Wednesday, June 13, 2007

TERKENANGKAN ADAT DAN ADAB

Sudah tidak berguna lagi kita mengungkit segala sifat kelemahan mantan Guru. Akan tetapi ada golongan yang terus menggali dan menimbun kelemahan-kelemahan tersebut berlori-lori semata-mata untuk menyedapkan hati. Orang kanan pulak tu. Semuanya tidak baik daripada segi pesepsinya. Hinggakan perbelanjaan Guru atas pendapatannya juga dipersoalkan. Kita belum jelas akan kedudukan En Mat untuk masa-masa akan datang. Tapi yang jelasnya beliau masih muda dan dapat meneruskan perjuangan bapanya.

Dalam tulisan yang lalu ada saya bangkitkan soal mutu silat Cekak itu sendiri. LPT dan MMT perlu memainkan peranan yang tepat untuk mengawal mutu dunia persilatan kita. Apa yang dibincangkan hanya sebagai kenangan dan harapan supaya dapat berulang kembali atau sebagai kenangan sejarah. Mungkin mustahil generasi baru akan memahami dan dapat mempraktikkannya.

Satu aspek lagi yang dapat mengawal disiplin ahli-ahli SC ketika berada di bawah Allahyarham Ustaz Hanafi ialah adat dan adab yang kini mungkin kurang diambil berat sejak sekian lama selepas pemergian Ustaz. Adat dan adab ini meliputi hubungan antara ahli dengan ahli dan ahli dengan Guru dan ahli keluarganya. Adat yang merupakan budaya atau cara kehidupan kita sebagai ahli SC tidak pernah tertulis. Walau bagaimanapun semua ahli dapat menerimanya dan dipraktikkan dari masa ke masa. Selain segi pakaian yang melambangkan disiplin kita sebagai ahli SC, sifat dan sikap menghadapai atau menyelesaikan sesuatu tanggungjawab, telah menyerlahkan satu budaya kerja yang positif di kalangan ahli. Hal yang sedemikian telah membantu pergerakan kita terus berjaya dan dianugerah sebagai persatuan yang mempunyai bidang pengurusan terbaik.

Banyak adat dalam SC yang telah diubah suai tapi ada yang masih dikekalkan. Kita tidak perlu persoalkan penggunaan limau purut, kain putih, amalan mandi dan sebagainya. Antara adat yang menarik ialah ketika tamat. Adat yang memerlukan kita membawa seekor ayam setiap seorang dan seekor atau dua ekor daripadanya dijadikan ayam petunjuk, boleh menimbulkan suasana akrab sesama ahli. Tak payah ikrar-ikrar. Membawa seekor ayam setiap ahli yang hendak tamat, telah diubah suai tapi penggunaan ayam petunjuk dikekalkan. Saya rasa pengekalan adat tersebut kerana perbuatan itu nampak menarik dan dapat menimbulkan konteks antara murid dengan gurunya. Bahagian apa daripada ayam petunjuk yang dipilih oleh murid adalah tidak penting. Walaupun ada direkodkan tapi pada saya hanya habuan ”gempak” sahaja. Tidak pernah dibuat kajian atas pemilihan tersebut. Jika ada murid yang menderhaka, bukti pemilihan bahagian ayam tersebut tidak pernah diambil kira. Kalaulah perbuatan tersebut dianggap perbuatan yang perlu, tentu Guru dapat mengawal gelagat anak muridnya sama ada boleh dipercayai atau tidak. Walau bagaimanapun, amalan tersebut perlu dikekalkan atas sifatnya yang luar biasa dalam konteks murid dengan Gurunya. Di situlah dikatakan Guru mempunyai kekuatan atau ilmu untuk mentafsir murid walaupun dalam keadaan sebenarnya mungkin tidak akan berlaku.

Adab yang wujud dalam SC juga tidak pernah dihitamputihkan. Semua ahli sedia menerima tanggungjawab untuk melaksanakan adab-adab yang diperingatkan oleh Guru dan orang-orang lama. Zaman Ustaz, adab sangat dipentingkan. Saya dapat rasakan betapa adab yang wujud telah dapat membantu para ahli mendisiplinkan diri dan mengawal diri. Di sini saya turunkan beberapa bentuk adab yang sering juga dijadikan isu oleh orang-orang yang tidak memahaminya.

Pernah seorang sahabat kita ditegur kerana menyilang kaki ketika duduk di atas bangku, berhadapan dengan Guru. Perbuatan tersebut dianggap tidak manis dan tiada adab. Apatah lagi kita dilarang menggetar atau menggoyangkan kaki. Teguran ini kerap kali dilakukan oleh Ustaz pada sahabat-sahabat lama kita ketika berhadapan dengannya. Kalau difikirkan secara logik disiplin duduk merupakan pelakukan yang menunjukkan rasa rendah hati dan hormat pada Gurunya yang dipupuk dari masa ke masa. Kalau boleh, kita digalakkan ketika duduk menghadap kiblat. Tapi ini bukan kemestian, cuma digalakkan.

Dalam SC tunduk memberi hormat ada caranya. Kita digalakkan untuk menundukkan kepala sahaja sebagai tanda hormat dan bukannya bersama menundukkan badan. Akan tetapi ada kalanya di kalangan ahli, mereka menundukkan diri hampir ke peringkat tunduk dalam sembahyang. Hal ini tidak pernah dianjurkan oleh SC. Kalau berlaku maka cepat-cepat ditegur oleh sahabat-sahabat kita dalam SC bagi mengekalkan adab tersebut sepanjang masa. Tidak perlu menunggu isyarat larangan daripada Guru.

Kita disogokkan dengan kesilapan Guru yang berkehendakkan anak muridnya mencium tangan. Hal ini adalah di luar adab SC dan tidak pernah wujud mana-mana Guru SC yang memerintahkan perbuatan tersebut. Banyak yang terjadi, murid mencium tangan Guru secara tidak dirancang tetapi menjadi ikutan yang lain. Pada dasarnya kita perlu bersalaman dengan Guru. Ketika bersalam adab mana-mana murid dengan Gurunya, kita menundukkan kepala. Menundukkan kepala tanda kita hormat dan setia pada Guru. Ketika tunduk kalau kita hendak mencium tangan kita atau tangan Guru, itu di luar daripada anjuran SC. Kalau berlaku perbuatan tersebut dengan Guru, menjadi tanggungjawab kita menasihati ahli tersebut supaya mereka memahami atas perbuatan yang dilakukan. Tapi kalau tunduk dan mencium tangan sendiri seperti yang sering dilakukan oleh sesetengah orang sekarang, tidak menjadi soal. Malangnya kita sendiri tidak mengetahui asal usul perbuatan tersebut. Oleh sebab kita tidak tahu untuk membuat teguran maka dengan mudah kita letakkan kesalahan tersebut di bahu Guru. Inilah kekurangan yang dihadapi oleh kepemimpinan dalam SC.

Begitulah pentingnya adat dan adab dalam dunia pesilatan. Sesetengah silat ada Lembaganya sendiri yang mengawal aspek-aspek berkenaan. Dalam SC, MMT boleh memainkan peranan untuk mengawal aspek-aspek tersebut. Jawatankuasa-jawatankuasa yang ada dalam SC adalah mencukupi. Bidang tugasnya boleh dikaji dari masa ke masa. Cuma pengenalan jawatankuasa dalam SC agak macam politik. Ada Majlis Mesyuarat Kebangsaan, Negeri dan Tertinggi. Nama cukup hebat, sehebat pengurusan negara. Oleh sebab ada unsur-unsur politik maka tindak tanduk para pemimpinnya pun suka bermain dengan politik. Akhirnya Guru sendiri tertendang keluar. Itulah politik SC akhirnya.


Saya ketengahkan persoalan di atas sebagai mengaimbau kembali antara kaedah Guru untuk mengawal tindak tanduk muridnya di satu masa dahulu. Nampaknya, perbincangan tentang adab dan adat sudah tidak sesuai dalam suasana sekarang. Apabila orang utama diambil mudah bermakna segala bentuk tatakelakuan tidak lagi dititikberatkan. Soal keberkatan tidak lagi menjadi tujuan utama. Oleh sebab banyak idea baru yang diketengahkan dalam SC sekarang ini, segala tradisi akan dianggap lapuk. Pada mereka, usaha adalah merupakan pokok utama atas kejayaan seseorang. Pelajar yang berjaya adalah kerana usahanya. Peranan Guru akan dianggap sebagai alat untuk menyampaikan ilmu. Kerana itulah seperti yang dinyatakan di atas, soal keberkatan akan terus diketepikan dari masa ke masa.

Untuk dunia persilatan moden, perkembangan yang berlaku ini adalah baik dan teruskanlah terutama pada mereka yang berfikiran moden. Orang Melayu perlu berubah. Berubahlah. Itu, pada mereka yang berfikiran sedemikian. Pada mereka yang kurang sesuai dengan fahaman ini, mungkin tidak sesuai untuk terus berada dalam SC yang serba moden ini. Sama ada mereka mendiamkan diri dan berperanan sebagai tempat rujukan atau meneruskan perjuangan dalam dunia persilatan yang masih mementingkan adat dan adab.

SC akan kembali pulih sedikit masa lagi. Namun, nilai yang ada dalam SC pasti tidak akan sama seperti yang ada sebelumnya. Nilai ini meliputi soal-soal yang berhubung antara hubungan sesama ahli atau antara ahli dengan ketuanya atau pemimpinnya. SC akan terus berada dalam satu fahaman moden yang sesuai dengan fahaman bela diri yang ada. Ahli yang masuk mempelajari SC akan lebih menumpukan isi pelajaran yang diajar tanpa menekankan aspek-aspek yang dibicarakan di atas dan perbincangan yang terdahulu.

Kalau ada antara kita yang ingin menimbulkan isu bahawa SC seperti konsep kulit dengan isi atau sarung dengan senjatanya maka itu tidak lagi sesuai dengan ahli-ahli SC ketika ini. Mereka akan tertawa. Apa guna senjata dan sarungnya kalau mata senjata tidak diasah. Perkara yang penting ialah asahan. Tekankan cara mengasah yang betul. Di mana simpannya senjata tersebut, itu tidak penting. Kalau senjata telah diasah, banyak benda yang boleh dikerat dan dipotong.

Mungkin ada masa-masanya kedengaran suara-suara yang berbunyi, ” dah tak seronoklah keadaan dalam SC sekarang ini.”

Atau mungkin kedengaran suara;” Bestlah SC sekarang ini’”

Sukahatilah Labu. Asalkan engkau berbahagia, sudahlah!!! Teruskan ikrar ye.