Tuesday, October 14, 2008

APA YANG SEPATUTNYA KITA DAPAT

PENGLIBATAN DALAM SILAT CEKAK.

Setelah sekian lama berkecimpung dalam SC, sepatutnya banyak perkara yang kita peroleh sama ada yang berkaitan dengan kebolehan dan kemahiran fizikal mahupun pembentukan sikap dan nilai diri kita. Dalam aspek kemahiran fizikal, pengetahuan dalam gerak dua tangan dan gerak dua kaki semakin mantap. Hal ini demikian kerana mempelajari SC telah membawa kita meneroka satu rupa bentuk alam persilatan Melayu. SC adalah sejenis silat yang kaya dengan ilmu-ilmu perbandingan berdasarkan pergerakan kita sendiri dibandingkan dengan pergerakan silat-silat lain. Apabila kita membanding, jelas menampakkan ciri-ciri kehebatan SC yang hanya dimiliki dan diketahui atau dirasai oleh mereka yang menjiwai pelajaran SC.

Berbincang tentang pergerakan dua tangan dan dua kaki, teringat akan gelagat dan sifat manusia itu sendiri. Lelaki yang menampakkan ketampanannya dengan pakaian yang hebat dan menarik adalah semata-mata kerana adanya ’anu’ yang dimiliki. Tanpa anu-nya kelakian dan ketampanan tersebut tidak pasti dan tidak membawa makna. Begitu juga agaknya dengan wanita yang bergincu menarik dengan pakaian yang mengiurkan semata-mata kerana ada ’anu’-nya. Kalau anunya telah tiada atau kurang berfungsi, semuanya tidak bermakna. Pakailah apapun. Pasti tak akan ada daya megnetnya. Mungkin kiasan ini boleh dikaitkan dengan silat kita. Adunan tari dan gendangnya hanya membawa makna jika ada rahsia dalam gerak dua tangan dan dua kakinya. Silat bukannya tarian. Setiap pergerakan ada maksud yang tersirat. Mencari kelemahan atau ’lubang’ dalam pergerakan lawan menjadi tujuan utama silat Melayu. Tapi dalam SC kita tidak ada tari dan tidak ada gendangnya. Mencari kelemahan musuh bukan menjadi objektif utama. Dalam SC, pergerakannya berformula kerana lengkap dengan kaedah yang tersusun rapi. Timbullah falsafah, ’ makan gerak dalam gerak’ atau ’sambil menyerang, Cekak menangkap’ dan pelbagai falsafah lagi dalam sistem menjaga diri yang meliputi pertahan dan menyerang. Itu sebabnya SC amat ringkas. Tak payah untuk menonjolkan kebolehan diri untuk menunjukkan SC mempunyai rahsia berbentuk senjata sulit yang begitu tajam dan hebat sekali. Tak seperti sifat manusia yang terpaksa menonjolkan ketrampilan diri kerana bersandarkan senjata sulit yang dimiliki. Sengaja saya membuat perbincangan seperti di atas. Agaknya kiasan ini lebih mudah untuk difahami.

Perbincangan dalam aspek pembentukan harga diri dan nilai diri hasil penerapan dalam pengajaran dan pembelajaran SC, amat luas sekali. Kalau persilatan ini dihubungkan dengan konsep budaya, sesungguhnya segala bentuk budaya yang positif, telah ada dalam ilmu persilatan Melayu khasnya dalam persilatan SC. Nilai-nilai budaya tinggi, budaya murni ataupun budaya halus, sememangnya tersisip dalam ilmu SC. Perkara ini tidaklah menghairankan. Kita lihat sendiri dalam apapun bentuk teori kelahiran silat. Rata-rata semua teori kelahiran silat adalah hasil cetusan idea sama ada golongan istana, golongan yang ahli agama atau golongan yang berilmu. Golongan-golongan ini adalah terdiri daripada manusia yang berfikir dan dapat mencetuskan ilham pergerakan yang begitu mantap sekali. Oleh sebab mereka ini sendiri mengamalkan segala bentuk budaya yang dinyatakan maka budaya-budaya tersebut telah menjadi bersekali dan bersepadu dalam pelajaran silat-silat Melayu.

Malahan SC sendiri telah menjadi amalan pihak istana sebelum silat ini disebarkan di kalangan orang banyak. Itu sebabnya dalam SC budaya-budaya yang hebat telah tersisip bersekali dengan pelajaran fizikalnya. Budaya ini terpupuk di kalangan penuntut sama ada disedari atau tidak. Cuma persoalannya ialah sejauh mana pemupukan ini berlaku. Mungkin faktor berfikir akan menentukan keadaan. Tidak sama antara penuntut yang tidak berfikir yang hanya cuma membiarkan dirinya dibentuk, berbanding dengan penuntut yang sentiasa berfikir ketika penerimaan sesuatu pelajaran dalam proses mempelajari SC.

Dalam perbincangan di sini, saya hanya menyentuh beberapa aspek yang sepatutnya telah terpupuk di kalangan pengamal SC itu sendiri, berdasarkan pesepsi dan pengalaman saya dalam SC.

Aspek utama pemupukan nilai di kalangan ahli ialah pemupukan Nilai yang baik dan Budi Bahasa. Nilai dapat diertikan sebagai satu konsep yang dijadikan asas kepada kita untuk menilai, mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara, mutu, kualiti dan pergerakan dalam silat kita. Budi bahasa biasanya merujuk kepada tuturkata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia. Tegasnya, setiap gerak laku, tuturkata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan sesama ahli, terangkum dalam konsep budi bahasa.

SC kaya dengan adab yang tinggi. Sebagai contoh, majlis ijazah yang ada dalam SC merupakan tunjang pemupukan pertalian antara guru dan murid atau antara pemimpin dengan pengikutnya. Kepimpinan dalam SC dijadikan tempat bernaung, umpama kata kiasan, ”Pohon rendang di tengah padang, batangnya untuk bergantung, buahnya untuk dimakan dan daunnya untuk berlindung”.

Sifat tidak beradab bukanlah amalan kita. Janganlah hendaknya ketika pemimpin disanjung, segala-galanya baik belaka. Apabila mereka terjatuh atau dijatuhkan, kutukan hina menjadi mainan kata. Itu bukannya sifat budi bahasa kita dalam SC. Ingatlah pantun bangsa kita,

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

Setiap yang buruk ada baiknya. Setiap yang hitam ada putihnya. Bukannya tahi cicak, tapi konsep buruk baik adalah budaya kita. Allah sahaja yang unggul.

Ketahanan Diri merupakan salah satu aspek yang sepatutnya terpupuk di kalangan penuntut SC. Pelajaran SC itu sendiri memupuk diri kita supaya mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Bukan mudah untuk menghabiskan pelajaran SC tanpa hati yang cekal. Mungkin itu sebabnya lahir pantun, ” Silat Cekak amatlah mudah, pada mereka yang ada hidayah. Namun begitu haruslah tabah, mudahan-mudahan beroleh faedah.”

Guru Utama selalu meneguhkan pendirian kita umpama ikan di laut. Walaupun sekelilingnya masin tetapi ikan tetap tidak masin. Ketahanan diri membawa juga maksud pendirian tetap yang sukar diganggu gugat. Pendirian ini adalah sesuatu yang berkait dengan harga diri kita. Dalam konteks SC, selalunya pendirian tetap ini juga dikaitkan juga dengan ”cakap jantan”. Penumbuk kita juga merupakan penumbuk jantan. Implikasinya ialah berani dan tetap pendirian. Jangan berubah-berubah tanggapan dan pendirian yang ada pada kita. Kerana terdesak atau atas sifat kepentingan tertentu janganlah hendaknya membolehkan kita menukar pendapat. Sungguh malang jikalau pendirian sikap tersebut berlaku. Misalnya konsep mandat dan sebagainya yang sering ditumbulkan sejak kebelakangan ini. Ramai yang ’tak tahan’ kerana tiada ketahanan diri. ”Pendirian tergadai dan penghormatan cabut lari.”

Tanpa kita sedari, ketrampilan diri telah dipupuk dari masa ke masa di kalangan penuntut SC ketika kita mempelajari SC. Disiplin berpakaian sangat diambil berat. Acara-acara rasmi dijalankan dengan suasana protokal majlis yang tersusun dengan baik. Ketrampilan diri ini lebih terserlah apabila sifat individu itu diiring dengan budi bahasa yang jitu dan pendirian yang kukuh. Nampak hebat ahli-ahli SC. Muka mereka jernih berseri hasil pancaran daripada hati mereka yang tulus dan ikhlas. Cuma sekarang ini kadang kala ternampak muka-muka sumbang dan sumbing di kalangan ahli.

Kerap kali ahli-ahli SC juga disogokkan dengan pandangan bahawa pergerakan SC ada kaitannya dengan pergerakan sembahyang. Dalam konteks ini, bukan pergerakan SC yang ingin saya tekankan, tetapi kaitan diri kita dengan sembahyang. Sembahyanglah merupakan salah satu kekuatan batin untuk diri kita. Mereka yang menunggu Subuh adalah tersangat hebat berbanding dengan Subuh yang menunggu mereka. Kesempurnaan sembahyang akan memberi kesan yang besar pada pergerakan silat kita. Janganlah banyak sangat membuang masa membincangkan pergerakan silat kita yang bersumberkan sembahyang. Hakikatnya kesempurnaan sembahyang banyak mempengaruhi pergerakan penuntut. Inilah yang perlu dibincangkan oleh mereka yang ahli kepada penuntut SC.

Banyak lagi aspek agama yang dikait dan ditanamkan di kalangan ahli kita. Apapun, yang penting, penuntut-penuntut SC ditarik perhatian mereka untuk mendalami seterusnya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama melalui sumber-sumber lain yang ada. Kalau ada antara penuntut yang mempelajari SC tetapi semakin jauh dengan agamanya menunjukkan adanya sesuatu yang tak kena dalam proses pengajaran dan pembelajaran SC.

Selain daripada faktor-faktor perbincangan di atas, banyak nilai baik dan positif yang terpupuk dalam proses kita mempelajari SC. Faktor keyakinan diri dan keberanian juga merupakan nilai yang terpupuk dari masa ke masa. Alangkah indahnya nilai yang telah diperoleh oleh penuntut yang mempelajari SC. Setelah pelajaran silat diperoleh dengan selengkapnya, penuntut yang lahir hasil didikan SC mempunyai keperibadian yang unggul dan mantap. Mereka ini mempunyai daya tahanan diri yang teguh dan sukar diganggu gugat oleh sesiapapun.

Inilah hakikat ahli SC yang dikehendaki agaknya.

Sekian dan teriama kasih.