Thursday, November 1, 2007

KENANGAN SATU

Ada dua tiga jenis binatang lagi yang pernah disebut oleh Allahyarham. Namun begitu, bukan soal binatang yang penting dalam tulisan ini tetapi perangai dan sifat binatang-binatang tersebut harus kita teladani atau jauhi. Ketika era Ustaz, isi percakapannya sangat dihargai kerana setiap nasihat atau tegahan, membawa makna yang besar untuk membangun prinsip dan falsafah diri. Semua ahli yang bergelar murid, menaruh keyakinan kepada Ustaz untuk mendapat keberkatan. Atas prinsip keyakinan inilah maka Allahyarham telah dianggap oleh muridnya sebagai pendorong atau sebagai sumber ilham yang tidak ada tolok bandingnya. Isi percakapannya sentiasa dipandang positif. Walaupun di hati kecil sebilangan muridnya mempunyai persoalan atau perasaan tidak puas hati terhadap pengendalian persatuan atau penyelesaian sesuatu perkara, mereka masih dapat membezakan antara peranan Ustaz sebagai Presiden dengan peranannya sebagai Guru Utama. Keadaan ini membawa makna bahawa hal-hal yang berkaitan dengan ilmu Silat berbeza dengan hal-hal yang berkaitan dengan persatuan yang memungkinkan wujud percanggahan pendapat atau perasaan tidak bersetuju.

Keadaan ini nampaknya berbeza dengan suasana ketika ini. Kebanyakan ahli SC tidak dapat membezakan antara peranan En Mat sebagai Guru Silat yang memimpin Silat Cekak hasil mandat yang diterima dan peranannya sebagai Presiden persatuan yang memimpin Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi hasil pemilihan ahli dalam mesyuarat agung. Akibatnya, apabila timbul persoalan atau perasaan benci atau perbezaan pendapat, habis segala-galanya tidak betul sama ada persilatan yang dibawanya atau persatuan yang dipimpinnya. Keadaan ini tidak menguntungkan pergerakan Silat Cekak. Kita akan membuang masa membahaskan isu-isu dalam SC yang akan membantutkan matlamat perjuangan kita yang sebenarnya. Pepecahan akan terus berlaku jika kefahaman ini tidak ditekankan di kalangan ahli. Saya yakin, selepas ini pepecahan akan berlaku lagi terutamanya selepas ketiadaan En Jo. Siapakah penggantinya. Soal mandat telah diketepikan. Peranan Guru ditentukan oleh MMK dan dialatkan pada MMT. Jadi, siapakah selepas En Jo. Tidak ada yang lebih layak melainkan Guru Wawasan yang sedang mengatur strategi mempopularkan diri. Tapi siapa pula selepas Guru Wawasan. Ketika itu ramai yang layak. Penggunaan wang sebagai sogokan pasti berlaku. Ramai tokoh koperat dan keparat dalam persatuan kita ketika itu. Sekurang-kurangnya telah wujud syarikat yang menggunakan nama Silat Cekak Ustaz Hanafi. Pak Li dan Pak Lan tentu arif dalam bidang ini. Tentu mereka juga ada saham dalam syarikat tersebut. Jadilah suasana politik wang dalam pemilihan Guru. Untuk jawatan presiden, para perwakilan juga turut menikmati habuannya. Itulah telahan masa depan berdasarkan pergolakan yang berlaku ketika ini.

Nampaknya ketika ini pun, hubungan sesama ahli lebih merujuk kepada geng mana yang mereka pilih. Mereka telah lupa akan perjuangan SC sama ada daripada segi penyebaran silatnya atau segi ilmu falsafahnya. Sepatutnya, masalah peribadi tidak boleh dikaitkan dengan perjuangan kita. Geng mana sekalipun, perjuangan hakiki perlu diberi keutamaan. Alangkah ruginya penuntut-penuntut SC ketika ini. Hilang kelebihan dan keistimewaan sebagai murid SC yang selama ini amat saya kagumi dan juga dikagumi oleh masyarakat silat lainnya.

Beberapa hari yang lalu, secara kebetulan saya telah bersua muka dengan dua orang penuntut lama yang pernah belajar SC. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Salah seorang daripada mereka yang lelaki, pernah saya latih untuk kelas kemahiran. Kedua-duanya saya panggil doktor kerana memiliki ijazah doktor falsafah dan mereka mengenali saya dengan akrab. Seorang daripadanya menjadi pensyarah di salah sebuah universiti tempatan dan seorang lagi menjawat jawatan tinggi dalam salah satu kementerian di Puterajaya. Pertemuan tersebut bukanlah secara serentak. Sudah lama mereka meninggalkan aktiviti SC kerana kesibukan melanjutkan pelajaran dan ketika ini pun sibuk menjalankan tugas. Itulah ahli-ahli SC dulunya. Bukan senang untuk terus kekal atau seimbang dalam perjuangan. Ada yang ghaib selepas menikmati syurga dunia secara sah dan ada yang ghaib apabila membuat ijazah lanjutan. Kalau tak ghaib pun, kesibukan diri akan ditonjolkan dengan aktiviti library, kelas tutorial dan pelbagai lagi. Maklumlah. Dia sorang saja yang sibuk dan sebok.

Seorang daripada mereka tidak sempat berbual panjang dengan saya. Beliau tergesa-gesa dalam perjalanannya dan hanya sempat mengambil nombor telefon bimbit sambil menyatakan keinginannya untuk berhubung bagi mendapatkan penjelasan atas soal pepecahan yang sedang berlaku. Setakat ini saya telah bersedia untuk menyatakan sesuatu yang patut dinyatakan bagi memenuhi keperluan fikirannya. Mustahil beliau akan aktif semula memandangkan sudah lama meninggalkan persatuan. Bukan mudah untuk mendapat tempat dalam persatuan SC kalau sudah lama berpisah. Ini adalah budaya kita yang agak buruk sikit.

Pada saya untuk menegakkan siapa benar atau siapa salah, bukanlah perkara utama. Kedua-duanya ada kekuatan hujah atas pandangan masing-masing. Keadaan ini samalah dengan kiasan sibuta yang memegang gajah. Apa yang dipegangnya maka itulah gajah. Walau bagaimanapun kita mesti kembali kepada perjuangan SC. Erti perjuangan perlu dihuraikan dengan jelas. Perjuangan ini telah diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi dan dilanjutkan oleh pengganti-pengganti beliau. Sebagai manusia, mustahil pengganti-pengganti Ustaz dapat meniru seratus peratus perwatakan Ustaz dalam menunai amanah mengembangkan SC. Oleh itu, mereka perlu diberi peluang mengembangkan potensi diri ketika menjalankan tugas sebagai Guru Utama. Sikap inilah yang telah dilakukan oleh En Mat tanpa berpaut pada ahli-ahli lama untuk menjalankan aktiviti dalam SC. Dan keadaan inilah yang sangat dibenci oleh ahli-ahli lama yang sudah biasa dengan gaya kepimpinan Ustaz Hanafi. Apabila tindak-tanduk En Mat sukar dikawal oleh mereka, diri orang-orang lama tersebut terasa dicabar kerana sering disisihkan. Itu sebab ada di kalangan mereka yang mempersoalkan kewibawaan En Mat di medan-medan tertentu, tanpa disedari oleh En Mat sendiri. Hal ini berterusan hinggalah En Mat dapat disingkirkan oleh kumpulan mereka.

Kepada penuntut SC yang saya temui tersebut, akan saya jelaskan betapa penting ahli-ahli SC kembali pada matlamat asal Ustaz ketika Ustaz menceburi bidang ini. Matlamat itu seperti yang telah saya nyatakan dalam artikel sebelum ini. Bagi mencapai matlamat tersebut, murid-muridnya telah dibentuk dengan cara ”diasak” ilmu persilatan dan pengalaman hidup termasuk ilmu petua yang sangat berguna untuk pembentukan diri dan pembinaan keyakinan. Asakan tersebut diterapkan secara berterusan kepada ahli-ahli silat yang baru dari masa ke masa. Dengan cara ini murid-murid SC dapat diacukan untuk menuju kepada matlamat yang diingini. Jadi, apa perlunya diperbesar-besarkan kes-kes yang remeh berbanding dengan perjuangan besar SC. Pasal duit, siapa suruh bagi pinjam. Pasal tak dapat kawal Guru, kenapa orang-orang kanannya yang gagal menasihati Guru Utama tak letak jawatan. Pasal perbuatan sundal, tunggulah keputusan mahkamah. Lagi pun beliau telah bersumpah bersaksikan Al-Quran. Pasal Mak Teh sebut mereka binatng, Ustaz pun ada sebut. Paper pun tumpang sekaki menggelarkan En Mat binatang harimau. Kenapa mesti dikecoh-kecohkan. Bagaimana dengan kekuatan SC selama ini yang semakin malap dan diruntuhkan dari masa ke masa oleh manusia-manusia durjana yang tidak berhati mulia. Pelantikan Guru sudah tidak tentu hala. Mandat tidak lagi sebagai punca kuasa. Sebaliknya Persatuan adalah punca kuasa pelantikan Guru. Adat-adat dalam Silat cuba dipermoden dan dikikis secara perlahan-pelahan tanpa memahami kenapa adat tersebut diadakan. Contoh yang paling mudah, adat ” ayam petunjuk” . Ustaz tidak bergantung pada adat tersebut untuk mengetahui latar belakang muridnya. Kalau dulunya adat tersebut diletakkan pada pemulaan majlis pengambilan murid supaya diketahui perangai bakal muridnya, Ustaz telah mengekal adat tersebut tetapi meletakkan adat itu di akhir pengajian SC. Inilah keistimewaan SC kerana kita masih mengekalkan tradisi atau budaya Melayu tanpa bergantung padanya. Banyak peristiwa lucu boleh dijadikan kenangan hasil adat yang dikekalkan itu. Banyak lagi contoh adat dan adab yang cuba dikesampingkan ketika ini. Hal yang sedemikian sangat merugikan SC. Akan hilang rupa bentuk SC seperti yang diagung-agungkan selama ini.

Paling malang lagi apabila tinggalan Allahyarham berupa isterinya, dimusuhi dengan sesungguhnya. Murid-murid atau ahli-ahli baru atau lama yang ada, dididik agar membenci isteri Ustaz. Sebaliknya, diri Ustaz sentiasa disanjung. Pada hal, tujuan utama mereka menjadi ahli SC semata-mata untuk mendapatkan ilmu SC. Akan tetapi tujuan ini telah diambil mudah dan diketepikan oleh para jurulatih yang berfikiran sempit. Kita semakin lalai untuk menunaikan tanggungjawab sebenar bagi mendidik ahli-ahli SC dengan ilmu persilatan yang hebat, tangkas dan berani. Ahli-ahli ini sepatutnya disogok dengan falsafah dan prinsip hidup dalam SC sebagai usaha melahirkan ahli-ahli silat yang hebat dan bertanggungjawab. Sayang sekali apabila pembangunan ahli diabaikan sama ada dari segi persilatan ataupun prinsip hidup, maka kita khuatir akan lahirlah ahli-ahli SC yang lembut atau keras yang tak tentu hala.

Terdapat Penyelia Kelas yang membuang masa menanam perasaan benci di kalangan ahli baru yang belum tamat. Mereka gagal untuk memenuhi hajat sebenar penuntut yang berkorban wang menjadi ahli SC. Selama ini mereka menganggap Silat Cekak sebagai silat yang hebat. Oleh itu, janganlah dirosakkan pemikiran asal mereka tersebut. Penyelia-penyelia atau juru-jurulatih yang tidak bertanggungjawab ini eloklah berundur dan nyah daripada terus merosakkan lebih banyak penuntut-penuntut baru dan merosakkan kewibawaan SC. Saya rasa persoalan di ataslah yang patut dibahas atau dijelaskan kepada siapa sahaja yang ingin mengetahui situasi silat kita masa kini.

Perbualan saya dengan penuntut yang seorang lagi agak berlainan. Beliau tidak beminat dengan situasi yang ada tapi mengungkap peristiwa lama di satu masa lalu.