Sunday, February 24, 2008

KEISTIMEWAAN SILAT CEKAK-KU

TINGGAL KENANGAN


Sesuatu yang bermula akan berakhir. Itulah lawan perkataan yang tidak boleh dielakkan. Tidaklah lama sesuatu kejayaan itu berada dalam keadaan puncaknya. Kalau dikiaskan pernafasan pun, pernafasan yang sentiasa berada di puncak, itulah tanda akan berakhirnya riwayat seseorang. Dari segi hukum alam, biasanya setiap yang berada di puncaknya akan berakhir dengan kejatuhan. Cuma yang berbeza adakah kejatuhan itu jatuh dengan begitu cepat atau secara perlahan-lahan. Hukum ini umumnya diterima pakai oleh sesiapapun yang suka bercakap tentang kejayaan. Sejarah telah banyak membuktikan hukum ini.

Kejatuhan sesebuah organisasi banyak bergantung daripada tangan-tangan manusia yang berada dan menguasai organisasi tersebut. Kesemua mereka sedar akan hukum tersebut. Tapi sebaliknya merekalah yang telah berperanan menjadi pelakon utama sebagai pelakon dalam hukum yang diterima pakai tersebut. Kepentingan diri atau kononnya pembela maruah atau pembela kebenaran sering dijadikan alasan. Lagi bijak bercakap dan ’cerdik’ berfikir, maka lagi banyak karenah yang ditimbulkan. Kononnya pembela tapi hakikatnya mencela.

Sejak kepimpinan Ustaz lagi, dalam SC ramai cerdik pandai dan tokoh-tokoh yang berjaya dalam semua segi profesion. Sebagai ahli, kita berbangga dengan kejayaan dan kebolehan mereka yang ada. Apabila nama seorang ahli tersebut tertera dalam akhbar atau termuat dalam siaran TV, kita yang melihatnya turut berasa bangga. Lantas mulut bersuara. Itulah ahli kita. Sungguh membanggakan. Tentu Guru Utama turut berbangga ketika itu. Murid diasuh hingga berjaya. Saham Guru tetap ada.

Bila kita berpecah dua pada tahap pertama, tapisan kebanggaan mula berlaku. Setiap ahli SC yang berjaya, latar belakang persilatannya akan diambil kira. Adakah geng Pak Ak atau geng En Mat. Puak Pak Ak akan berbangga jika ahli yang berjaya itu terdiri daripada pegikut fahaman mereka. Begitulah sebaliknya, walaupun asal ahli tetap daripada SC yang satu - yang bergurukan sekepala. Sangat cepat dan mudah mereka beralih nilai persahabatan yang diasuh dengan jayanya ketika berada di bawah kepimpinan Allahyarham Ustaz di suatu masa dahulu.

Dalam konteks SC Ustaz Hanafi, keadaan yang sama tetap berlaku. Dalam SC ada ramai tokoh yang berjaya. Kejayaan mereka adalah pelbagai. Ada tokoh-tokoh bank walaupun yang beralih bank, ada tokoh-tokoh koperat, ada ahli-ahli profesional dan ahli-ahli akademik dan pelbagai lagi. Mana universiti yang tidak ada ahli. Daripada pensyarahnya hingga ahli tadbirnya, semuanya terlibat dalam aktiviti SC. Kita sungguh berasa bangga dan bertuah kerana dapat menumpang kemasyhuran mereka atas nama persaudaraan ahli SC. Kejayaan mereka dirasakan kejayaan bersama, walaupun berasa seolah-olah syok sendiri. Hubungan sesama ahli tidak melambangkan protokol rasmi. Mereka boleh bercampur gaul dan menghormati sesama ahli. Semuanya bernaung di bawah guru yang satu. Keadaan ini berjalan begitu lama. Perasaan syak wasangka tidak pernah wujud. Walaupun kadang kala mereka berlainan pendapat tapi tetap menghormati kejayaan peribadi yang ada pada individu. Semuanya masih berada di bawah satu guru.

Walau bagaimanapun, akibat pepecahan kedua, tapisan kejayaan dan kebanggaan telah bermula seperti dulunya. Kalau individu SC itu hebat setinggi manapun, latar belakang persilatannya akan diambil kira oleh ahli untuk mengiktiraf kehebatannya. Murid En Mat tetap menafikan kehebatan penyokong Guru Persatuan atau Guru Wawasan. Begitulah sebaliknya. Kalau dulu bergelar Ustaz yang hebat di kalangan semua ahli SC tapi sekarang dicop ustaz sekular oleh puak yang tidak menyokongnya. Kalau dulu bergelar tokoh koperat yang berjaya di kalangan semua ahli SC tapi sekarang bergelar tokoh keparat oleh ahli yang berlainan pendapat dengannya. Semuanya dalam konteks SC. Itulah salah satu akibat pepecahan yang berlaku. Sungguh menyedihkan. Kawan rapat boleh menjadi renggang oleh kerana fahaman yang berbeza. Kerana silat mereka bertemu maka kerana silat juga mereka berpisah. Jelaslah bahawa selama ini hubungan sesama ahli adalah atas dasar persilatan. Bukannya atas semangat setia kawan yang berkekalan seperti tuntutan agama. Pada kita hanya boleh berkata, ”sepatutnya hubungan peribadi boleh diteruskan walaupun berlaianan pendapat atas hak persilatan”. Tapi itu semua tidak berlaku. Hubungan sesama ahli dalam SC mempunyai ciri hubungan yang tersendiri. Hubungan hanya boleh berkekalan jika berada di bawah satu guru. Hubungan akan terputus jika ahli tersebut beralih guru. Baik atau buruk sikap tersebut, itulah kenyataan yang ada.

Bukan kita tidak sedar akan senario yang berlaku atau yang akan berlaku. Tapi kerana kepentingan akan sesuatu, kita rela keadaan ini wujud. Maka bermulalah kembali para pendukung berlainan guru untuk membanggakan kejayaan ahli yang ada di kalangan kumpulan mereka. Tapi kebanggaan ini hanya berkekalan sehingga berlaku pepecahan yang berikutnya. Itulah hukum alam yang ada. Tidak ada siapapun yang boleh menahannya daripada berlaku selagi kepentingan diri mengatasi segala-galanya. Kepentingan diri tersebut pastinya bersandarkan atas sifat sebagai pembela kononya. Polis antarabangsa. Tapi kali ini lebih canggih. Polis boleh melantik hakim yang bertindak sebagai pengadil. Seakan-akan macam permainan bola agaknya. Maklumlah salah seorang bakal guru tersebut pernah ada kelab peminat bola sepak. Tapi ramai ahli yang jadi penyokongnya sekarang bertopengkan Guru Persatuan. Jadilah mereka pada hakikatnya penyokong dunia bola sepak. Bukannya penyokong dunia persilatan. Itulah fasalnya kalau fikiran selalu diletak di celah-celah yang ada.

Dalam konteks persilatan SC, di kalangan kita ramai yang mempunyai pengetahuan yang luas dan pengalaman yang mendalam kerana sering bersama dengan guru sejak zaman Ustaz Hanfi lagi. Mereka boleh menjadi sumber rujukan yang sangat berharga dan boleh dianggap ’permata’ yang berharga. Tapi sayangnya permata tersebut telah kehilangan harga pada mereka yang berlainan pandangan dengannya. Sumber rujukan tersebut semakin mengecil dan cuma berharga pada kalangan mereka yang bernaung pada guru tertentu. Secara langsung rujukan kita semakin ditiadakan. Percayalah. Satu masa nanti, fahaman SC akan porak peranda. Akibatnya, tiada apa yang teristimewa dengan kita. Biasa sahaja. Jadilah silat kita sebagai satu silat biasa seperti yang ada di negara ini. Tapi keistimewaan yang ketara tetap ada. Itulah kelebihan kita. PEPECAHAN. Teruskanlah pepecahan yang ada. Itu adalah ciri kepimpinan kita.