Monday, August 9, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN (4)

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN (4)

Konsep perbuatan memberi salam sama ada menggunakan tangan atau mulut, sangat saya pentingkan. Dalam tulisan terdahulu, saya telah sentuh tempat-tempat yang perlu dipraktikkan perbuatan salam menggunakan tangan. Perbuatan salam meliputi antara penuntut dengan penuntut, penuntut dengan Jurulatih dan sesama Jurulatih. Kalau dikirakan berapa kali salam, tentunya banyak kali. Antara lain dapat kita lihat dalam situasi seperti yang berikut:

a. Sampai kelas, salam dengan Jurulatih yang sedia menunggu.
Bergantung pada situasi. Siapa yang dulu sampai.
b. Bersalaman sesama penuntut.
c. Setiap kali penuntut menerima buah pada sebelum dan selepas dapat buah.
d. Masa balik, bersalam dengan Jurulatih dan sesama rakan.
e. Dalam proses penurunan buah, sesama Jurulatih juga saya tekankan disiplin salam. Pembantu Jurulatih hanya dibenarkan mengajar atau mengendalikan kelas selepas bersalam dengan Jurulatih yang bertanggungjawab dalam kelas berkenaan. Bersalam sama ertinya dengan konsep menerima izin menjalankan tugas atas dasar Jurulatih atau Penyelia Kelas tersebut adalah wakil Guru. Kesannya amat baik. Hal-hal yang memungkinkan sifat angkuh atau tak sehaluan atau ’melawan taukeh’ dapat dihindarkan. Keadaan yang sedemikian telah terbukti kebenarannya.

Adab dan adat bersalam ini jika ditekankan perbuatannya akan memberi banyak manfaat. Suasana kelas akan menjadi lebih seimbang dan harmonis. Saya selalu ingatkan pada mereka yang bersalam. Ketika perbuatan salam dilakukan maka mata biasakan bertentang mata dengan orang yang kita salam. Rasakan sentuhan salam tersebut. Dari mata turun ke hati. Itu sebabnya orang yang bersalam tanpa merenung mata adalah merupakan orang yang bersama jasad tanpa beserta dengan hati atau rohnya. Sambil lewa dan tidak memandang atau tidak mengakui kewujudan kita di depan matanya. Jangan-jangan sifat demikian melambangkan keangkuhannya yang sebenar.

Saya juga telah sentuh dalam tulisan terdahulu jenis golongan ini yang mendakwa rapat dengan Ustaz. Tapi bongkak dengan sesama ahli silat yang lain. Salam tak tengok muka. Besar kepala. Ambil peluang rapatkan diri dengan Ustaz dalam keadaan kesampingkan orang lain. Jenis haprak dalam persilatan kita. Bila berbicara maka dibuktikan sebagai pengamal SC yang mulia. Jenis manusia ini memang ada dalam kalangan kita. Kerap kali tampil ke depan mendakwa sebagai pembela perjuangan SC pusaka Hanafi yang mulia. Pembela yang bermusim. Kemunculannya ikut keperluan. Bukan berjuang sepanjang masa. Janganlah kita terpedaya dengan bijik buah mereka.

Mungkin sekarang ini sudah menjadi kebiasaan orang yang tidak mementingkan prinsip dari mata turun ke hati. Hinggakan cenderamata pun ditukar istilah jadi cenderahati. Kalau dulu, setiap pemberian hadiah dikira sebagai lambang buat tatapan mata terlebih dahulu, sebelum berkenan dan dihargai di hati. Sekarang langsung terus di hati. Fahaman songsang. Mata tak payah tengok. Tak payah tengok pemberian orang. Sesuai untuk orang-orang buta dan orang-orang yang buta kayu. Rosak betul budaya kita!.

Zaman dulu-dulu, ketika bersalam pun mereka akan mencuba gerak. Tapi dengan kita hal yang demikian tidak akan mendatangkan masalah. Itupun pada mereka yang mengetahui dan menghayati falsafah, konsep dan prinsip SC. Itu sebabnya dalam situasi bersilat, kita perlu bersikap waspada, hatta pada rakan seperguruan yang memberi salam. Ustaz pernah menyentuh soal ini dalam satu majlis bersama dengannya. Namun begitu, yang jelasnya, konsep ’percaya boleh, yakin jangan’ perlu dipegang dalam pelbagai situasi silat. Hal yang demikian amat berguna pada kita jika mendakwa sebagai pengamal silat. Keuntungannya amat berharga dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Kemantapan mengendalikan satu-satu kelas latihan sangat bergantung pada kewibawaan Jurulatih. Mereka akan menentukan sama ada kelas-kelas latihan tersebut memberi kesan pada pembelajaran penuntut. Peranan mereka umpama peranan guru utama yang telah memberi mandat pada mereka. Tapi yang pastinya jangan berlagak umpama Guru Utama hingga tak sedar kedudukan diri. Cakap sesuka hati. Perasan akan menguasai diri. Akhirnya juga rosak diri. Telah terbukti.

Oleh itu disiplin diri Jurulatih juga adalah merupakan salah satu faktor yang tersangat penting dan saya tekankan dari masa ke masa. Semasa sessi pengendalian kelas, pastikan hanya seorang Jurulatih sahaja yang membuat penerangan. Walaupun pada hari yang berkenaan ada ramai Jurulatih sama ada sama tuanya atau pun tidak, mereka perlu membuat jadual mengendalikan kelas. Jurulatih yang terikat dengan jadual sahaja boleh membuat penerangan. Jurulatih yang lain boleh juga memberi penerangan tambahan dengan syarat mendapat kebenaran atau diberi laluan oleh Jurulatih yang bertugas. Itupun saya tidak galakkan. Tidak mahu persaingan popular sesama mereka. Terutama pada Jurulatih yang tidak mantap kedudukannya.

Lebih baik jika ada penambahan atau penambahbaikan untuk penerangan, nyatakan saja pada Jurulatih yang bertugas terlebih dahulu. Kita tidak mahu wujud kecenderongan dalam kalangan penuntut membuat perbandingan sesama Jurulatih yang mengendalikan kelas mereka. Oleh itu, sebarang kesilapan atau tertinggal fakta hanya akan diterangkan kembali oleh Jurulatih yang membuat penerangan dalam kelas latihan tersebut. Mandatori. Akur sahaja.

Di Cawangan saya, kesemua Jurulatih yang ada, saya kursuskan terlebih dahulu sesuai dengan hala tuju setiap pelajaran SC yang ingin saya bawa. Tambahan pula hampir kesemua mereka adalah merupakan bekas penuntut yang saya didik dalam persilatan SC. Setiap kali pelajaran silat, saya akan beri taklimat kepada pengendali kelas latihan hari itu tentang prinsip buah-buah yang berkenaan. Saya tumbuk dan mereka buat buah. Saya akan komen jika tidak berpuas hati tentang cara mereka ambil buah.

Saya berkeyakinan bahawa cara yang saya lakukan itu adalah patut dan penting kerana penuntut kita akan melihat cara Jurulatih mengambil buah berbanding dengan penerangan yang kita beri. Kerap kali penerangan kita kurang diberi perhatian ataupun dengar tak dengar sahaja. Oleh itu, jangan terang lama-lama. Penerangan biarlah lebih berfokas dan terus pada tujuan buah-buah berkenaan. Jangan membebel macam nenek tua. Tapi cakap tak serupa bikin. Penerangan bercanggah dengan perbuatan. Selalu saya ingatkan mereka.

”Kita membuat penerangan pada mereka yang lupa. Perbuatan yang kita tunjukkan pada penuntut akan menyebabkan mereka boleh ingat kerana sesuai dengan fitrah manusia. Apabila mereka dilibatkan dengan pengambilan buah-buah tersebut maka akan fahamlah mereka tentang apa yang ingin kita sampaikan.”

Oleh itu, jangan banyak bercakap. Tunjukkan buah pada mereka melalui perbuatan benar yang kita lakukan. Kemudian libatkan mereka dengan cara kita pula yang membuat tumbukan dan mereka mengambil buah-buah yang kita turunkan. Maka akan hebatlah penuntut kita. Dua campur dua pastinya empat. Yakin sekali.

Hal yang demikian adalah penting bagi mempastikan setiap buah SC yang diturunkan kepada penuntut benar-benar tepat dan memberi makna pada pengamalnya. Oleh sebab itu, saya berhak campur tangan jika penerangan yang mereka beri pada penuntut tidak lengkap atau tersasar daripada matlamat pelajaran. Setakat pengalaman saya mengendalikan kelas, hal yang demikian tidak mendatangkan sebarang masalah. Kesemua Jurulatih di bawah kelolaan saya masih dapat menerima keadaan yang wujud tersebut. Maka saya terus dihormati sebagai pembimbing utama. Agaknya.

Sekian setakat ini.

Sunday, August 8, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN (3)

Semasa saya menuntut SC, saya merupakan pilihan utama untuk mendapatkan buah baru dalam setiap pemulaan kelas latihan. Semua kaedah atau buah yang akan diturunkan adalah bermula dengan saya menerimanya terlebih dahulu. Kenapa saya dijadikan pilihan utama untuk mendapatkan buah bagi setiap proses penurunan ilmu SC. Dalam hati saya, banyak agakannya. Namun begitu, pastinya hal yang demikian ada kaitan dengan persetujuan bersama Ustaz sebelum buka kelas silat di tempat saya. Saya telah ceritakan dalam tulisan terdahulu tentang persetujuan bersama tersebut. Namun begitu, tidak ada siapapun antara penuntut yang persoalkan keadaan itu. Semua mengakui bahawa saya berperanan sebagai ketua Kelas. Sekurang-kurangnya kerana saya juga bertanggungjawab membuka kelas berkenaan. Agaknya kerana itu saya berhak mendapat keistimewaan.

Oleh sebab saya yang selalu mendahului senarai penuntut mengambil buah, maka saya sentiasa tertanya-tanya akan apa yang bakal berlaku pada diri saya dalam setiap buah yang diperturunkan. Dalam hal ini, maka banyaklah pengalaman yang ’memeranjatkan’ telah saya tempuhi. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah seperti berikut.

Buah pertama, bagai nak patah tulang rusuk. Buah Sendeng Atas, menelan darah akibat bibir pecah. Kilas Belakang, diri melayang dan kebingungan. Buah Kidung, lembek lutut. Tak payah tekan pelipat. Jatuh sendiri. Ali Patah Sudah menghilangkan nikmat minum air. Pasung Kemanga menghasilkan kejutan letrik. Buah Lintau, bintang bersinar. Buah Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung menghasilkan jeritan yang kuat dan begitu juga dengan setiap buah jatuhan lain yang mempunyai ’keistimewaanya’ tersendiri. Itulah antara lain pengalaman yang diterima ketika menerima buah-buah asas dan jatuhan. Pengalaman tersebut adalah teristimewa bagi penuntut pertama yang tidak boleh membuat jangkaan akan apa yang bakal diterima. Penuntut kedua dan seterusnya saya rasa kurang ummm-nya. Mereka sudah boleh membuat jangkaan dan pengawasan diri pada setiap buah yang diterima.

Sebagai penuntut pertama juga, ketika pelajaran potong dan serang maka pengalaman lain pulak yang diterima. Gerak potong banyak dipengaruhi oleh gerak mengambil buah jatuh. Jika pantas mengambil buah jatuhan maka lagi pantas kita memintas. Pastinya kelajuan akan mempengaruhi kekasaran. Lagi laju pergerakan maka lagi memungkinkan kekasaran dalam gerakan. Oleh sebab saya suka ambil cepat dan pantas maka teruk juga menerima pengalaman buah potong.

Buah serang kita adalah sangat ringkas tapi padat. Jika tidak dibuktikan kehebatannya maka memungkinkan wujud sifat tidak mengambil berat dalam kalangan penuntut. Oleh itu, kehebatan Buah Serang perlu dizahirkan pada penuntut. Sekali lagi saya mendapat pengalaman berharga selaku penuntut pertama menerima pelajarannya. Cara Ustaz memberi buah menyebabkan raungan yang tak tentu hala sebutannya. Baru tahu kehebatan serang SC. Walau pun tak banyak pelajarannya tapi amat besar maknanya jika penuntut sendiri menyaksikan kehebatan tumbuk serangnya.

Pemilihan seorang penuntut yang dianggap istimewa dalam kalangan penuntut pada setiap kelas, saya jadikan satu tradisi yang berterusan dari masa ke masa. Penuntut yang terpilih tersebut merupakan ’Ketua Kelas’; pengantara antara Jurulatih dengan para penuntut yang lain dari aspek pentadbiran persatuan. Beliau berperanan membuat pengumuman, mencatat kehadiran, pungutan yuran dan memberi arahan kepada penuntut yang diterimanya daripada Penyelia Kelas dari masa ke masa.

Kebolehan ketua kelas bukan terhad sebagai pembantu dalam pengurusan kelas, tetapi juga berperanan dalam proses menerima buah. Beliau juga saya jadikan sebagai penerima pertama buah dalam setiap pemulaan pelajaran dalam kelas latihan seperti mana yang pernah saya alami.

Sebagai panduan, untuk mengenal pasti watak penuntut berkenaan, saya mendasarkan pada beberapa faktor. Pertamanya ialah minat yang ditunjukkan. Ukuran minat boleh kita ketahui apabila kita turut turun padang bersama dengan mereka bersilat. Sikap dan pelakuan yang ditunjukkan akan memberi makna kepada kita bagi menentukan minat mereka sama ada mendalam atau mendatar sahaja.

Di samping itu, ketahanan fizikal juga perlu diambil kira. Penuntut berkenaan perlu ’tahan’ menerima gerak-gerak pukulan yang ada pada setiap buah. Bukan semua penuntut boleh menerima rasa pukulan tersebut. Walau bagaimanapun, rasa perlu dijelaskan dan ditunjukkan kepada mereka. Oleh itu, penuntut yang pertama adalah dikira bertuah untuk merasa setiap gerak yang ada dalam buah-buah SC. Maka itu, ketahanan dan bentuk fizikalnya adalah amat penting.

Ketua Kelas juga perlu mempunyai watak yang menyenangkan. Sifatnya adalah tidak panas baran. Hal yang demikian adalah penting bagi mengekalkan hubungan baik antara kita dengan ketua kelas yang dilantik. Di samping itu, ketua kelas yang kita lantik perlu mempunyai bakat kepemimpinan. Cakapnya boleh mempengaruhi penuntut lain. Sudah tentu kita juga turut berperanan untuk mengangkat statusnya dalam kalangan penuntut. Beliau dapat dididik untuk membantu kita mentadbir persatuan yang kita pimpin setelah tamat nanti. Hal yang demikian adalah penting bagi mempastikan persatuan kita bertambah mantap dari masa ke masa.

Sekian setakat ini. Sambung lagi.

Thursday, August 5, 2010

Sambungan... PENGENDALIAN KELAS (2)

Betapa mudahnya untuk mendapatkan ilmu SC dapat dilihat pada hari pertama kita berada dalam kelas. Berdasarkan pengalaman, saya lihat mempelajari SC lebih mudah dan tersangat mudah berbanding dengan silat-silat Melayu yang lain. Kita tidak perlu mengenakan pakaian silat yang khas. Memadai dengan T/shirt sahaja. Kalau permulaan kelas, kita hanya menunggu penerangan daripada Jurulatih.

Tidak ada senaman khas melainkan latihan kaki dan tangan. Cuma sekarang ini ada dibuat secara barisan. Zaman saya latihan-latihan tersebut merupakan anisiatif sendiri. Kalau nak kuasainya latih sendiri. Apa yang saya lihat ramai yang membuat latihan sendiri. Pelajaran baru pastinya akan cuba dikuasai dengan sepenuhnya oleh penuntut. Tugas kita ialah terangkan konsep satu genggam dan satu buka. Satu telentang dan satu telengkup. Aplikasikan dalam pelajaran kita.

Walau bagaimanapun tidak perlu kita membanding atau berbahas corak mana yang baik dan sesuai. Perkara pentingnya seperti yang saya nyatakan, dalam kelas latihan silat, kepelbagaian kaedah penyampaian adalah perlu dan amat baik dilakukan. Begitulah mudahnya mempelajari SC. Banyak lagi yang mudah dalam konteks silat selain daripada apa yang saya bincangkan di atas.

Namun begitu, kita perlu menyesuaikan konsep mudah dengan diri kita tanpa memudahkan aspek pembelajaran dan pengajaran. Kita perlu mementingkan kualiti penuntut kita dan bukannya mementingkan kuantiti semata-mata. SC sangat mementingkan kualiti. Berdasarkan pemerhatian saya, itu sebabnya dulu, kita tak pernah mendabik dada dan bermegah dengan bilangan ahli SC. Setakat ukuran ahli persatuan kita boleh menyatakan bilangan yang ada. Namun, berdasarkan ahli silat, ukuran bilangan ahli yang mengamalkan SC amat sukar diukur. Itu sebabnya juga sepanjang ingatan saya, kita tidak mudah mengeluarkan kenyataan tentang bilangan ahli seperti mana yang sering dilakukan oleh silat-silat Melayu yang lain ketika. Bermegah dengan bilangan ramai yang memasuki SC tidak memberi makna kepada kita.

Pengawalan atas kualiti ini juga dapat dilambangkan dengan prinsip membuka satu cawangan di setiap negeri. Kelas-kelas silat yang ada dalam negeri berkenaan akan dinamakan sebagai pusat-pusat latihan. Sekali kita buka cawangan, maka kita akan terus mempertahankan pembukaannya. Keperluan satu-satu pusat latihan adalah berdasarkan keperluan. Biasanya, kelas-kelas di pusat-pusat latihan juga akan dipertahankan dari masa ke masa.
Sebagai seorang Jurulatih yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu dalam kalangan para penuntut, kita perlu benar-benar meletakkan kepercayaan dan keyakinan pada SC. Kita percaya bahawa SC amat hebat dan hebat. Persoalannya adakah kita yakin diri kita juga hebat dan boleh menghadapi segala bentuk ancaman daripada musuh. Sebagai kiasan, kita boleh percaya apabila kita nampak buah epal dipanah atas kepala seorang penonton tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Namun begitu, yakinkah kita atas aspek keselamatan diri apabila epal tersebut diletak di atas kepala kita untuk dipanah.

Itu sebabnya, saya selalu tegaskan betapa kita yang belajar mesti mengambil berat setiap proses pembelajaran para penuntut. Di samping itu, kita perlu mengambil berat proses penurunan ilmu. Hal yang demikian supaya kualiti SC adalah terjamin dan sifat keyakinan dapat disemai.

Masa yang terhad perlu disesuaikan dengan diri. Jangan cuba mengurus masa. Orang yang mengurus masa selalu lupa diri. Kita perlu mengurus diri dan sesuaikan diri dengan masa yang telah ditetapkan oleh Tuhan selama dua puluh empat jam. Orang yang hebat sentiasa mendahului masa. Kalau mula kelas pukul lapan, ahli yang belajar dan Jurulatih yang mengajar eloklah datang awal. Orang biasa adalah orang yang hanya menepati masa. Manakala orang lemah sentiasa melewati masa. Salah satu punca yang menyebabkan orang-orang yang lemah melewati masa adalah disebabkan sifat dan sikapnya yang selalu ambil mudah.

Hubungan kita dengan para penuntut semakin akrab. Dalam konteks silat, hubungan akrab ini akan digunakan oleh para penuntut untuk bertanyakan soalan. Pastinya berdasarkan pengalaman terdekat mereka dalam SC. Hal-hal yang berkaitan dengan tidur atas kain putih mungkin ditanya mereka. Jika ada antara mereka yang pernah membaca berkaitan dengan SC pastinya soalan yang dikemukakan lebih mencabar yang memaksa kita supaya berhati-hati sebelum memberi jawapan.

Kalau kita mengambil jalan mudah mungkin soalan-soalan tersebut tidak dilayan. Kita mungkin menjawab dengan pelbagai jawapan melepas diri. Walau bagaimanapun, jika kita mempunyai pengetahuan maka berilah jawapan kepada setiap persoalan. Berhati-hati. Jangan dilayan persoalan-persoalan kefahaman SC ketika kita mengajar pelajaran fizikal. Biarlah selesai latihan silat maka persoalan-persoalan berbentuk demikian bolehlah diambil kira. Akal penuntut banyak ragamnya.

Saya teringat peristiwa ketika saya belajar SC dulu. Pada hari tersebut kami tak ada mood nak belajar. Tambahan pula Jurulatih yang datang agak ‘garang’ sedikit. Maka kami berpakat untuk berehat sedikit pada hari itu. Caranya adalah dengan bertanyakan sebanyak mungkin soalan. Jurulatih tersebut layan pulak persoalan kami. Maka banyaklah rehatnya daripada berlatih pada hari itu. Beria-ria benar Jurulatih melayan soalan kami yang sengaja dibuat bagi membenarkan perbuatan kami tersebut. Hal yang demikian saya jadikan panduan ketika memimpin kelas SC di bawah pengurusan saya. Setiap persoalan yang dikemukakan perlu berhati-hati ketika menjawabnya. Kita perlu tahu sama ada persoalan itu direka-reka atau sememangnya merupakan persoalan di benak mereka. Hal yang demikian akan dapat menghindari diri kita daripada terperangkap dengan muslihat mereka.

Walau bagaimanapun sebarang gelagat atau sebarang bentuk persoalan yang timbul, semuanya bergantung pada jenis penuntut yang kita ada. Setiap pengambilan penuntut, pasti berlainan perwatakan dan pembawaan. Kalau ada antara mereka yang suka bertanya maka ‘susahlah’ sikit kita menjawabnya. Perlu ada kemahiran menjawab dan ilmu pengetahuan mengenainya. Kadangkala mereka yang kurang ilmu tapi pandai cara menjawab, lebih mudah menyelesaikan persoalan daripada mereka yang berilmu tapi kurang pandai menjawab persoalan. Kemahiran ini boleh diperoleh melalui pengalaman, latihan dan pendedahan oleh pihak berkuasa persilatan.

Kebiasaannya pada pemulaan pelajaran asas, kita akan mengedarkan senarai nama-nama buah SC. Persoalan yang sering ditimbulkan oleh peminat-peminat yang suka bertanya ialah berkenaan nama-nama buah yang terdapat dalam senarai tersebut. Timbul persoalan yang berkaitan dengan keaslian, ceduk-menceduk, kebenaran kita memperoleh buah guru dan pelbagai bentuk persoalan lagi. Segala-galanya bergantung pada kebolehan dan kemahiran Jurulatih mengendalikan persoalan yang timbul tersebut. Akhirnya penuntut akan berasa puas hati atau terus memendam dalam hati akan persoalan yang ditimbulkan tersebut.

Berdasarkan hal-hal yang saya bincangkan di atas, langkah kita mengadakan kursus-kursus untuk para Jurulatih dari masa ke masa adalah baik dan perlu diberi sokongan. Kadang kala boleh juga kita memanggil Jurulatih-Jurulatih lama untuk berkongsi pengalaman dalam proses mereka menyampaikan pelajaran SC dalam kalangan penuntut. Perkara penting yang kita harus ingat ketika ini ialah wujud saingan terbuka dalam kalangan persilatan Silat Cekak bagi menentukan Silat Cekak yang mana satu masih mempunyai kehebatan dan ketepatan pelajarannya. Kita tidak boleh mendakwa diri kita hebat. Kehebatan adalah sesuartu yang dinilai oleh orang lain. Namun begitu kita perlu menyediakan suasana yang membolehkan orang lain mengingatkan bahawa Silat Cekak yang kita ada merupakan satu-satunya Silat Cekak yang benar, boleh dipercayai, berkesinambungan dengan pusaka Hanafi dan hebat.

Sekian.

Monday, August 2, 2010

PENGENDALIAN KELAS LATIHAN

Biasanya masuk minggu kedua latihan dan latihan-latihan seterusnya, kita telah ada hubungan dengan para penuntut. Kita telah dapat memahami sedikit sebanyak tentang mereka. Rasanya para penuntut juga turut memahami perwatakan yang kita ada. Dalam masa pengajaran buah-buah asas, hubungan antara kita dengan para penuntut perlu dirapatkan lagi. Biarlah mereka faham akan kesungguhan dan hala tuju kita membawa mereka dalam persilatan dalam kelas kita. Hubungan rapat antara Jurulatih dan penuntut akan memudahkan proses penurunan buah berlaku.

Ketika inilah kita mula berbicara tentang kelebihan SC yang ada. Kalau kita katakan SC amatlah mudah maka tunjukkan sifat mudah yang ada dalam konteks persilatan dan bukannya aspek latihan. Dalam latihan, kalau kita mengambil mudah maka hasilnya kurang memberi kesan. Modal seringgit tidak mungkin mendatangkan keuntungan ribuan. Kecualilah konsep loteri bola.

Dalam pantun kita, terdapat perkataan ‘mudah’. ”Silat Cekak amatlah mudah”. Saya bependapat, kita perlu memahami dan menghayati perkataan tersebut. Kita tidak mahu oleh sebab dikatakan ‘mudah’ maka akhirnya penuntut kita akan ‘ambil mudah’. Kerja yang mudah hasilnya pasti tak seberapa. Kalau berniaga bermodalkan 10 sen jangan harap untuk untung seringit. Mencari sepuluh sen lebih mudah daripada mencari seringgit.

Pada saya, sememangnya Silat Cekak itu kalau dipandang secara keseluruhan, memang mudah. Tapi saya tidak pernah permudahkan pelajarannya. Kita katakan mudah adalah berdasarkan pandangan keseluruhan kepada silatnya. Mudahnya SC adalah kerana falsafah, konsep dan prinsip yang terkandung dalam pelajarannya adalah jelas dan dapat diterima akal. Kerana itu juga penggunaan kata atau istilah amat kita ambil berat.

Jelaslah, dalam konteks keseluruhan silat, untuk mempelajari SC adalah amat mudah. Hanya wang dan kain putih dijadikan syarat utama. Kalau silat-silat Melayu yang lain, karenah belajar amat banyak. Wang adalah sesuatu yang boleh kita usahakan walaupun kurang berkemampuan. Tapi kalau disuruh membawa jarum, garam, sintuk, anak ayam, ibu ayam, bapak ayam dan sebagainya maka banyak sekali karenahnya. Walaupun bahan-bahan tersebut biasa dan mudah didapati, pencariannya juga boleh mendatangkan kepayahan dalam konteks masa. Itu sebabnya mempelajari SC dikira amatlah mudah.

Mudah juga dapat dirujuk pada proses penyampaian pelajarannya. Berdasarkan pengalaman ketika menuntut salah satu silat Melayu satu ketika yang lalu, setiap kali pelajaran silat, gurunya akan bertanya pada anak muridnya tentang pelajaran sebelumnya. Maknanya guru silat tersebut mengajar berdasarkan kaedah ‘IT’ – ikut terlintas. Begitu juga dengan silat lain yang saya tuntut. Belajar tumbuk dan kemudiaannya akan diajar buah. Gerak silatnya adalah lebih berdasarkan gerak hafalan. Hal ini demikian kerana tiada sistem dalam proses pengajarannya. Kalau dibandingkan dengan sistem kita, pelajaran yang diajar adalah bersekali antara kaedah dan buahnya.

Oleh sebab banyak pengalaman dengan silat Melayu yang lain, maka saya dapat rasakan betapa mudahnya mempelajari SC. Hal ini demikian kerana SC mempunyai sistem penyampaian dalam proses penyampaian isi kandungan pelajarannya. Daripada kaedah kita melakukan gerak asas. Mahir gerak asas maka barulah dibuat jatuhan. Kita juga mempunyai sistem pelajaran untuk menunggu serangan musuh dan sistem pelajaran untuk menyerang.

Pelajaran yang sedemikian mempunyai turutan dan mudah diikuti. Jika inginkan kehebatan bersilat, maka setiap penuntut perlu mengikuti turutan pelajaran tersebut dalam keadaan tidak boleh tidak. Jika ada para penuntut yang berhenti sekerat jalan maka beliau tidak boleh mendakwa telah menguasai SC. Hal ini demikian kerana mempelajari SC bermakna perlu mempelajari keseluruhan isi pelajarannya. Penuntut tersebut perlu menguasai semua isi pelajaran daripada Kaedah hingga tamat dengan kaedah menyerang. Tanpa penguasaan pelajaran tersebut beliau hanya mempelajari sebahagian daripada pelajaran SC. Oleh itu, beliau tidak layak mendakwa dirinya sebagai ahli SC, melainkan sebagai ahli persatuan SC sahaja.

Kita pun tidak terasa rugi apabila ada dalam kalangan penuntut yang meninggalkan SC pada sekerat jalan pembelajarannya. Kita diyakinkan bahawa penuntut berkenaan tidak mempunyai habuan atau rezeki untuk mempelajari keseluruhan pelajaran. Pelajaran yang ada padanya tidak akan memberi makna kerana pelajaran yang seterusnya akan mengatasi ilmu SC yang dipelajarinya itu.

Pelajaran SC yang berturutan memudahkan kita mengikuti latihan dan cepat faham. Konsep ‘berlawanan’ yang menjadi lumrah alam, ada dalam SC. Misalnya kalau ada pelajaran bertahan maka ada pula pelajaran menyerang. Kalau dikunci ada pembukanya. Kalau dipukul ada pintasannya. Kita boleh nampak bagaimana daripada Kaedah lahirnya gerak-gerak seterusnya yang mempunyai kesinambungan. Hebat dan mudah diikuti. Hal yang demikian akan menimbulkan kepuasan dalam kalangan penuntut yang mempelajari SC.

Penggunaan istilah ‘kelas’ silat dapat dilambangkan betapa mudahnya pembelajaran SC. Pembelajaran SC adalah lebih tersusun dan terancang. Perkataan kelas tentunya berbeza akan konsepnya dengan perkataan gelanggang. Kalau gelanggang ada upucara pembukaan gelanggang dan penutup gelanggang. Oleh sebab konsep kita adalah berdasarkan kelas maka konsep kelas tersebut melambangkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku adalah dalam keadaan sempurna. Para penuntut dibimbing supaya dapat mengusai proses penurunan ilmu.

Sesuai dengan konsep kelas juga kaedah penyampaian pelajaran amat dititikberatkan. Para pengajar SC yang bergelar Jurulatih adalah bertanggungjawab mempastikan para penuntut dalam kelas berkenaan dapat menguasai pelajaran silat dengan sempurna. Kaedah penyampaian adalah pelbagai. Kaedah-kaedah tersebut seperti berbaris, latih tubi, arahan, penerangan, syarahan dan sebagainya dapat dijadikan panduan dalam proses penyampaian dan penerimaan ilmu. Saya selalu tegaskan antara konsep memandu dengan konsep mengajar. Kalau niat kita sebagai memandu para penuntut maka tindak tanduk kita tentunya berbeza, berbanding jika kita bertindak sebagai pengajar.

Konsep kelas juga dihubungkan dengan prinsip ujian, peneguhan pelajaran dan pemulihan. Mereka yang diuji, jika tidak mencapai hasrat pembelajaran maka akan dibuat pemulihan. Bentuk pemulihan juga adalah pelbagai. Perkara pentingnya ialah penuntut berkenaan, akhirnya dapat juga menguasai pelajaran SC yang disampaikan.

Saya berpendapat kalaulah Jurulatih asyik menonjol diri atau asyik ‘melepas perasaan’ kepada penuntut silat secara mengherdik atau melalui pelakuan yang bersifat panas baran maka eloklah ditukarkan istilah kelas tersebut kepada istilah gelanggang. Konsep gelanggang amat bersesuaian untuk dihubungkan dengan pelakuan penonjolan kehebatan, panas baran atau memberi arahan dari atas kerusi. Umpama direktor filem zaman P. Ramlee.

Dalam konsep kelas, di samping kebolehan kita mengajar silat, kita juga perlu mempunyai aspek-aspek kebolehan asas yang lain seperti kebolehan menyampai, menguji, membuat peneguhan, pemulihan, motivasi, komunikasi dan sebagainya. Kalau para Jurulatih kurang kemampuan dalam penguasaan pelbagai kemahiran tersebut maka Lembaga Pelajaran perlulah memikirkan kursus-kursus yang sesuai dan berkenaan untuk para Jurulatih.

Sekian.

Tuesday, July 27, 2010

Sambungan....MENGAJAR KAEDAH (3).

Cara kita menyampaikan Kaedah pada permulaan pembelajaran biarlah secara berperingkat. Ketika ini kaedah berbaris sangat popular dan dianggap sebagai satu kemestian. Walau bagaimanapun kepelbagaian bentuk latihan mesti ada. Berbaris kadang kala menyekat kreativiti penuntut untuk berlatih dalam bentuk yang dikehendaki mereka. Namun begitu berbaris dapat mempastikan semua penuntut berlatih menurut kehendak Jurulatih. Hal ini demikian terutamanya ketika para penuntut mula ’curi tulang’.

Kadang kala biarkan mereka berlatih bersendirian dengan pasangan yang ada. Tugas kita ialah mengawasi mereka. Bukannya memberi arahan dari atas bangku tapi turun padang. Dari masa ke masa buatlah tumbukan pada mereka yang kita pilih. Lagi ramai penuntut yang kita libatkan maka lagi baik. Secara langsung kita akan tahu kemampuan mereka dalam silat. Konteks peribadi dengan penuntut dapat dijalinkan. Sekurang-kurangnya kita juga dapat mengeluarkan peluh dan memantapkan pergerakan.

Kaedah penyampaian setiap Kaedah secara berperingkat eloklah diteruskan. Mula-mula letak tangan. Kanan dan kiri. Pemberatan tetap pada kanan. Namun begitu tumbukan kiri jangan diketepikan. Kita suruh penuntut menepis hingga kita berpuas hati akan seni tepisannya. Kemudian kita tumbuk tanpa mengerakkan kaki. Mula-mula perlahan dan kemudiannya bertambah laju dan ’beratkan’ penumbuk. Apabila mendatangkan tekanan kepada penuntut maka kita perlahankan kembali tumbukan kita tersebut. Seterusnya kita menumbuk beserta pergerakan kaki. Masa yang diambil mungkin hingga beberapa minit setiap orang. Jangan begitu gopoh untuk ’memasukkan’ semua pelajaran Kaedah dengan segera pada para penuntut.

Masa saya, semua penuntut akan merasa ditumbuk oleh Jurulatih. Kalau ada dua atau lebih Jurulatih maka bolehlah dipecahkan mereka secara kumpulan. Itupun setelah semua penuntut faham atas satu penerangan daripada seorang Jurulatih yang diberi mandat menurun buah. Penerangan daripada seorang Jurulatih sahaja dalam setiap kelas latihan adalah penting. Penuntut tidak akan bercelaru dengan kepelbagaian maklumat jika ramai Jurulatih yang membuat penerangan. Jika penerangan yang diberi oleh seorang Jurulatih tidak lengkap pada pemerhatian Jurulatih yang lain maka Jurulatih berkenaan boleh membisikkan kepada Jurulatih yang membuat penerangan tersebut. Biar dia sahaja yang membuat pembetulan atau menambah maklumat. Sentiasa ingat. Jurulatih mampu berperanan untuk menaik atau menjatuhkan semangat para penuntutnya. Berfikiranlah. Jangan gopoh atau menurut perasaan ketika memberi pelajaran kepada para penuntut yang baru mengenali alam persilatan SC.

Jelaslah apa yang berlaku seterusnya dalam pembelajaran SC, banyak bergantung pada permulaan pelajaran. Pemulaan pelajaran adalah Kaedah. Kalau semuanya betul pada pemulaan pelajaran maka akhirnya pun pelajaran yang diterima penuntut akan jadi betul juga. Kalau dari mula telah salah maka penamatnya juga akan salah. Kehebatan penuntut akan menjadi tak tentu hala. Kasarnya pun tak tentu hala walaupun dari pandangan kaca mata nampak hebat. Oleh itu, ambil berat pada pelajaran kaedah A hingga kaedah D. Berikan tumpuan pada pembelajaran kaedah agar para penuntut yang kita latih akan belajar bersungguh-sungguh. Kesungguhan mereka akan menyebabkan penguasaan mereka dalam gerak SC menjadi hebat. Lembutpun hebat dan kasarpun hebat.

Pada peringkat permulaan pembelajaran ini juga, hal-hal fizikal yang kita tidak gemari jangan mudah dibuat teguran. Misalnya pada mereka yang bergelang atau bersubang atau berantai. Sudah menjadi sifat mereka memakai alat tambahan tersebut sejak sekian lama. Mana mungkin dalam sekelip masa kita dapat mengubah tabiat mereka. Mungkin mereka akan menurut kehendak kita kerana kepentingan bersilat. Tapi tidak tunduk di hati. Meninggalkan perbuatan tersebut hanya sewaktu latihan. Mereka akan berpura-pura. Bersabarlah akan masa perubahannya. Buat ikatan hubungan terlebih dahulu.

Sebelum ini, pelbagai cara kita lakukan dalam kalangan penuntut kita bagi memahamkan mereka tentang kepentingan Kaedah dalam SC. Satu daripada usaha tersebut adalah melalui kefahaman yang sedia ada pada kita. Kita selalu difahamkan tentang pertalian antara huruf, perkataan dan ayat dalam proses pengajaran dan pembelajaran SC. Pertaliannya adalah bersepadu, bertali arus dan tidak boleh dipisahkan. Pelajaran kaedah dilambangkan sebagai perbuatan mengenal huruf. Buah asas dinggap sebagai perkataan dan apabila disambungkan menjadi ayat maka berlambangkan buah jatuhan. Penerangannya amat logik dan mudah diterima oleh para pendengar dalam sebarang majlis penerangan SC.

Masih tergambar majlis penerangan yang dibuat Ustaz. Saya ada bersama. Disuruhnya rakan saya menumbuk dan saya menepis berdasarkan kaedah SC. Diterangkannya kaedah tepisan itu adalah huruf ’A’. Kalau berdasarkan buah pertama, Kaedah A dihurufkan A. Asas buah Pertama dieja menjadi perkataan ’Ayam’. Sebelum saya membuat jatuhan Ustaz mengayat, ”Ayam makan padi.” Maka saya pun buat jatuhan. Demikian juga dengan buah-buah lain berdasarkan setiap kaedah. Begitulah pertalian yang kita cuba buktikan antara kaedah dan jatuhan.

Pada para pendengar tentunya menarik minat mereka akan sistem yang ada dalam SC. Bagi kita yang telah mengetahui akan kelebihan sistem itu perlu meneguhkan fahaman kita betapa kaedah yang dilambangkan sebagai huruf, amat besar makna dan peranannya. Tanpa huruf mana boleh kita membuat perkataan dan seterusnya membuat ayat. Maknanya, tanpa kaedah yang mantap mana boleh kita membuat buah asas dan jatuhan yang kemas. Oleh itu, sebagai Jurulatih kita perlu sentiasa ingat betapa perlunya kita memantapkan penguasaan kaedah A, B, C dan D pada diri kita. Kalau prinsip ini dikuasai maka tidak perlu kita risaukan pelbagai bentuk penumbuk yang tiba daripada penuntut kita.

Semasa kami berlatih di Lorong Haji sirat ada tiang-tiang kayu bagi memahirkan latihan Kaedah. Jurulatih akan bersandar pada tiang tersebut untuk menepis tumbukan rakan. Semasa saya membuka kelas latihan di cawangan, bentuk latihan pada tiang masih diteruskan. Tiang yang ada memaksa kita berdiri tegak tanpa dapat menggerakkan badan. Ada juga dalam kalangan kami yang mengikat badan bagi mengkakukan pergerakan badan. Konsep badan diumpamakan raja. Manakala tangan yang menepis umpama pahlawan. Bila datang serangan musuh, para pahlawan perlu bertindak melindungi raja. Mana boleh raja dicederakan. Mana boleh raja melarikan diri ketika pahlawannya ada bersama. Kalau pahlawan tak mantap maka kedudukan raja akan mantat. Jika pahlawan tersangat mantap maka raja yang dilindung akan bertambah hebat.

Menurut Ustaz, ketika kita menyahut cabaran untuk berentap dengan satu silat yang lain pada satu ketika dulu, penekanan pada latihan kaedah amat diberatkan. Latihan tersebut telah dilakukan kerap kali bagi memastikan penguasaan mantap pada Kaedah. Kita yakin bahawa daripada Kaedah, pelbagai bentuk pukulan atau buah dapat dihasilkan. Atas keyakinan tersebutlah kita berani meletak syarat patah, pengsan dan mati sebagai perjanjian utama untuk berentap dengan silat berkenaan. Kita yakin bahawa penguasaan Kaedah yang ada dalam SC amat memberi manfaat pada para pengamal SC. Jangan permudahkan pelajaran Kaedah dalam SC.

Oleh itu, dalam kalangan Jurulatih berfikirlah cara-cara untuk mengusai kaedah-kaedah yang ada dalam SC secara mantap pada diri dan dalam kalangan penuntutnya. Pada akhir pelajaran Kaedah, wujudkan kemahiran gerak menepis serangan secara spontan tanpa berpakat menyatakan sasaran tumbukan. Walaupun kekemasannya mungkin tidaklah seratus peratus tetapi asasnya perhatian para penuntut telah ditarik supaya mementingkan Kaedah dalam proses penerimaan ilmu SC. Latihan berdasarkan badan bersandar pada tiang masih boleh diguna pakai. Elok juga kalau dapat dihidupkan. Kalaupun kurang sesuai digunakan untuk latihan pada para penuntut baru, akan tetapi pada para Jurulatih yang ada bolehlah guna pakai bentuk latihan tersebut. Sekurang-kurangnya seminggu sekali latihan.

Kita berharap apabila tamat nanti, serangan-serangan yang berlainan arah, berkemampuan disambut dengan kaedah-kaedah yang telah ditentukan. Hebat Kaedah maka akan hebatlah pesilat berkenaan dalam penguasaan SC.

Sekian. Lepas ini kita bincang tentang asas dan jatuhan.

Monday, July 26, 2010

Sambungan....MENGAJAR KAEDAH (2).

Saya mempunyai banyak pengalaman mengajar bekas-bekas pesilat lain. Terdapat beberapa orang dalam ingatan saya. Seorang bertali pinggang hitam dari seni bela diri luar negara dan seorang lagi orang kanan salah sebuah silat Melayu yang ada. Penumbuk mereka beratnya berkati-kati. Pergelangan tangan sama besarnya dengan lengan. ’Melayan’ mereka perlu berhati-hati tapi tidaklah hingga menggadai perinsip diri dan prinsip SC. Kita tidak boleh mengikut hati. Hal yang demikian boleh mengancam ’kedudukan’ diri kita sebagai Jurulatih sukarela sama ada aspek fizikal atau aspek perasaan kita.

Walau bagaimanapun, prinsip menghormati penuntut yang pernah belajar silat lain perlulah ada. Saya kira kesediaannya belajar SC boleh dianggap sebagai sesuatu yang membanggakan kita. Jangan disentuh latar belakang persilatannya. Jangan dikomen penumbuk silat asalnya. Sebagai penuntut yang baru belajar, hal yang demikian pernah terjadi pada diri saya.

Kata-kata menunggu serangan secara berkuda-kuda dilambangkan dengan rotan bengkok di hutan amat menusuk jiwa. Jika Ustaz yang mengeluarkan ayat berkenaan pastinya kita terima. Akan tetapi jika Jurulatih yang dianggap sama standard dengan kita berkata demikian, maka mulalah timbul perasaan di hati untuk mencuba. Alhamdulillah. Ketika itu saya sentiasa berfikiran rasional. Mengumpul ’perasaan’ dan ’tekad’ di akhir pelajaran supaya tidak terganggu fikiran dalam proses mendapatkan ilmu.

Sebelum melepaskan penumbuk, ajar mereka supaya pandang pada rakannya. Badan mengadap rakan. Ada yang menumbuk secara badan berpusing seratus lapan puluh darjah. Mula-mula pandang ke kanan dan bila melepaskan penumbuk memandang ke kiri. Akibatnya mereka menumbuk tanpa lihat pada rakan. Hal yang demikian akan menyebabkan penuntut akan ’meyimpan’ penumbuknya. Pasangannya tak dapat lihat penumbuk rakan. Maka dari segi pelajaran, rugilah rakannya itu.

Di samping itu, jaga kaki penuntut ketika menumbuk. Jangan biarkan mereka menumbuk secara badan yang selari tanpa memandang rakannya dan selepas menumbukpun masih selari tanpa mengadap muka rakannya. Jika hal itu berlaku maka kaki penuntut berkenaan akan beralih tegak pada pandangan sisi secara gerak seratus lapan puluh darjah. Pada hal, jika kita memberatkan penuntut berkenaan supaya mengadap muka rakannya maka kakinya pasti dalam posisi lebih kurang empat puluh lima darjah secara berhadapan.

Langkah kaki adalah berdasarkan gerak langkah kaki semua jadi. umpama berjalan sehari-hari. Langkah besar akan mengundang lutut bengkok umpama berkuda-kuda dan akan menyebabkan penumbuk yang dihantar adalah kaku. Perbaiki kelemahan ini dari masa ke masa. Jika dibiarkan, apabila tamat nanti pastinya tumbuk serang penuntut tersebut tak begitu menjadi.

Tumbukan di dada perlu ditumbuk pada dada kiri atau sekoman-komannya pada tengah dada. Hal ini demikian adalah untuk mengelak sifat penumbuk yang ’lari’ daripada sasaran pada dada pasangannya. Maknanya kalau tak tepis penumbuk pun maka tidak kena pada badan. Perbuatan tersebut jangan dibiarkan. Amat merugikan mereka dalam jangka masa panjang. Itu sebabnya para Jurulatih kena turun padang untuk berlatih bersama-sama dengan penuntutnya bagi mempastikan tumbukan para penuntutnya betul. Tidak mungkin kita juga melarikan penumbuk daripada sasaran dek lewat penuntut kita menepisnya. Kalau penuntut tidak menepis tumbukan kita maka pastilah tumbukan kita mengena di dada mereka. Hal yang demikian itu penting kerana tumbukan yang betul akan mempengaruhi tumbuk serang mereka setelah tamat. Elok penumbuknya maka akan eloklah tumbuk serangnya.

Sebagai seorang Jurulatih yang berkesan, janganlah memberi arahan secara PJJ. Istilah itu bermaksud pengajaran jarak jauh. Turun padang. Kalau boleh setiap penuntut merasai hantaran penumbuk kita. Lihat gerak silat mereka. Berdasarkan pengalaman, sekilas ikan di air maka tahu akan jantan dan betinanya. Dengan cara kita bersilat bersama mereka, pada dasarnya kita akan tahu antara mereka yang berpotensi hebat atau sebaliknya. Senanglah kita membuat perancangan untuk mempastikan semua penuntut kita yang tamat nanti akan mempunyai kebolehan yang sama hebat dan sama tandingnya.

Kita selalu ditanya oleh mereka. Ketika menumbuk mata memandang ke mana. Maka saya jawab, berdasarkan gerak mata kita yang semula jadi. Bila kita berhadapan dengan musuh biarlah mata memandang secara keseluruhannya. Amat berguna prinsip ini dipakai di kemudian pelajaran. Penumbuk serang umpama peluru berpandu. Biar peluru mencari sasarannya sendiri tanpa dapat dikesan oleh radar. Tahulah mata berperanan sesuai dengan pemikiran kita yang ada. Mana boleh difokas-fokas terutama di anunya atau di bukitnya.

Pada penuntut yang baru mula menepis tumbukan rakannya maka bolehlah diingatkan supaya memerhati lengan si penumbuk. Hal ini demikian akan memudahkannya membuat tepisan di peringkat permulaan. Tapi prinsip itu jangan dibiarkan berpanjangan. Apabila tiba ketikanya, tegaskan kepada mereka supaya pandangan dibuka seluas-luasnya berdasarkan pandangan semula jadi yang berkait rapat dengan fikiran dan hati.

Ketika pembelajaran Kaedah tersebut, saya kurang berbincang untuk menyatakan kehebatan SC. Tarik dulu perhatian mereka pada kita. Wujudkan suasana kemesraan bagi memupuk sifat kepercayaan. Ketika kita memerhati gelagat anak murid kita, mereka juga mengkaji akan perwatakan kita. Penuhkan latihan dengan masa yang terancang. Jaga disiplin diri. Kalau kita dapat hadir ke kelas mendahului kedatangan penuntut, maka alangkah baiknya. Pengurusan diri perlu disesuaikan dengan masa. Jika latihan bermula pada pukul lapan setengah maka apabila tiba masanya jangan ditunggu-tunggu lagi. Mulakan latihan. Mereka yang lewat biarkan menunggu atau disuruh pembantu kita mengajar mereka akan apa yang tertinggal. Hal yang demikian akan memaksa mereka untuk menyesuaikan diri dengan kehendak peraturan yang kita bentuk secara tidak langsung.

Setelah selesai pelajaran kaedah maka pada hari keempat latihan eloklah dilakukan ujian. Kalau boleh, jemputlah Jurulatih luar untuk melakukan tumbukan. Tapi ingat. Jangan sesekali menjatuhkan semangat penuntut kita. Kuatkan semangat pada penuntut yang lemah. Teguhkan semangat pada mereka yang hebat. Sesungguhnya kita mampu berbuat demikian.

Pengajaran Kaedah perlulah sekata atau sama pemberatannya. Walau bagaimanapun, berdasarkan fahaman yang saya terima, Kaedah A tersangat banyak gunanya. Saya juga difahamkan bahawa Kaedah tersebut hanya terdapat dalam SC. Silat-silat Melayu yang lain mungkin ada gerak tersebut tetapi dalam keadaan yang terbalik. Mengambil kaedah itu juga agak menyukarkan. Sangat menggerunkan apabila menggunakan kaedah ini jika penumbuk yang datang tersangat laju dan berat berbanding dengan penggunaan Kaedah B. Alah bisa tegal biasa. Sesuatu yang susah ada kelebihannya. Susah dapat tapi banyak gunanya.

Setiap Kaedah ada sifat dan penekanan penggunaannya. Bahan tulisan yang diterbitkan bolehlah dijadikan panduan. Walau bagaimanapun latihan Kaedah juga boleh mendatangkan kesan atau kemudaratan pada penuntut yang tidak cerdas dan cergas. Lengan dan bahagian atas siku memungkinkan bengkak atau menjadi biru. Amat mudah kita mengatakan atau menegaskan kepada penuntut, ’kena atau sentuh baru ambil kaedah.’ atau ’jangan pukul atau hentak tangan si penumbuk bagi kaedah B, C dan D.’ Berdasarkan pengalaman, kata-kata tersebut tersangat susah untuk diterima oleh logik mereka. Maka timbullah persoalan dalam kalangan mereka. Nak bertanya takut, tak tanya mengarut. Pemikiran itu juga telah berada dalam benak saya ketika belajar dulu. Oleh itu, berhati-hatilah menggunakan perkataan dalam ayat penerang tersebut. Jangan cepat menimbulkan persoalan dalam kalangan penuntut. Sampaikan saja pelajaran tanpa banyak sangat membebel pada permulaan pelajaran. Sambung.

Sunday, July 25, 2010

PENGAJARAN BUA-BUAH SC

Dalam siri tulisan ini saya akan membincangkan pengalaman saya ’menurunkan’ setiap gerak SC kepada mereka yang menuntut dengan saya. Saya akan kongsi bersama, aspek-aspek yang sangat saya tekankan semasa para penuntut melakonkan buah-buah tersebut di hadapan saya sebelum sebati menjadi kebiasaan diri sendiri. Seperti biasa tajuk ini ditulis berdasarkan pemintaan para ahli yang mengenali saya bagi berkongsi pengalaman dalam proses menurunkan ilmu dalam kalangan penuntut semasa saya ’mengajar’ silat. Walaupun secara tulisan agak sukar membuktikan kehebatan, kesesuaian dan sebab serta musabab, sekurang-kurangnya boleh dijadikan panduan dan pengetahuan. Saya pejam mata dan buat gambaran. Gambaran itu saya tulis dalam ruangan ini. Tapi dalam pejam-pejam mata datang juga si anu menunjukkan rupa. Layan seketika. Kemudian kembali semula ke tujuan utama.

Kita banyak menerbitkan bahan tulisan sebagai panduan menurun buah dalam kalangan penuntut. Terus terang saya katakan bahawa saya tidak terikat sangat dengan buku-buku panduan tersebut untuk dijadikan bahan rujukan dalam psikologi pengajaran dan pembelajaran SC. Oleh itu, berdasarkan tulisan saya ini maka buatlah panduan jika berkenaan. Saya hanya sentuh aspek-aspek yang saya beri penekanan. Secara teliti tentu sukar ditulis dalam ruangan ini. Sesuai maka pakailah. Tak sesuai ketepikan sahaja. Walau bagaimanapun itulah cara atau proses saya menerima ilmu daripada Ustaz sepanjang ingatan saya dan proses saya menurunkan buah sepanjang kegiatan saya dalam persilatan SC. Proses tersebut telah menjadikan saya sebegini dan sebegitu pula pada mereka yang saya didik. Cerita dulu.

Semasa saya mula berkecimpung sebagai Jurulatih pada tahun tujuh puluhan, tidak ada sebarang bahan bertulis untuk dijadikan rujukan mengajar buah. Oleh itu para Jurulatih perlu benar-benar memahami setiap buah yang diperturunkan kepada mereka sama ada melalui Jurulatih yang ada atau melalui ustaz sendiri. Tentunya kefahaman tersebut berbeza-beza akibat berlainan daya fikir dan berlainan pemberatan oleh Jurulatih dalam satu-satu buah. Mereka yang lembut amat sukakan gerak lembut. Mereka yang biasa dengan kasar tentu suka melakukan gerak yang kasar. Tabiat yang ada pada Jurulatih itu tentunya akan memberi kesan kepada pembelajaran anak muridnya. Maka berbeza-bezalah bentuk pengajaran yang disampaikan oleh Jurulatih. Oleh sebab penekanan pada buah yang diajar juga adalah berbeza-beza maka muncullah kelainan dalam gerak-gerak buah yang dibuat oleh murid-murid silat hasil daripada tunjuk ajar Jurulatih yang berbeza-beza. Lama-kelamaan perbezaan itu menjadi ketara. Penerbitan bahan rujukan mungkin diperlukan bagi mengawal fahaman dan perbuatan yang berbeza-beza antara para Jurulatih dalam proses kesinambungan penurunan buah-buah dalam SC.
Mengajar Kaedah

Kaedah-kaedah menepis dalam SC saya sifatkan sebagai ’rumah buah’. Dalamnya lahirlah gerak-gerak fizikal yang ada dalam SC. Tapi kalau nak lambangkan kaedah tersebut sebagai tiang rumah atau dinding rumah atau rumah sembah atau tapak sembah atau sebarang bentuk lambang yang lain maka buatlah. Jangan buang masa dengan pertengkaran atau perbahasan. Yang nak belajar ialah para penuntut baru di kelas kita yang bayar yuran. Perkara yang penting dalam pemikiran kita ialah menerima hakikat betapa pentingnya pelajaran kaedah dalam gerak SC. Tanpa kaedah yang betul maka buah-buah yang dibuat pasti tidak kemas dan tidak berseni. Oleh itu, penekanan yang teliti perlu diberi dalam pelajaran kaedah ini.

Sudah menjadi kebiasaan dalam sistem pelajaran kita yang sentiasa memberi pelajaran baru dalam setiap kelas latihan silat. Oleh itu kaedah yang empat tersebut perlulah diajar selama empat kali latihan. Jangan gopoh dan terburu-buru untuk meneruskan pelajaran lain selagi kaedah-kaedah itu tidak dikuasai sepenuhnya. Janganlah kita sendiri berasa jemu mengajar kaedah-kaedah tersebut untuk empat kali latihan. Hinggakan kita turut menganggap penuntut juga akan berasa jemu. Oleh sebab ingin menambat hati mereka maka kaedah yang sepatutnya diajar empat kali latihan telah menjadi dua atau tiga kali latihan sahaja. Berdasarkan pengalaman, hal yang demikian amat merugikan para penuntut kita pada masa jangka panjang.

Dalam konteks kemahiran dan penguasaan kaedah-kaedah tersebut, peranan Penyelia Kelas adalah sangat mustahak. Setiap prestasi murid dalam kelasnya perlu diberi perhatian dan sentiasa dalam ’kepala’nya. Untuk membuat catatan tentunya agak keterlaluan. Memadai dalam ingatan Penyelia Kelas bagi mengetahui kelemahan dan kekuatan setiap penuntut yang diselia. Saya yakin bahawa hal yang demikian tidak mendatangkan masalah kerana Penyelia Kelas itu sendiri adalah merupakan Jurulatih yang senior dan lebih berpengalaman daripada Jurulatih yang lain.

Mengajar kaedah perlu bersepadu dengan pengajaran ’cara’ melepaskan tumbukan. Kita menekankan bahawa SC berdiri lurus dan menumbuk dalam keadaan berdiri tersebut. Perbandingan antara konsep ’lurus’ dengan ’kuda-kuda’ perlu berhati-hati ketika membuat penerangan. Hal yang demikian bagi mengelak penuntut kita bergerak secara robot kerana takutkan kaki bengkok umpama berkuda-kuda. Konsep kemudahlenturan gerak perlu dimiliki oleh mereka.

Kita juga perlu berhati-hati ketika memandu mereka membuat tumbukan yang betul. Setiap penuntut ada gerak tumbukan semula jadi. Jangan diusik kebolehan hakiki tersebut. Hal yang demikian kerana tumbukan itu juga akan mempengaruhi tumbuk serang yang bakal diperoleh di suatu masa nanti. Cuma tugas kita ialah membetulkan tumbukan mereka sesuai dengan sistem pelajaran SC.

Mereka yang pernah belajar silat tentunya berbeza tumbukannya dengan mereka yang tidak pernah berpengalaman dalam silat-silat lain. Pada mereka yang pernah belajar silat, cara tumbukan silat asalnya akan mempengaruhi gerak tumbuknya. Sukar diubah pergerakan tumbuknya. Oleh itu, jangan dikondem cara tumbukan mereka. Maklumlah. Tumbukan tersebut adalah amalan silatnya yang diturunkan oleh guru silat sebelum ini yang tentunya pernah disanjung atau masih disanjung lagi. Berfikiran positif. Pada kita, usahanya mempelajari SC adalah untuk menambahkan khazanah ilmu membela diri orang Melayu untuk dirinya.

Berdasarkan pengalaman, jika penumbuk asalnya dikomen habis maka akan memberi kesan berpanjangan dalam hati penuntut berkenaan dalam dua keadaan. Pertamanya penuntut itu akan memendam perasaan hingga ke akhir pelajaran. Hatinya mungkin terguris berpanjangan. Jika penuntut itu berfikiran terbuka maka mudahlah ’mind set’nya ditukar ganti dengan kaedah tumbukan yang baru. Jika tidak, faktor menolak pelajaran menumbuk yang dianggap ’mahal’ dalam sistem pelajaran SC akan berlaku dalam kotak pemikirannya.

Ada dalam kalangan penuntut yang terguris hati akan menimbulkan aksi tertentu semasa proses pembelajaran SC masih berlaku. Kadang kala diujinya penumbuk sedia ada padanya semasa latihan sama ada sesama penuntut atau dengan Jurulatih yang mengajar ketika memberi buah. Kelam kabut juga para Jurulatih yang menyambut tumbukan mereka. Ada juga dalam kalangan Jurulatih yang baran dan kurang senang. Saya difahamkan bahawa ramai juga Jurulatih yang menepis tumbukan penuntut tersebut jadi gabra, lantas memarahi penuntutnya dengan kata-kata, ”Tumbuklah betul-betul.”
Ada yang sambung lagi dengan nada marah, ”Bagi sebijik nanti baru tau.” Tak sedar. Bila dah bagi sabijik maka tinggallah sebijik lagi. Badan semakin lemah. Penuntut makin kasar dan dia semakin lembut. Pukulan pun kena bukak tangan. Agaknya.

Berhati-hatilah mengeluarkan perkataan atau ayat ketika geram. Pada hal apa perlunya mengingatkan penuntut. Sebaliknya ingatilah diri sendiri supaya sentiasa bersedia dengan segala bentuk tumbukan dari penuntutnya. Para Jurulatih perlulah mengamalkan konsep pengamatan pada tumbukan penuntut kita, ’Percaya boleh tapi yakin jangan.’ Bagi penuntut yang berasa dirinya ’dihina’ atas pelajaran yang ada, mungkin juga akan mengambil keputusan meninggalkan SC. Sambung