Thursday, January 21, 2010

GURU MESTI STANDARD (2)

2. Peranan Guru

Kita telah memahami betapa guru dalam silat memainkan peranan penting untuk membentuk keperibadian anak muridnya dan menentukan hala tuju bidang persilatan anak murid tersebut. Peranan guru silat juga bermaksud peranannya sebagai pemimpin, ketua, pengurus, pemandu, pembimbing dan pelbagai jenis gelaran jawatan yang melambangkan sifat mengetuai sesuatu dalam bidang persilatan. Oleh sebab silat juga dikuasai oleh persatuan maka peranan presiden persatuan juga dianggap hanya layak disandang atau ditanding oleh guru dalam silat berkenaan. Begitulah kuatnya pengaruh guru dalam mana-mana silat Melayu.

Dalam tulisan ini, apabila kita membincangkan tentang peranan guru dalam SC, saya lebih banyak merujuk pada zaman Ustaz. Hal ini demikian kerana penglibatan langsung diri saya adalah banyak yang berlaku di zamannya. Saya juga akan menyentuh tentang suasana yang wujud dalam zaman-zaman guru yang berikutnya dari segi hubungan antara guru dengan muridnya.

Dalam SC, kedudukan guru adalah teguh dan mantap. Keteguhan dan kemantapan ini adalah hasil pengajaran yang terdapat dalam SC itu sendiri. Setiap calon ahli SC perlu diijazah terlebih dahulu. Ikrar berbentuk sumpah dilafazkan oleh bakal ahli supaya tidak menderhaka terhadap guru. Kalau ahli berkenaan enggan berbuat demikian maka dia tidak layak menjadi ahli SC. Jika bersetuju maka bermulalah proses ahli berkenaan menerima ilmu yang bakal diajar dalam SC. Pengajaran disampaikan sama ada oleh guru tersebut atau wakilnya.

Dengan adanya ikatan antara murid dan guru itu, dijangkakan proses penurunan ilmu akan berjalan lancar. Murid ikhlas menyerahkan diri untuk diasuh oleh guru. Bagi pihak guru pula, tidak ada sebarang prasangka yang timbul kerana ikrar yang dilafazkan membuktikan ketaatan muridnya daripada sifat menentang atau menderhaka kepada guru. Maka mudahlah guru untuk menurunkan ilmunya.

Betapa pentingnya ketaatan ini telah dilambangkan dalam pantun seperti yang berikut:

Taat ke guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Salah satu perkara yang kita cari dalam pentas kehidupan ini ialah keberkatan dalam hidup. Banyak faktor yang memberi sumbangan atas keberkatan yang kita dapat. Salah satu faktor tersebut ialah taat akan guru yang ada. Keberkatan dalam hidup akan membawa ketenangan diri, sentiasa berada dalam keadaan selamat , cukup dalam membiayai keperluan hidup dan banyak lagi. Manusia tidak akan terlepas daripada dibelenggu oleh masalah dalam hidup. Kita memerlukan kekuatan dalaman untuk menghadapi dan mengatasinya.

Semasa saya belajar dulu, ada disebut-sebut perkataan Sheikh Tajrid. Dulunya, dalam mandi silatpun nama sheikh tersebut disebut. Umumnya dikatakan bahawa konsep Sheikh Tajrid itu membawa erti sheikh yang tersembunyi. Kalau dilambangkan sheikh itu sebagai pemimpin yang tersembunyi maka jelaslah betapa Ustaz sendiri memainkan peranan sebagai sheikh yang tersembunyi dalam usahanya membangunkan keperibadian muridnya. Saya tidak mahu berbincang dengan begitu mendalam aspek ini. Saya menulis setakat apa yang mudah saya faham.

Ustaz telah memainkan peranan terpenting sebagai tempat rujukan anak muridnya terutama hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Teringat saya kisah lalu. Ustaz menulis atas papan hitam tentang konsep ketua atau pemimpin untuk tatapan ahli setelah Ustaz mengupas pengertiannya. Antara lain tertulis betapa peranan pemimpin akan sentiasa dapat menenangkan pemikiran para ahli. Jika ada ahli yang berfikiran serabut, bila berjumpa dengan pemimpinnya maka fikirannya akan tenang. Malah bila bersua mukapun fikiran ahli akan berada dalam keadaan sedemikian. Jika ahli tersebut mempunyai masalah, jika berjumpa dengan pemimpinnya maka masalah itu akan terungkai dengan mudahnya. Secara langsung dengan peranan yang ada itu telah menjadikan fikiran ahli sentiasa berada dalam keadaan tenang. Aspek ketenangan ini telah memudahkan ilmu SC dimasukkan dalam jiwa mereka dari masa ke masa.

Dalam konteks ini, Ustaz telah berjaya memainkan pernannya sebagai seorang pemimpin yang sangat berwibawa. Anak muridnya tersangat mudah memahami apa yang ingin disampaikannya. Secara langsung ilmu yang terpahat dalam hati sunabari para ahli telah menyumbangkan keberkatan dalam kehidupan seharian para ahli SC. Sesungguhnya Ustaz juga telah berjaya mewujudkan pemikiran tenang dalam kalangan ahli. Keyakinan ahli terhadap SC bertambah dari masa ke masa. Bukan sahaja setakat belajar SC, mendengar syarahan Ustaz juga melahirkan keyakinan kukuh yang mendorong ikatan ahli terhadap SC bertambah erat. Oleh sebab ikatan erat tersebutlah menjadikan komitmen ahli terhadap SC juga lahir secara semula jadi. Jiwa mereka diserahkan sepenuhnya terhadap perjuangan SC.

Apabila hati sentiasa ikhlas terhadap SC maka mudahlah Ustaz atau wakilnya memasukkan fahaman SC. Pelajaran fizikal SC juga mudah disampaikan dalam keadaan murid yang belajar tidak mempunyai perasaan ragu-ragu terhadap isi pelajarannya. Maka jadilah kehebatan anak murid SC seiring dengan kehebatan SC itu sendiri.

Secara langsung suasana tenang yang wujud dalam situasi pembelajaran SC dan suasana tenang yang wujud dalam pemikiran ahli tersebut, memudahkan ilmu yang disampaikan masuk ke benak penuntut. Konsep berpijak di bumi nyata dan tidak terbuai-buai dengan dunia khayalan telah menjadikan anak murid SC dapat berfikir dengan sempurna atas segala ilmu yang disampaikan. Oleh itu, apabila kita boleh berfikir maka ilmu yang kita dapat boleh juga dikembangkan secara kreatif melalui percambahan fikiran dalam konteks dasar dan kaedah yang telah ditetapkan oleh Ustaz. Hanya sedikit panduan yang diberi oleh guru maka telah membolehkan anak muridnya mengembangkan ilmu tersebut dalam pelbagai bentuk.

Walau bagaimanapun, Ustaz tetap memberi ingatan kepada anak muridnya supaya tidak ada sedikitpun perasaan prasangka buruk atau pemikiran yang negatif yang membolehkan wujudnya sifat-sifat menentang. Dalam silat, sifat menentang disamaertikan dengan istilah menderhaka. Sifat menderhaka akan menerbitkan perasaan benci, iri, dengki dan akhirnya bersifat khianat. Khianat adalah sifat puncak dalam konsep menderhaka. “Iri merujuk pada perasaan, dengki merujuk pada hati manakala khianat merujuk pada perbuatan atau tindakan.” Itulah antara kata-kata ustaz apabila Ustaz mengupas konsep perkataan-perkataan tersebut. Dalam ilmu KK ada Ustaz bezakan antara konsep perkataan B, K dan P. Tak boleh bincang dalam ruangan ini.

Kalau wujud perasaan benci hingga membawa kepada perbuatan khianat dalam konteks menderhaka kepada guru maka apa yang kita boleh dapat lagi daripada guru kita. Penerimaan ilmu akan terhenti dengan serta merta. Perasaan buruk yang wujud dalam hati kita akan terus mewujudkan titik-titik hitam hingga akhirnya menghitamkan keseluruhan hati kita terhadap guru dan sesuatu yang berkaitan dengan guru. Maka secara langsung ilmu yang pernah disampaikan oleh guru akan terpadam dari masa ke masa. Akhirnya tiada ilmu yang lekat kerana melupakan guru bererti melupakan ilmu yang telah disampaikannya oleh guru atau wakilnya. Fahaman muntah ilmu, terbang ilmu dan sebagainya apabila menderhaka terhadap guru merupakan bidaah dalam kefahaman SC. Tak lekat ilmu bukan kerana ada kuasa yang menarik ilmu tersebut. Ilmu yang tidak lekat pada diri adalah bergantung pada diri kita sendiri.

Kita sambung lagi.

Tuesday, January 19, 2010

GURU MESTI STANDARD

1. Mukadimah


Membicarakan tajuk ini, saya akan mengupas pengertian guru dari kaca mata saya. Kaca mata yang saya pakai melihatkan pengalaman, pengetahuan dan ajaran yang saya terima dan yang saya faham sepanjang berada dalam SC. Saya telah merangka enam tajuk dan pengisiannya akan dilakukan dari masa ke sama berdasarkan masa yang ada. Huruf enam juga sesuai juga digunakan kerana huruf itu juga ada dalam SC.

Dalam tulisan yang lalu saya tegaskan betapa beruntungnya mereka yang berada di bawah kepimpinan silat yang dibawa oleh En Mat. Untung di sini adalah merujuk pada gurunya yang masih mempunyai asal usul berteraskan mandat. Mandat amat penting dalam konsep adat dan adab untuk memegang tampuk kepimpinan silat yang dibawa mereka. Penerusan mandat seterusnya masih jelas dan boleh diambil kira. Punca guru tidak boleh dipersoalkan kebenarannya. Kesinambungan guru yang ada adalah berdasarkan mandat lapis pertama yang sah dan masih tentu hala. Mandat seterusnya pasti ada dan tentunya sepancar dengan Ustaz. Maka berterusanlah salasilah perjuangan Ustaz atas sifat keinginannya. Dalam budaya orang Melayu, asal usul sesuatu, terutama keturunan dan salasilah amat dititikberatkan. Tapi sifat itu hanya untuk orang Melayu yang mengamalkan budaya Melayu sahaja. Agaknya.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya di atas. Adatlah. Lebih-lebih lagi bila sesuatu pendapat itu bertentangan dengan pendapat sendiri walaupun dibuktikan dengan fakta. Kadang kala saya terfikir juga. Kalaulah tidak ada peristiwa yang didakwa ke atas En Mat itu berlaku, tentunya keadaan dalam CH adalah dalam keadaan tenang. Guru yang ada masih menjawat jawatannya sebagai Guru Utama SC. Maknanya, dakwaan yang dikenakan ke atasnya telah menyebabkan ada murid yang beralih guru, bukannya ada kena mengena dengan mandat. Hakikat haknya sebagai guru yang sah tetap diterima oleh mereka. Soal layak tentunya tak sama dengan soal hak.

Istilah Guru dalam bidang persilatan adalah besar maknanya. Perkataan Guru adalah merupakan perkataan tua dan berasal dari bahasa Sanskrit. Dalam silat, pemimpin besarnya dipanggil guru, bukannya cikgu atau pendidik. Biasanya gelaran guru adalah untuk seorang sahaja dalam satu-satu bidang persilatan. Wakilnya akan bergelar Jurulatih atau wakil guru. Tapi ada juga silat lain yang menggelarkan Jurulatihnya sebagai Gurulatih. Nak juga perkataan guru digunakan. Walau bagaimanapun gelaran Guru tetap merujuk pada seorang sahaja dalam silatnya. Orang itulah merupakan penguasa silat yang tertinggi.

Pernah juga terjadi, mandat guru diserah kepada orang lain ketika guru asal masih hidup. Banyak faktor yang menyebabkan penyerahan tanggungjawab guru tersebut. Rata-rata adalah kerana faktor usia ataupun faktor kesihatan. Gelaran pada guru-guru berkenaan adalah pelbagai. Ada silat yang menggelar bekas guru sebagai mantan guru. Ada yang menggelar bekas guru itu sebagai Guru Tua. Biasanya guru yang baru menerima mandat tersebut akan bergelar Guru Muda. Guru Tua dilambangkan sebagai seorang yang tinggi ilmunya dan menjadi tempat rujukan. Penglibatan mereka adalah lebih bercorak formal. Jarang, malah tak pernah saya dengar akan adanya gelaran Guru Lama. Kalau adapun pasti merujuk pada mereka yang telah berkulat ilmunya. Istilah lama selalunya dirujuk pada ahli-ahli lama yang telah menceburi bidang persilatan tersebut. Kalau lama tapi tak turun padang maka lamanya dirujuk pada basi dan cendawan.

Oleh sebab Guru adalah kata nama dalam bidang persilatan maka kebiasaannya gelaran tersebut akan diikuti dengan kata hormat daripada ahli silatnya. Oleh sebab itu, dalam aspek gelaran, panggilan guru akan diiringi dengan pelbagai perkataan sama ada sebagai kata depan atau kata belakang. Misalnya perkataan maha, menjadi Mahaguru, atau utama menjadi Guru Utama atau tuan menjadi Tuan Guru, atau sebagainya. Itulah caranya kita memberi hormat atas gelaran dan sebutan perkataan guru dalam bidang persilatan. Jarang sekali guru diiringi oleh perkataan lain seperti encik, menjadi Encik Guru, Puan menjadi Puan Guru, pak menjadi Pak Guru, bestari menjadi Guru Bestari, Tok menjadi Tok Guru atau perkataan-perkataan lain.

Kesesuaian menggunakan kata iring bagi istilah guru adalah terpulang pada pandangan, falsafah atau nilai yang ada pada guru berkenaan. Apapun pandangan mereka yang ada, kata iring adalah perlu dalam budaya kita bagi menunjukkan perasaan hormat anak murid silatnya terhadap guru.

Agaknya, kalaulah guru berkenaan ada gelaran daripada istana boleh juga diiringkan istilah guru dengan gelaran yang diterima. Misalnya, Tan Seri Guru, Datok Guru, Tun Guru atau lain-lain gelaran yang ada. Kalaulah ada anugerah akademik, bolehlah gelaran guru dimulakan dengan sebutan “Yang Berbahagia Dr.” Dari segi budaya bahasa kita tentunya gelaran-gelaran tersebut tak salah digunakan. Yang penting sebutan guru perlu kata iring untuk menunjukkan perasaan hormat.

Dalam persilatan SC, gelaran Guru diiringkan dengan perkataan utama menjadi Guru Utama. PA masih menggunakan gelaran Guru Utama. Cuma di masa En Mat beliau lebih suka menggunakan gelaran Tuan Guru. Hal ini demikian adalah merupakan satu pembaharuan untuk ‘mengadress’ gelaran guru. Sudah tentu beliau mempunyai alasannya. Mungkin merujuk pada umur atau lain-lain pegangan. Saya tak pernah bertanya.

Cuma penggunaan istilah Tuan Guru, nampak semacam asing dalam kalangan ahli-ahli silat kita. Kita telah biasa dengan gelaran guru sebagai Guru Utama. Walau bagaimanapun seperti yang selalu saya katakan, dari segi adatnya, guru mempunyai hak mutlak dalam bidang persilatannya. Beliau berhak menggunakan apa jenis gelaran untuk jawatannya. Malah beliau juga berhak atas isi pelajaran silat yang dibawanya. Sama ada beliau ingin mengurang atau menambah pelajaran silat yang dipertanggungjawabkan kepadanya maka itu adalah merupakan haknya sebagai guru silat.

Dari segi gelaran ini saya ada pengalaman sebagai pengacara menganjurkan pertandingan-pertandingan silat antara perguruan silat yang lain. Ada yang berkehendakkan nama gurunya disebut dengan gelaran Tok Guru, Pak Guru, Guru Tua dan macam-macam lagi. Secara kesimpulannya, kata iring bagi guru mereka, rata-ratanya merujuk pada usia guru. Yang dah nak bangka akan dipanggil dengan gelaran Tok Guru. Yang masih muda dan baru terima mandat agaknya, gelaran beliau dimulakan dengan gelaran Guru Muda dan sebagainya mengikut kesesuaian silat masing-masing.

Untuk memanggil atau berinteraksi dalam keadaan tak formal, kita menggunakan pendekatan yang lebih mesra. Semasa Ustaz, dalam komunikasi biasa, kita berinteraksi dengan berbahasakan Ustaz. Sebagai contoh, tak pernah saya dengar ayat yang diucapkan, “Guru Utama, jemputlah minum....” , melainkan kita menjemput minum dengan menggunakan ayat, “Ustaz, jemputlah minum.” Gelaran formal pada En Mat ialah Tuan Guru. Dalam perbualan harian, saya hanya menggunakan istilah En Mat sahaja. Saya tak tahu pulak dengan orang lain.

Jelaslah kepada kita betapa istilah guru merupakan satu istilah yang hebat dalam persilatan Melayu. Gurulah yang akan menentukan hala tuju silatnya dan bertanggungjawab membimbing anak muridnya supaya sentiasa berada dalam landasan hidup yang betul. Hinggakan tanggungjawab guru dilambangkan dengan kata-kata oleh Allahyarham Dato’ Usman bin Awang, “ Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki. Berguru kepalang ajar, ibarat bunga kembang tak jadi.”

Tanggungjawab guru dalam bidang persilatan adalah berat. Namun begitu hal yang demikian tidak menjadi masalah kepada mereka. Sebelum dilantik sebagai guru, pastinya guru itu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sangat luas. Beliau berupaya untuk mengembangkan potensi anak muridnya yang bakal mengembangkan silat tersebut ke merata tempat. Oleh sebab tahap dan kebolehan guru adalah tinggi dalam konteks silatnya maka adab murid dengan gurunya perlu ada dalam proses penerimaan ilmu. Dalam proses inilah akan wujud istilah menghormati, bersopan, taksub, bodek dan pelbagai istilah lagi mengikut tahap pemikiran ahli. Di sinilah peranan akal akan terserlah sama ada murid silatnya berakal luas atau berakal pendek, sama ada mempunyai pemikiran small mind atau big mind. Semuanya akan mencorakkan warna-warna perhubungan antara guru dan murid.
Kita sambung lagi.

Wednesday, January 13, 2010

KUATNYA PENGARUH PERSATUAN (3)

Menebalnya perasaan curiga.

Pada pandangan saya semangat berpersatuan pada masa sekarang adalah sangat menebal, mengatasi semangat silat. Semangat pada SC sentiasa didalangi oleh semangat dan acuan persatuan. Hubungan rapat pada satu masa yang lalu hanya akan menjadi sejarah jika mereka berlainan persatuan, berlainan kepemimpinan tetapi satu bidang persilatan. Sesuailah dengan adap kita, ‘kerana silat kita bertemu maka kerana persatuan kita berpecah.’ Tak cukup masak untuk mengatakan pertemuan dan perpisahan kita adalah kerana Allah.

Semangat berpersatuan ini semakin hebat dalam zaman PA. Sikap saya masih sama. Saya masih ingat dalam satu mesyuarat agung di zaman PA. Usul menjadikan Guru Utama sebagai presiden seumur hidup tidak berjaya dalam meyuarat agung tersebut. Sekali lagi saya menentang usul tersebut dengan alasan yang sama. Masa itu mereka yang penyokong pendapat saya adalah ramai. Tapi saya faham akan maksud sesetengah mereka. Ramai yang menyokong bukan kerana konsep guru utama tak perlu menjawat jawatan presiden seumur hidup berdasarkan adat dan adab. Tapi ramai yang menyokong kerana mereka ‘menolak’ kepimpinan PA sebagai guru utama. Kenapa ini boleh terjadi. Ada IT saya akan bincangkan nanti.

Walau apapun perkembangan yang ada, pepecahan di zaman PA dan En Mat, telah lebih memaham dan memantapkan kefahaman saya akan maksud kekuatan persatuan. Apabila mandat diambil oleh En Mat daripada PA, tidak ada sebarang alasan dalam bidang persilatan yang dapat menolaknya. Walau bagaimanapun peraturan persatuan telah dapat digunakan bagi menidakkan hak En Mat sebagai guru. Akhirnya guru yang berhak telah tersingkir dek kerana kekuatan persatuan. Maka hilanglah kekuatan silat kerana wujudnya kekuatan persatuan. Hal ini demikian kerana peraturan persatuan adalah selari dengan undang-undang negara. Manakala adat dan adab persilatan hanya selari dengan adat dan budaya kita. Kemegahan bidang persilatan telah terpaksa tunduk pada tuntutan zaman dan kemodenan bangsa.

Sewaktu mala petaka melanda SC di bawah kepimpinan guru yang ada, sekali lagi kita boleh nampak betapa faktor persatuan memainkan peranan menentukan kedudukan guru. Tindakan En Mat yang ‘menyerahkan’ sementara tanggungjawab sebagai presiden, telah diambil peluang dengan sepenuhnya oleh golongan konspirasi bagi menjatuhkan kedudukan guru.

Kita juga boleh lihat tentang peranan persatuan yang menubuhkan badan penyiasat dan badan kehakiman bagi menentukan sama ada guru itu benar atau salah. Hilang hak ahli silat sendiri untuk menentukan untung nasib guru silat mereka sendiri. Saya tak perlu komen banyak dalam soal ini.

Saya juga difahamkan tentang pergolakan dalam persatuan silat yang kita tinggalkan tempoh tahun yang lalu. Dapat kita lihat betapa guru mereka yang ada, tersingkir terus melalui mesyuarat yang dianjurkan oleh persatuan. Tinggallah guru dengan gelaran prisiden seumur hidupnya yang tentunya setakat hidupnya. Apakah ertinya gelaran seumur hidup tersebut dalam keadaan hormat murid terhadap guru tidak seumur hidup. Bukankah konsep seumur hidup itu hanya berupa alat bagi memenuhi kepuasan ahli persatuan. Sungguh sayu dan menyayat hati.

Namun begitu ahli-ahli sebelah sana tak perlu banyak berfikir atau susah hati tentang kedudukan guru. Soal mandat yang begitu hebat ikatannya dengan adab dan adat persilatan bangsa Melayu telah tertolak ketepi. Yang pastinya, dengan pelantikan guru baru mereka yang sedia ada maka putuslah salasilah guru SC berdasarkan waris pesilat dan berkonsepkan mandat. Apapun, mereka tak perlu pecah kepala memikirkan soal pengganti guru. Mereka juga tidak perlu menantikan alamat dalam mimpi bagi mengesahkan kebenaran guru berikutnya. Memadailah dengan keputusan mesyuarat bagi menentukan pemilihan guru. Senang dan mudah. Cepat dan ringkas.

Bagitu juga nampaknya dengan ‘geng’ kita sebelah sana. Guru mereka yang ada kurang berkuasa dengan persatuan yang ada. Syarikat yang ada lebih berwibawa. Kalau guru akan tiada, masalah pengganti bukan utama. Syarikat boleh memilih siapa saja. Maka putuslah mandat yang ada. Tapi apa guna pecah kepala untuk mencari pengganti guru yang tiada. Kepuasan jiwa berkunjung hiba. Salasilah silat akan ternoda. Zaman moden, mimpi yang dulu mereka cari tak akan kunjung tiba. Mimpi lain yang akan menjelma. Kabus kepala penghalang utama. Terkapai-kapai dan meraba-raba. Wow! Syoknya ada.

Setakat ini, sepanjang pengalaman, pemerhatian dan berdasarkan pengetahuan, kita yang berada dalam SC pimpinan En Mat saya kira masih beruntung. Adab dan adat persilatan SC masih ada. Mandat perguruan nampak jelas. Maka pelajaran yang kita tuntut ada puncanya. Hala tuju kita masih ada kesinambungannya dengan apa yang diharapkan oleh Ustaz.

Berdasarkan tafisran situasi masa kini, mereka yang masih berpegang pada konsep ahli silat, akan terus hormat menghormati sesama ahli silat. Manakala dalam kalangan ahli persatuan, mereka akan terus menghentam antara satu sama lain. Tabiat mencaci dan menghina pada mereka yang berlainan persatuan akan berterusan walaupun mewarisi SC yang sama.

Banyak perbezaan lain antara ahli silat dan ahli persatuan. Yang pastinya persatuan itu adalah kuasa. Kuasa juga bermakna politik. Dalam politik ada strateginya. Semua yang berlaku bukanlah berlaku begitu sahaja. Tapi apa yang berlaku adalah hasil perancangan untuk menjadikan apa yang berlaku itu sedemikian rupa. Hanya jauhari mengenal maknikam.Hanya awang yang mengenal keindahan minah.

Sekian saja setakat ini atas tajuk yang sama.

Tuesday, January 12, 2010

KUATNYA PENGARUH PERSATUAN (2)

Mula wujud perasaan curiga.

Mesyuarat agung SC di Bagunan Sulaiman telah mengubah tanggapan saya yang terbina selama ini terhadap keharmonian SC. Kalau tak salah saya mesyuarat tersebut adalah seiring dengan perayaan kali kesepuluh SC. Timbul usul untuk menjadikan Guru Utama SC sebagai Presiden seumur hidup. Usul itu dibawa oleh jawatankuasa pusat sendiri. Hati terkata-kata. Kenapa perlu guru utama dilantik sebagai presiden seumur hidup. Apa perlu memohon mandat daripada ahli yang diijazahnya bagi mengesahkan status seumur hidup. Bukankah hakikat wujudnya guru dalam persatuan SC pastinya akan terus menerus seumur hidupnya menjadi presiden.

Pada ketika itu banyak lagi persoalan yang timbul dalam benak diri. Adakah mungkin wujudnya ahli yang mempelajari SC daripada tangan ustaz yang mengijazahnya sanggup bertanding melawan Ustaz sebagai presiden persatuan. Mana mungkin terjadi. Oleh hal yang sedemikian kenapa perlunya Ustaz diisytiharkan sebagai presiden seumur hidup. Kenapa perlunya Ustaz mendapatkan mandat ahli yang diijazahnya sebagai anak muridnya untuk membenarnya memakai gelaran sedemikian. Mana perginya adab ahli silat terhadap gurunya.

Kalau perlunya Ustaz sebagai presiden seumur hidup, isytihar terus. Tak perlu keluarkan usul untuk mendapatkan kebenaran ahli. Hakikatnya Silat Cekak adalah hak Ustaz. Kalau Ustaz arahkan SC ditutup maka pasti SC akan terkubur. Kalau ada antara ahli SC yang cuba menyanggahnya, Ustaz mempunyai kuasa untuk menyingkirkan ahli tersebut secara tidak mengakuinya lagi sebagai anak muridnya. Oleh itu kenapa perlu guru dijadikan presiden seumur hidup. Kalau perlu ada sikap tersebut, tentu ada sesuatu perasaan ragu-ragu yang tersembunyi dalam hati perut mereka.

Dalam mesyuarat agung itu, saya bangun menentang cadangan usul tersebut. Saya yakin, apa yang saya tulis dalam rencana ini, maka itulah yang saya telah ucapkan. Ada yang menyokong pandangan saya terutamanya perwakilan dari Kedah. Pendapat pembawa usul tersebut ada logiknya dari sudut perbahasan mereka. Memanglah. Mana-mana majlis perbahasan tentu tajuknya ada baik dan ada buruknya. Perbahasan hangat pada malam itu diakhiri dengan undian. Undian secara angkat tangan. Masa itu undi-undi sulit tak tahu lagi. Bangkangan ke atas usul tersebut telah dikalahkan.

Saya diyakinkan bahawa usul itu perlu diterima. Ketika itu pengaruh politik mula berkait dengan persatuan SC apabila ada cawangan pilitik tertentu menjadikan SC sebagai salah satu aktiviti pertubuhan mereka. Secara langsung mereka menjadi ahli SC di samping ahli dalam parti politik. Timbul alasan akan takutnya pengaruh politik masuk dalam persatuan SC. Dikuatiri mereka akan menguasai persatuan. Atas sifat kekuatiran tersebut maka usul itu perlu diterima. Semakin ramai ahli mereka menjadi ahli persatuan SC maka berkemungkinan besar semakin kuatlah azam mereka untuk menguasai persatuan SC. Akhirnya jawatan Presiden yang disandang oleh Ustaz mungkin akan tercabar. Saya akur dengan teori mereka. Apa guna berbahas lagi. Usul yang saya tentang telah ditolak dalam mesyuarat agung tersebut.

Tapi sekali-sekala terbit persoalan. Kenapa perlu takut akan bayang-bayang sendiri. Guru yang ditaati perlu diterima seikhlas hati. Kenapa perlu timbul perasaan syak wasangka akan kedudukan guru boleh dicabar. Pada saya dengan penerimaan usul tersebutlah maka bermulanya perasaan curiga mencurigai antara sesama ahli. Lebih hebat lagi perasaan itu meliputi ke atas guru SC sendiri.

Rupa-rupanya kuasa guru silat atas silatnya boleh disanggah oleh muridnya sendiri atas sifat ahli persatuan. Guru silat tidak boleh berkuasa atas persatuan yang mendokong silatnya sendiri. Anak murid yang diijazah hanya tunduk pada gurunya atas nama guru silat. Sebaliknya murid itu boleh menyanggah guru atas nama persatuan.

Pada saya, keadaan itulah bermulanya wujud garis pemisah antara silat dan persatuan. Fikiran ahli dibuka luas pada satu pengetahuan yang baru tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dalam konteks silat dan persatuan.

Walau bagaimanapun, pepisahan antara silat dan persatuan tidak ketara ketika itu. Tidak ada siapapun yang berani menyanggah Ustaz sama ada pendapatnya atau arahannya. Cubaan memisahkan guru dan presiden tersebut, saya kira hanya mainan politik para pengurus persatuan. Ahli silat yang menuntut masih ikhlas dengan perjuangan silatnya. Mereka juga masih ikhlas dengan guru yang mengijazahkan mereka.

Nampak jelas betapa Ustaz sendiri tidak takut akan bayang-bayangnya. Ustaz mempunyai ilmu yang tinggi untuk ‘membaca’ hati murid. Oleh itu, tak ada apa yang perlu dirisaukan oleh Ustaz tentang kedudukan guru. Untuk melihat atau menentukan kedudukan hati murid, daripada ijazah sendiri Ustaz boleh tahu. Ustaz lebih faham akan maksud dan perangai anak muridnya. Sekilas ikan di air, sudah tahu akan jantan dan betinanya. Walaupun ‘penunjuk ayam’ adalah berupa alat, akan tetapi tabiat mengambil bahagian daripada ayam tersebut boleh juga dijadikan panduan. Kalau tidak, kenapa perlu ditulis akan gelagat anak murid yang tamat dan tabiat mengambil bahagian daripada ayam tersebut.

Tambahan pula, semasa ijazah pertama, telah ada ikrar berupa azam yang ditanam dalam kalangan ahli untuk dijadikan perjuangan diri pesilat itu sendiri. Kita ditanam dengan azam untuk terus taat pada guru, ibu, bapa, ikatan setiakawan sesama ahli dan berazam untuk tidak mencaci silat-silat Melayu yang lain. Azam yang ditanam itu juga adalah satu bentuk peraturan dalam persilatan SC. Peraturannya amat mudah tapi payah untuk dilaksanakan. Tak banyak perkara yang perlu difikirkan.

Adatnya, dari aspek keselamatan, kedudukan guru adalah terjamin. Pepecahan sesama ahli SC adatnya mustahil boleh berlaku. Fikiran mereka akan bersepadu. Jika bertengkar umpama carik-carik bulu ayam. Lama-lama akan bercantum juga. Mana boleh bergaduh akibat perbezaan pendapat. Bukankah sesama ahli silat telah bersumpah. Atas nama Allah pulak tu. Ada saksi pulak tu. Kenapa perlu lagi diangkat tahap guru sebagai presiden seumur hidup. Adatnya tak akan ada siapa yang berani menandingi guru atas apa jawatan pun.

Dalam kegiatan sukan di negara ini, penglibatan pemerintah negeri tidak boleh dinafikan. Ketika mereka mentadbir, mana ada pencabarnya untuk bertanding berebut jawatan utama. Adab dan adat budaya kita melarang warga negara daripada bertanding. Begitu juga dengan SC. Kita juga ada adat dan adabnya. Masakan adat dan adab persilatan kita boleh membenarkan sebarang saingan atas guru. Tapi itu tafsiran kita.

Kini saya lebih mengerti untuk membuat tafsiran tentang situasi tersebut. Apabila dikenang balik, saya dapat simpulkan bahawa fahaman persatuan telah mula terasas ketika wujudnya usul menjadikan Guru Utama sebagai Presdien SC seumur hidup. Institusi Guru mula tergugat dan tercabar apabila cadangan menjadikan guru sebagai presiden seumur hidup memerlukan kebenaran ahli persatuan. Pada hal ahli persatuan itu juga adalah merupakan ahli silat yang diijazahkan sendiri oleh Ustaz Hanafi.

Sengaja saya tulis isu yang sekian lama terpendam dalam hati saya. Walau apapun kata mulut, saya tidak boleh menafikan kata hati. Saya tetap berpegang pada kesimpulan betapa sesuatu yang berkaitan dengan kedudukan guru, biarlah bidang disiplin silat yang menentukannya. Bukannya peraturan persatuan. Biarlah jawatan prisiden dilantik setiap tahun atau dua tahun sekali atau sebagainya sebagai memenuhi tuntutan berpersatuan. Adab dan adatnya tak akan ada kalangan ahli silat yang berani bersaing dengan guru. Kalau diadakan usul ‘seumur hidup’ maka kita akan merendahkan kedudukan guru kita. Usul akan dibahas. Maka akan terkeluar sesuatu yang menyentuh kedudukan guru. Apatah lagi ketika kedudukan guru cuba ditentukan oleh ahli yang diijazahkan oleh guru. Pada saya, bahaslah usul-usul lain yang bukannya berkaitan dengan guru.

Sekian dan sambung lagi.

Monday, January 11, 2010

KUATNYA PENGARUH PERSATUAN

1. Tanggapan Ketika Masuk SC

Dalam tulisan ini saya cuba menyingkap kembali detik-detik permulaan wujudnya fahaman persatuan dalam kalangan ahli SC. Kita tidak boleh menafikan betapa tebalnya fahaman persatuan dalam kalangan ahli sekarang ini. Hinggakan kita lupa adat dan adab persilatan kita, berbanding dengan peraturan-peraturan yang kita reka sendiri berkaitan dengan persatuan yang kita tubuhkan terkemudian daripada silat.

Pandangan saya adalah berdasarkan perasaan dan pandangan peribadi serta juga berdasarkan pengalaman. Saya membuat tafsiran dan kesimpulan sendiri buat renungan dan perkongsian ilmu dengan para pembaca. Saya yakin dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun lagi akan ada peminat silat yang membuat kajian tentang punca-punca kejatuhan sebuah organisasi silat yang hebat iaitu Silat Cekak.

Apakah punca yang menyebabkan jatuhnya kegemilangan SC tersebut yang telah diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Pastinya banyak puncanya. Fahaman kuat pada persatuan adalah merupakan salah satu punca terbesar kemorosotan kegemilangan SC. Saya yakin bahan yang saya tulis ini boleh dijadikan sedikit panduan buat mereka. Penulisan saya adalah berbentuk catatan pengalaman. Para pembaca cubalah singkap sendiri akan isi-isi yang berkaitan dengan fahaman kuat pada persatuan yang menjadi salah satu faktor kemerosotan silat kita.

Mengenang kembali penglibatan saya dalam SC. Banyak perkara istimewa dalam SC yang menyebabkan saya tertarik untuk mengorbankan masa bersama dengan SC. Ketika menceburi SC, hati tersangat ikhlas bagi mendalami ilmu yang ada. Tidak ada sebarang cita-cita atau niat untuk mendapatkan sebarang kedudukan atau jawatan dalam SC. Yang penting, kehebatan SC yang dicanangkan terutama dalam majalah dan akhbar, perlu saya kuasai kerana sememangnya saya amat berminat dalam bidang persilatan. Saya mengorbankan masa untuk menemui guru SC sendiri bagi mendapatkan kepastian dan penjelasan agar diri benar-benar tidak tersalah pilih akan silat yang perlu dimiliki. Itulah azam diri ketika melangkah masuk dalam dunia persilatan SC.

Kini, suasana SC telah berubah sama sekali. Silat Cekak telah berpecah. Faham persatuan amat hebat hingga sanggup mengorbankan sumpah bila mana sesama ahli Silat Cekak boleh bermusuhan dek persatuan SC yang berlainan. Pada hal semuanya mendakwa silatnya adalah sepancar daripada Ustaz Hanafi.

Sepanjang penglibatan saya dalam SC, saya tetap berasa untung kerana dapat berdamping erat dengan seorang guru silat yang berwawasan tinggi. Pandangannya hebat dan beliau merupakan seorang guru silat yang sangat berwibawa. Percakapannya sangat menarik dan menyentuh hati. Keyakinan tersebut mendorong saya mencari rakan-rakan yang lain untuk bersama-sama menceburi kegiatan SC. Akhirnya kami berjaya menubuhkan satu pusat latihan yang dianggotai oleh lima puluh enam orang ahli. Ustaz sendiri datang mengajar silat dan dibantu oleh anak-anak murid kanannya.

Setelah memasuki SC, dilihat pada anak muridnya, semuanya bersopan dan beradat. Mereka sentiasa menunjukkan rasa hormat yang amat tinggi kepada guru yang ada. Pastinya kesetiaan yang dilahirkan tersebut melambangkan kekuatan diri mereka yang ikhlas hasil asuhan Ustaz Hanafi. Kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi. Saya nampak situasi menang menang. Pada ahli SC, mereka beruntung kerana mempunyai seorang guru yang hebat. Manakala pada guru SC, saya percaya bahawa Ustaz juga beruntung kerana mempunyai murid yang beradap dan bersopan.

Ketika itu, sanjungan anak murid SC terhadap gurunya tidak boleh disangkal. Dalam konteks persatuan, semua anak muridnya beranggapan bahawa persatuan SC itu sendiri adalah milik Guru Utama. Maknanya Ustaz Hanafi adalah seorang guru dan juga seorang presiden persatuan yang tidak boleh disanggah. Mereka tidak langsung cuba memisahkan peranan guru dalam menggerakkan silat dan menggerakkan persatuan. Kedua-duanya adalah bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Mana mungkin ada anak murid Ustaz yang berani menyanggah Ustaz untuk berebut jawatan presiden persatuan. Saya berkeyakinan penuh bahawa telahan dan anggapan sedemikian, langsung tidak timbul di hati anak murid Ustaz ketika itu untuk bersaing dengan Ustaz. Apatah lagi wujudnya sifat berani berebut tanggungjawab sebagai guru silat. Kalau beranilah anak muridnya berbuat demikian, pasti akan dipulau oleh semua ahli silat.

Itulah suasana tanggapan yang ada dalam kalangan ahli. Maka, masing-masing memberi tumpuan untuk memaju dan mengembangkan SC.Hal yang berkaitan dengan dasar silat dan persatuan adalah diserah sepenuhnya kepada kepimpinan Ustaz tanpa wujud sebarang persoalan. Itulah kesimpulan yang saya peroleh sepanjang penglibatan dalam SC di peringkat awal.

Fikiran saya mula terganggu tentang keikhlasan yang ada dalam kalangan murid silat terhadap Ustaz sebagai guru. Saya tidak meluahkan perasaan tersebut pada rakan-rakan. Hal ini demikian kerana sikap yang bertentangan itu timbul dalam kalangan murid-murid kanan Ustaz sendiri. Walau bagaimanapun perasaan itu timbul dengan sendirinya dan berlawanan dengan anggapan diri yang sedia ada.

Sambung lagi.

Friday, January 8, 2010

MENERUSKAN PERJUANGAN YANG LALU

Azam yang ada dalam kalangan kita, juga dapat dikatakan satu perjuangan. Seringkali kita membincangkan makna perjuangan. Ada pelbagai tafsiran. Walau bagaimanapun setiap orang ada perjuangannya sendiri dan berazam untuk mencapainya. Malah dalam SC pun akan terdapat perjuangan individu terutama untuk mendapat tempat sebagai Jurulatih atau mendapat kedudukan dalam persatuan. Seperti biasa, kadang kala perjuangan kita akan tercapai dan adakalanya terbengkalai begitu sahaja.

Baru-baru ini telah dilancarkan satu perancangan yang besar dalam SC. Program Jom Silat dikatakan mempunyai misi untuk menghimpunkan puluhan ribu pesilat dalam jangka masa yang tertentu. Misi berbentuk satu perjuangan dalam SC tersebut perlu dipikul oleh semua ahli silat atau ahli persatuan. Perancangan ini akan terarah dan berfokas. Kita mengharapkan agar perjuangan memenuhi impian tersebut akan tercapai dan beroleh kejayaan.

Terkenang di masa yang lalu. Ustaz juga mempunyai misi dalam perjuangannya. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya, tersimpul bahawa ada perjuangan Ustaz yang tercapai dan ada juga perjuangannya yang saya rasa belum tercapai atau masih tidak sempurna. Pada pendapat saya, kalaulah barisan kepimpinan SC yang sedia ada dapat berbincang dalam isu ini, alangkah baiknya. Tajuknya adalah pelbagai. Sekurang-kurangnya kita boleh membincangkan tentang kefahaman dan pengertian kita atas perjuangan Ustaz dalam kaca mata kita. Kalau ada misi perjuangan Ustaz yang belum tercapai bolehlah dijadikan panduan untuk perancangan kita seterusnya dengan strategi-strategi yang lebih mantap dan berfokas.

Dalam tulisan ini elok juga saya berkongsi kesimpulan dengan para pembaca tentang beberapa perjuangan yang saya anggap belum selesai atau belum mantap dan perlu diberi perhatian. Semuanya adalah berdasarkan pengertian saya atas perjuangan Ustaz dari kaca mata saya semata-mata. Jika perjuangan Ustaz diambil kira dalam program perjuangan SC seterusnya, sekurang-kurangnya ada kesinambungan dengan apa yang diharapkan oleh Ustaz. Atau sekurang-kurangnya boleh dimasukkan dalam misi perjuangan barisan kepimpinan SC yang ada.

Saya tidak mengklasifikasikan perjuangan dalam SC yang saya faham tersebut berdasarkan masa. Apa yang saya tulis adalah berdasarkan kepada apa yang saya faham atas keinginan Ustaz dalam misi perjuangannya dari masa ke masa, sepanjang waktu bersama dengannya. Mungkin tafsiran saya benar dan mungkin juga salah. Namun begitu elok juga tulisan saya ini dibaca sebagai renungan kita bersama dan boleh juga diambil kira dalam perancangan SC untuk tahun-tahun seterusnya.

Ustaz pernah menerangkan kepada saya bahawa SC adalah merupakan silat akhir zaman. Kerap juga penegasannya dibuat secara individu ketika bersamanya. Saya tidak tahu sejauh mana konsep SC sebagai silat akhir zaman telah tersebar luas dalam kalangan pemikiran ahli. Banyak kupasan boleh dibuat mengenai konsep tersebut. Berdasarkan konsep ‘akhir zaman’, konsep itu membawa erti bahawa SC adalah sejenis silat yang mutlak dan tak ada yang setanding dengannya. Konsep tersebut bukan setakat teori semata-mata. Kita berjaya membuktikannya. Ketika itu, semua warga Cekak berdiri teguh bersama Ustaz bagi mendaulatkan seni kebangsaan tersebut.

Pada diri saya sendiri, konsep yang ditanam oleh Ustaz tersebut telah menjadi perangsang untuk terus menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat. Dengan kefahaman yang mantap bahawa ‘silat itu gerak dan gerak itu berasaskan gerak tangan dan gerak kaki’, menjadikan faktor keyakinan adalah begitu mantap dalam diri sendiri. ‘Ancaman’ atau halangan silat-silat lain atas perkembangan SC tidak menjadi bebanan malah dianggap cabaran yang boleh diatasi dengan mudah.

Minat untuk menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat Melayu telah menjadi semacam satu tanggungjawab. Hal ini sedemikian kerana semangat berbuat demikian adalah bersesuaian dengan azam Ustaz untuk mempastikan semua orang Melayu mempelajari SC. Dalam zaman Ustaz, kecermerlangan SC telah berjaya dibuktikan. Pengaruh silat lain dalam masyarakat kita adalah semakin luntur. Kerap kali berlaku, apabila SC bertapak maka silat lain akan layu. Kita nampak jelas akan keberkatan guru. Oleh itu saya berpendapat bahawa konsep SC sebagai silat akhir zaman perlu ditanam dan disemai dalam kalangan ahli-ahli silat ketika mereka mula berkenalan dengan SC.

Malangnya usaha-usaha ‘menCekakkan’ orang Melayu sepenuhnya amat sukar dilakukan. Tambahan pula kita mula berpecah. Namun begitu jika semangat untuk menyebarkan SC sepenuhnya dalam kalangan bangsa Melayu masih berterusan maka usaha-usaha mengembangkan SC juga akan berterusan. Langkah kita mengadakan program Jom Silat adalah merupakan salah satu langkah yang amat baik untuk menyebarkan SC dalam kalangan bangsa Melayu. Saya berharap kita akan mengambil berat dan terus berusaha bagi memenuhi impian yang dihajatkan.

Perkataan dua puluh satu adalah dianggap keramat dalam persilatan SC. Malah lambang bintang dalam simbul kita mempunyai dua puluh satu penjuru. Pernah saya tanya Ustaz tentang konsep berpenjuru dua puluh satu tersebut. Ustaz pernah menjelaskan bahawa penjuru-penjuru tersebut melambangkan juga tentang wujudnya negeri-negeri yang ramai penduduk Melayu dalam dunia. Ustaz berazam setelah bangsa Melayu dalam negara kita mempelajari SC maka SC akan disebar luas dalam kalangan bangsa Melayu lain di negara-negara luar.

Dalam konteks ini, kita pernah membuat pertunjukan di negara Indonesia. Maka usaha-usaha seterusnya perlu dibuat untuk mengadakan pertunjukan atau promosi di negara-negara lain. Saya rasa di samping negara-negara jiran, ramai orang Melayu di Afrika Selatan, Australia, Seri Langka dan negara-negara lain. Di samping memperkenalkan SC dalam kalangan mereka, fikiran ahli boleh dibuka luas tentang orang-orang Melayu yang ada di serata dunia.

Ustaz berkeinginan untuk mengadakan satu pusat pengajian silat Melayu. Ustaz pernah menyebut tentang usahanya untuk menubuhkan akademik silat. Konsep penubuhannya adalah bersandarkan kepada pembelajaran silat-silat Melayu asli yang terutama namanya ada disebut dalam senarai buah-buah silat kita. Usaha-usaha ke arah hasrat tersebut telah dilakukan sejak zaman Ustaz lagi. Suatu ketika, terdapat satu jenis silat Melayu yang dijemput untuk mengajar ahli-ahli SC. Ahli yang mempelajarinya telah dijemput membuat persembahan dalam perayaan ulang tahun SC. Kali yang keberapa, saya lupa. Yang saya ingat ialah di Sulaiman Club.

Mungkin idea Ustaz ini boleh diteruskan dalam program jangka panjang kita. Walaupun akademik silat telah ditubuhkan dan dikatakan sebagai memenuhi perjuangan Ustaz tapi perjalanannya tidak jelas dan meragukan. Adakah kepentingan penubuhannya berdasarkan kepentingan meneruskan cita-cita Ustaz ataupun kerana kepentingan tertentu.

SC sememangnya boleh diilmiahkan. Sesuai dengan itu Ustaz memang berusaha untuk mendapatkan gelaran doktor kehormat dalam bidang silat. Nampaknya usaha-usaha Ustaz tersebut tidak kesampaian. Maka pemegang amanah yang ada perlu meneruskan usaha-usaha untuk mendapatkan pengiktirafan secara ilmiah tersebut. Secara langsung martabat SC akan dapat dipertingkatkan dalam pesada dunia persilatan kita.

Satu perkara yang membanggakan kita, keinginan Ustaz agar SC mendapat tempat di pusat pengajian tinggi adalah terhasil. Strategi kita seolah-olah ingin mendapat ruang dalam pasukan tentera dan polis telah menyebabkan kebanyakan silat Melayu telah turut memberi tumpuan yang sama. Tapi Ustaz mempunyai strategi tertentu. Ketika silat yang lain sebok berbuat demikian, Ustaz mengalih tumpuan ke pusat pengajian tinggi. Sesungguhnya kejayaan kita bertapak di pusat pengajian tinggi, telah mengangkat taraf SC pada satu tahap yang lain. Begitulah hebat pemikiran Ustaz ketika itu. Pada generasi baru, teruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Ustaz Hanafi. Betul perancangannya, pasti kita berjaya. Dua campur dua, pastinya empat. Bukannya enam tolak enam.

Sekian.

Monday, January 4, 2010

FAHAMAN APA

Saya menarik perhatian para pembaca tentang fahaman Ustaz Hanafi. Persoalannya adakah kefahaman ini perlu ditanam sepenuhnya dalam kalangan penuntut SC sekarang ini dan jika perlu, siapakah yang bertanggungjawab untuk menyebarkan fahaman tersebut. Saya rasa persoalan ini boleh dibuat kajian. Kalau dibincangkan maka eloklah dibuat secara fikiran terbuka.

Walau apapun fahaman yang ada, setakat ini peranan besar Jurulatih SC adalah tidak dapat dinafikan begitu sahaja dalam usaha penyebaran fahaman dalam kalangan penuntut SC. Jika fahaman yang ada pada mereka adalah mantap maka begitu jugalah kefahaman yang dapat disampaikan kepada penuntut yang menuntut dengan mereka. Kita harus akui betapa Guru Utama sentiasa memikul tanggungjawab yang berat dalam perjuangan SC. Tumpuannya secara seratus peratus dalam tanggungjawab ini mungkin terhalang memandangkan halangan masa dan bilangan penuntut SC yang semakin bertambah dari masa ke masa. Hal yang demikian menyebabkan peranan Jurulatih amat besar dan tanggungjawab mereka juga amat berat.

Oleh itu para Jurulatih perlu diberi kefahaman yang jelas dan mantap sebelum mereka berupaya menjadi agen besar dalam meneruskan kesinambungan kefahaman yang ada dan yang dikehendaki dalam SC. Siapa pula yang bertanggungjawab untuk memperkayakan kefahaman Jurulatih tersebut. Dalam hal ini saya rasa Guru Utama juga perlu dibantu oleh orang-orang kanannya untuk memupuk kefahaman yang mantap dalam kalangan Jurulatih. Perkara penting ialah Jurulatih itu perlu ditanam dengan kefahaman yang jitu agar anak-anak murid SC yang menuntut melalui mereka akan mantap sama ada fizikalnya atau pemikiran yang dianjurkan dalam SC.

Setakat ini kalau tak salah saya, kita tetap berpegang pada satu fahaman bahawa apa yang kita lakukan sekarang adalah merupakan kesinambungan dengan apa yang telah dibawa oleh Ustaz Hanafi. Kesinambungan ini adalah meliputi aspek fizikal dan aspek pemikiran. Oleh itu, persoalannya adakah kita patut dan perlu meneruskan kesinambungan kefahaman tersebut secara sepenuhnya tanpa ada sebarang perubahan.

Persoalan yang saya utarakan tersebut amat menarik tetapi mungkin amat sensitif untuk berbincang. Kalaulah ditanyakan pendapat saya, pasti akan saya setuju agar kefahaman Ustaz diteruskan kepada anak murid yang menuntut SC. Apatah lagi, kita juga sering melaung-laungkan bahawa SC yang ada sekarang ini adalah merupakan pusaka Hanafi sendiri. Walau bagaimanapun, dari segi praktiknya, saya juga bersetuju bahawa cadangan tersebut amat sukar untuk dilaksanakan. Kesukaran ini adalah berpunca daripada beberapa faktor yang saya fikir akan menjadi penghalang utama.

Pastinya kita menghadapi masalah tenaga yang berupaya untuk menyebarkan kefahaman Ustaz Hanafi. Tidak ada siapapun yang boleh mendabek dada mengatakan beliau benar-benar faham akan pengajaran yang telah diasaskan oleh Ustaz. Apatah lagi untuk mengatakan diri itu pakar dalam satu segi atau pelbagai segi sama ada silatnya atau pemikirannya. Diri sahaja yang banyak perasan. Tidak ada pengiktirafan. Syok sendiri.

Ahli-ahli SC yang baru pun berasa celaru. Persengketaan yang berlaku sekarang ini, semuanya dihasilkan oleh ‘anak murid’ Ustaz sendiri. Mereka telah menerima ajaran yang sama daripada Ustaz. Bagaimanakah boleh wujud perbezaan pendapat sesama mereka hingga menyebabkan berlakunya pepecahan pendapat antara mereka. Berlainan tafsiran dan wujudnya kepentingan adalah merupakan alasan yang kita boleh berikan. Walau bagaimanapun jika ditanya pada mereka, pasti akan dinafikan. Mereka yakin bahawa apa yang mereka lakukan adalah demi menyelamatkan SC. Sejauh mana kebenarannya, saya pun tak tahu. Melainkan Tuhan menganugerahkan kebolehan bagi membaca isi hati mereka. Baharulah kita boleh tahu sama ada apa yang dilakukan tersebut ikhlas ataupun tidak.

Kalau sesama sendiripun tidak sehaluan maka mana mungkin fahaman Ustaz yang sebenarnya dapat disampaikan kepada para penuntut. Ada yang dikira mantap dengan kefahaman Ustaz tapi tindak tanduk mereka tidak melambangkan penguasaan fikiran tersebut. Ramai yang cakap tak serupa bikin walaupun memberi pelbagai alasan.

Kita jangan lupa bahawa Guru Utama yang ada sekarang adalah penerima mandat daripada Ustaz Hanafi. Maka beliaulah yang memainkan peranan untuk menentukan apakah bentuk kefahaman yang perlu ‘dimasukkan’ dalam kalangan anak muridnya. Sebanyak mana keagungan kita pada guru yang lalu, kita jangan sesekali lupa atau menafikan peranan guru yang sedia ada. Sebagai penerima mandat dan bersifat profesional atas perofesyennya, berilah kepercayaan dan pengharapan kepada beliau untuk menentukan hala tuju SC seterusnya.

Ketika saya mula-mula menuntut SC tempoh hari, terdapat nama seorang tokoh yang sering diwar-warkan. Dikatakan Ustaz sendiri menuntut dengan tokoh ternama tersebut. Tapi saya tidak pernah bersua muka dengannya. Apatah lagi mendengar syarahan atau pendapatnya. Maka saya sering mengabaikan tokoh tersebut, sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya pada tokoh yang ada iaitu Ustrz Hanafi.

Saya rasa hal yang sama mungkin dirasai juga oleh penuntut-penuntut SC yang tidak pernah bersua muka dengan Ustaz Hanafi. Sukar bagi mereka untuk menggambarkan peranan dan kefahaman yang telah diberi oleh Ustaz Hanafi. Dalam hal ini, saya berpendapat adalah lebih baik mereka menumpukan perhatian sepenuhnya dengan guru yang sedia ada. Bentuk kefahaman, bentuk pemikiran dan pelbagai bentuk aspek yang lain adalah perlu berasaskan pada guru yang ada. Dengan cara ini pemikiran ahli tidak bercelaru dan tidak berada dalam keadaan haru-biru.

Cuma para pembaca jangan tersilap anggap atas tulisan saya. Saya menulis untuk mengenengahkan pengalaman bersama Ustaz berdasarkan pemikiran dan tafsiran saya untuk maksud perkongsian ilmu dan pengalaman semata-mata. Tambahan pula semua gelaran SC yang ada sekarang masih mengaitkan pergerakan mereka dengan Ustaz Hanafi. Maka elok jugalah tindakan saya menulis tentang Ustaz Hanafi. Penulisan ini semestinya berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz untuk tatapan dan perkongsian pengalaman dengan ahli-ahli SC yang lain.

Secara kesimpulannya, saya beranggapan bahawa untuk meneruskan fahaman Ustaz Hanafi secara seratus peratus kepada generasi baru SC adalah sesuatu yang boleh dikatakan mustahil. Baik dari segi ilmu fizikalnya ataupun pemikiran Ustaz sendiri. Kita telah ada guru yang telah menerima mandat untuk meneruskan perjuangan. Berilah kepercayaan dan biarlah guru tersebut menentukan hala tuju dari segi kefahaman SC seterusnya. Beliaulah yang akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk masa depan SC bagi tahun-tahun yang akan datang.

Kalau kita beranggapan bahawa kefahaman Ustaz perlu dilangsungkan sepenuhnya buat generasi seterusnya, ternafilah nanti akan peranan guru yang ada. Acuan guru yang ada adalah tidak sama dengan Ustaz. Pengalaman, pengalamian dan cabaran pada guru yang ada sekarang tentunya berbeza dengan apa yang telah dilalui oleh Ustaz. Generasi pembelajar SC yang ada sekarangpun tidak sama dengan generasi yang mempelajari SC dulunya. Zaman sekarangpun tidak sama dengan zaman dulu. Harga barangan yang ada sekarangpun tak sama dengan harga barangan yang ada pada masa dulunya.

Walau bagaimanapun jika ada kalangan penuntut yang ingin mendalami akan apa yang ada di zaman Ustaz sama ada ilmu fizikalnya atau pemikiran yang dibawa oleh Ustaz, maka berusahalah sendiri untuk mendapatkannya. Tidak rugi untuk mendalaminya. Tapi awas. Jangan terlalu membandingkan antara dulu dan sekarang. Orang tidak suka. “Dulu lain, sekarang lain. Dunia berkisar-kisar”.

Kita mengalami perkara yang berlaku sekarang kerana ada kaitannya dengan apa yang berlaku dulunya, kerana “Ada ulu, ada parang. Ada dulu, ada sekarang. Ada sekarang kerana dulunya. Ada dulunya jangan dinafikan sekarang.”

Sekian.