Sejauh manakah tulisan dalam blog ini akan dapat membuka minda masyarakat pembaca daripada ahli persatuan dan ahli silat dalam Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi. Seperti yang dinyatakan terdahulu, itu bukannya penting sangat. Sama ada tulisan ini berkesan atau tidak, bukan tujuan utama. Selain daripada menjadi tulisan sejarah satu masa nanti, mungkin ada antara ahli yang dapat jadikan panduan. Tidak ramai ahli-ahli silat yang faham tentang SC sejak zaman Ustaz, benar-benar berminat untuk mempertahankan salasilah ketuanan Ustaz. Ustaz disanjung tapi keluarga dimusuhi. Mereka bercakap tentang perjuangan Ustaz Hanafi. Cakap saja. Usahkan silat, fahamanpun porak peranda. Walau bagaimanapun, kita tidak mungkin mengubah nilai seseorang dengan begitu mudah. Lihat sahaja kritikan dunia atas negara Israel yang tamakkan kuasa hingga menguasai dunia arab. Biar sebanyak manapun kritikan yang ada, Israel tetap Israel. Nilai yang tertanam pada rakyatnya amat sukar diubah. Saya tetap berpegang pada kata-kata Ustaz sebagai usaha mententeramkan diri. Seperti biawak, binatang tersebut tetap memilih bangkai. Walaupun kita berusaha bersungguh-sungguh hingga empat puluh hari berturut-turut, menghidangkan kek atau piza atau ayam goreng atau nasi beriani atau tose atau atau atau, akhirnya binatang tersebut tetap memilih bangkai. Oleh itu soal binatang tersebut hendak memilih apa, biarkanlah. Yang penting kita telah menghidangkan altenatif makanan yang baik kepadanya. Biawak akan tetap biawak. Binatang ini sentiasa tuli dua puluh empat jam. Waktu tidur pun tuli. Apatah lagi ketika berjaga. Mintak simpang daripada kita berperangai biawak.
Kadang-kadang saya terfikir tentang orang-orang sibuk tapi suka menyebokkan diri. Setiap kita biasanya ada tugas tertentu yang diamanahkan oleh kerajaan atau sektor swasta ketika ini pada diri kita sendiri. Ramai penggerak dalam SC mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Ada yang menjadi peguam, ada yang menjadi pegawai tertinggi kerajaan, ada yang menjawat jawatan-jawatan penting dalam sektor swasta seperti perbankan dan macam-macam ada, sesuai dengan kebolehannya. Tugas-tugas tersebut adalah sebagai ’core business’ mereka. Tetapi kenapa mereka ini tersangat pentingkan pengurusan Persatuan SC dan silat itu sendiri hingga cuba campur tangan dan menguasai perjalanannya. Pada hal SC telah ada empunyanya iaitu En Mat yang seratus peratus menumpukan perhatian pada silat dan merupakan profesyennya. Kita menjawat jawatan yang ada sekarang, ada punca kuasanya. Manakala En Mat yang bertugas sebagai Guru Silat dan Presiden Persatuan SC juga ada punca kuasanya.
Tiap-tiap orang ada tanggungjawabnya. Kalau dia seorang peguam, maka tanggungjawabnya adalah dalam bidang keguamannya. Kalau dia pegawai tinggi kerajaan maka tanggungjawabnya ialah pada jabatan yang diketuainya. Kalau dia bekerja di sektor swasta maka tanggungjawabnya ialah memastikan sektor tersebut berjaya. Kalau di bank, banyakkan pelanggan. Kalau sedang belajar ambil master atau Phd., tanggungjawabnya belajar saja. Dalam konyeks ini, En Mat yang mengetuai pergerakan silat maka kerja atau tanggungjawabnya ialah memastikan pergerakan silat tersebut berjalan lancar. Jadi, kenapa orang lain perlu campur tangan dalam pekerjaannya. Susah juga hendak faham. Sepatutnya tugas orang lain hanya membantu En Mat. Tugas hakiki En Mat ialah Guru Silat. Itu adalah sumber pendapatannya. Kenapa orang lain menganggu ”mata pencariannya”. Kenapa perlu kita jahanamkan kehidupannya. Apa akan terjadi jika orang lain pulak yang mencampuri urusan tugas harian kita hingga hilang tanggungjawab tersebut daripada kita. Misalnya kalau kita seorang pegawai tinggi kerajaan, tiba-tiba ada orang lain campur tangan hingga hilang kerja kita tersebut dan kita menjadi penganggur. Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu. Bayangkanlah En Mat yang ada kerja sebagai Guru Silat tiba-tiba cuba digelapkan masa depannya oleh anasir-anasir jahat subversif.
Kalau kita kata bahawa kita ada tanggungjawab untuk membetulkan keadaan, siapalah kita untuk mengatakan demikian. Tak ada siapa yang melantik diri kita. Biasanya perasan sahaja. Bukankah tanggungjawab tersebut terpikul di bahu En Mat. Kalau perlakuan sundalnya itu benar, siapalah kita untuk menyiasat dan menghukum. Biarlah mahkamah yang menentukannya kalau sudah dibuat pengaduan. Kalau dari sudut persatuan mungkin ada logiknya berdasarkan peraturan persatuan, tapi dari sudut silat hingga mengeluarkannya daripada Guru Silat, mana logiknya. Begitulah dahsyatnya dunia ini. Ramai pemangsa dan mangsanya. Saya teringat akan teori-teori tentang pelakuan manusia selain yang dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadis.
Ada satu teori X dan Y tentang pelakuan tersebut:
“•Manusia dibahagi kepada dua golongan iaitu manusia X yang bersifat negatif dan manusia Y yang positif. Manusia X kebanyakannya secara semulajadi tidak suka bekerja, kurang bercita-cita, suka dikerah dan disuruh, suka menentang perubahan dan tidak begitu bijak. Manakala manusia Y terdiri daripada menusia yang suka bekerja dan mencarinya, mereka juga sukakan “participative management”, mereka dapat menentukan matlamat sendiri dan bertanggungjawab serta amanah dan mereka ialah manusia yang kreatif.”
Kalau ditafsirkan, manusia Y adalah bersifat positif. Malangnya walaupun ramai manusia Y dalam SC tapi akhirnya membawa mereka kepada matlamat sendiri untuk berkuasa dalam SC. Apabila diberi peluang untuk berkongsi kuasa, habis semuanya, dengan guru sendiri hendak dikuasainya. Begitulah betapa cantiknya teori tersebut tapi tak menjadi dalam SC. Kalaulah kepakaran yang ada digunakan sepenuhnya untuk membangunkan SC, sudah tentu silat kita semakin hebat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, sifat buruk tetap ada dan sukar dihindari. Menentukan matlamat sendiri bermakna selaras dengan matlamat organisasi dan persilatan kita. Sebaliknya lain yang terjadi. Haiii. Apa dah jadi pada pak-pak kita dalam SC. Kalau Mak Teh dah kata binatang, jenis apa agaknya.
Dalam apapun persatuan atau organisasi, ada satu lagi teori mengenai gelagat manusia yang wujud. Kebiasaannya terdapat empat kumpulan manusia yang mempunyai pelbagai macam perangai.
Kumpulan pertama ialah kumpulan manusia perintis atau pencipta atau pencetus. Mereka sukakan perubahan dan lain daripada kebiasaan. Mereka inilah manusia luar biasa yang sentiasa memberi sumbangan kepada perubahan. Kata-kata pemimpin sering diterjemahkan dalam tindakannya seharian. Kecaman atau bantahan terhadap ketua, tidak mudah diterima. Dalam konteks SC, kumpulan inilah yang sering pertahankan Guru. Sepatutnya Guru SC menggunakan kepakaran mereka kerana kerja-kerja yang dilakukan mereka adalah ikhlas. Lantik mereka sebagai pengerusi cawangan atau ahli-ahli sebarang lembaga. Kenalah jaga dan hindari sebarang tohmahan atau dengki khianat orang lain terhadap kumpulan ini. Kalau Guru tidak menjaga mereka, tersangatlah ruginya Guru itu sendiri.
Kumpulan kedua ialah kumpulan pemimpin atau pelopor. Kumpulan ini juga terbuka kepada perubahan tetapi sering memikirkan kesannya terlebih dahulu. Mereka juga sering menjadi pemimpin tidak rasmi kerana mempunyai pengikut. Ramai yang menyokong mereka kerana hubungan dengan ahli begitu rapat dan mempunyai sesuatu kebolehan yang boleh menarik perhatian ahli. Apatah lagi kalau ada pengetahuan agama. Mereka juga bersedia menjadi pemimpin untuk menggerakkan sesuatu perubahan. Kumpulan ini jika bercanggah dengan ketua organisasi maka kesannya amat besar sekali kerana mereka mempunyai pengikut. Bayangkanlah bagaimana kumpulan ini yang terdiri daripada pelbagai Pak yang mempunyai pengaruh yang kuat daripada ahli-ahli SC. Apabila mereka bersanggah pendapat dengan En Mat, lihatlah kesannya. Pengaruh mereka begitu kuat dan boleh meranapkan persatuan. Kalaulah daripada peringkat awal En Mat berbincang dengan mereka tentang masalah cabul dan dapatkan maklumat dan pendapat mereka serta bergantung penuh pada mereka untuk menyelesaikan masalah, mereka akan gembira dan bersedia untuk membantu. Malangnya apabila dimusuhi dan menggelarkan mereka binatang, biawak agaknya, tindak balas mereka begitu kuat kerana mereka mempunyai pengikut dan para pengikutnya akan berdiri teguh di belakang mereka. Ramai ahli yang begitu mempercayai kekuatan peribadi mereka walaupun terbukti pendapat mereka tidak sepenuhnya boleh dipakai. Ahli pulak yang taksub dengan mereka, bukannya Guru. Tambahan pulak kalau ada gelaran Ustaz. Samalah makamnya dengan Ustaz Hanafi dan Ustaz Ak.
Kumpulan pengikut merupakan kumpulan terbesar dalam mana-mana organisasi. Penglibatan mereka dalam persatuan banyak bergantung pada pengaruh pemimpin yang ada dalam persatuan tersebut. Pendirian mereka tidak tetap. Siapa yang berjaya menarik perhatian mereka, itulah pemimpin mereka. Bayangkan kalau golongan ini dilantik oleh En Mat sebagai pemimpin di tahap cawangan. Silap haribulan, En Mat akan dilawannya. Sebabnya ialah mereka lebih bersandarkan pendapat daripada golongan manusia yang disukainya; jarang menggunakan pendapat sendiri. Nak guna macam mana. Small mind la.
Satu lagi kumpulan ialah kumpulan penentang. Mereka menentang setiap perubahan yang ingin dilakukan. Peratusnya kecil tapi tidak ada pengikut. Dalam SC, mereka ini ialah golongan yang sudah lama diketepikan. Jawatan tak ada. Mengajar silat pun tak bagus. Cakap saja banyak dan cakap pun tidak serupa bikin. Gelaran macam harimau, tapi pakai gigi palsu. Sekali gigit, apapun tak rasa. Cuma geli geleman. Akan tetapi apabila kumpulan ini bergabung dengan kumpulan pemimpin tak rasmi, pengaruh mereka amat besar dan telah membenamkan En Mat. Kita dapat lihat dalam silat kita. Manusia ini wujud dan sentiasa tidak puas hati dengan En Mat. Apabila ada peluang maka mereka telah bergabung dengan pemimpin-pemimpin tak rasmi yang terdiri daripada pelbagai Pak. Maka al-kisah, penentangan mereka sungguh hebat.
Itu sebabnya saya selalu tegaskan betapa penting En Mat mempunyai kemahiran dalam ilmu organisasi untuk mengenal pasti gelagat manusia. Setakat ilmu Bisik Semak atau ilmu Khasaf yang ada, sudah tak termakan dengan sifat ”manusia” yang ada dalam dunia SC ketika ini. Mak Teh kata mereka manusia jenis apa? Tak tau la.