu ketika dulu.

Kejayaan Ustaz membawa SC ke mercu kejayaan adalah amat dikagumi. Malah peranan Ustaz amat besar. Ramai murid yang terbentuk dan dibentuk akan sifat peribadinya. Seolah-olah mereka mempunyai pegangan yang jitu. Tahap jati diri begitu tinggi sekali. Kekaguman ini bukan setakat dirasai oleh ahli SC malah turut dirasai oleh bukan ahli. Musuh dan sahabat mengakui kehebatan SC ketika itu. Ramai yang menganggap, ”Inilah silat akhir zaman.” Tak akan ada lagi silat Melayu yang sehebat SC muncul dipersada negara ini. Kalau ada silat yang muncul pun pasti boleh dipersoalkan keaslian dan asal usulnya. Ahli yang belajar begitu yakin sekali. Ramai yang perasan akan kebolehan diri. Masing-masing berasakan kebolehan diri sentiasa meningkat dari masa ke masa. Apa yang meningkat? Semua segi.

Perpaduan ahli tetap utuh. Bukan utuh kerana semula jadi tapi keutuhannya terkawal dek adanya Guru Utama ketika itu. Siapa yang berani melanggar arahannya. Walaupun tidak dipersetujui, pendapat Ustaz tetap dihormati. Mereka yang tidak setuju dan bertentangan pendapat, orang itu akan mengundur diri. Lenyaplah mereka dalam pentas SC. Tiada siapa yang ambil peduli. Tapi pada ahli yang tersingkir, hidup perlu diteruskan. SC bukannya penentu diri. Bukannya kerana SC sahaja yang menjadikan diri mereka berjaya dalam hidup. Kalau dikirakan barkat, banyak lagi keberkatan yang boleh diperoleh daripada sumber yang lain. Ramai yang terus berjaya dan kerap kali wajah mereka keluar dalam TV.

Generasi ahli ketika itu amat memahami akan tanggungjawab mereka untuk menyebarkan SC. Tanggungjawab itu merupakan perjuangan yang hakiki. Walaupun perselisihan pendapat kerap terjadi tapi hanya dalam mesyuarat. Jika keputusan telah diputuskan, kepentingan diri terus ketepi. Hubungan ahli begitu kental sekali. Walaupun kita tidak tahu apa yang ada di dalam hati, tapi perasaan tak puas hati dikeluarkan dengan begitu beradab sekali. Tapi itu bukannya sesuatu yang pelik. SC dibayangi oleh adat dan adab yang begitu hebat sekali. Usahkan adab dengan Guru, sesama ahlipun begitu tersusun dan molek sekali. Wujudlah suasana hormat menghormati yang begitu dikagumi oleh kawan dan lawan.

Segala perancangan tersusun dengan rapi dan pasti terjadi. Dua kali dua tetap empat. Kadang kala itulah motto tak rasmi yang diletakkan sebagai asas kerja untuk meghebatkan lagi SC. Masing-masing tahu akan peranannya. Mereka yang tinggal berjauhan dengan ibu pejabat, akan memberi sokongan yang amat padu tanpa perlu diragui. Selesai majlis, semua ahli berpuas hati. Pastinya di warung Keramat atau warung Kampung Baru menjadi tumpuan. Masing-masing menceritakan kembali hasil kejayaan yang masing-masing telah ketahui. Samalah juga dengan gelagat penonton wayang yang menceritakan kembali setiap episod yang telah ditonton walaupun sama-sama telah menontonnya. Apapun, situasi sebegitu telah mengeratkan lagi hubungan sesama ahli.

Kematian Ustaz membawa banyak peristiwa. Ada yang enggan menerima hakikat kematiannya. Ada yang pengsan ketika jenazah diusung. Ada yang tidak tergamak melihat perkembumiannya dan macam-macam lagi. Begitulah sayangnya mereka pada Ustaz hinggakan kematiannya diingati setahun sekali melalui pembacaan Yassin. Sejauh mana Ustaz dapat pahala, sukar dijangka. Tapi apapun, yang membaca tetap akan dapat habuan pulut atau nasinya.

Mencari pengganti agak sukar sekali. Kemampuan kepimpinan pada ahli yang ada begitu jarak sekali. Bersetujulah ahli-ahli lama untuk bersandarkan pada mimpi. Namun, mimpikan pengganti tak datang-datang. Ada yang bermimpi lain hingga basah kain yang dipakai. Akhirnya Pak Ak diambil kira. Tapi kepimpinannya amat berbeza. Ramai ahli yang inginkan tindak tanduk Pak Ak menyerupai Ustaz. Langsung tak bertolak ansur. Pelbagai alasan diberi tanda menolak kepimpinannya. Ketika inilah pengurusan persatuan kelam kabut. Usahkan persatuan, pelajaran SC pun mula dirobek-robek mengikut kepuasan dan kesesuaian diri. Guru Wawasan pasti tersenyum lega. Hujung pangkal sudah tak ketahuan. Tapi SC terus berkembang. Kepercayaan masyarakat pada SC begitu menebal. Ahli yang baru masuk apa mereka tahu. Sambutan hangat tetap diterima dari masa ke masa. Walau bagaimanapun, penggeseran sesama ahli mula berputik. Pelbagai alasan diberi. Masing-masing dengan hujjah yang tersendiri. Logiknya tetap ada.

Ketika ini baru kita tahu bahawa hubungan sesama ahli yang erat ketika Ustaz, terdapat unsur-unsur kepura-puraan. Pak Ak menjadi tempat mengadu dan meluahkan perasaan duka. Maka wujudlah blok-blok pendapat dalam kalangan ahli. Retak mencari belah. Akhirnya betul-betul belah. Bukan mudah untuk mengambil alih persatuan. Maka terbentuklah Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi.

Para pendukung yang dikatakan rapat dengan Ustaz telah membai’ah En Mat sebagai Guru Utama. Mak Teh tetap disanjung dan tidak ditinggalkan dalam setiap acara. Tapi perasaan curiga tetap ada sesama ahli. Orang yang disanjung, ingin terus disanjung. Orang yang mentadbir, ingin terus mentadbir. Orang yang mengarah tetap ingin terus mengarah. Orang-orang lama ini telah terbuang dalam persatuan SC yang asal. Hati mereka dalam persatuan asal tetap ada. Tapi apa nak dikata. Kegiatan mereka dalam persatuan telah dinyahkan seratus peratus daripada Persatuan Silat Cekak Malaysia yang hebat di zaman Ustaz.

Pastinya penglibatan mereka dalam Persatuan Silat Cekak Hanafi sebagai mengisi kekosongan hati yang telah dikosongkan oleh Persatuan Silat Cekak Malaysia. Itu sebabnya penglibatan seterusnya dalam persatuan CH sangat-sangat dicuriga. En Mat perlu menghadapi karenah itu semua. Bukan mudah baginya untuk melepaskan kongkongan mereka yang telah lama berkecimpung dalam dunia persilatan SC. Dalam usaha memantapkan CH, strategi melibatkan orang-orang lama tetap digunakan. Generasi kedua pula tidak dilupakan. Mereka diambil bekerja untuk menggerakkan persatuan. Tapi apa kan daya. Ramai yang umpama kaduk naik junjung.

Ketika murid En Mat bertambah ramai, golongan tua menjadi bangka. Golongan baru menjadi lama. Sandaran pada generasi baru mula dicuba. Alangkah frust-nya ahli lama. Tapi generasi lama dan bangka adalah golongan yang menguasai persatuan. Kalau zaman Pak Ak mereka tidak dapat menguasai persatuan, tapi di zaman En Mat, lain situasinya. Hanya orang yang bijak berpersatuan yang pastinya dapat ’menarikan’ persatuan. Kerana percayakan pada orang rapatnya, akhirnya En Mat tersingkir. Ilmu Bisik Semak dah tak menjadi. Teringat ungkapan lama, ”Kalau tak percaya, belahlah dada.” Tanda ikhlas agaknya. Tapi, tiba-tiba, betul-betul dadanya dibelah. Padan apa ye!
Perjuangan En Mat untuk mendapatkan kembali persatuan bukannya mudah. Sama payahnya ahli-ahli yang tersingkir daripada persatuan dulunya untuk menguasai persatuan yang dipegang oleh Pak Ak. Tekanan yang diberi kepada En Mat ketika ini sama saja dengan tekanan yang diterima daripada geng Pak Ak yang menguasai persatuan satu masa dulu.

Nampaknya masing-masing ada pengalaman. Satu pihak mempunyai pengalaman tersingkir daripada persatuan dan satu pihak berpengalaman menerima tekanan untuk menyebarkan SC. Pengalaman ini tetap digunakan untuk program dan strategi dan anisiatif mereka seterusnya.

Nampaknya En Mat tak banyak pilihan. Satu daripadanya ialah menubuhkan Persatuan baru. Silat tetap sama. Tekanan berpersatuan yang dialaminya sekarang, samalah dengan apa yang diterimanya daripada golongan PA dulu. Tentunya En Mat lebih matang. Yang lebih lucu, puak-puak yang memegang persatuan SCH sekarang telah menggunakan strategi atau anisiatif yang sama seperti yang digunakan oleh AJK pusat Persatuan CM dulunya. Kaedah menekan ahli atau cawangan atau pusat latihan yang menyokong En Mat adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Persatuan SCM satu ketika dulu. Berguna juga pengalaman yang mereka tempuhi.

Kini Persatuan SCH telah ’terpisah’ jauh dengan keturunan Hanafi. Keturunan Hanafi dipancung terus daripada sejarah SC yang ada. Mak Teh yang merupakan saki baki yang ada hubungan dengan Ustaz telah mula diketepi. Hilanglah keturunan Hanafi. Tiada siapa yang berani pertahan. Dikatakan SC bukan silat keturunan. Tapi bangsa kita selalu lupa akan jasa yang dicurah dan diberi. Prinsip SC telah melayang, terbang umpama layang-layang putus tali. Ramai yang tak sedar diri.

Tiba-tiba aku tersedar daripada lamunan. Jam menunjukkan Waktu Maghrib. Teringat selawat yang ditinggalkan Ustaz. Bagus diamalkan pada waktu sebegitu. Cit! Poorah. Bukan selawat yang pooorah. Tapi pada orang yang bercakap bagus tentang tinggalan Hanafi. Pooooorahhhhhh!