Wednesday, October 27, 2010

POTONG HENTAK.

Pelajaran potong buah Hentak adalah menggunakan kaedah A. Walau bagaimanapun penggunaan kaedah A tersebut adalah berbeza sangat dengan teknik dan taktik potong A pada buah-buah lain yang memerlukan cara potong yang sama dan langkah spring yang sama. Hal yang demikianlah menyebabkan saya membincangkan potong buah Hentak dalam satu tulisan yang tersendiri. Gerak tujuan potong buah ini sangat berbeza berbanding dengan buah Pertama, Kilas depan dan dalam himpunan buah-buah Kilas Belakang seperti yang dibincangkan terdahulu. Namun begitu jatuhan dalam proses sambung buah adalah sama.

Memotong A agak lewat gerakannya dalam kiraan saat dan ketika. Pesilat memerlukan pemerhatian pada gerak pasangan sebelum membuat gerak potong. Hal yang demikian memungkinkan dua keadaan.

Pertamanya, pada buah Hentak, tepisan dilakukan pada gerak yang kedua. Setelah pasangan membuat tepisan dan dalam proses pasangan tersebut membuat gerak yang kedua melalui tangan kanannya, maka barulah gerak potong boleh dilakukan. Terasa pada kita kelewatan bagi melakukan gerak potong tersebut. Tambahan pula gerak potong yang hendak dilakukan itu memerlukan gerak yang agak ke atas daripada paras pinggang atau dada. Gerak yang agak jauh dari paras pinggang akan menyebabkan pergerakan menjadi lambat. Namun begitu, jarak yang jauh tersebut boleh mengurangkan pesilat daripada membuat kesilapan memotong yang tersasar daripada sasaran tepisan.

Keduanya, gerak kedua yang menolak siku pesilat tidak berbentuk pukulan. Jika pesilat melangkah setapak maka pesilat itu telah berada dalam zon selamat. Gerak pasangan yang pertama ialah sentuhan Kaedah A bagi menepis tumbukan pesilat. Oleh sebab tepisan itu merupakan sentuhan yang pertama maka gerak kedua pesilat menjadi agak lama. Hal yang demikian memungkinkan para pesilat akan bertindak memotong gerak kali pertama tersebut. Hal ini agak berbeza dengan buah Pertama atau buah Kilas Belakang atau Ali Patah Atas atau Ali Patah Sudah. Pukulan yang tiba lebih cepat dan memerlukan tindakan segera daripada pesilat.

Dalam kelas kemahiran, latihan gerak berdasarkan kebolehan semula jadi penuntut adalah amat ditekankan. Kebolehan itu semestinya berdasarkan sukatan pelajaran SC. Kita tidak boleh menyekat bentuk-bentuk tindak balas semula jadi asalkan tidak bercanggah dengan pelajaran kita. Gerak potong pada kaedah A ada juga digunakan oleh pesilat. Namun begitu, gerak potong ini akan mengundang bahaya apabila tangan kanan pasangan yang cuba menolak tangan kanan pesilat boleh hidup dan menjadi pukulan. Maka perhatikan gerak tangan kanan tersebut dan buat awasan jika tidak ingin memotong secara membuat spring. Sekian.