Sunday, March 27, 2011

KENANGAN 35.

PERJUANGAN.

Istilah perjuangan sangat popular dalam kata bual setiap Jurulatih. Mereka selalu menghubungkan istilah perjuangan dengan diri mereka yang bergiat dalam SC. Cuba kita bertanyakan mereka tentang maksud perjuangan. Lain Jurulatih, maka lainlah tafsiran dan kupasannya.

Nampaknya, tafsiran perjuangan lebih banyak bergantung pada Jurulatih itu sendiri. Ada yang mengatakan perjuangan itu berupa usaha untuk menegakkan kehebatan SC. Hal yang demikian kerana ketika itu SC sering ditindas dan dihina oleh masyarakat silat Melayu yang lain. Oleh itu, menjadi kewajpan ahli untuk berjuang mempertahankan kehebatan SC. Di samping itu, para ahli perlu berjuang untuk mengenengahkan kehebatan SC hingga diterima oleh semua lapisan masyarakat. Malah, ahli-ahli perlu berjuang hingga kemasyhuran SC dapat mengatasi persilatan Melayu yang lain. Akhirnya diharapkan SC akan menjadi terkenal dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pesilatan Melayu yang lain.

Dalam zaman saya dulu, ada juga dalam kalangan Jurulatih yang memberi tafsiran yang agak ’keras’. Perjuangan SC dihubungkan dengan kebolehan dan kemampuan SC untuk memerintah negara. Ketika semua pihak berpecah belah dan bergaduh sesama sendiri, maka akhirnya SC akan dirujuk dan bertindak sebagai penyelesai masalah. Maka SC akan menguasai pemerintahan. Tapi, nampaknya, dalam keadaan bangsa kita berpecah-belah ketika ini, pendapat tersebut tidak lagi kedengaran dan tidak langsung popular. Mana tidaknya. Kita pun mengalami proses pecah belah. Maka tak layak dijadikan tempat bergantung pihak yang berpecah. ”Berpaut pada dahan yang rapuh.”

Ada juga dalam kalangan Jurulatih yang berfaham bahawa perjuangan SC adalah perjuangan bagi menentang segala macam kurafat dan tahyol yang ada dalam masyarakt Melayu. Saya pun tak pasti macam mana fahaman ini boleh ada dalam kalangan mereka. Kalau mereka berfaham demikian pastinya pengetahuan mereka tentang konsep kurafat dan tahyol itu sangat hebat. Hal yang demikian akan membolehkan mereka berjuang bagi membasmi kepercayaan yang bertentangan dengan agama tersebut.

Nampaknya fahaman menentang kurafat dan tahyol itu tidak kedengaran lagi sekarang. Golongan agama dalam SC telah tidak berapa ada. Kalau ada dulupun tidak merupaya lagi menentang tahyol. Ada yang telah menyebelahi geng ’yol’ hingga sanggup merampas ketuanan dalam SC. Namun begitu standard yol berjaya ditingkatkan dari prinsip mencuri kepada merampas.

Dalam situasi para Jurulatih sering mengungkap makna perjuangan, ada juga dalam kalangan Jurulatih yang ’hebat-hebat’ tidak langsung bercakap tentang makna perjuangan dalam kalangan ahli-ahli yang dipimpinnya. Jarang diluah melalui mulut. Rupa-rupanya perjuangan bagi mereka tersemat erat dalam hati. Ada benda yang dicari. Lama-lama baru saya mengerti. Pemikiran strategi. Berjuang dalam hati. Untuk mencapai hajat di hati. Itulah perjuangan berkepentingan diri sendiri. Sekian lama baru terbukti.

Perjuangan dalam hati yang bertunjang kepentingan diri itu, dapat dilihat dalam tindak-tanduk mereka. SC dijadikan medan untuk mencari kekayaan, bagi memenuhi kepentingan. Macam-macam diniagakan. Katil, tilam dan sebutlah apa saja. Semuanya ada. CNI pun ada. Mesyuarat AJK akan dimasukkan pengurusan kewangan sebagai salah satu agendanya.

Minat berniaga mula menyerap masuk dalam persilatan kita. Tumpuan mula dialihkan dari silat kepada berniaga. Rangkaian perniagaan disebarkan merata. Saya terkejut pada satu ketika dalam mesyuarat MMT. Masa itu En Mat baru berkuasa sebagai Guru Utama. Salah satu dari agendanya ialah membincangkan aspek perniagaan. Saya terpinga-pinga kerana tak tahu nak kata apa. Sejak itu golongan berniaga semakin berleluasa dalam masyarakat silat kita. Menaja sana, menaja sini. Di mana-manapun menaja.

Minat berniaga dalam SC menjadikan perjuangan SC mulai kabur. Masa ruang dalam kelas-kelas silat tidak lagi digunakan sepenuhnya sebagai medan untuk menyuntik semangat bagi mengembangkan SC. Ruang masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk mencari ahli baru yang sanggup melibatkan diri untuk tujuan berniaga. Kata-kata pembuktian kehebatan SC telah bersaing dengan kata-kata pembuktian hebat benda yang diniaga.

Saya bersyukur kerana perjuangan yang bersandarkan perniagaan dapat disekat daripada berleluasa di cawangan saya. Soal berniaga adalah hak sendiri. Jangan dilibatkan ahli-ahli yang lain. Dalam kelas silat, tumpukan pada persilatan. Hak penuntut ialah menerima pelajaran silat. Jika pelajaran lain yang kita sampaikan, maka kita boleh dianggap sebagai pengkhianat SC itu sendiri. Itulah pesanan saya.

Akhir-akhir zaman, timbul satu kumpulan Jurulatih yang mempunyai perjuangan yang tersendiri. Asasnya, mereka berjuang untuk mempastikan SC sentiasa berada dalam landasan yang betul. Landasan itu berasaskan faham Ustaz Hanafi. Malangnya landasan itu adalah berdasarkan tafsiran mereka sendiri. Oleh sebab kedudukan mereka dianggap merupakan para Jurulatih yang beraras tinggi, suasana silat yang dikehendaki telah ditafsir ikut kehendak sendiri. Kehebatan mereka adalah berdasarkan perasan mereka sendiri. Mereka yang menilai akan kehebatan mereka. Oleh itu, banyak perasan tentang diri mereka sendiri.

Puncaknya, guru utama ketika itu dianggap tidak layak memegang tugas melayari persatuan SC. Kumpulan Jurulatih ini terus berjuang untuk menguasai persatuan. Malang lagi apabila perjuangan mereka telah ditentang oleh kumpulan Jurulatih yang juga berkepentingan diri. Kepentingan mereka adalah bertentangan. Maka pepecahan yang diundang. Itulah terjadinya pepecahan gelombang pertama.

Bila berpecah, kumpulan ini terus berjuang berdasarkan perjuangan yang ditafsir sendiri. Asasnya tetap kepentingan diri. Persatuan silat terus cuba dikuasai. Malang lagi. Perjuangan mereka ditentang hebat oleh kumpulan Jurulatih yang lain. Kumpulan Jurulatih itu juga ada kepentingan dirinya. Bila kedua-dua kumpulan Jurulatih ini bertentangan perjuangan diri maka SC berpecah lagi. Itulah pepecahan pada gelombang kedua. Ada hulu maka ada parang. Ada dulu maka ada sekarang. Pepecahan akan berterusan lagi. Dan lagi dan lagi. Tunggulah saat dan ketikanya selagi perjuangan diri didahulukan segala.

Cuba kita analisis perjuangan dulu dan sekarang seperti yang saya bincangkan. Kalau berjuang menegakkan kedaulatan SC atau berjuang menentang kurafat dan tahyol, tumpuan mereka tetap pada silat. Apatah lagi jika mereka berjuang untuk menjadi ’pengaman’ negara. Segala perbuatan dan perbincangan mereka ada kaitan dengan usaha-usaha menaik taraf SC pada pandangan masyarakat.

Sebaliknya apabila perjuangan dikaitkan dengan kepentingan diri, maka hilanglah perbincangan tentang silat. Perbincangan dalam kelas silat lebih menjurus pada kepentingan diri. Kalau kepentingan diri menghala kepada perniagaan maka perbincangan adalah berkisar pada peniagaan. Kalau perjuangan berdasarkan kepentingan diri untuk mendapat kuasa persatuan, maka perbincangannya pasti dalam konteks meluaskan pengaruh. Strategi memperoleh kuasa akan sentiasa dirancang.

Kalau kita memahami suasana perjuangan yang ada dalam kalangan Jurulatih SC, tidak hairanlah jika kita lihat tindak tanduk yang berlaku sekarang. Setiap Jurulatih yang memegang kuasa akan cuba menghapuskan pengaruh Jurulatih yang bertentangan pendapat dengan mereka. Sebut Jurulatih maka ada kaitan dengan kelas silat. Menghapuskan pengaruh Jurulatih, bermakna perlu dimansuhkan kelas silatnya.

Maka banyaklah cawangan yang menaungi kelas-kelas silat yang diarah tutup. Pucuk pangkalnya, pengaruh Jurulatih di kelas-kelas berkenaan perlu dimusnahkan. Sungguh mengharukan.

Tuesday, March 22, 2011

KENANGAN 34.

HORMATILAH
PRINSIP KAWAN.

Sesuatu yang berlaku pada diri kita, sepatutnya tidak mungkin dibalas pada orang lain. Sebagai pemimpin, terutamanya Jurulatih, apa yang kita tidak suka, perlulah dinyatakan pada anak didik kita supaya mereka menghindari sifat-sifat atau perlakuan berkenaan.

Menjadi Jurulatih atau pemimpin SC, memerlukan kita menanam nilai-nilai murni sesama ahli persilatan. Hal yang demikian adalah bersesuaian dengan ikrar kita supaya sesama ahli tidak boleh bergaduh atau berbalah. Ikrar SC sering dilafazkan setiap kali ada ijazah baru. Namun begitu, usaha-usaha bagi mencapai hasrat demikian amat jarang dititikberatkan.

Bagi memenuhi hasrat ikrar yang diadakan, Jurulatih memainkan peranan utama untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan ahli-ahli silatnya. Banyak cara boleh dilakukan supaya hubungan sesama rakan persilatan sentiasa berada dalam keadaan yang akrab.

Kita perlu mengajar diri kita supaya mengamalkan nilai-nilai kesopanan diri ketika berhubung dengan rakan-rakan. Istilah-istilah, ’tolong’, ’terima kasih’, ’maafkan saya’ dan sebagainya, amat perlu diucapkan ketika berhubung. Kesopanan akan memangkinkan rakan-rakan kita untuk terus-menerus mengormati diri kita sebagai pemimpin. Tambahan pula jika peranan kita ialah seorang Jurulatih. Hubungan akrab yang terjalin akan memudahkan kita menyampaikan ilmu persilatan yang diamanahkan.

Kita selalu memberi isyarat tentang diri kita dengan perbuatan yang kita lakukan, air muka yang kita tunjukkan dan perkataan yang kita tutur. Oleh itu, berhati-hatilah ketika kita mengeluarkan perkataan. ”Telajak perahu boleh diundur. Telajak kata buruk padahnya.”

Di samping itu, ketika bergaul, tunjukkan penghargaan secara ikhlas. Beri pujian ketika pujian patut diberi. Jika perlu ditegur maka buatlah teguran secara jujur. Saya selalu suka berterus terang. Dalam tulisan yang terdahulu, saya menekankan konsep benar dalam tutur kata. Sesuatu yang benar adalah bermaksud, apa yang ditutur adalah merupakan pancaran dari hati. Cuma cara atau kaedah pertuturan memerlukan sifat berhati-hati.

Semua panduan yang dibincangkan adalah merupakan pelakuan-pelakuan yang perlu diambil kira semasa berhubung dengan rakan-rakan atau anak didik kita. Fahamilah pelakuan mereka secara positif. Jangan banyak perasan atau prasangka buruk. Hal yang demikian akan menyebabkan hubungan sesama kita akan menjadi tawar dan sentiasa dalam keadaan yang tidak selesa.

Nampak jelasnya semasa berhubung sesama kita, banyak perkara yang patut diambil kira. Kita perlu melayan setiap orang secara hormat dan mulia. Jangan merendah-rendahkan pemikiran mereka. Tunjukkan minat yang tulen terhadap pandangan mereka. Hal yang demikian memerlukan kita menjadi pendengar yang baik. Cari kebaikan mereka daripada berbicara atau berbincang tentang keburukannya. Oleh itu, ketika kita membicarakan tentang sifat rakan-rakan kita, bercakaplah secara positif tanpa mengata-ngata rakan kita tersebut.

Jika ingin membuat teguran. Lakukan teguran tersebut secara berhemah. Teguran secara tidak langsung akan banyak membantu kita. Walau bagaimanapun, jangan ego untuk mengetahui sebarang kesilapan yang kita telah lakukan.

Semasa saya mengurus persatuan atau sebarang organisasi yang diamanahkan, saya akan menekankan kepada lima perkara utama. Nampaknya, kesan yang diperoleh amat besar. Suasana bekerja adalah menyenangkan. Seiring dengan itu percapaian organisasi semakin hebat dari masa hingga ke masa.

Penekanan pertama ialah menjadikan rakan-rakan kita sebagai kawan. Lebih-lebih lagi jika umur sesama kita adalah dalam lingkungan yang sama. Jika kita agak berumur sikit, konsep ’kawan’ masih boleh dijadikan amalan. Hapuskan sifat meninggi diri. Kita boleh turun padang untuk bersama-sama melakukan sesuatu kerja.

Dalam konteks kerja berpasukan, kita perlu saling menyokong antara satu sama lain. Semangat ini adalah sangat penting bagi mempastikan matlamat persilatan kita berhasil. Dalam masa menjalankan sesuatu aktiviti, setiap kelemahan pada satu-satu bahagian, jangan dijadikan bahan cemuhan. Sebaliknya kita bantu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Perasaan hasad, iri hati dan dengki perlu dihapuskan sama sekali. Setiap kejayaan anak buah kita, jadikan sebagai kejayaan kita juga. Hal yang demikian akan membolehkan kita mengekalkan kejayaan organasisai yang kita pimpin. Saya ada pengalaman melihat betapa barisan kepemimpinan persatuan SC yang suka berfaham cantas-mencantas. Jika ada dalam kalangan ahlinya yang agak ’lebih sedikit’, alamat ahli berkenaan akan diketepikan.

Pelakuan memadankan muka apabila gagal pada satu-satu program atau aktiviti perlu juga dihapuskan sama sekali. Sebagai pemimpin, kegagalan anak didik kita dalam satu-satu perkara adalah juga merupakan kegagalan kita. Malah, hal yang demikian meliputi bidang persilatan sendiri. Jika anak didik kita tidak dapat menguasai pelajaran yang kita turunkan, maknanya kita juga telah gagal dalam membentuk penguasaan persilatan mereka.

Setiap ahli dalam persatuan, perlu bekerjasama demi mencapai cita-cita persatuan.Konsep kerja sepasukan bukanlah satu perkara baru. Dalam masyarakat Melayu, hal yang demikian sangat diambil berat. Dalam sastera lama Melayu, terdapat ayat-ayat berirama yang menggambarkan usaha-usaha bersama dalam tanggungjawab yang berbeza. Cuba kita lihat petikan kata-kata tersebut yang menunjukkan nilai sama rata:

”Jika mendapat sama berlaba
Kehilangan sama berugi
Yang ada dimakan bersama
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah
Banyak diberi berumpuk
Sedikit beri bercecah
Besar kayu besar dahannya.
Seikat seperti sirih
Serumpun seperti serai
Seciap seperti ayam
Sedecing seperti besi
Malu tak boleh diagih
Suku tak boleh dianjak
Melompat sama bongkok
Jalan sedundun
Selenggang seayan
Duduk sama rendah
Berdiri sama tinggi.”


Apabila diseru supaya membantu maka masyarakat Melayu akan menyahut panggilan tersebut dengan hati yang rela. Masing-masing ada peranannya.

”Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil.

Yang capik datang bertongkat,
Yang buta teraba-raba,
Yang tuli leka bertanya,
Yang kecil terambin lintang,
Yang jarak tolak-tolakan,
Yang pendek bertinjau-tinjau,
Yang kurap pemikul buluh,
Yang patah menunggu jemuran,
Yang bingung disuruh arah,
Yang berani dibuat kepala lawan,
Yang cerdik teman berunding,
Yang kaya hendakkan emasnya,
Yang alim hendakkan doanya.”


Masyarakat kita telah banyak mengajar supaya jangan bersifat dengki. Nilai tolong-menolong dan persefahaman perlu sentiasa dipupuk dari masa ke masa. Datuk nenek kita pernah berpesan:

”Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat
Faham sesuai, benar seukur
Bulat segolek, pipih selayang
Rundingan jangan selisih
Muafakat jangan bercanggah
Tuah pada sekata
Berani pada seia.
Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Yang tidak ada sama dicari
Sama sakit sama senang
Ke bukit sama mendaki
Ke lurah sama menuruni
Sama mengayun sama melangkah
Jika khabar baik diberitahu
Jika khabar buruk serentak didatangi
Jika jauh ingat-ingatan
Jika dekat temu-menemui
Dekat sama laba
Hilang sama rugi.


Saya yakin, jika hal-hal yang saya bincangkan di atas dipandang berat oleh setiap ahli, maka ikrar kita yang menegaskan perpaduan sesama ahli akan tercapai. Susana hubungan akan berada dalam keadaan selesa dan menyenangkan semua pihak. Tuduh-menuduh dan cap mengecap akan dapat dikurangkan. Organisasi kita akan menjadi semakin mantap. Hal yang demikian akan memudahkan usaha-usaha untuk menyebarkan SC ke serata tempat di bumi kita.
Orang Melayu sangat kaya budi bahasanya. Kalau kita mengamalkan budaya Melayu, tentunya kita tidak berpecah seperti sekarang. Tapi ramai mamak tongkang dan golongan sengkek dalam SC. Salah satu sebab pecah.

Saturday, March 19, 2011

KENANGAN 33.

ADA SOKONGAN.

Ekoran dari Perayaan Empat puluh Tahun SC, benar-benar memberi kesan yang amat malang bagi diri saya dalam penglibatan SC. Angka empat puluh melambangkan kematangan. Maknanya, Silat Cekak telah matang. Kalau matang maka segala-galanya mantap. Kemantapan itu sepatutnya telah berlaku dalam bidang pengurusan persatuan dan persilatan.

Walau bagaimanapun, kematangan SC dalam angka empat puluh telah memberi implikasi besar pada saya. Dalam tempoh tersebut, saya telah ”kehilangan” segala-galanya. Cuma, jawatan Majlis Muafakat Tertinggi yang masih ada lagi. Di cawangan, saya telah dilantik sebagai punesihat. Saya tidak pasti lagi sama ada jawatan tersebut masih ada lagi ataupun telah terkubur sekian lama. Namun begitu anunya masih sihat.

Ketika semua pihak merayakan sambutan tersebut, saya duduk di rumah. Kedudukan saya umpama, ”Bagai melukut di tepi gantang.” Ketiadaan gelaran pemimpin cawangan telah menyebabkan saya mudah dipinggirkan. ”Habis manis, sepah dibuang.”

Peristiwa yang saya ungkitkan dalam artikal ini adalah merupakan kenangan lalu. Ketika ini, suasananya berubah. Pepecahan persatuan mungkin ada hikmahnya pada diri saya. Puak-puak yang ’sensitif’ dengan saya telah berkurangan di pihak En Mat. Hal yang demikian telah menyebabkan nafas saya berfungsi semula. Baru dapat gelaran yang ada.

Kenangan lama mengusik jiwa. Ketika itu ada juga yang bersimpati. Ketiadaan saya dalam majlis sambutan tersebut telah menimbulkan persoalan pada sesetengah pihak. Ramai yang telefon bertanyakan sebab tak datang. Pelbagai alasan saya berikan. Tapi tak pernah kondem puak-puak yang berkuasa. Ada yang menulis dalam ruangan kita. Saya baca dan simpan kerana artikal itu sah ditujukan pada saya. Itulah yang dikatakan oleh penulis berkenaan. Saya masukkan tulisan hamba Allah tersebut yang mengulas nasib saya ketika itu. Saya salin seratus peratus dengan membetulkan ejaan sahaja. Sesaja untuk kenangan saya.

” 1hb hebat disaksikan. Titik permulaan Perayaan Gemilang Cekak Hanafi tanda 40thn. Sungguh gah dewan hotel Legend dibuatnya dengan Pelancaran Logo rasmi dan ditambah adegan ’Flying Saucer’ yang terapung di ruang dewan. Megah sekali. Berbangga menjadi wira belia disanjungi bahkan dikagumi perasmi Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Namun, di sebalik kealpaan pada petang itu dengan makanan yang enak-enak, seorang pejuang dan pendokong duduk minum Horlicks saja di rumah. Persiapan menjayakan perayaan siap dan dilaungkan awal-awal lagi. Kesibukan kerja bukan menjadi keutamaan. Yang penting hendak bersama ke KL untuk Perayaan 40thn.

Namun apakan daya, hajat terbantut di pertengahan setelah prinsip dan pegangan dipersendaguraukan. Maka kembalilah beliau kepada kesibukan harian dengan Perayaan Mega yang dirancanakan di tempat sendiri. 3HB menjadi saksi apabila nama dan gambar jelas kelihatan. Perayaan besar-besaran disusun sudah mangli melalui.

Pejuang disegani tetapi hanya segelintir dapat memahami. 1hb ramai bertanya ke mana beliau menyepi. Perkhabaran ditanya dengan utusan salam saja menyusuli.

Namun, inilah dilemanya. Hendak ditinggalkan telah banyak dikorbankan. Hengak diributkan, adatnya akan menjadi kutukan. Silap haribulan mungkin dipancung dari persatuan. Angin-angin kian kedengaran. Inilah orangnya yang kental dengan faham perjuangan. Hadir atas sifat minat dan janjinya yang menjadi keramat pada persatuan. Tidak pernah putus dengan silatnya. Menjadi pendokong yang menghubungkan ahli-ahlinya bersabit dengan silat itu sendiri. Rasanya tidak adil sama sekali jika beliau disisihkan atau mengundur diri. Telah banyak disumbangkan dan dikorbankan. Rugi kita kian hari. Tiada pengganti yang boleh menandingi pengorbanan yang diberi.

Bagi yang memahami kesemua tindakan atas dasar prinsip dan pegangan. Satu pemahaman tak sampai sekerat pun yang memahami. Yang tak reti tak pula ingin memahami.

Sedikit peringatan atas kehebatan dirasai. Hadirnya kita berhimpun atas tiket Cekak Hanafi. Bersabit silat inilah maka kita sama-sama dapat bergaul mesra dan bersahabat. Namun ia mesti ada titik permulaan. Mustahil sekali Silat ini dapat tiba-tiba berkembang hebat tanpa usaha-usaha pendokong-pendokong yang lampau maka Silat ini berkembang dan menjadi penghubung dalam mengeratkan silratullrahim. Bak kata orang, tanpa tiang tiadalah rumah.

Kadang-kadang dalam kita mengejar kegemilangan, kita lupa kepada mereka yang membuka jalan untuk kegemilangan itu dicapai. Banyak perkara diambil mudah dan kesilapan disusuli dengan madah” ALAH PERKARA KECIK, ITUPUN NAK AMBIL KIRA.” Kecik pada kita besar makna kepada yang lain. Kesungguhan dan peradaban perlu diutamakan bagi menjamin ukhwah persahabatan. Budaya kita kaya dengan peradaban. Mungkinkah lupa dengan didikan?

Saya percaya walau apapun karenah yang melanda, perjuang ini tetap setia dengan perjuangan dan janjinya. Tidak pernah pudar semangatnya. Mereka ini tidak dahagakan sanjungan, mereka tidak pernah dahagakan perhatian, tidak gah dengan populariti. Populariti di tempat sendiri pun dah jauh memadai. Cuma harapan di sudut hati agar mereka dihormati dan diingati.

Hari ini hari kita
Bersorak gembira sampai lupa
Ingat, bila tua tak tentu pula
Mungkin kita yang kena pula.


Salam hormat dari Ana.”

Begitulah ulasan orang lain terhadap perjuangan saya melalui tulisannya. Melahirkan perasaan simpati sahaja atas kemampuan yang ada. Tapi tak berani bersuara. Takut juga. Mata-mata gelap banyak yang ada. Mata-mata gelap dulu tak sama dengan mata-mata gelap sekarang. Mata-mata gelap dulu dirujuk pada tugas. Mata-mata gelap sekarang merujuk pada mata yang digelapkan.

Banyak lagi tulisan yang menggambarkan betapa nasib malang yang menimpa pada insan yang dianggap penghalang kepentingan golongan tertentu. Namun begitu, ada yang menyokong dan ada yang mengecam tindakan saya. Mereka yang mengecam, mengecap saya besar kepala. Ada yang kata kepala besar. Memanglah besar kepala. Walaupun ilmu KK tak ada, kepala membesar ada caranya. Mungkin ada pelbagai cap lagi. Itulah golongan yang berkepentingan diri. Tak kekal lama. Akhirnya, merekalah pemecah utama. Macam ular yang mematuk mangsanya.

Walau bagaimanapun, tulisan tersebut telah menambah semangat juang kepada diri saya. Rupa-rupanya masih ada yang bersimpati dan meuar-uarkan simpatinya kepada pembaca. Saya telah buat muhasabah diri. Sesuatu yang berlaku pada diri saya, tidak mungkin akan dilakukan pada diri orang lain. Banyak pengajaran yang kita boleh dapat.

Saya tetap tak peduli akan gelagat puak-puak berkenaan. Saya adalah saya. Ikrar saya pada Ustaz adalah jelas. Selagi guru yang ada tidak menyekat penglibatan saya maka selagi itu saya akan terus memberikan sokongan pada perkembangan SC. Banyak masa dan tenaga yang telah saya sumbangkan bagi mempastikan SC terus berkembang. Walaupun kita berpecah, hal yang demikian tidak bermakna dengan mudah saya meninggalkan SC begitu sahaja. Saya juga tidak begitu mudah memberikan sokongan tanpa ada rujuk kuasanya. Sekian, sambung lagi.

Friday, March 18, 2011

KENANGAN 32.

PUNCAK MENGKRITIK

Sifat mengkritis bukanlah satu sifat yang digemari. Lebih-lebih lagi pada mereka yang menganggap dirinya sempurna dan tidak boleh disentuh. Apabila ada orang lain yang mengkritik cara kepemimpinannya, pasti mereka akan melenting dan menyerang balik dengan pelbagai alasan dan tohmahan.

Walau bagaimanapun, saya tetap beranggapan bahawa sifat mengkritik adalah merupakan satu keperluan. Dalam bidang pengurusan atau perkhidmatan, kritikan boleh dianggap sebagai satu ’hadiah’ jika kita berfikiran positif. Dengan adanya kritikan maka akan membolehkan kita membaiki segala kelemahan yang ada. Prestasi kerja akan meningkat dan hal yang demikian akan memberi kepuasan yang tinggi pada ahli organisasi tersebut.

Walaupun saya sering dicap sebagai bersifat anti, kalau dah selalu mendengarnya, tentu akan muak dan jemu. Saya adalah saya. Kalau selalu sangat dicap, pasti akan melonjakkan populariti kerana lebih ramai yang ingin terus mengetahui di sebalik tindakan yang saya lakukan.

Tidak ada sebarang untung atau kepentingan yang dicari dalam SC. Setahu saya, penglibatan saya dalam SC telah memakan usia yang begitu lama. Kehebatan SC perlu sentiasa terpelihara. Saya yakin dan saya percaya, kerana tindakan saya yang mereka anggap sebagai antilah maka banyak perkara yang telah ada pembaharuan dan pembetulan.

Masa dulu-dulu, presiden cawangan mana ada dilayan sempurna. Mereka dianggap sama taraf dengan ahli-ahli yang ada dalam satu-satu program. Dalam majlis-majlis rasmi, carilah tempat duduk sendiri. Siapa dulu maka dialah akan dapat tempat di barisan depan. Kalau presiden cawangan lewat, alamat duduklah di belakang. Walaupun boleh dipadankan muka, tapi jawatan yang disandang perlu diberi penghormatan yang setimpal. Itulah salah satu sifat pengurusan pentadbiran yang mantap.

Terjadi peristiwa ketika menyambut satu majlis perayaan dua puluh satu tahun SC. Berpakaian tengkoloklah saya. Maklumlah. Perjuangan dalam SC selama ini perlu dipancarkan melalui pakaian. Diri berasa yakin. Pasti akan ada tempat duduk khas di barisan hadapan. Maklumlah pemimpin cawangan. Kalau tiada cawangan mana hebatnya pusat. Tambahan pula perayaan tersebut adalah merupakan satu perayaan berasas angka keramat pada kebanyakan ahli. Angka dua puluh satu.

Bila tiba masa perayaan, sayapun hadir dengan megahnya berpakaian lengkap persilatan. Sengaja datang lewat sikit. Tapi masih menepati waktu. Kononnya bila lewat sikit datang, akan ada yang sambut membawa ke tempat barisan depan. Maklumlah. Telah ramai ahli di dewan. Tentu diri berasa megah disambut sebagai pemimpin cawangan. Banyak masa dan tenaga yang telah dikorbankan. Bukan cawangan politik, tapi cawangan silat. Pemimpin politik ada sifat kepentingan. Pemimpin silat memancarkan sifat kependekarannya.

Sampai ketikanya, saya pun masuk ke majlis. Sedihnya. Tidak ada siapa yang peduli. Barisan depan telah dipenuhi. Tidak ada tempat untuk pemimpin cawangan. Terpaksa mencari tempat duduk sendiri. Maka duduklah saya di tempat kosong. Tempat yang ada hanya di barisan belakang. Duduklah saya dengan mereka yang berpakaian biasa. Batik persatuan.

Nampak peliknya. Bertengkolok dalam kalangan mereka yang bersongkok atau tak pakai apa-apa di kepala. Padan muka. Menyesalpun ada. Kalau tahu, pakai T shirt pun tak apa. Majlis kampung. Pada pertengahan majlis, barulah mereka mendapatkan saya dan mengajak duduk di depan. Tak ada adab. Hancok punya cara. Bisikan hati.

Ahli-ahli silat cawangan sayapun terasa. Itulah tanda satu hati namanya. Bila pemimpinnya ’dihina’, merekapun tak suka. Selesai majlis, kamipun belah. Tak terasa nak menjamu selera. Makanan yang diadakan oleh golongan hancok belaka. Bila balik ke cawangan, maka saya hantar surat bantahan. Meluahkan perasaan betapa pemimpin cawangan dihina. Jawapan surat diberi. Pelbagai alasan dikemukakan mereka. Nampak sangat tak ada perancangan untuk memberi penghormatan kepada pemimpin cawangan. Apapun, saya dicap lagi.

Tapi saya berasa puas. Sejak peristiwa itu, setiap majlis yang dianjurkan pusat, tempat duduk barisan depan pasti disediakan untuk pemimpin cawangan. Maka menikmatilah keistimewaan para pemimpin cawangan hasil pelbagai gelaran yang diberi buat diri saya.

Kesimpulannya, saya tetap berpendapat bahawa kita perlu ada sifat kritis. Sifat ini lahir kalau kita mempunyai prinsip diri. Orang yang berprinsip adalah mereka yang ada pengalaman. Orang-orang ini ada pegangan. Pengalaman mereka itu memberi kesedaran pada dirinya. Namun begitu, hanya diri orang itu sahaja yang boleh mentafsirkannya.

Pegangan merupakan falsafah peribadi seseorang. Orang lain hanya akan memahami falsafah tersebut apabila mereka bersifat empati dan berfikiran terbuka. Tapi ramai yang bersifat dengki. Orang yang bersifat kritis pada tindakan, kata-kata dan tindakannya sering mengundang sifat dengki dari mereka yang berfikiran sempit dan dangkal.

Kadang kala banyak kiasan yang boleh kita kiaskan atas kejadian makhluk di muka bumi ini. Diri pernah dipesan,” ke mana kita pergi, perkara utama, terus menyemarakkan kecemerlangan. Umpama seekor lebah. Sengatnya akan dapat menyembuhkan penyakit. Apabila singgah pada bunga, berlaku proses pendebungaan dan mengeluarkan hasil. Madu yang terhasil berperanan sebagai ubat.”

Dipesan lagi,” Jangan biarkan diri kita bersifat kianat. Menikam kawan dari belakang. Umpama seekor ular yang mematuk mangsa tetapi biarkan mati keseorangan. Atau umpama lalat yang menghinggap makanan. Tak sedar diri menikmati hidangan. Akhirnya meninggalkan racun yang memudaratkan orang lain. Atau umpama brother kita yang sukakan tikam belakang. Sampai terkangkang-kangkang.”

Dalam kehidupan, pengalaman pahit akan mematangkan kita. Pahit merupakan ubat. Ubat ini akhirnya membentuk perisai diri dan sering digelar sebagai prinsip. Orang yang berprinsip kerap kali tegar dan ada kekuatan untuk menempuh dugaan demi mencapai cita-cita murni yang dihajatkan. Bukan untuk diri tapi untuk kebajikan semua lapisan.

Pada pemerhatian saya, kalau dihubungkan diri mereka dengan teori kejayaan, ada pertautan dan dapat dikaitkan secara langsung. Pada mereka yang mempunyai keinginan, kemahuan dan hasrat yang tinggi, tiada istilah mustahil. Perjuangan akan ditempuh dengan pelbagai dugaan. Keinginan ini disertai bersama keazaman dan penetapan hati untuk bertindak. Lahir daya usaha bagi menguatkan keazaman. Berbekalkan disiplin diri yang sering diamalkan, hajat sering tercapai.

Apa saja bentuk prinsip yang kita pegang, di sebalik ketegasan, budi bahasa amat penting kita kuasai. Umpama padi, makin berisi makin tunduk. Kadang kala bahasa yang ingin disampaikan, kurang dimengerti. Lahirlah istilah “tak reti bahasa”. Kumpulan manusia ini sering menangguk di air keruh. Orang berbahasa selalu dianggap satu kelemahan.

Orang yang berbahasa biasanya adalah orang yang berbudi. Budi ada kaitan dengan bahasa. Orang berbudi kita perlu berbahasa. Ini pun pada yang tahu berbahasa. Saya sulami pandangan saya pada tajuk ini dengan serangkap pantun:

Tegak tugu kerana sendi
Patah sendi tugu binasa,
Mulianya kita kerana budi
Tetap dikenang sepanjang masa.

Pandangan saya tetap ada penyokongnya. Saya teringat satu pengalaman ketika kita menyambut perayaan empat puluh tahun SC. Satu majlis makan secara besar-besaran telah diadakan. Ketika itu saya tidak ada apa-apa tempat lagi dalam persatuan. Cuma masih dianggap sebagai Jurulatih sahaja.

Jawatan-jawatan saya telah diambil atau ditarik balik sama ada secara terus atau melalui peraturan. Jawatan saya sebagai presiden persatuan cawangan, telah diambil alih oleh pemimpin baru atas restu Guru Utama. Saya difahamkan bahawa pemimpin baru tersebut akan lebih tegas, berani dan berpendirian tetap dan sentiasa menyokong Guru Utama. Dikatakan bahawa beliau akan terus mempertahankan kewibawaan cawangan dan menyokong kuat kepimpinan tertinggi hingga ke titisan darah bawahan. Tidak mudah disogok dengan kepentingan kerana ketika darah sedang mengalir, tak akan mudah masuk apa-apa. Anupun tak akan merasa masuk.

Ketika itu saya difahamkan betapa pelantikan pemimpin cawangan tidak mudah dilakukan tanpa persetujuan dan restu Majlis Muafakat Tertinggi. Mereka yang dilantik sebagai pemimpin tak mudah jadi pengikut jalanan atau pengikut ikut-ikutan. Agaknya berkekalan sepanjang hayat. Namun, ada juga pemimpin yang gagal. Bila darah yang mengalir telah terhenti, diri sendiri mudah dicairkan. Maka masuklah pengaruh lain dalam jiwanya. Termasuk anu lainnya.

Jawatan saya sebagai ahli LPT ditarik balik dengan penuh trajis. Dalam majlis perjumpaan Jurulatih, rupa-rupanya jawatan saya telah ditarik. Surat berkenaan saya tak terima. Saya hadir juga. Saya berada di ruang menyambut kedatangan Guru Utama dan mengiringinya naik ke pentas.

Duduklah saya di atas pentas. Tanda setia sebagai ahli LPT. Ketika majlis penyerahan watikah lanjutan tugas, nama saya dipanggil untuk menerima cenderamata tanda telah menjalankan tugas. Bukannya surat lantikan untuk meneruskan tugas. Saya terperasan. Ada sesuatu yang tak kena. Memang benar bahawa tugas saya sebagai ahli LPT telah tidak diperlukan lagi. Surat telah dihantar tapi saya lambat terima. Saya tidak membantah. Jelaslah betapa gerakan mengecap anti telah mencapai puncaknya.

Itulah pengalaman manis dan pahit sepanjang saya melibatkan diri dalam perjuangan SC. Saya disingkir daripada arus perjuangan SC. Maka itulah puncak perjuangan pada mereka yang menganggap diri saya sebagai penghalang atau anti. Puaslah hati mereka. Tersingkir juga saya akhirnya. Saya peduli apa. Saya tetap berpegang pada janji saya dengan Ustaz. Sambung.

Thursday, March 17, 2011

KENANGAN 31.

BENTUK KRITIS

Bergiat aktif dalam SC pastinya memerlukan pengorbanan. Saya telah bincangkan dalam tajuk yang terdahulu tentang erti pengorbanan. Saya berpendapat, pengorbanan yang kita beri, perlu dinilai dan dibalas dengan sedikit kebebasan ketika menunaikan amanah mengembangkan persilatan. Janganlah diri terus menerus dikongkong. Tanpa konkongan dalam pengurusan persilatan, maka itulah erti kemerdekaan pada diri saya seperti yang dianjurkan oleh Ustaz melalui pantunnya seperti yang berikut.

”Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan.
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Menyesuaikan dengan makna kemerdekaan.”

Di tempat kerja, kita dikawal dengan peraturan dan undang-undang yang tetap. Ketua kita sering memberi penekanan pada prosedur kerja ketika menjalankan tugas. Hal yang demikian menyebabkan kita sentiasa terikat dengan peraturan yang susah diubah. Walaupun peraturan tersebut tidak logik atau tidak sesuai lagi dengan keadaan, selagi ia dianggap peraturan maka kita perlu mematuhinya. Maka kita sentiasa terikat dan tidak ada kebebasan. Bekerjalah kita dalam keadaan tertekan dan ada kalanya tidak rela. Itulah tekanan hakiki yang perlu kita hadapi. Ketika ’makan gaji’.

Saya berpendirian, tekanan-tekanan yang tersebut di atas, tidak perlu ada dalam pesilatan kita. Kalau di tempat lain kita tertekan tapi sepatutnya tidak demikian di bidang persilatan. Penglibatan kita adalah secara ikhlas dan suka rela. Namun begitu, bukan mudah kita mengharapkan keadaan sedemikian. Peraturan di pejabat kerap kali cuba dilaksanakan dalam konteks persatuan. Lebih-lebih lagi kepemimpinan kita juga ialah ketua di jabatan.

Dalam konteks diri, hal yang demikian pastinya tidak menyenangkan diri saya yang sangat pentingkan dunia persilatan. Saya inginkan tempat yang boleh mengurangkan tekanan. Maka saya berpegang pendapat, di tempat silatlah saya memerlukan ’sedikit’ kemerdekaan atau sedikit kebebasan bagi menyemai dan menghasilkan sifat ketenangan.

Saya akui bahawa silat tidak dapat dipisahkan dengan persatuan. Dalam persatuan perlu ada pengurusan. Dalam konteks ini, ketika saya berperanan sebagai pemimpin di cawangan, saya menagih kepemimpinan persatuan agar bersifat pemimpin dan bukannya berlagak sebagai pengurus. Pengurus membawa makna sebagai ketua. Ketua maknanya ”suka” mengarah.
Seorang pemimpin boleh bertindak sebagai ketua. Manakala seorang ketua tidak semestinya boleh bertindak sebagai pemimpin. Kalau tidak dapat bertindak sebagai pemimpin, sifat ketua akan menjurus kepada mengarah dan menagih tenaga tanpa menjaga hati diri kita sebagai ahli persatuan dan ahli persilatan. Sifat yang sedemikianlah yang sangat saya tentang pada satu ketika yang telah berlalu.

Ketika saya memimpin persatuan di cawangan, saya tidak suka didesak-desak bagaikan orang suruhan. Dari segi persilatan atau persatuan, hak mendesak atau mengarah hanya ada pada guru utama. Buatlah dalam bentuk apa sahaja. Saya tetap patuh dan mengakuinya. Orang lain, jangan cuba mendesak-desak atau mengarah-arah tanpa adab. Boleh jalan. Dari segi persatuan, perlu hormati saya sebagai pemimpin di cawangan. Itulah pegangan saya ketika itu dan mungkin juga hingga sekarang kalau saya masih ada jawatan. Pemimpin cawangan sekarang entah macam mana agaknya.

Banyak tindakan saya yang mereka anggap sebagai anti. Saya tulis beberapa contoh untuk berkongsi pengalaman. Tulisan ini bukanlah bermaksud untuk bermegah-megah. Hanya sekadar pengisian kenangan saya di masa-masa lalu. Boleh juga dijadikan panduan dan pengetahuan pada para pembaca sekalian.

Satu daripada pengalaman itu ada kaitan dengan cara mereka memberi arahan secara lisan. Kesemua mereka masih ada hingga sekarang. Tapi ramai yang berpaling tadah, masuk geng sebelah sana. Tak ada pendirian. Sejak dulu lagi mereka sangat cintakan dunia glamornya. Maka tindak balas saya dulu dan sekarang ini saya rasakan patut. Jenis mereka tak erti bahasa. Saya tuliskan bentuk pengalaman yang saya alami atas ’kekurangan sopan’ yang ada pada mereka hingga menyebabkan saya tidak memberi kerjasama.

Dalam satu perjumpaan bersama ahli-ahli cawangan, saya benarkan mereka membuat ucapan. Mencari ahli koperasi sebagai tujuan. Salah seorang orang kanannya memberi ucapan berbentuk arahan. Seolah-olah anak didik saya merupakan anak didiknya secara langsung. Beliau tidak sedar bahawa arahan saya selaku pemimpin tentunya tidak sama dengan arahan beliau yang datang dari kepimpinan lain.

Berdasarkan pengalaman, arahan dari mereka yang turun ke kelas mengajar silat adalah lebih berkesan berbanding dengan arahan dari mereka yang tidak mengajar silat secara langsung. Jika kita mengajar silat, bermakna kita telah mewujudkan satu bentuk hubungan yang amat rapat. Kata-kata kita akan mudah dipatuhi dan diikuti. Dalam hal demikian, sepatutnya kempen mendapatkan ahli koperasi berkenaan perlu dibuat melalui pemimpin cawangan. Fahamkan mereka dan biarlah mereka sendiri mendapatkan ahli. Kepimpinan pusat hanya bertindak sebagai pemberi motivasi. Tapi itu adalah pandangan saya. Mereka mempunyai pandangan yang berbeza.

Maka diarah pada ahli-ahli cawangan saya dengan menggunakan perkataan ”kamu”. ”Kamu semua mestilah.....” Pada saya perkataan tersebut telah menjadi penghalang kerana dianggap biadap. Ahli-ahli cawangan saya ketika itu ramai yang telah berumur. Walaupun masa itu saya masih muda, dalam lingkungan tiga puluhan, tapi anak didik saya ramai yang berumur melebihi empat puluhan. Di tempat saya, penggunaan perkataan kamu adalah biadap jika penuturnya lebih muda daripada pendengar.

Daripada riaksi dan air muka pendengar yang merupakan anak didik persilatan saya, nampak jelas mereka tidak senang dan tidak selesa dengan panggilan tersebut. Saya tahu akan riaksi anak buah saya daripada air muka yang dipancarkan. Kedengaran kata-kata belakang sebagai tanda melahirkan perasaan tidak senang.

Setelah habis penerangan dan kepimpinan pusat beredar, saya mengambil keputusan supaya mengabaikan arahan dari mereka yang bersifat ’sombong’ itu. Saya lebih mengutamakan hati dan perasaan ahli-ahli yang saya pimpin. Maka tidak adalah senarai ahli dari cawangan saya yang ingin menyertai koperasi persatuan. Hal yang demikian tentunya menyebabkan mereka berasa marah. Tercaplah saya dengan sifat anti persatuan.

Satu lagi arahan yang saya terima ialah arahan untuk mengumpulkan ahli-ahli cawangan bagi membolehkan orang kanan persatuan membuat penerangan. Penerangan tentang koperasi lagi. Penerangan yang akan diberi itu difahamkan dalam masa perjalanan baliknya dari cawangan sebelah utara. Beliau akan singgah di tempat saya. Nampak sangat bosinya. Bentuk arahan umpama ketua dengan anggotanya. Arahan yang diberi bukannya berbentuk minta laluan atau kebenaran. Seolah-olah kita makan gaji dengannya.

Pada saya, arahan umpama ketua, memang tarak jalan. Telefon berikutnya pun saya tak angkat. Difahamkan bahawa beliau terpaksa meneruskan perjalanan dan melewati cawangan saya. Nak singgah, tak tahu ke mana. Saya tak beri haluan. Tentunya hatinya geram. Cap lagi. Anti persatuan.

Kadang kala arahan melalui surat juga menyebabkan saya memberi riaksi untuk tidak memberi kerjasama. Jika arahan tersebut tidak ditandatangani oleh Guru Utama merangkap Presiden, saya akan berhati-hati memberi riaksi. Kalau penting, saya ikut. Kalau tidak mustahak maka akan saya ketepikan langsung. Kurang masa nak layan. Kalau mereka bertanya, saya berdolak dalik memberi jawapan.

Terdapat satu arahan supaya saya menghantar wakil dalam majlis makan malam. Arahan tersebut menidakkan pengiktirafan kepada kami sebagai pemimpin cawangan. Arahan surat menyatakan bahawa tempat adalah terhad. Kalau kami lambat bertindak maka kami tidak akan diuntukkan tempat.

Membaca surat tersebut menyebabkan saya berasa hairan. Saya menganggap, sebagai barisan utama kepemimpinan cawangan, kami perlu diuntukkan tempat. Tugas mereka sepatutnya menyatakan bilangan tempat yang dikhaskan pada kami dan jumlah bayaran yang dikenakan. Itulah tanda memberi penghormatan pada kami sebagai orang utama pemimpin persatuan.

Saya nyatakan pada mereka. Kalau tempat terhad maka elok sajalah diberi pada mereka yang ada di pusat. Kami di cawangan tak akan hadir bersama dalam majlis berkenaan. Tindakan saya itu juga tidak menyenangkan mereka. Cap lagi. Anti persatuan.

Kadang kala tindakan dan pandangan saya tidak disenangi orang lain. Pernah saya cadangkan, setiap pelantikan Jurulatih yang baru, perlu diberi pengiktirafan melalui pemberian baju silat. Zaman dulu-dulu, pengiktirafan pada panglima atau pegawal istana, dilambangkan melalui pemberian sepersalinan pakaian. Silat cekak adalah berasal dari istana. Apa salahnya adat tersebut diluaskan dalam kalangan Jurulatih yang baru dilantik.

Saya luahkan pendapat pada Guru Utama sejak zaman Pak Ak lagi. Nampaknya ’tak jalan’ kerana kepemimpinan tertinggi persatuan tak layan. Dalam zaman En Mat, ketika saya masih Presiden cawangan, saya nyatakan pendapat saya. Kali ini, En Mat bersetuju. Kepemimpinan persatuan yang lain, tidak boleh berbuat apa-apa. Hajat saya tercapai. Budaya lama Melayu dapat dihidupkan semula. Tentunya golongan anti saya, geram agaknya.

Itu sebabnya juga lantikan Jurulatih baru di tempat saya, akan diberi sepasang baju silat sebagai tanda pengiktirafan. Baju daripada Guru Utama. Bukan main megahnya Jurulatih yang menerimanya. Sudah tentu tindakan saya tidak menyenangkan orang lain yang anggap diri merekapun ada kuasa. Berlaku sebaran fitnah betapa saya hanya ingin percuma sahaja. Sampaikan bajupun nak percuma. Itulah fitnah namanya. Saya tahu dan yakin atas apa yang saya lakukan. Bukan untuk diri tapi kebajikan ahli dan untuk ahli-ahli yang saya pimpin. Cap lagi. Anti persatuan.

Thursday, March 10, 2011

KENANGAN 30.

ANTARA ANTI DAN KRITIS.

Kedua-dua istilah itu sangat berbeza konsepnya. Namun begitu, mereka yang saya anggap berfikiran cetek langsung tidak dapat membezakan makna perkataan-perkataan tersebut. Lebih-lebih lagi pada mereka yang berfikiran kecil dan tertutup. Saya suka membincangkan kedua-dua istilah itu berdasarkan kefahaman dan tafsiran saya sendiri. Hal yang demikian memberi makna, huraian saya dalam tulisan ini lebih bersifat tafsiran saya berdasarkan pengalaman. Tidak ada rujukan kamus atau pada mereka yang pakar dalam istilah.

Anti melambangkan sifat menentang tanpa usul periksa. Perbuatannya melambangkan perasaan. Kadang kala perasaan itu tidak rasional kerana diluahkan tanpa usul periksa. Orang yang bersifat anti, selalunya mengeluarkan ’isi perut’ dan bukannya isi hati. Oleh itu, semua perkara yang diluahkan akan menyebabkan timbul suasana yang kurang menyenangkan. Busuk. Isi luahannya tetap manafikan kebenaran. Sama seperti parti pembangkang yang bertugas membangkang tanpa ada unsur-unsur penambahbaikan.

Pada anggapan saya, kritis lahir dari pemikiran yang rasional. Isi hati yang dikeluarkan adalah merupakan kebenaran yang lahir dari hati. Tidak bersifat berpura-pura. Sesuatu yang disentuh pasti disertakan dengan cadangan-cadangan lain sebagai pilihan pada mereka yang dikritik. Orang yang demikian selalunya akan menerima kebenaran apabila diberi penjelasan.

Kita boleh membuat perbandingan bagi membezakan antara golongan anti dan golongan yang bersifat kritis. Orang yang berfikiran terbuka dan ’big mind’ akan dapat membezakan antara kedua istilah itu. Yang pastinya, orang yang bersikap anti lebih banyak bersifat ada kepentingan. Mereka sering kali dirujuk sebagai pembohong besar. Lain di hati dan lain di mulut. Walaupun di hati mengakui kenyataan tapi mulut tersangat berat menyatakan kebenaran. Walaupun dibuat penjelasan, mulut tetap menidakkan kebenaran.

Saya cuba mengupas tafsiran di atas merujuk pada diri saya sebagai pemimpin SC di cawangan. Juga atas rujukan diri saya sebagai Jurulatih yang dimanahkan untuk meneruskan perjuangan. Saya banyak gunakan perkataan saya.
Semua orang sayangkan SC. Malah, saya sendiri sangat sayangkan SC. Banyak masa yang telah saya korbankan bagi memastikan SC terus berkembang. Kerana SC-lah maka saya sering kali mengorbankan perasaan anak dan isteri. Malah saya turut mengorbankan perasaan keluarga sendiri.

”Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”
Pada saya, kata-kata ibarat tersebut melambangkan kesungguhan kita untuk melakukan kerja. Kalau sudah memulakan sesuatu tanggungjawab maka biarlah sampai habis dan sempurna tugasan tersebut. Jangan sekerat jalan. Sekerat-kerat tak main. Apa lagi yang jenis suku-suku.

Saya suka bersifat dan bersikap ’kerja sampai habis.’ Hal yang demikian menjadikan salah satu faktor pengekalan saya dalam perjuangan SC. Oleh sebab banyak masa dan tenaga yang telah saya korbankan maka saya selalu berharap agar pengorbanan saya itu tidak sia-sia.

Saya tidak menagih balasan. Apa yang ingin saya lihat, biarlah SC sentiasa berada dalam landasan yang telah dibina oleh Ustaz Hanafi. Selagi kita melaungkan semangat Pusaka Hanafi maka selagi itulah saya berasa bertanggungjawab untuk mempastikan kita berada dalam landasan yang betul. Betul berdasarkan pemikiran yang diinginkan oleh Ustaz.

Saya tidak menafikan betapa hala tuju perjuangan Ustaz boleh ditafsirkan melalui pelbagai sudut. Hal yang demikian menggalakkan perbincangan. Kita perlu berfikiran terbuka dan menerima kebenaran jika itulah kebenarannya. Dalam proses perbincangan tersebut, jangan sesekali mengecap diri bersifat anti atau berfikiran kaku. Jangan-jangan, orang yang suka mengecap itulah yang sebenarnya berfikiran kaku, cetek dan tidak terbuka.

Saya sering mengeluarkan pendapat. Apa yang terlintas di hati maka saya luahkan melalui mulut sebagai pendapat. Saya juga melibatkan diri dalam memperkembangkan SC. Maka tentunya saya mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat. Saya diasuh untuk menyatakan kebenaran. Apa yang ada di hati maka itulah yang dikeluarkan melalui mulut.

Dulu, oleh sebab luahan dari mulutlah, saya sering dianggap menyentuh pihak-pihak tertinggi persatuan dan persilatan. Akhirnya saya kerap dipinggirkan. Satu ketika dulu saya dianggap anti pada kepemimpinan persatuan. Bila dianggap anti maka dicarilah bukti atas tindak tanduk saya yang melambangkan sifat-sifat sedemikian. Oleh sebab banyak kebenaran daripada kepentingan maka fitnah terpaksa dicipta. Riang-rialah puak-puak tersebut mencipta fitnah bagi menyesuaikan sifat tersebut dengan cap anti yang diberi pada diri saya.

Hal yang demikian telah berlaku sejak zaman Ustaz lagi. Ketika itu ramai yang bersifat dengki. Saya pernah menulis dalam artikal terdahulu tentang tindakan saya yang ingin mengundur diri dari persatuan dan persilatan kerana faktor dengki.
Dalam tulisan tersebut, saya ceritakan betapa Ustaz sering mengajak saya keluar sambil bercerita tentang SC. Akhirnya di satu hari di bulan puasa, Ustaz ajak saya berbuka sama. Ustaz berpesan betapa dalam dunia ini hanya guru, ibu dan bapa yang mempunyai hati yang tulus ikhlas tanpa ada perasaan dengki. Sebaik-baik kawan, sifat dengki adalah mustahil untuk dikesampingkan.

Pesanan Ustaz tersebut memberi dorongan dan semangat baru pada diri saya. Kerana kata-kata tersebut, saya terus bergiat dalam SC dengan pegangan, ”Lantaklah apa orang lain nak kata. Selagi guru bersetuju maka saya akan terus berbuat apa yang saya fikirkan betul dan sesuai.”

Seperti yang telah saya nyatakan, kalau orang lain tidak suka pada kita, istilah anti sangat sesuai dicap pada kita. Seboleh-bolehnya biar kita disisihkan oleh Guru Utama. Maka puaslah hati mereka. Oleh itu usaha-usaha memfitnah akan berleluasa dan bermaharaja lela. Ada yang cuba mengheret Ustaz turut membuat kesimpulan anti pada diri saya. Alhamdulillah. Tak jalan.

Saya teringat akan peristiwa yang amat tidak disenangi oleh beberapa orang barisan kepemimpinan tertinggi dalam persatuan. Ketika itu saya tetap mementingkan persilatan, berbanding dengan aktiviti persatuan. Kerana itulah saya akan memilih-milih acara yang berkaitan dengan persilatan. Kalau setakat penerangan tentang persatuan atau koperasi persatuan di sebelah petang, saya pasti ponteng dan balik ke cawangan.

Maka diadukan pada Ustaz. Dikata dan diucap dengan pelbagai bukti yang menunjukkan sifat anti yang ada pada diri saya. Ustaz dikatakan marah dan meluahkan perasaan marah pada kumpulan yang mengadu. Melalui panggilan telefon dari sahabat saya, dikatakan Ustaz tersangat marah dan tidak akan singgah lagi di cawangan saya. Maklumat yang disampaikan oleh sahabat saya itu adalah maklumat yang diterima daripada kumpulan-kumpulan berkenaan.

Sedih juga. Tapi, saya tidak berminat untuk menjelaskan kebenaran. Saya tetap berpendirian, tindakan saya adalah benar dan bukan bermaksud anti pada sesiapa. ”Kalau dah tak suka, nak buat macam mana.” itulah kata-kata semangat untuk diri saya sendiri.

Tapi bila tiba saat dan ketikanya, Ustaz tetap datang melawat ke cawangan saya. Dalam perbualannya tak nampakpun riak-riak marahnya pada saya. Maknanya fitnah mereka tidak menjadi. Ustaz lebih tahu apa yang dilakukannya. Hal yang demikian menambahkan semangat dan kekuatan pada diri saya untuk menyatakan atau bertindak berdasarkan kebenaran dari masa ke masa. Seperti biasa, motto saya, ”Lantaklah apa orang lain nak kata. Janji jangan Guru Utama sahaja yang tidak suka. Maka saya tetap saya.” Sambung.

KENANGAN 29.


JAGA KEBAJIKAN.


Biasanya tidak ramai atau tidak sepenuhnya ahli yang telah tamat akan aktif secara berkekalan dalam perjuangan SC. Kadang kala kita hanya dengar nama, tiba-tiba menghilangkan diri. Dalam hal ini, saya yakin sesiapa yang aktif semata-mata kerana persatuan dan berasaskan kepentingan yang tertentu atau tidak jelas kepentingan dalam persatuan, satu masa mereka akan ghaib.

Hal yang demikian telah menyebabkan saya sering mengingatkan pada Jurulatih terutamanya tentang kepentingan kesetiaan pada SC. Penglibatan mereka dalam Silat Cekak biar ikhlas dan hal demikian, fahamilah benar-benar falsafah dan matlamat Silat Cekak.

Saya pernah menulis tentang keperluan mencari ahli yang sehati dan sejiwa atau seiring dalam perjuangan. Hal yang demikian adalah sesuai dengan falsafah dan prinsip perjuangan Silat Cekak. Seboleh-bolehnya, biarlah kita berkekalan dalam persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi hingga menjadi seorang Jurulatih yang berwibawa.

Dalam konteks berwibawa, seseorang Jurulatih itu berkeupayaan menyampaikan ilmu dan dapat mempengaruhi ahli ke arah matlamat persatuan dan matlamat persilatan. Mereka disaran agar fahami benar-benar perjuangan SC supaya kefahaman yang ada dapat disebarkan dengan lebih berkesan dalam kalangan penuntut yang sedang dan bakal belajar.

Terlantik sebagai jurulatih akan ’mengikat’ mereka untuk berkekalan dalam persilatan dan persatuan. Kalau ini wujud, sekurang-kurangnya tidaklah perlu kita mengadakan pelantikan segera jurulatih baru setiap tahun, semata-mata menggantikan jurulatih yang sedia ada yang tidak aktif.

Dalam Silat Cekak, baru atau lama tidak menjadi hal. Perkara penting ialah bagaimana usaha menyibarkan ilmu dalam kalangan penuntut diambil kira. Perancangan yang mantap bagi mewujudkan Jurulatih pelapis perlu sentiasa diambil kira. Kita perlu mengharapkan generasi muda sebagai barisan pelapis bagi mengambil alih aktiviti persatuan dan perkembangan SC itu sendiri. Oleh itu usaha-usaha kita mewujudkan peranan pembantu jurulatih, amat berkesan dan besar maknanya dalam perkembangan SC.

Cabaran yang dihadapi Jurulatih adalah sangat banyak. Menjadi Jurulatih yang hebat, memerlukan pengorbanan yang hebat juga. Saya sering mengingatkan para Jurulatih agar penglibatan mereka dalam SC perlulah dalam jangka masa yang tidak terhad, ”Selagi nyawa dikandung badan.” Sumbangan bakti mereka biarlah berkekalan dan berkesan. Janganlah hendaknya pada satu masa nanti, peranan mereka hanya dijadikan sebagai insan dalam kenangan sejarah bagi generasi muda atau sebagai tempat untuk mendapatkan bakti semata-mata dengan alasan sebagai orang lama. Bak kata pepatah, ’ habis manis sepah dibuang.

Banyak pengharapan yang kita berikan pada Jurulatih. Dalam hal yang demikian telah menyebabkan para Jurulatih akan mengorbankan masa dan tenaga semata-mata untuk meneruskan perjuangan dalam SC. Kadang kala, pengorbanan mereka telah melukakan banyak pihak. Menyentuh perasaan orang lain bermakna melukakan hati mereka. Melalui pengalaman dan bersama-sama dengan mereka, saya amat memahami segala rintangan yang mereka hadapi. Mereka menghadapi dilema. Antara tanggungjawab sebagai ahli keluarga dengan minat silat yang ada.

Ada kalanya, minat terhadap silat telah mengatasi segalanya-galanya. Mereka sanggup mengorbankan perasaan diri sendiri. Ramai yang menumpukan perhatian pada silat hingga lupa pada tanggungjawab terhadap diri. Banyak contoh yang boleh diberi. Itu sebab agaknya, mencari bini pun kena rujuk pada orang lain. Bergantung pada individu tertentu.

Kerap kali juga penglibatan mereka ditentang oleh saudara terdekat. Sama ada dari ibu atau bapa atau adik beradik mereka. Ramai yang buat tak tahu sahaja. Demi silat, nasihat dan kata-kata mereka diketepikan begitu sahaja. Ada yang rela tersisih dari sanak saudara demi mengejar cita-cita dalam persilatan.

Paling malang sekali ada kalangan Jurulatih yang bergiat cergas dalam silat dengan mengetepikan perasaan keluarganya. Termasuk dalam golongan keluarga ialah anak dan isteri. Ada yang sanggup melukakan hati mereka. Banyak program keluarga yang ditangguhkan apabila bertentangan dengan aktiviti persilatan. Anak dan isteri memendam rasa. Ahli silat buat tak erti sahaja. Perjuangan silat kata mereka.

Saya sangat bersimpati dengan para jurulatih kita. Banyak sekali pengorbanan yang mereka berikan pada SC amnya dan pada Guru Utama khasnya. Mereka tetap tidak mengharapkan balasan walaupun kadang kala mereka kecewa dan kerap kali berada keseorangan.

Pernah terjadi pada seorang Jurulatih yang dimasukkan ke hospital kerana sakit yang tertentu di suatu zaman PA. Hanya ahli-ahli yang bergiat di peringkat cawangan sahaja yang membuat kunjungan. Ketika itu juga PA selaku Guru Utama berkunjung ke kelas kerana majlis ijazah. Padanya diceritakan tentang nasib yang menimpa Jurulatih berkenaan. Telah berada di hospital beberapa hari. Kami mengajak guru tersebut ke hospital. Tak sempat katanya. Beliau hanya mengirim salam. Sibuk agaknya. Begitulah nasib Jurulatih berkenaan. Tenaganya hanya berguna pada ketika yang diperlukan dan ketika ditentukan.

Mungkin nasib Jurulatih tersebut dapat disamakan dengan sebuah kenderaan. Ketika elok, digunakan sebagai alat pengangkutan. Bila rosak, maka kenderaan tersebut dihantar ke bengkel. Tuan punyanya akan menggunakan kenderaan lain sebagai alat pengangkutan. Bila kenderaan telah dibaiki maka kenderaan tersebut digunakan lagi dan lagi dan lagi.

Berdasarkan hal yang demikianlah maka kebajikan Jurulatih patut juga diberi keutamaan. Hargailah pengorbanan mereka. Kadang kala kita patut juga akui betapa kita sering mengabaikan kebajikan Jurulatih. Kita juga adalah Jurulatih. Hal yang demikian bermakna kita sering mengabaikan diri kita sendiri. Hargailah diri kita. Kalau kita mengharapkan orang lain menghargai diri kita maka akhirnya kita akan kecewa.

Kita tidak perlu meletakkan seratus peratus hal-hal kebajikan Jurulatih pada pusat. Di masa-masa yang lalu para Jurulatih sering juga dihargai dalam majlis Hari Tenaga Pengajar. Setiap kali perhimpunan maka setiap kali itu juga para Jurulatih diberikan hadiah berbentuk cenderamata. Walaupun tidak seberapa, pemberian tersebut sekurang-kurangnya berupa penghargaan kepada mereka.

Ketika ini penghargaan kepada Jurulatih bukan senang untuk diperoleh. Perasaan curiga mula melanda. Terpaksalah ditubuhkan pasukan bersenjatakan cermin mata. Bagi mengawasi gelagat Jurulatih yang ada. Opp. Jangan komen banyak. Nanti teruk dan buruk jadinya.

Oleh itu, demi kebajikan para Jurulatih maka bentuklah satu kaedah mantap untuk menjaga kebajikan sesama Jurulatih di peringkat pusat dan cawangan. Rancanglah sesuatu supaya pengorbanan mereka sentiasa dihargai pada setiap masa yang ada.

Di cawangan saya pada satu masa yang lalu, kebajikan Jurulatih tetap dijadikan satu agenda utama. Perhimpunan Jurulatih di peringkat cawangan tetap diadakaan setiap tahun. ’Hadiah berharga’ sentiasa disediakan. Maka dapatlah mereka menikmati baju batik atau kot atau bush jacket. Habis komanpun mereka akan dihadiahi kain pelikat sebagai simbol pengiktirafan atas pengorbanan yang mereka lakukan.

Sebagai kesimpulan, saya berharap barisan kepemimpinan akan terus menghargai sumbangan para Jurulatih walau di mana mereka berada. Berilah penghargaan dalam apa bentuk sekalipun. Sekurang-kurangnya adakan majlis kenduri kesyukuran. Tanda menghargai segala sumbangan para Jurulatih tanpa ada sebarang prasangka buruk. Usaha-usaha yang ada dilakukan sekarang, boleh diluaskan. Sekian.