ULASAN PENILAI
Perbuatan menilai atau menggred seseorang, tentulah tidak disenangi oleh mana-mana orang, terutamanya pihak-pihak yang berkaitan. Kayu ukur yang digunakan pastinya tidak sama dan tidak boleh diterima pakai oleh semua orang. Lain orang maka lainlah penilaiannya. Tulisan saya yang terdahulu adalah berdasarkan kayu ukur saya sendiri. Orang lain tentunya ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Mereka mungkin ada kayu ukur yang tersendiri. Gred A pada seseorang itu mungkin menjadi Gred B pada kayu ukur yang lain.
Pada saya, buatlah mana yang patut. Pucuk pangkalnya, penilaian terhadap seseorang adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Sama ada penilaian dalam hati atau penilaian yang dipancarkan melalui mulut. Tapi, biasanya penilaian adalah dibuat dalam hati. Hati yang berkata-kata. Kadangkala, sekali sekali terpancul juga melalui mulut dengan dorongan kuat untuk menyatakannya. Itu sebabnya kita sering mendengar kata-kata, ” Tak patut..., tak sangka...., ada kah patut.....” dan macam-macam lagi kesimpulan yang dibuat pada seseorang itu. Maka kesimpulan pada diri seseorang itu adalah juga merupakan penilaian terhadap seseorang.
Penilaian yang sedemikian tidak menggunakan kayu ukur secara bertulis, melainkan mengikut perasaan. Kalau ikut perasaan, ada masa kita sokong dan ada masanya kita membantah. Berdasarkan keadaan itulah saya berpendapat, elok juga dihasilkan kayu ukur itu secara hitam putih. Sekurang-kurangnya setiap ahli yang ada dan pernah ada dalam SC akan tahu tentang kualiti diri mereka dalam konteks SC.
Penilaian yang telah saya lakukan dalam tulisan terdahulu adalah berdasarkan beberapa pegangan. Hubungan dengan Ustaz dan keluarganya adalah merupakan ukuran utama. Pegangan ini adalah merupakan pesanan Ustaz pada saya. Maka saya jadikan sebagai kayu ukur yang utama.
Keduanya saya lihat pada aspek penerusan segala ilmu yang ditinggalkan Ustaz. Hal yang demikian meliputi kesemua tinggalan ilmu baik secara fizikal dan kefahamannya. Kalau mereka dididik oleh Ustaz, pastinya perjuangan mereka berikutnya adalah meneruskan warisan ilmu-ilmu tersebut. Kecenderongan atau percubaan mengubah bentuk-bentuk Pusaka Hanafi, pastinya akan merendahklan gred yang saya beri pada puak-puak ini.
Seterusnya, aspek hubungan sesama ahli, saya jadikan satu lagi kayu ukur yang dirasakan amat mustahak. Selagi seseorang itu mengamalkan ajaran Silat Cekak yang ditinggalkan oleh Ustaz Hanafi, maka ikrar sesama ahli silat tidak boleh bergaduh, masih tetap terpakai. Ikrar adalah bermakna sumpah. Sumpahan tersebut merupakan satu janji yang kita lafazkan pada guru dan seterusnya pada pewaris ilmu Ustaz. Jika pewaris itu tidak sah maka baharulah ikrar berkenaan tidak boleh diguna pakai lagi. Dalam konteks ini, selagi seseorang itu masih menganggap ilmu SC yang diamalkannya adalah merupakan ilmu tinggalan Ustaz Hanafi maka ikrar yang dilafazkan itu masih terpakai. Jangan bergaduh atau berselisih faham.
Ramai kalangan pejuang-pejuang SC yang hebat-hebat telah berputus asa dalam perjuangan SC yang mereka agung-agungkan selama ini. Banyak sebab yang menjadikan mereka bersifat semikian. Cuba buat kajian dalam persoalan tersebut. Saya asaskan pendapat untuk renungan seterusnya.
Ada dalam kalangan mereka yang hanya berdiam diri dan melihat sahaja perkembangan pergolakan yang berlaku dalam SC dari masa ke masa. Setakat ini pepecahan tersebut dilambangkan melalui persatuan yang berbeza-beza. Keinginan mereka melibatkan diri dalam SC, tersangat kurang. Tambahan pula umur mereka semakin bertambah. Melibatkan diri dalam persengketaan akan mengundang kekusutan dalam fikiran. Orang yang berumur biasanya inginkan ketenteraman. Ketenteraman hanya boleh dicapai jika wujudnya ketenangan. Hal yang demikianlah menyebabkan mereka menjauhkan diri dalam kancah pepecahan sesama ahli SC.
Ada juga dalam kalangan mereka yang menunjukan sifat berputus asa apabila diri mereka mula diketepikan. Sifat berputus asa tersebut dilahirkan walaupun dengan cara menggadai pegangan yang ada selama ini dalam SC. Mereka telah beralih pendapat dan beralih perjuangan. Itu sebabnya, kita jangan berasa hairan jika golongan ini berbeza antara dulu dan sekarang. Saya telah bincangkan pendapat saya itu dalam tulisan terdahulu. Jangan hairan jika dulunya mereka menjadi penyokong kuat En Mat, tapi tiba-tiba beralih pandangan dan tanggapan. Kejadian-kejadian yang berlaku, hanya dijadikan alasan bagi menjauhkan diri mereka daripada En Mat.
Banyak faktor yang menjadikan mereka bersifat demikian. Salah satu faktornya ialah sindrom, ”I am my own positions.” Maksud kenyataan tersebut adalah merujuk pada penyakit yang ada pada seseorang itu. Penyakit itu menjadikan seseorang itu pada setiap masa dan pada setiap keadaan hanya menggunakan daya fikir, kebijaksanaannya dan pengalamannya demi mengekalkan kedudukannya dalam organisasi. Kepentingan diri telah mengatasi segala-galanya yang ada. Kita boleh menilai sendiri tentang maksud yang saya tegaskan.
Kita boleh lihat betapa golongan ini hanya memikirkan aspek kepentingan diri yang mengatasi aspek pejuangan bagi menyebar luas SC ke pelusuk negeri dan negara. Strategi yang digunakan lebih cenderong mengekalkan kedudukan dan populariti diri dalam persatuan. Ancaman yang akan menyekat kehendak dan strategi mereka itu, tentunya akan ditentang habis-habisan. Itu sebabnya seperti yang saya katakan, mereka sanggup menutup cawangan-cawangan yang tidak menyokong mereka. Semua itu adalah merupakan strategi pengekalan kuasa mereka yang amat jelas.
Kita boleh mengesan kelakuan dan tindak tanduk golongan itu dalam usaha-usaha mereka untuk mengekalkan kuasa dan mengekalkan pengaruh. Tak cakap pun, ahli-ahli yang celik boleh merasainya. Samalah keadaannya dengan penaklukan Amerika ke atas Iraq dan kemudiannya mungkin Libya. Cakaplah apa saja alasannya. Hati kecil kita tetap mengatakan betapa kepentingan diri Amerika itu lebih utama. Bahan minyak tentunya merupakan satu idalam yang tidak boleh dipisahkan dalam perjuangan mereka. Berilah alasan apa sahaja. Hati kita tentu akan dapat menilainya. Tentunya kebolehan menilai hanya ada pada mereka yang celik hati.
Saya selalu tegaskan betapa bahayanya golongan yang berkepentingan diri dalam satu-satu organisasi. Golongan atau puak-puak ini akan berbuat apa sahaja bagi mencapai maksud. Tujuan akan menghalalkan cara. Mereka sanggup mengamalkan sifat-sifat ’iblisi’ atau ’syaitani’ dalam usaha mendapatkan hajat. Hilang semangat setia kawan yang selama ini telah terpupuk dengan begitu kukuh. Kalau selama ini boleh ketawa sesama ahli, tiba-tiba ketawa tersebut menjadi hambar dan hilang begitu sahaja. Sumbeng nampaknya yang ada.
Di sebalik sifat-sifat iblisi yang berleluasa, ada juga dalam kalangan ahli-ahli lama yang tidak jemu-jemu menyatakan kebenaran. Sesuatu yang perlu ditegur maka perlulah ditegur. Mungkin ada pihak yang terasa dan enggan mengakui kenyataan. Itu hak mereka. Kita pun ada hak untuk mengetepikan teguran yang kita tidak suka.
Dalam konteks perjuangan, menjaga hati dan perasaan sepatutnya dijadikan perkara nombor dua. Perjuangan yang diredhai selama ini perlu dipertahankan sepanjang masa. Janganlah mengubah pendirian kerana hati. ”menjaga hati akan diakhiri dengan ’mati’. Hati yang mati akan menjadikan seseorang itu mengamalkan sindrom bisu. Mereka sentiasa berada dalam perasaan takut. Takut tegur, takut menyatakan kebenaran, takut tersingkir dan pelbagai takut lagi. Hiduplah mereka dalam dunia kepura-puraan sepanjang masa dalam SC.
Apakah makna ’erti kemerdekaan’ yang sering dilahirkan dalam persekitaran SC jika kepentingan diri dijadikan ukuran. Kerana kepentingan dirilah maka banyak perkara yang telah tergadai. Sekurang-kurangnya, mereka telah menggadaikan ketegasan dan pegangan diri dalam perjuangan yang selama ini sangat dihormati oleh kawan dan lawan. Sekian.