Tuesday, January 29, 2008

TINDAKAN SEGERA

Tidak banyak isu lagi yang timbul. Semuanya diam membisu. Masing-masing menjalankan aktiviti dalam senyap. Hanya ahli yang berkenaan yang tahu. Puak Persatuan lebih mudah menjalankan sebarang aktiviti. Semua kuasa persatuan ada pada mereka. Daripada segi persatuan, amat payah untuk mempersoalkan program mereka. Sebaliknya sebarang aktiviti yang dijalankan oleh puak En Mat amat sukar dilakukan. Kuasa persatuan tidak ada pada mereka melainkan hak hakiki untuk menjalankan tugasan silat. Itupun masih bersandar pada adat dan adab dalam konteks dunia persilatan SC. Mereka terpaksa menjalankan aktiviti-aktiviti dalam perasaan takut dan berhati-hati. Maklumlah. Kegiatan mereka masih memerlukan sandaran Persatuan. Tapi pemerintah Persatuan telah menolak fahaman mereka. Semua kegiatan mereka diperhatikan. Surat-surat amaran dan ugutan kepada ahli-ahli yang terlibat sentiasa dikeluarkan dari masa ke masa.

Setelah kian lama berlalu, masing-masing dengan alasan dan pendapat yang tersendiri dari segi kepemimpinan SC. Pelbagai pegangan yang kita boleh perhatikan. Ada yang berdasarkan pada prinsip, ada yang berdasarkan pada hubungan, ada yang berdasarkan pada pesanan dan ada yang berdasarkan pada kepentingan. Kepentingan daripada segi peribadi atau persatuan. Berpeganglah mereka pada pegangan tersebut.

Orang dulu-dulu tetap sentiasa mengharapkan SC berada dalam landasan seperti mana yang dibina oleh Ustaz Hanafi. Tapi perubahan tetap akan berlaku. Ada yang dapat mengikuti perubahan tersebut dan tidak kurang juga yang kecewa dan terpaksa menyindiri. Namun ada juga yang bangkit untuk menentang arus perubahan. Pelbagai taktik dijalankan bagi mempastikan SC berada dalam landasan yang mereka tafsirkan sendiri. Maka wujudlah pepecahan dan persengketaan yang tidak mungkin akan pulih seperti sedia kala. Semuanya berdasarkan tafsiran mereka sendiri. Lebih-labih lagi tafsiran yang ada pada golongan baru generasi Pak Ak dan generasi En Mat. Tafsiran mereka pada SC jauh lebih berbeza. Bergiatlah mereka dalam dunia SC mengikut tafsiran mereka sendiri.

Sumber rujukan dalam SC semakin lama semakin kehausan. Bukan tidak ada orang untuk dirujuk tapi masalah pengiktirafan yang lebih ketara. Kalau sudah mirip ke arah Persatuan, mana mungkin puak En Mat ingin mendekatinya. Begitulah sebaliknya. Maka ilmu persilatan dalam SC di suatu masa nanti akan bertambah malap. Masing-masing dengan semangat keegoannya. Silat dan Persatuan telah tidak dapat dipisahkan. Kerana persatuan maka mereka sanggup mengorbankan silat itu sendiri.

Generasi yang bergurukan pada Ustaz yang tidak pernah mementingkan kuasa, melihat apa yang berlaku sebagai sia-sia. Gelagat-gelagat ahli yang menerima pakai segala ajaran Ustaz satu masa dulu begitu ketara. Kesetiaan dan penghormatan tertinggi bukan setakat diberi pada Ustaz malah diikuti oleh isterinya. Ada yang mencium tangan isterinya dan mengakui ibu di dunia dan akhirat. Walaupun Ustaz telah meninggal dunia, rumah isterinya menjadi sasaran. Tapi segala-galanya menjadi kenangan. Masing-masing ada alasannya untuk menidakkan tradisi mesra dengan isteri Ustaz.

Kefahaman silat lebih bersandarkan pada tafsiran. Mana ada rujukan khusus. Jadilah mereka umpama si buta memegang gajah. Tafsiran ini akan terungkai apabila SC akan berpecah buat kali yang berikutnya. Puak persatuan akan mentafsir SC berdasarkan kefahamannya manakala puak En Mat akan mentafsir dunia persilatan SC berdasarkan tafsiran mereka. Mungkin yang lebih ketara, tafsiran dalam kumpulan En Mat lebih berpusat kerana mereka mempunyai sumber rujukan yang satu. Sebaliknya tafsiran dalam dunia persilatan Persatuan mungkin melibatkan pelbagai pihak. Guru Persatuan yang terlantik hasil usaha sama golongan-golongan tertentu tentu tidak dapat mengawal tindak tanduk ahli-ahli dalam persyarikatan yang terbentuk. Maka tafsiran pada SC di kalangan ahli Persatuan akan pelbagai dan bertambah rencam. Keadaan ini semestinya dapat dikurangkan dalam kalangan ahli-ahli Persilatan.

Ilmu SC sendiri akan ditafsir dalam bentuk pelbagai sama ada geraknya atau kefahaman gerak tersebut. Sumber rujukan sudah tidak tentu hala. Namun begitu dalam Persatuan, Guru Wawasan akan memainkan peranan. Beliau adalah pakar dalam pergerakan SC. Dengan memiliki tubuh yang sasa, pasti silat yang dibawanya akan perkasa. Walau bagaimanapun, dalam golongan Persilatan, walaupun ada Gurunya tapi beliau juga sentiasa dihimpit oleh mereka yang kurang boleh mentafsir. Itu belum lagi kita tinjau persilatan yang diamalkan oleh Cekak Pk Ak. Maka wujudlah pelbagai versi dalam pergerakan SC yang dulunya sapancur daripada ajaran yang satu. Mungkinkah demi memantapkan pergerakan SC, semua pihak akan dapat duduk semeja untuk memastikan mutu SC sentiasa terpelihara. Mustahil. Akan banjir seluruh negara jika impian tersebut berlaku. Agaknya.

Puak-puak Persatuan telah mantap. Mereka mempunyai pelbagai pilihan tindakan kerana kuasa persatuan di tangan mereka. Mesyuarat agung boleh ditangguh. Dakwaan di mahkamah boleh ditunda-tunda walaupun hakim yang berkuasa. Dan macam-macam lagi. Zaman sekarang pergerakan silat adalah dikuasai oleh persatuan. Manakala puak-puak yang menyebelahi En Mat masih tak tentu hala. Mereka masih menungu dan lambat bertindak. Kalau dibiarkan hal ini berterusan, mereka yang berdiri di atas pagar tapi mirip pada En Mat akan terus mendiamkan diri.

SC yang dipimpin oleh En Mat perlu diteruskan. Beliau mempunyai mandat yang sah. Oleh sebab persatuan adalah alat untuk menggerakkan silat maka perlulah wujudkan persatuan yang membolehkan En Mat bergerak dengan tenang. Lupakan persatuan yang sedang dikuasai oleh Pak-Pak yang bernaungkan Guru Persatuan. Biawak akan tetap memilih bangkai. Sia-sia sahaja untuk menyakinkan mereka. Guru persatuan akan terus melahirkan muridnya sendiri. Semakin lama semakin ramai. Murid-murid baru ini semestinya akan mengenepikan En Mat langsung. Mana mereka peduli tentang persengketaan, kebenaran atau mandat perguruan.

Saya yakin jika telah ada persatuan baru dengan En Mat sebagai Gurunya, pengaruh yang sedia ada tidak akan hilang dengan sebegitu mudahnya. Biarlah SC berpecah kepada tiga gergasi persatuan cekak yang besar. Kalau sudah ada Cekak Malaysia dan Cekak Hanafi maka apa salahnya jika ada lagi satu Cekak. Pakailah gandingan nama dalam bentuk apa saja.

Ketika itu saingannya adalah terbuka. Tektik dan taknik yang mantap akan menentukan kejayaan pada mana-mana persatuan. En Mat masih muda. Saingannya adalah kurang. Cuma, perhatikan orang kanan yang dilantik. Beliau boleh bertahan lama.

Sebaliknya dalam persatuan yang sedia ada, persaingan hebat akan berlaku lagi. Kedua-dua penerajunya semakin tua. Kalau diumpamakan kereta, minyak hitamnya semakin lama semakin kurang. Dalam Persatuan mungkin ada Guru Wawasan yang bakal mengambil alih kuasa. Tapi pasti beliau akan ditentang oleh mereka yang mempunyai pengaruh yang sama. Mereka akan berpecah lagi. Berpecah memang hobi mereka. Dalam CM, gurunya pun sudah tua. Perebutan kuasa dan perebutan pengaruh pasti akan berlaku. Persatuan merekapun tidak akan mantap pada satu masa nanti.

Keadaan yang berlaku tersebut pastinya akan memberi keuntungan kepada En Mat untuk bergerak maju. Tapi syaratnya mesti ada persatuan baru yang boleh berpaut ketika ini. Itu sebabnya saya syorkan cepat-cepat tubuhkan persatuan SC yang baru dan lupakan persatuan SC yang sedia ada. Kalau satu tahun yang akan berlalu, Guru Persatuan akan membentuk beratus ahli baru. Kalau dua tahun atau tiga tahun, sudah jadi berapa. Semakin lama semakin ramai ahli yang akan menguatkan kedudukan Guru Persatuan dalam mesyuarat agung. En Mat akan melompong ketika itu kalau tidak bertindak segera. Sebaliknya kalau tahun 2008 ini ada persatuan baru, tahun depan persatuan baru ini akan mantap dan semakin mantap pada tahun-tahun seterusnya. Ketika CM dan CH berpecah kerana krisis kepimpinan, En Mat akan mudah mengambil peluang untuk meluncurkan persatuan yang dipimpinnya dengan lancar tanpa ada rintangan yang berat. Jadikan kes mahkamah yang sedang berlangsung ketika ini sebagai hajat untuk memenuhi kepuasan peribadi sahaja.

Para penasihat En Mat perlu bertindak segera. Susun strategi dengan berkesan. Biar kita mengalah pada peringkat awal tapi menang di akhirnya. Tuhan akan menentukan segala-galanya. Tapi mana kita tahu akan ketentuan-Nya tanpa kita berusaha dari sekarang.