Dalam majlis Wajadiri tempoh hari, ucapan perasmi telah menyetuh soal perpaduan Melayu. Dikatakan bahawa amalan perpaduan semakin longgar di kalangan bangsa. Maka medan silat kita telah dijadikan tempat utama beliau meluahkan sesalan. Pastinya tertunjang harapan beliau agar silat kita dapat berperanan sebagai penggerak perpaduan bangsa Melayu.
Tapi bagaimana silat kita dapat memainkan peranan tersebut kalau perpaduan yang wujud dikalangan ahli kita juga turut rapuh. Itulah malangnya kalau seseorang itu bercakap tanpa mengetahui latar belakang yang jelas tentang apa yang dicakapnya.
Perpaduan erat kaitannya dengan kepimpinan yang ada. Kalau pemimpin ditolak maka pastinya akan berlaku pepecahan. Apatah lagi apabila muncul pemimpin baru yang cuba mengambil alih kepimpinan yang ada. Tentunya masing-masing mempunyai pengaruh dan cuba menyebarkan pengaruhnya. Apatah lagi apabila ramai di kalangan ahli yang buta huruf dan buta kayu. Banyak faktor yang yang telah dibincangkan tentang sumbangan pemimpin dalam pepecahan sesama ahli.
Pemimpin yang lemah akan mudah dikuasai oleh orang sekeliling sama ada orang keliling tersebut merupakan orang kanan atau orang kiri. Jadilah pemimpin itu sebagai kerbau yang dicucuk tali. Keadaan ini pastinya tidak akan menyenangkan pihak yang lain. Maka akan wujudlah perasaan tak puas hati hingga menyebabkan pepaduan semakin retak.
Paling malang lagi apabila pemimpin tersebut tidak dapat memainkan peranannya sebagai pemimpin yang berjaya memikat hati ahli yang dipimpinnya. Ilmu kepemimpinan tidak banyak. Jadilah beliau sebagai seorang pemimpin yang mengikut arus yang ada. Oleh itu tidak banyak kemajuan yang akan tercipta. Pengurusannya lebih banyak bergantung pada kalangan ahli yang ada. Pemikirannya tidak bebas.
Semua yang direpekkan di atas menunjukkan silat kita sendiri entah mana asal usul perpaduannya. Jangankan ingin menyatukan kalangan bangsa Melayu, sesama kitapun sudah tidak tentu hala. Selagi pemimpin atasan kita tidak meletakkan nokhtah dalam pepecahan yang sedang berlaku sekarang maka selagi itulah perpaduan sesama kita semakin goyang dan semakin goyah.
Ramai yang mengatakan bahawa penyelesaiannya mudah sahaja. Buatlah segera mesyuarat agung. Biar ahli yang membuat keputusan. Perpaduan akan kembali nyata. Mereka yang menentang fahaman seramai sepatutnya akan mengundur diri secara sah dan jujur. Pemerintah yang kalah, buatlah kerajaan baru. Pastinya namapun akan berlainan. Yang tinggal akan wujud perpaduan yang jitu manakala yang meninggalkan persatuan akan berusaha membina perpaduan baru. Itupun tak lama. Lepas sepuluh tahun maka kita akan berpecah semula. Maka mulakan kembali formula perpaduan kita.