Tuesday, June 8, 2010

GELAGAT KITA DALAM KELAS.

Penerimaan penuntut pada SC adalah dalam pelbagai bentuk. Ada yang berasa kagum dengan kehebatan SC tapi melupakan kebolehan diri untuk menguasai pelajarannya. Ada yang asyik membincangkan kefahaman SC tetapi kurang ambil berat akan aspek gerak fizikalnya. Ada yang suka berpesatuan hingga terketepi aspek persilatan. Ada yang mementingkan aspek gerak fizikal SC dan tidak kisah tentang fahaman yang ada. Ada yang belajar suka-suka ikut kawan. Ada yang inginkan ketepatan sebenar tentang apa yang ada dalam SC hingga menimbulkan pelbagai jenis persoalan. Ada yang pelbagai lagi adanya. Rupa-rupanya niat dan cita-cita setiap ahli yang belajar SC adalah berbeza antara satu sama lain. Sudah pasti Penyelia Kelas atau Jurulatih atau siapa saja tidak dapat menyelam hati akan kehendak sebenar setiap perasaan penuntut dalam proses mereka mendapatkan ilmu SC.

Penekanan Jurulatih semasa mengajar SC juga adalah berbeza antara satu sama lain. Penekanan Jurulatih tersebut jika terkena dengan niat dan cita-cita penuntut yang belajar SC maka akan ‘menjadilah’ penuntut tersebut. Jika tidak, penuntut akan berasa bosan, tak puas hati atau sebagainya. Penuntut akan membuat perbandingan. Perbandingan ini pastinya akan diakhiri dengan suka atau tidak suka dengan tenaga pengajar Jurulatih tersebut. Segala-galanya ada kaitan dengan gelagat atau niat atau cita-cita penuntut dengan penekanan yang diberi oleh Jurulatih ketika mengajar. Jika penekanan tersebut sesuai dengan kehendak penuntut maka Jurulatih tersebut akan dipuji dan disanjungi. Sebaliknya jika penekanan Jurulatih tersebut menyimpang daripada kehendak penuntut maka Jurulatih itu tidak akan popular dalam kalangan penuntut tersebut.

Kita tidak menafikan betapa peranan Jurulatih itu adalah lebih sebagai tempat rujukan generasi baru untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian tentang sesuatu. Mereka tidak dapat lari daripada tugas bercakap apabila ditanyakan soalan walaupun kuasa berbuat demikian mungkin tidak pernah diberi atau diiktiraf secara rasmi oleh persatuan atau persilatan. Bila ada persoalan maka adalah jawapan berdasarkan pandangan yang diasaskan oleh pengalaman dan pengalamian mereka sendiri dalam SC.

Saya berpendapat Jurulatih SC tidaklah perlu diberikan tanggungjawab untuk mengkaji kehendak penuntut dalam kelasnya sebelum mengendalikan pembelajaran. Setakat ini keperluan mengadakan soal selidik dalam kalangan mereka tidak pernah difikirkan sebagai satu keperluan. Malah borang penilaian pada penuntut yang telah tamat SC pun tidak pernah dan setakat ini belum difikirkan sebagai satu keperluan. Mungkin apabila SC diilmiahkan secara aktif pada satu masa nanti maka keperluan mengadakan soal selidik dan mengisi borang penilaian akan menjadi satu kemestian agaknya. Berdasarkan soal selidik itu, kita dapat mengetahui hal-hal yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran SC dalam satu-satu kelas. Sekurang-kurangnya Jurulatih boleh menilai keberkesanan diri sendiri dalam proses penurunan ilmu.

Seperti yang saya utarakan di atas, dalam proses menurunkan buah dalam kalangan penuntut SC, seboleh-bolehnya para Jurulatih perlulah sensitif pada kehendak dan kebolehan penuntut yang ada. Namun begitu segala-galanya adalah bergantung pada nilai yang wujud dalam kalangan Jurulatih dalam proses penurunan ilmu SC. Nilai yang wujud itu akan membentuk perangai dan cara kepimpinan Jurulatih dalam satu-satu kelas.

Macam-macam gelagat mereka dapat dirakam menurut penceritaan atau berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Dalam tulisan ini saya kutip beberapa komen atau pandangan yang pernah disuarakan oleh penuntut terhadap gelagat Jurulatih mereka.

Ada yang tersangat suka menceritakan pengalamannya ketika terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti atau program yang dirancang oleh persatuan. Apatah lagi jika pengalaman tersebut berkait rapat bersama guru. Kehebatannya mengendalikan program atau sebarang bentuk majlis dihebat-hebatkan pada penuntut. Hinggakan mereka sanggup ketepikan pelajaran yang mempunyai ruang masa pembelajaran yang sangat terhad. Pada mereka yang berasa kagum dengan kebolehan Jurulatih tersebut akan memberi respon positif. Manakala penuntut-penuntut yang lain akan terus menerus menggigit jari kerana kekurangan masa bagi memantapkan pergerakan diri.

Menceritakan ketokohan guru sekali sekala amat besar ertinya. Akan tetapi apabila penceritaan diluaskan pada watak-watak tertentu yang bukan guru, ada kalanya memuakkan mereka. Lebih-lebih lagi apabila penceritaan tersebut berulang kali. Terpaksalah juga mereka memekakkan telinga walaupun mata memandang mulut Jurulatih yang bercerita. Bukannya para Jurulatih meluangkan masa bagi membetulkan pergerakan tapi menghabiskan masa menceritakan kehebatan orang lain.

Ada juga telatah Jurulatih yang suka membuat penceritaan tentang kefahaman dalam SC berdasarkan perasaan. Misalnya kelebihan kain putih dan kelebihan mandi. Kain putih digambarkan sebagai sesuatu yang sangat hebat. Dengan kibasannya dikatakan dapat menggerakkan kereta yang kehabisan petrol atau dapat mengangkat kereta yang terjatuh dalam longkang tanpa menggunakan kren dan pelbagai kelebihan lagi yang sukar digambarkan melalui fikiran yang ada. Kelebihan mandi digambarkan dengan sesuatu yang sukar diukur dengan perasaan logik.

Pada kelas-kelas yang telah tamat, mungkin penceritaan tersebut mempunyai asas yang dapat digambarkan oleh penuntut. Walaupun sukar diterima dengan bukti logik, pada mereka yang berfikiran berasaskan logik dan rasional tentunya akan memandang sepi akan penceritaan tersebut. Namun begitu, pada para penuntut yang berminat dengan ilmu-ilmu yang sedemikian tentunya akan memberikan tumpuan.

Ada Jurulatih yang suka menceritakan tentang kehebatan SC. Kehebatan SC digambarkan seiring dengan kehebatan dirinya dalam silat. Cakap serupa bikin. Walau bagaimanapun ada yang cakap tak serupa bikin. Kehebatan SC tidak selari dengan kehebatan dirinya. Malah ketika membuat buah pun tidak sama dengan penerangan yang diberi. Misalnya buah Kidung Kiri. Dikatakan pada penuntut supaya kaki kiri jangan beralih tapak untuk membuat buah. Akan tetapi, semasa Jurulatih tersebut membuat buah, kaki kirinya pula beralih tempat. Tentunya hati penuntut terkata-kata. Walaupun tidak diluahkan melalui mulut, mereka boleh membuat kesimpulan sendiri pada Jurulatih yang mengajar di kelas berkenaan.

Ada dalam kalangan Jurulatih yang sangat teliti dalam mengambil buah. Kelebihan SC sentiasa diberi penekanan. Tempat yang perlu ‘dipukul’ maka dikenakan pukulan tapi tidak memudaratkan. Kaedah A, B, C dan D sentiasa diberi penekanan. Prinsip spring dan kejutan diberi penekanan pada tempatnya. Namun begitu yang lemahnya ramai yang pandai berteori tapi kurang melakukan praktikal. Namun begitu ada yang tak kesah dengan itu semua. Janji jatuh ketika buat buah jatuhan atau potong buah ketika membuat buah potong maka dikira sudah memadai.

Itulah antara lain tentang gelagat Jurulatih kita yang ada. Gelagat-gelagat ini adalah sebahagian daripada perwatakan mereka. Jika seseorang penuntut itu ingin berjaya dalam pembelajarannya maka perlulah mereka menyesuaikan diri dengan gelagat Jurulatih yang ada. Kurang logik jika Jurulatih pula yang perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan penuntut tersebut.

Walau bagaimanapun, setiap kelas itu ada Penyelia Kelasnya. Saya rasa, beliau juga bertanggungjawab tentang segala bentuk pelajaran yang diberi pada para penuntut. Pastikan konsep-konsep yang selaras dengan SC tidak ditinggalkan begitu sahaja. Konsep-konsep seperti senjata lading menghadapi senjata-senjata pendek, sambil Cekak menyerang sambil menangkap, tumbukan serang untuk melihat gerak dan pelbagai konsep yang popular di satu masa yang lalu tidak ditinggalkan begitu sahaja.

Pendek kata, apa yang diterima oleh generasi yang lalu maka begitu juga hendaknya diterima oleh generasi yang seterusnya. Maka akan wujudlah kesinambungan akan ilmu yang menjadi pusaka Hanafi. Setiap perubahan yang kita lakukan maka hasilnya bukan boleh dilihat ketika ini. Tapi akan terlihat pada sepuluh tahun yang akan datang. Itupun kalau sempat kita melihatnya. Kalau gagal maka kitalah petualangnya. Itulah pendapat peribadi saya.

Sekian setakat ini.