Telah saya bincangkan kualiti para penuntut SC yang tamat amat bergantung pada Jurulatih yang yang melatihnya. Kekuatan sesorang Jurulatih itu banyak bergantung pada ilmu dan pengalamannya dalam SC. Dikuat pula dengan kesungguhannya melatih maka penuntut yang dihasilkan setelah tamat nanti akan berada dalam satu kategori pesilat yang hebat.
Kehebatan penuntut akan lebih terserlah jika Jurulatih juga memainkan peranan penting bagi melayan semua soalan dan persoalan yang dikemukakan oleh para penuntut ketika bersama dengan mereka. Hal ini meliputi ketika berada dalam kelas atau di luar waktu kelas latihan. Persoalan yang ada pada kalangan penuntut, jika tidak diselesaikan segera, akan menghantui mereka dan menganggu konsentrasi mereka dalam menguasai pergerakan SC sepenuhnya. Akan tetapi, hal ini bukanlah sesuatu yang mudah. Hinggakan terdapatnya jurulatih yang akan menangguh daripada memberi jawapan pada persoalan yang dikemuka pada satu masa yang tidak ada kepastian dan ketetapan. Tapi ramai juga yang lupa akan tanggungjawab memberikan jawapan tersebut. Akibatnya, penuntut yang bertanya akan menunggu jawapan umpama menunggu buah yang tak akan jatuh. Hingga tamat silat, jawapan masih belum diperoleh. Pada kalangan Jurulatih yang agak agressif, Jurulatih tersebut akan memarahi penuntut yang asyik bertanya dengan alasan ikut sahaja dan jawapannya akan diberitahu kemudian.
Sama ada seseorang Jurulatih itu dapat memberikan jawapan secara spontan atau tidak, banyak bergantung pada situasi dan kategori pembawaan sikap dan nilai seseorang itu. Ada penerangan yang agak terhad. Ketika buah asas, mustahil baginya menerangkan tentang pelajaran buah jatuh. Apatah lagi buah potong dan pelajaran-pelajaran seterusnya. Ada juga Jurulatih yang menangguhkan jawapan atas persoalan bagi membolehkannya merujuk pada orang lain. Jika tanggungjawab ini diabaikan, selalunya jawapan yang sepatutnya diberi kepada penanya akan terlupa dan hal inilah merupakan salah satu faktor penanya akan berasa tertunggu-tunggu dan seterusnya tidak berpuas hati.
Ada juga Jurulatih yang tidak melayan persoalan penuntut. Bukan haknya menjawab. Tapi Jurulatih itu memberi penerangan betapa persoalan tersebut hanya Guru yang layak menjawabnya. Namun begitu ada juga Jurulatih yang mengandaikan serba tahu dan secara spontan memberi jawapan tanpa memikirkan kekeliruan yang mungkin timbul. Lebih malang lagi apabila terdapatnya Jurulatih yang suka bercerita dan bercakap tentang sesuatu yang di luar daripada gerak SC kepada penuntut. Ini akan memancing soalan dan persoalan daripada penuntut.
Ustaz ada mengatakan kepada saya, ”Macam mana nak tabligh kalau diri tak baligh.” Pada fahaman saya, kalau kita hendak menceritakan suasana atau apa saja tentang sesuatu tempat, sepatutnya kita telah sampai ke tempat itu terlebih dahulu. Pernah Ustaz kiaskan, ” Macam mana nak cerita tentang Singapore kalau diripun tak pernah sampai ke sana.”
Teringat akan saya satu peristiwa penjual ubat di pasar malam. Bagi menarik perhatian ramai, beliau telah mencabut keris daripada sarung dan meletakkan keris dan sarung tersusun secara bersebelahan. Beliau menarik perhatian ramai dengan mengatakan bahawa keris itu akan memasuki sarungnya secara perlahan-lahan melalui pengamalan ilmunya. Apa lagi, ramailah orang yang sanggup menunggu untuk melihat kebenaran kata-katanya. Kata-kata yang menegaskan kebolehannya yang membolehkan senjata memasuki sarungnya tanpa dibantu. Agaknya minat pendengar yang semuanya lelaki untuk terus menunggu, mungkin kerana ada hubung kait dengan aktiviti harian mereka. Si penjual ubat pula mulalah menceritakan kelebihan ubat yang dibawanya. Sudah tentu, ubat itu ada kaitannya dengan senjata masuk sarung. Selesai orang ramai membeli, selamba saja dia mengambil keris dan memasukkan keris tersebut dalam sarung berkenaan dan mengemaskan peralatannya. Orang ramai terpinga-pinga. Sampai ke sudah janji yang diberi pada para penonton tidak kesampaian.
Jadi, pelbagai watak Jurulatih yang akan dihadapi oleh para penuntut ketika mengajukan sebarang soalan atau persoalan. Dalam hal ini, saya berpendapat Guru Utama atau Lembaga-Lembaga yang ada, perlu berperanan besar untuk mempastikan ’wakil’ guru sentiasa mempunyai ilmu yang mantap dan maklumat yang kemas kini. Merekalah golongan pelaksana yang akan menentukan kualiti malah kuantiti para penuntut SC. Jangan biarkan mereka berwatak seperti tukang jual ubat di pasar malam.
Semasa zaman Ustaz dulu pun konsep bertangguh memberi jawapan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Penangguhan tersebut adalah pelbagai. Saya akan berkongsi pengalaman menceritakan bentuk-bentuk penagguhan yang saya dan rakan-rakan alami berdasarkan pengalaman kami bersamanya.
Ada satu ketika saya bertanyakan soalan. Ustaz hanya mendiamkan diri beberapa ketika daripada bercakap. Akhirnya Ustaz bercakap tapi tidak begitu lancar. Maka Ustaz telah memberhentikan tajuk perbualan itu dengan mengatakan di lain masa Ustaz akan menjawab. Menurutnya semacam ada sesuatu sekatan di tekaknya bagi membolehkannya memberikan jawapan. Tapi di lain waktu apabila sesuai dengan masa dan situasi, tajuk itu akan ditimbulkannya kembali.
Kerap juga saya menimbulkan persoalan yang berkaitan dengan gerak-gerak dalam SC. Bukan semuanya Ustaz memberikan jawapan. ”Belajar dulu. Jangan tanya-tanya. Satu masa nanti akan tahu gunanya.” Itulah antara lain jawapannya terhadap soalan saya kalau Ustaz tidak ingin memberikan jawapan. Tetapi apabila sampai masanya baharulah saya faham akan maksud Ustaz. Persoalan saya ada kaitannya dengan buah Kuntau Kiri, Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung. Buah-buah itu tidak ada pukulan sama ada pada tangan atau pada kaki. Melainkan pada jatuhnya. Kaedah menghenyak pelipat menjadikan persoalan kepada saya. Rupa-rupanya kaedah tersebut adalah mukaddimah terpenting apabila gerak pukulan pada pelipat menjadi amalan. Amat besar faedahnya ketika pelajaran menengah. Baru saya faham akan jawapan persoalan tersebut setelah menunggu sekian lama.
Namun begitu ada persoalan yang berkaitan dengan buah-buah tersebut yang ditanya dan dijawab secara spontan. Ustaz sendiri yang memberikan soalan dan jawapan. Misalnya, mana letaknya pukulan pada buah kuntau kiri. Ustaz bertanya dan ustaz sendiri yang menjawab secara praktikalnya. Ada juga soalan yang diberikan tapi jawapannya amat lama. Hal ini selalunya ada kaitan dengan petua-petua. Pernah persoalan tersebut terjawab setelah lima belas tahun berlalu. Kadang kala saya lupa akan soalan yang dikemukakan. Entah bagaimana, terpancul suara daripada Ustaz,” Tentang soalan engkau dulu........”
Dalam satu-satu majlis yang tidak formal, Ustaz juga akan menjawab persoalan berdasarkan situasi. Pernah satu ketika sahabat saya mengemukakan persoalan. Ustaz tidak menjawab secara sepontan. Sebaliknya dia masuk ke dalam bilik dan keluar semula dengan songkak di kepala. Maka baharulah Ustaz menjawab persoalan tersebut.
Dalam SC sendiri kita dilarang menunjukkan pelajaran yang masih belum tiba masanya pada para penuntut. Penuntut yang belajar buah asas, dilarang kepada mereka dipertontonkan buah jatuh. Apatah lagi buah potong. Mustahil sekali buah serang. Kita tidak melayan soalan mereka jika berkaitan dengan pelajaran seterusnya. Keadaan ini adalah merupakan peraturan silat kita yang wajib dipatuhi. Tapi akhirnya persoalan mereka terjawab juga setelah memenuhi syarat ijazah.
Namun begitu masalah yang wujud di kalangan penuntut ialah persoalan yang dikemukakan kepada Jurulatih yang tidak terjawab sepanjang hayat mereka bersama SC. Inilah yang menyebabkan para penuntut berasa tidak puas hati dan sentiasa memendam perasaan. Oleh itu saya berpendapat bahawa para Jurulatih perlu memperkayakan diri dengan ilmu dan jauhi diri daripada berperanan sebagai penjual ubat yang saya ceritakan di atas.