Monday, May 12, 2008

Sambungan yang berulang

LOGIK VS TAK LOGIK

Ada orang yang minta komen daripada saya tentang cadangan penubuhan persatuan baru oleh En Mat. Adakah pembukaan persatuan baru tersebut logik dan sesuai, memandangkan mesyuarat agung pasti akan dijalankan pada satu masa nanti atas perintah mahkamah. Logikkah En Mat keluar daripada SC dalam keadaan, pengaruhnya dalam SC masih kuat. Saya terus memberikan pandangan saya secara menyeluruh berdasarkan kefahaman saya. Mungkin pihak En Mat atau puak-puak MMK telah mempunyai strategi mereka yang tertentu. Hanya masa yang akan menentukan bagi mereka merealisasikan strategi yang telah terbina.

Dalam penulisan saya yang lalu, saya hanya memberikan beberapa cadangan dan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Saya rasa sebagai ahli, saya juga bertanggungjawab untuk mengemukakan pandangan dan telahan berdasarkan pemikiran saya yang sekian lama berkecimpung dalam dunia SC. Saya banyak membuat cadangan meliputi soal persilatan dan soal persatuan. Soal terima atau tidak, itu bukan urusan saya.

Daripada aspek persilatan, SC mempunyai ’tuan’ nya yang tersendiri. Guru adalah tetap guru dan dalam konteks persilatan, pelantikan Guru mempunyai disiplin yang tertentu. Persatuan adalah alat untuk menjalankan persilatan. Di manapun guru berada, hak dan kuasa persilatan tetap di tangan beliau. Salasilah yang ada pada En Mat adalah begitu kuat. Walaupun puak-puak MMK telah tidak mengakuinya lagi, apapun mereka pernah menegaskan tentang warisan dan mandat yang ada pada En Mat adalah sah di satu masa yang lalu. Kita boleh baca dan tonton dalam buku dan vedio yang diterbitkan. Cuma sekarang ini baharu mereka menafikannya kerana agenda yang tertentu. Kalaupun En Mat membuka silat yang baru, mandat ini tetap utuh dan berkekalan. Keris yang meninggalkan sarungnya tetap bergelar keris. Sarung yang ditinggalkan walaupun diganti dengan keris yang baru maka gelarnya tetap tidak yang asal dan tidak asli. Tapi hanya jauhari yang kenal akan maknikam. Oleh itu, cadangan untuk beliau menubuhkan silat yang baru adalah logik dan munasabah.

Kalau dicadangkan En Mat tetap berada dalam SC dan menggunakan saluran mahkamah untuk mengembalikan kuasanya dalam konteks perundangan, juga adalah logik. Pengaruhnya dalam SC tetap kuat dan muridnya juga bertambah dari masa ke masa melalui majlis ijazah yang diadakan. Penyingkirannya pada satu masa yang lalu, adalah atas kehendak ahli-ahli MMK dan MMT yang tidak bersandar pada kata sepakat. Maknanya masih ada dan mungkin ramai di kalangan ahli yang menganggap bahawa En Mat masih releven sebagai Guru Utama dan sebagai Presiden. Oleh itu tindakannya yang masih kekal dalam persatuan dan menjalankan usaha-usaha secara perundangan juga saya kira masih sah dan logik. Hanya masa yang akan menentukan kejayaan atau kegagalannya.

Daripada aspek persatuan, tindakan melengah-lengahkan usaha untuk menyelesaikan krisis yang berlaku adalah tidak logik. Persengketaan yang berlaku sekarang ini melibatkan ahli. Ramai yang bersetuju dan ramai yang tidak bersetuju. Persetujuan ini juga boleh dilambangkan melalui pendirian yang ditunjukkan oleh cawangan-cawangan. Pelbagai pendapat yang berbeza di kalangan ahli, jika dibiarkan berlarutan akan mengundang pepecahan yang berterusan. Oleh itu, cara yang paling baik ialah mengadakan mesyuarat agung sama ada luar biasa atau mesyuarat agung biasa dengan secepat mungkin. Biarlah ahli yang menentukan masa depan persatuan dan masa depan persidennya. Pada saya cadangan ini adalah logik jika kita benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan persengketaan yang berlarutan dalam SC. Cuma masalahnya kenapakah dilengah-lengahkan mesyuarat tersebut. Ini menunjukkan betapa puak-puak MMK tidak ikhlas untuk membuat penyelesaian. Parasaan dendam dan benci pada En Mat amat ketara dan tidak mudah untuk mereka lupakan.

Memperkenalkan Guru baru yang saya gelar Guru Persatuan adalah tidak logik. Guru yang ada, masih sah untuk mengekalkan kuasanya kerana beliau tidak pernah menyerahkan jawatannya kepada sesiapapun. Pak Ak telah memberi mandat kepada En Mat walaupun dinafikan oleh puak-puak CM dan sekarang ini penafian tersebut dipersetujui oleh puak-puak MMK silat CH. Salasilah Guru Persatuan yang tiada asal usulnya akan menyebabkan pelantikan Guru dalam persatuan SC semakin bercelaru dalam jangka panjang. Perebutan kuasa akan terbuka luas dan ini akan mengundang penonjolan populariti di kalangan ahli yang berasa layak diketengahkan sebagai Guru.

Lebih tidak logik lagi kalau puak-puak MMK berkeinginan untuk menubuhkan persatuan silat yang baru andainya mereka tersingkir daripada persatuan yang ada. Jika ini berlaku, belang mereka semakin terserlah. Sememangnya mereka rela akan ahli-ahli kita berpecah belah dan membelakangkan perjuangan SC. Bolehlah digelarkan mereka sebagai pengkhianat dan pertualang silat. Semestinya gila kuasa. Pengikutnya pun dua kali lima sahaja.

Yang paling logik pada saya, demi masa depan SC, buat segera mesyuarat agung. Kalah menang, bukan ukuran utama. Perkara yang paling penting ialah SC terpelihara dan tidak berpecah belah. Siapa yang tersingkir, jangan melatah dan menimbulkan fitnah. Kalau kalah, duduk diam-diam. Penuhi masa lapang dengan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti memancing di air dan di darat. Kalau menang, teruskan usaha dengan suara lantang untuk meledakkan SC.

Kalah dan menang ada logiknya untuk meneruskan aktiviti pemecatan. Kalau En Mat memenangi persatuan, pecat dan tendanglah orang yang tidak berkenaan. Begitulah sebaliknya. Proses tentang-menendang ini adalah hukum organisasi yang harus diakui kebenaran dan logiknya. Rela dan redho sahaja.

Kes yang dibawa ke mahkamah pasti akan menemui jalan penghujungnya. Daripada kes yang dibicarakan tersebut, terdapat juga perkara logik dan tidak logiknya. Jikalau En Mat didapati bersalah hingga setelah rayuannya ditolak kerana mencabul, maka logik padanya mengundur diri demi menjaga malu dan kemaluan persatuan dan dirinya. Tidaklah logik buat beliau memimpin persatuan dalam keadaan namanya tidak mutlat dari sudut kesuciannya. Tapi kalau beliau tidak bersalah maka logik atasnya menyaman kembali si tukang pengadu yang memburukkan namanya hingga diheret ke mahkamah. En Mat juga logik untuk menyaman puak-puak yang menjatuhkan hukuman ke atasnya hingga menyebabkan beliau ’kehilangan ’ jawatan guru utama dan presiden dalam konteks persatuan. Buatlah saman hingga mencecah jutaan ringgit. Semuanya logik jika dibandingkan dengan soal maruah.

Dalam keadaan sekarang, nampak secara logiknya semuanya berada dalam keadaan tenang. Kesibukan guru lebih bergantung pada undangan yang diterima. Bagaimana pula dengan orang-orang kanan mereka. Tentunya masing-masing ada strategi yang tertentu. Entah berapa kali mesyuarat agaknya dan entah berapa kali perjumpaan dan ikrar yang telah dibuat antara mereka. Semuanya logik sebagai persediaan untuk menantikan mesyuarat agung yang pasti menjelma.

Kita jangan lupa, untuk meningkatkan status kita dalam masyarakat, profesion dan anggota keluarga kita memainkan peranan yang penting. Kalau kita berpangkat besar, besarlah penghormatan yang kita terima. Kalau anak-anak kita berjaya dalam pelajaran dan kerjayanya maka lebih besarlah dan lebih bermakna sanjungan yang bakal kita terima. Tapi sanjungan atas penglibatan kita dalam SC cuma terhad di kalangan ahli sahaja. Itupun pada ahli yang sehaluan dengan fahaman kita. Jadi, yang kita sibuk-sibuk sangat berjuang dalam SC hingga boleh menimbulkan persengketaan dan kebencian ahli-ahli lain terhadap kita, kadang kala saya pun tak nampak logiknya. Kita merelakan orang lain kutuk kita kerana tindak tanduk kita yang mengejar tempat dalam SC.

Perjuangan Pak Am dan Pak Sir ada logiknya. Mereka berjuang sejak zaman Ustaz lagi. Silat Cekak adalah merupakan sebahagian daripada diri mereka. Logik buat mereka terus berjuang daripada tersingkir teruk. Perjuangan Pak Bai dan Pak K juga ada logiknya. Hal ini demikian kerana jawatan Guru terbuka luas selepas Pak Jo nanti. Perjuangan Pak Lan dan Pak Li sukar difahami. Apa yang diperjuangkan. Adakah kerana perjuangan Ustaz Hanafi. Tapi berjumpa dengan Ustazpun dah tak tentu bila dan hala. Habis tu, kenapa mereka berjuang bermati-matian dalam menegakkan persatuan ketika ini; pada hal di satu masa dulu telah meminta izin daripada En Mat untuk melepaskan jawatan kerana alasan sibuk. Bukankah secara logik, inilah masanya untuk berbuat demikian. Bolehlah belah dengan kehormat untuk menjaga profesion dan keluarga. Akan tetapi, perjuangan puak-puak yang lain-lainnya dengan bersungguh dan begitu beria-ria memperjuangkan SC hingga sanggup berketiakkan Guru Persatuan, ana kurang faham logiknya.

Kepada mereka yang selama ini dihormati oleh rakan taulan, logiklah berdiam diri untuk mengikuti perkembangan seterusnya. Jangan menyebelahi mana-mana pihak yang akhirnya menghilangkan penghormatan orang lain terhadap kita. Jangan beria-ria benar untuk menegakkan sesuatu yang kita sendiri kurang memahaminya. Cukuplah kita menegakkan akan apa yang ada pada diri kita sahaja. Itu adalah ingatan pada ahli yang lelaki. Pada ahli-ahli perempuan, saya pun tak faham-faham akan logiknya perjuangan mereka. Yang sibuk-sibuk sangat itu - Ape ke bendanya atau anunya yang ada, yang nak ditegakkan. Terima aje le.

Saturday, May 10, 2008

JANGAN SIBUK MA

CARI SUSAH

Kes di mahkamah ditunda lagi. Situasi ini amat sesuai bagi puak-puak persatuan untuk menghimpun tenaga dan pengaruh bagi persiapan mesyuarat agung sebenarnya. Mana puncanya hingga kes ini berterusan tertangguh. Pelbagai alasan yang diberikan. Akan tetapi, masih ramai ahli yang masih bercakap tentang masa depan SC. Siapakah yang patut menerajuinya. Tiada kata putus. Pengaruh En Mat masih ada dan dikatakan tetap kuat. Guru Persatuan yang didokong oleh puak-puaknya tetap mengatakan En Mat tidak layak lagi memegang jawatan Guru Utama. Konsep warisan dan mandat terpaksa ditukar kepada konsep lantikan MMK dan MMT. Yang hairannya orang tua dan bangka yang dikatakan faham dengan SC pun boleh bersetuju. Sebaliknya, pengikut setia En Mat tetap tidak berganjak untuk mengekalkan kuasa Guru Utamanya.

Kadang-kadang heran juga. Kalau berlaku krisis dalam persatuan, sepatutnya serahkan pada ahli untuk menentukan masa depan persatuan. Buat saja mesyuarat agung sama ada luar biasa ataupun mesyuarat agung biasa. Biarlah ahli yang menentukan sama ada En Mat masih releven sebagai Presiden SC ataupun tidak. Tapi itu kata kita. Apa yang kita fikirkan tidak semudah untuk dilaksanakan. Perjuangan sekarang nampaknya lebih bersifat peribadi. Kalau difikir-fikirkan, apa yang mereka iaitu ahli-ahli MMK sekarang dapat dengan cara yang pelbagai helah bagi menghindari mesyuarat agung. Pak Lan dan Pak Li pun bukannya orang lama sangat. Mereka ada bidang tugas mereka sendiri. Sepatutnya, tinggalkan saja SC dan tumpukan pada profesion yang sedia ada dan beri tumpuan pada keluarga. Berilah hak menentukan masa depan SC kepada ahli.

Walau bagaimanapun, Pak Am, Pak Sir, Pak Lan dan Pak Li masih sayangkan persatuan. Silap langkah, pasti mereka akan diketepikan kalau mesyuarat agung diadakan sekarang. Kenapakah mereka begitu sayangkan persatuan lagi. Kita kena buat analisis. Tapi saya tak nak buang masa untuk mengkaji. Kena buat soal selidik. Tapi mereka adalah orang lama yang telah tua dan menjadi bangka. Saya tak nafikan betapa pengorbanan mereka begitu banyak sekali sejak zaman Ustaz. Masa yang dikorbankan untuk SC begitu sukar diukur. Dalam zaman Ustaz, mereka adalah orang ’kuat’ yang menggerakkan persatuan. Nestolgia mereka dalam SC begitu menebal dan tidak mudah untuk dilupakan. Dalam zaman pepecahan dengan Pak Ak, mereka juga turut memainkan peranan untuk mengembalikan kegemilangan SC. En Mat pun terpaksa bergantung erat dengan mereka. Namun, penglibatan mereka sering dicurigakan. Pak Lan dan Pak Li adalah merupakan peneraju utama untuk mengikis fahaman yang mencurigakan itu. Kerap kita lihat pertentangan pendapat atau pandangan antara Pak Am dan Pak Sir dengan Pak Lan dan Pak Li.

Hari berganti hari, musim bertukar musim. Akhinya Pak Lan dan Pak Li boleh bersama-sama dengan Pak Am dan Pak Sir. Mereka telah menjadi seiring sejalan dan sepandangan menentang En Mat. Kenapakah ini boleh terjadi. Tentu banyak puncanya.

Persoalan yang kedua yang saya ingin utarakan di sini ialah mana perginya pengikut setia En Mat yang dulunya begitu setia dengannya tiba-tiba menjadi ’derhaka’. Kenapa tiba-tiba mereka beralih angin dan beralih sokongan dengan begitu mudah. Hal ini demikian, menunjukkan setapa hati yang ada pada mereka sentiasa ’terbuku’ tapi tidak diluahkan. Nak merajuk, tidak ada tempat. Kalau menentang maka mereka akan terus dipulaukan. Bila tiba saat dan ketikanya baharulah mereka menunjukkan belangnya. Tapi sampai bila ya! Yang pastinya, apabila tiba masanya mereka akan diketepikan oleh ahli. Sungguh sayang sekali. Terutamanya kalau usia masih muda.

Ramai ahli yang saya berjumpa begitu jelas pendirian mereka. Saya turut kagum dengan pegangan mereka tersebut. Silat dijalankan oleh persatuan. Namun silat itu sendiri mesti ada kuasa autonomi dan diurus oleh gurunya yang sah. Berdasarkan ini, mereka tetap berpendirian betapa kita perlu menghormati persatuan. Hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dan peraturan berpasatuan perlu diakui kuasa yang ada pada persatuan. Kalau persatuan mengarahkan mesyuarat atau pelbagai arahan yang bersabit dengan perjalanan persatuan maka kita perlu tunduk dan mengakuinya. Sebaliknya, hal-hal yang berkaitan dengan persilatan, peranan guru tetap utuh dan tidak boleh diketepikan. Oleh itu, golongan yang berpendirian walaupun tunduk pada persatuan tapi tidak rela ’membuang’ guru tetap dijadikan pegangan.

Guru yang dilantik oleh persatuan adalah tidak sama dengan guru yang terlantik hasil daripada mandat dan warisan. Kalau Guru Persatuan, pastinya pengganti Guru terbuka luas. Siapa yang rapat dengan peneraju persatuan dan mempunyai pengaruh, berkesempatan menjadi Guru. Politik wang akan menjadi agenda utama. Jadi, tidak hairanlah kalau mereka yang berjuang habis-habisan dalam Persatuan sekarang ini begitu tegas untuk menyingkirkan En Mat. Sekurang-kurangnya ada peluang jadi Guru ma. Duitpun ada untuk menyebarkan pengaruh. Itu sebab kadang kala kehairanan saya pada mereka boleh terjawab. Nak kata bagi mempertahankan keaslian SC, susah juga nak diterima. Banyak perkara yang diubah. Usahlah dibincang akan adat-adat yang ada dalam SC tapi buah-buah dan sistem pengajarannya yang asli dalam zaman Ustaz pun telah diubah.

Pada saya ketika ini tidaklah perlu buat kita membuang masa bagi membincangkan masa depan SC. Kalau benar-benar ikhlas, buat saja mesyuarat agung dan biarlah ahli yang tenukan masa depan SC itu sendiri. Tumpukanlah pada biadang profesion kita dan semestinya tumpukan pada keluarga kita yang ada.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA.

Thursday, April 3, 2008

MELENTING AKU!

TAFSIRAN BEREMOSI


Silat Cekak hebat sekali. Macam-macam ada. Dalam SC ramai pakar-pakar semua segi yang sebati pada ahli. Bila ramai yang pakar maka terdapatlah pelbagai riaksi. Banyak istilah hebat yang mereka kuasai. Kadang-kadang perasan kerana bersandarkan perasaan yang ada. Kita ada istilah bisik semak dalam SC. Tak kurang juga dengan istilah busuk hati. Akhirnya silat berkesudahan dengan menyemakkan dan hampir ”mati”. Kita ada istilah hakiki. Itu tak masuk pakar-pakar tafsiran situasi yang begitu hebat sekali. Muncul macam cendawan busut. Sebusut sembilan bulan melayari. Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Pentafsir jantina yang hebat sekali. Sekali menulis, sudah tahu akan riaksi mereka. Marah jantan atau marah betina. Tapi, ada yang benci. Benci di sebalik rindu. Baca tetap baca. Ada yang melenting. Tak tahu pulak mereka ini melenting jantan atau melenting betina. Kalau jantan pasti jauh berinci-inci. Kalau betina maka terpaksa menerima. Jantan dan betina bagai telah serasi. Sebabnya kita ada juga penumbuk jantan dan penumbuk betina. Tapi teori sahaja. Sebabnya, ada yang betina bertumbukkan jantan dan ada yang jantan bertumbukkan betina. Tapi, ada yang baca, lantas terus membenci. Macam orang bercinta yang putus tali. Kononnya, lebih baik mereka membaca tulisan yang menambah pengetahuan mereka di dunia dan akhirat. Yang akhirat saya sukar bayangkan. Tapi yang dunia apa lagi!. Pastinya ilmu kongsi gelap. Berkongsi dalam gelap. Ramai manusia yang bertaraf PHd. Pengetahuan mereka amat mendalam. Sedalam ukuran wali betina. Nak tahu dalam mana maka kena tengok kaki. Pelbagai istilah tetap dikuasai. Ada kata istilah mencarut dan memaki. Tapi kena tengok kaki. Kalau kaki anu, maka fikirannya tetap ke situ. Perkataan hentam, kritik, fanatik, taksub dan pelbagai lagi sudah sebati. Bila menulis mereka mencari-cari istilah dalam kamus diri. Akhirnya ahli SC juga yang kena. Lupa akan nilai diri. Itulah agaknya tulisan mereka yang sudah benci.

Oleh sebab ramai yang suka mentafsirlah maka terjadinya salah satu faktor daripada penyumbang utama pepecahan yang ada. En Mat yang membeli pisang, ada pelbagai tafsiran. EN Mat yang masuk dalam rumahpun banyak tafsiran tersendiri. Saya tak suka mentafsir tapi suka membayang. Ohh! Alangkah sejuk dan nyaman sekali.

Kerana pelbagai tasfiran jugalah maka kita boleh memihak atau memencilkan diri. Mana ada orang yang sehati dan sejiwa. Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pulak kemutan diri. Tafsiran kita banyak bergantung pada ilmu dan pengalaman yang ada pada diri kita sendiri. Banyak contoh yang telah saya beri. Tapi yang pastinya tak ada satu parti politikpun di negara kita yang menang seratus peratus sokongan rakyat atau ahli. Itulah akibatnya jika kita mempunyai kebebasan membuat tafisran sendiri. Maknanya juga, kerana kebebasan yang ada dalam persatuan kitalah maka pelbagai pendapat cuba diketengahkan. Gunakan ilmu dan pengalaman untuk membuat kesimpulan. Tapi ramai yang kecundang. Mereka sangat beremosi. Kalau tak beremosi jadilah mereka tunggul kayu mati.

Satu sikap yang memundurkan kita ialah suka hangat-hangat tahi ayam. Buat sesuatu tidak bersungguh hati. Hinggakan nak membacapun ikut hati. Diperikan, dulu rajin maka sekarang malas. Alasan benci dan meluat dijadikan sandaran. Apapun semuanya bergantung pada ketahanan diri. Ketahanan diri diukur pada cc. Ukuran cc oleh dilihat ketika kita melayari. Keputusannya mudah dan boleh diukur. Ukuran ketika, saat, minit, jam atau berhari-hari. Tapi kalau berhari-hari, pasti dia cabut dan lari.

Kerana hangat-hangat tahi ayam juga maka plagiat kita menjadikannya strategi. Mereka pasti bahawa suasana yang keruh akan kembali tenang. Itu sebabnya puak-puak penguasan SC yang ada asyik melengah-lengahkan membuat keputusan dan tindakan. Harapannya ialah semakin ramai yang akan tawar hati. Ketika itu ramai juga yang tidak ambil peduli. Maka ketika itu juga mudahlah keputusan diberi. Tak ramai yang melenting kerana telah lupa diri. Tidak hairan juga mesyuarat agung dilengah-lengahkan dengan pelbagai alasan. Yang pastinya ketika ramai ahli yang tidak berminat lagi dengan perkembangan SC memencilkan diri maka mesyuarat agung tersebut mudah diadakan. Maklumlah. Itulah taktik dan teknik dalam stategi. Ini pun tafsiran diri. Tak nak pulak mengecop kebiasaan pada ahli.

Namun begitu ramai antara kita tak kira ahli atau siapa yang sukar membuat tafsiran atas apa yang dibaca. Mereka memerlukan bantuan untuk mentafsir tulisan. Ilmu dan pengalaman tersangat kurang agaknya. Apatah lagi dalam dunia SC. Mana nak tahu akan ikan yang jantan atau ikan yang betina kalau ikan tersebut ada dua anunya. Maka asal usul penulis mesti diambil kira. Bila dah tahu asal usulnya maka keputusannya ialah menerima atau menolak terus. Lupa akan prinsip yang ada. Tak kan lah dalam sepuluh, satu dua tidak mengena. Tapi itu semua bergantung pada jenis si Mamat tersebut. Mamat si parang panjang atau Mamat si parang kontot. Jenis Mamat tersebut akan menentukan sikap yang ada. Kalau panjang sudah tentu hebat. Kuat ngaumnya. Tapi kalau kontot mana tahan lama. Itu sebab mudah sangat mengalah hingga malas nak membaca lagi. Buat-buat lah membenci. Pada hal mana ada kekuatan diri. Kekuatan ”batin” ma.

Hari semakin dekat untuk menikmati suasana yang asal dan hakiki. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di tempat sendiri maka eloklah kena batu. Baru kita puas hati. Semuanya ada dan dapat merasai. Itulah tafsiran sendiri. Pastinya perasaan yang hakiki. Tapi, mana pulak nak diletakkan istilah syariat dan makrifat. Pening aku!.

Wednesday, April 2, 2008

SILAT CEKAK-KU

TANGGAPANKU PADA SILAT CEKAK YANG ADA


Tak banyak dapat diperkatakan tentang SC sekarang. Bukan kekurangan modal tapi kurang bersemangat untuk berbincang lagi tentang falsafah persilatannya. Terasa semacam sia-sia sahaja untuk berbincang bagi maksud meneguhkan kefahaman yang disemai selama ini. Macam tertipu pulak. Kita sangka semua ahli faham tentang perjuangan kita selama ini; tapi entah lah! Susah mau cakap. Dah berpuluh tahun berlalu maka masih ada yang berbincang erti perjuangan. Tak faham-faham. Tafsirannya pelbagai. Ikut sedap hati.

Falsafah ikan di laut yang sering dijadikan pegangan pun boleh berubah. Berubah kerana darurat. Rupa-rupanya teori dan aplikasi bukannya mudah. Ramai yang bercakap tentang agama. Tapi sembahyang Subuh pun terpaksa Subuh pulak yang menunggu. Banyak pendapat tentang masa depan SC. Saya pun mencadangkan elok berpecah suapaya tidak banyak berlaku politik silat. Rugi sahaja dalam konteks perkembangan SC. Tapi, ada banyak tapinya. Sekurang-kurangnya ada si Mamat yang hilang kepercayaan tentang penubuhannya. Ada yang mengesyorkan apabila saya mencadang maka si pencadang perlu memulakan langkah. Tongongpun ada. Tak faham tentang tugas En Mat yang memilih bidang persilatan sebagai bidang profesionalnya. Hatta itu bermakna kalau saya yang mencadangkan penubuhan hospital bahgia di kawasan luar bandar maka saya pulak yang perlu mendirikan hospital tersebut. Kira boleh juga kalau si komen tersebut disumbat bersama dalam hospital bahgia tersebut. Itulah gambaran yang ada pada ahli-ahli dan bekas-bekas ahli yang berpaling tadah pada perjuangan asal SC. Mereka ini selalu meletakkan fikiran di celah-celah lurah yang ada.

Tapi saya yakin apabila SC berbelah-belah, ketenangan akan tiba. Ketika itu mungkin semua pihak akan memulakan kembali langkah mengembangkan SC kepunyaan masing-masing. Namun bukan mudah mengayatkan ayat supaya menjadi karangan sejati. Ramai yang lupa formula perkataan. Setiap huruf berlainan bunyi. Setiap perkataan berlainan makna. Setiap ayat berlainan arah. Maka bermulalah kembali si penuntut untuk memahaminya. Masing-masing menganggukkan kepala atas dan bawah. Tapi ada yang lebih khusuk hingga anggukan kepala menjadi kiri dan kanan. Tanda amat faham. Oleh kerana terlampau faham maka habislah faham yang ada. Langsung tak faham-faham. Berbelah lagi. Belajar lagi. Timbul si Mamat yang menonjol diri. Dunia berkisar-kisar.

Saya tak pasti dalam perjumpaan Jurulatih baru-baru ini, ada ke Ikrar sejati sejiwa. Ikrar yang ditujukan pada guru utama. Guru Persatuan namanya. Kalau ada, eloklah tu. Tanda sejiwa tapi jangan-jangan hingga takat timbul angkara. Namun, biarlah kekal lama. Biarlah berdiri teguh tanpa goyang-goyang hatta ditiup taufan yang menggila. Entahlah! Jangan pulak ada si Mamat yang dulunya ikrar setia pada En Mat dan sekarang beralih ikrar pada guru yang baru. Malulah pada diri. Sekurang-kurangnya pada anak dan cucu. Ikrar adalah tekad. Mana boleh ubah-ubah. Dulu kata faham akan rasmi ikan di laut. Rupa-rupanya ikan kering yang jadinya.
Mungkin kemeriahan dalam SC sekarang ini kurang dirasai oleh ahli-ahli yang telah lama berada. Bagi ahli-ahli yang baru masuk SC, mereka tak tahu apa-apa. Mereka inilah yang dapat merasai nikmat belajar SC ketika ini walau pada guru mana sekalipun. Fikiran mereka tidak bercabang. Ikut cakap jurulatih yang ada. Mereka inilah yang akan meneruskan tradisi yang ada dalam SC. Tapi tradisi mana ye!. Yang tua dan bangka, tidak banyak dapat membantu. Oleh itu, silap haribulan, tradisi yang sedia ada akan jadi pelbagai. Tambahan pula Guru Wawasan yang mempunyai fikiran yang melangkaui saat dan ketika tentu mempunyai fahaman yang berbeza. Salasilah Guru sudah ketinggalan zaman. Kalau zaman dulu-dulu, kalau manusia jenis ini ada, habis keturunan sultan diputuskan kerana satu-satu angkara. Dilantiknya keturunan yang lainnya. Kerajaan semakin lemah. Akhirnya runtuh kekuasaan negeri dan terus dijajah memanjang. Baru padan muka agaknya. Puas kerana kepuasan hati terlaksana.

Dunia semakin maju. Segala-galanya bergerak pantas, ringkas dan singkat. Pakaianpun semakin ringkas dan tepat. Cukup untuk menutup anu sahaja. SC pun tidak terkecuali. Ayam-ayam buang masa. Petunjuk-petunjuk apa ada. Penunjuk sate lebih bermakna. Limau purut tak sedap nama. Sunkist lebih bermakna. Pelajaran enam bulan buang masa. Ilmu kita banyak petua. Saya rasa kaedah petua dalam pengajaran SC pasti muncul di satu masa. Itulah ringkas namanya. Bukankah SC itu ringkas. Maka ringkaskan ’ayat’ yang ada. Tapi kita nak buat macam mana. Rujukan kita dah tak tentu hala. Kail yang panjang sejengkal telah menduga laut yang dalam. Apa susahnya. Bot ada. Bawa saja kail sejengkal di lautan yang dalam. Tapi kalau kail hanya sejengkal ikan belanak yang layak dibicara. Ikan-ikan lain dah jadi hak orang lain. Itulah kesudahan SC rupanya. Semuanya berpunca dari Ikrar yang berulang tahun tapi berlainan empunyanya.

Masa berpecah ini ada ahli dulu-dulu yang muncul menunjukkan ketokohan yang hebat. Semangat HANG agaknya. Dulu tak laku kerana tidak ada siapa yang pedulikan. Sumbanganpun tak ada. Bila datang hanya tersengeh-sengeh menunjukkan sengeh kerang. Kerang asli dalam belantara. Habis sengeh, kena balik ke rumah. Tak ada siapa yang layan. Tapi ketika ini saham mereka melambung tinggi. Bukan main eksyen lagi. Berbicara rasmi dalam majlis. Diberikan hadiah. Kesian juga. Tak sedar diri. Orang pergunakan hingga ke satu masa. Bila silat dah teguh maka mereka akan memulakan kembali karier lama. Tersengeh-sengeh di mata ahli. Mereka ini tak sedar-sedar diri. Lupa sejarah pepecahan ahli. ”Itulah akibatnya kalau kurang mengaji.” Kata diri yang memerhati.

Bulan sentiasa berganti. Bilakah keputusan pepecahan akan terbukti. Tunggu sahajalah. Tapi ilmu anu jangan lupa dituntut. Kalau tidak, kita akan ketinggalan daripada merasai suasana ghairah ketika ini. Semuanya ghairah. Musim panas pulak tu. Semuanya terlapang. Terlapang atas dan bawah. Banyak pusat-pusat yang ”mendirikan”. Semuanya putih-putih belaka. Pink pun ada.

Sunday, March 16, 2008

TAWAR

HUBUNGAN YANG TAWAR

Dalam SC ramai orang hebat-hebat. Daripada tokoh perkhidmatan awam hingga ke sektor swasta. Daripada sekolah hingga ke universiti. Dari Perlis hingga ke Sabah. Dari Timur hingga ke Barat. Dari ijazah asas hingga ke ijazah Ph.D. Master-master dah tak main pada mereka. Mereka ingin kepuasan diri. Kita yang begitu kecil dalam arus perkembangan dunia kejayaan tersebut, tumpang berjiwa besar. Sebabnya, bukankah kita ahli bersama; di bawah satu bumbung. Bumbung SC sebagai penaungnya.

Tapi.., itu semua tak kekal lama. Ketika ini hubungan kita bersifat curiga. Tak tahu akan sikap kita sesama kita. Berada di sebelah mana. Tapi ada yang berfikiran terbuka. Senang untuk kita berbicara. Bukan silat yang utama. Keperluan diri dan keluarga adalah lebih mulia. Mereka ini tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sengketa. Sikit-sikit mungkin ada tapi pastinya tidak menyebelahi di pihak mana. Mereka ada pelbagai formula. Datang pihak En Mat, ”nah! Ini dia formulanya”. Datang puak Guru Persatuan atau Guru Wawasan, formula lain yang dibicara. Hati mereka tak sepenuh kecewa dengan sengketa yang ada. Cuma sedih akan kesucian SC yang telah dinoda. Tahap degree pertama. Habis semua dirunasnya. Hilang keagungan dara. Entah berapa kali SC menjadi janda. Janda berhias. Masing-masing kata SC-nya masih ada dara. Macam mana boleh tahu akan daranya. Entahlah! Mungkin jari hantu yang berbicara. Maklumlah. Jari hantu tentunya berhantu. Boleh teroka di tempat yang jari lain kecewa. Tapi saya pasti dara tersebut tak akan kekal lama. Cukup tempoh akan kembali menjadi janda. Ini semua angkara orang lama. Lebih teruk lagi apabila ada campur tangan kumpulan bangka. Gara-gara gila kuasa, SC menjadi mangsa. Ini semua merupakan satu kecelakaan hasil daripada kata dasar celaka. Siapa si celaka yang membuat kecelakaan. Cit! Betul-betul celaka. Menyusahkan aku yang mengagungkan SC di suatu masa dulu. Rasa macam buang masa. Masa yang dulunya indah dan murni dalam SC telah bertukar rupa. Hubungan sesama ahli dah tak tentu hala. Masing-masing nak tahu kita berada di sebelah mana. Kalau sehaluan, pertemuan akan diakhiri dengan gelak ketawa. Tapi kalau sebaliknya, muka masam seperti cuka. Betul-betul celaka. Angkara puak celaka yang menimbulkan kecelakaan di dunia SC. Cit! Prenset.

Saya kerap bertemu dengan ahli-ahli kita di merata tempat. Setiap kali pertemuan, saya perhatikan permulaan perbualan agak tawar. Maklumlah, kalau ahli bertemu ahli, selama ini hal silat yang menjadi tajuk utama. Hal-hal lain agak terhad dalam perbicaraan tersebut. Perjuangan kita jelas dan berfokas. Masing-masing membincangkan tentang perjuangan SC walaupun secara tidak langsung. Bila berjumpa, terus bertanyakan hal silat. Kalau mereka datang dari ’Kelas A’ pasti soalan yang ditanya, "apa khabar rakan-rakan kita di kelas M atau T atau E atau R atau P atau H atau D." Tapi kali ini dalam pertemuan awal, masing-masing berhati-hati. Nak mula macam mana. Tanya hal silat, takut sensitif dan akan kecewa. Oleh itu permulaan perbualan antara mereka berdua, akan menyentuh hal-hal lain. Ini menyimpang daripada hukum amalan kita berbicara sasama ahli dalam SC. Ini yang dikatakan pertemuan yang hambar. Kadang kala hingga ke akhir pertemuan, mereka tidak berani menyentuh hal silat. Jadilah silat perkara kedua. Tapi kalau ada yang berani, mereka akan terus bertanya. Jika sehaluan, hubungan mereka semakin akrab. Baharulah pertemuan tersebut rancak kerana disertai dengan senyum dan gelak ketawa. Tapi kalau tidak sehaluan, masing-masing mencari alasan untuk mengundur diri. Alasan ke toilet yang paling utama. Lepas itu mereka akan lesap entah ke mana. Kadang-kadang lucu pun ada. Lakonan yang hebat. Kalah Wahid satay atau lakonan pelawak-pelawak yang ada. Ada ijazah pulak tu. Hilang kewibawaan atas ijazah yang ada. Phd dah jadi berlaianan makna.

Walau bagaimanapun, kita terpaksalah menerima akan hakikat pertemuan dan pertalian hubungan sesama ahli dalam SC ketika ini. Sebelum kita berpecah buat kali pertama dalam zaman Pak Ak, hubungan sesama kita amat mulia. Tapi apabila timbul zaman pepecahan Pak Ak, maka pepecahan itu menimbulkan kecurigaan sesama ahli. Kemudian kita kembali bersatu dalam SC di bawah pimpinan En Mat yang dipasak kekuatannya oleh ahli-ahli lama yang kecewa dengan Pak Ak. Apabila orang-orang lama menjadi bangka, kekuatan mereka sudah menurun. Semuanya menurun. Daripada 45 darjah ke atas, turun menjadi 20 darjah. Yang paling teruk, dah tak ada darjah-darjah. Akibatnya pasak yang ditanam untuk meneguhkan kekuatan En Mat, telah tercabut atau terpaksa dicabutkan. Maklumlah. Ada antara mereka yang tak pernah merasa nikmat cabut lagi. Nak cabut macam mana. Nak pertahan pasakpun dah tak ada tenaga. Tapi nak juga merasai nikmat cabut. Oleh itu terpaksalah dicabut pasak yang ada.
Kalau pasak dah dicabut, mana ada kekuatannya. Nikmatpun mula menurun. Itu sebab kita dah tak tentu hala. Tapi kesannya adalah pada ahli-ahli yang lurus dan memberi penghormatan yang tinggi pada SC. Mereka ini golongan yang jadi mangsa. Gajah sama gajah bersengketa, pelanduk di tengah-tengah yang akan tersepit. Paling malang lagi apabila gajah berlagak biawak atau singa atau buaya. Teruklah ahli yang ikhlas dalam perjuangan. Itu sebabnya tidak menghairankan apabila muncul golongan ahli yang berasa kecewa dan hilangan kepecayaan sepenuhnya pada pemimpin yang ada. Dikecamnya semua kepimpinan SC. Tak kira sebelah mana. Sama ada puak En Mat atau golongan Guru Persatuan atau Guru Wawasan. Semuanya sama sahaja pada mereka. Kalau kepimpinan SC dikecam maka sekali gus, pegangan mereka pada SC turut merosot. Maka di komennya SC sekali.

Itu sebabnya pada saya, pepecahan sesama kita dalam bentuk persatuan baru adalah perlu. Kita boleh bina kembali hubungan baik sesama ahli dalam SC berdasarkan persatuan yang dipilih mereka. Ahli-ahli boleh diklasifikasikan semula. Sesama mereka boleh diwujudkan hubungan mulia seperti dahulunya. Tapi itu semua tentu tak akan kekal lama. Pepecahan akan berlaku lagi. Tapi bukanlah dalam masa yang terdekat kerana En Mat masih muda kecuali pada pihak Guru Persatuan yang mula putih atas dan bawah. Namun ajal dan pertemuan di luar daripada kemampuan pemikiran kita. Bila berpecah, sejarah akan kembali bermula. Nak buat macam mana. Pepecahan adalah hobi kita. Hobi puak bangka. Golf telah ditolak ketepi. Pinggang dah lari. Hari-hati Tongkat Ali.

Sejuknya. Jangan dengki. Mana nak sama lanjut ilmu dalam negeri. Bila-bila masa boleh dicari. Hanya petik jari.

Thursday, March 13, 2008

ADA MASA LAGI

Ada antara sahabat saya yang menyatakan kepada saya betapa Guru Persatuan yang dianggap tidak sah telah berjaya mendapat pengaruh yang hebat di kalangan masyarakat untuk menyebarkan SC. Perkembangan mereka semakin meluas dari masa ke masa. Tak tahu palak apa yang terlintas di hatinya. Suka atau duka atau kesal atau sebarang bentuk rasa hati yang lain.

Saya teringat mainan kata-kata di satu masa dahulu. ”Pat-pat siku lipat. Siapa cepat, dia yang dapat.” Dalam konteks sekarang, asli dan tiruan tidak penting. Banyak jenama hebat yang terhad sebaran dan jualannya berbanding dengan jenama tiruan. Malah mutu hasilannya menyerupai barangan asli. Yang penting ialah strategi jualan. Apa yang diusahakan maka itulah hasilnya.Kalau mereka merancang dengan strategi yang baik maka pergerakan mereka akan menjadi bertambah mantap dan berkesan untuk menyebarkan silat ini. Masyarakat mempunyai hak untuk mempelajari atau memilih siapa pengajar atau gurunya. Dunia sekarang adalah dunia duitan, penjimatan dan barangan. Soal hak, asli atau mutu adalah soal yang kedua. Hanya jauhari mengenal maknikam.

Satu segi apabila anak-anak muda kita memasuki dunia persilatan; tak kira jenis silat apa, maka itu merupakan satu langkah yang baik. Daripada mereka cenderong kepada ilmu pertahanan diri dari luar, lebih baik memasuki apa jenis silat Melayu sekalipun. Asli atau tidak mana ada makmal untuk membuktikannya. Cuma yang kita sebok-sebok berbahas tentang guru dalam SC adalah kerana hak guru masih ada dalam SC yang telah diangkat jawatannya sebagai presiden pada satu masa dulu. Kecualilah En Mat keluar daripada persatuan yang ada dan menubuhkan persatuan yang baru. Maka putuslah hubungan persilatannya dengan persatuan silat yang ada dan terputus juga dengan silat yang dikuasai oleh persatuan yang ada. Hak persilatan En Mat akan dilahirkan dalam bentuk yang baru. Sama dengan kelahiran Cekak Hanafi dalam pengenalan yang baru tapi pertalian hak masih berarus.

Kalau En Mat meninggalkan persatuan , apa kita peduli pada persatuan yang ada sekarang untuk ambil sesiapapun sebagai guru. Kitapun tak perlu komen. Kalau mereka nak ubah mata pelajaran SC pun, apa kita peduli kerana hubungan salasilahnya dengan Cekak yang asal telah putus. Lebih-lebih lagi di zaman Guru Wawasan nanti. Samalah keadaannya dengan Silat yang ditinggalkan oleh En Mat dahulu iaitu SC Malaysia. Siapa nak ganti guru yang ada sekarang dalam CM, apa kita peduli. Hubungannya dalam salasilah SC telah terputus dalam konteks hak. Saya yang sebok-sebok menulis pun atas dasar masih ada lagi hubungan En Mat dalam persatuan yang sedia ada.

Itu sebab sebelum kita berpisah, saya cuba sedaya upaya untuk mengemukakan pendapat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam SC dengan kepercayaan yang kukuh tanpa ada perasaan berat sebelah dalam konteks prinsip SC. Tak ada apa yang saya kejar. Tak ada satu jawatanpun yang saya sandang atau cuba sandang. Tapi itu tafsiran saya. Kalau ada yang bersetuju ikutlah. Tapi kalau masih tak bersetuju, apa untung dan apa rugi pada saya. Cuma sedih melihat perkembangan SC yang semakin kucar-kacir dan sedih melihat generasi SC yang ”tertipu”. Kadang kala selama ini, kita berasa geram pada En Mat, bukan kerana perbuatan En Mat tapi kita geram kerana tindak tanduknya yang degil dan biadap pada orang-orang lama dan orang-orang bangka. Kerana perasaan geram tersebutlah maka kita rela bermusuhan terus dengannya sebagai satu bentuk pengajaran kepada En Mat. Kerana perasaan geram juga maka kita rela prinsip SC yang unit dan disanjung tinggi di satu masa dahulu, dirobak-robek begitu sahaja.

Kalau En Mat meninggalkan persatuan SC yang ada maka pada pendapat saya, SC yang ditinggalkannya itu bukan sebenarnya SC seperti yang diharapkan oleh Allahyarham Ustaz. Oleh itu jikalau dilantik sebarang guru baru pun bagi persatuan SC yang ditinggalkannya, apa kita peduli. Kalau diubah mata pelajarannya pun apa kita peduli. Kalau diubah adat dan adab dalam SC pun apa kita peduli. Bukannya ada pertalian dan perkaitan dengan pengajaran silat Cekak dari zaman Ustaz lagi. Oleh itu tidaklah perlu lagi bagi siapapun untuk membuat sebarang komen tentang mereka. Tapi nak buat macam mana. Kepimpinan En Mat sebagai guru utama masih lagi diterima oleh sebahagian besar ahli persatuan. Cuma yang tak menerimanya mungkin kerana pelbagai macam alasan. Kalau tak tahu dan tak faham, kira ok lah juga. Tapi yang tahu dan faham tapi menolak kefahamannya sendiri yang selama ini dimiliki, dikuasai dan diamali, sangat mendukacitakan. Bagaimana kefahaman SC boleh berubah-ubah. Entah! Sampai sekarang saya pulak yang tak ’faham-fahaman’ kenapa mereka sanggup berbuat demikian.

Sebelum berpecah, saya mengambil kesempatan di sini untuk menerangkan sesuatu yang sebenarnya tentang SC berdasarkan pandangan saya sendiri yang dulunya diterima pakai oleh semua pihak.. Buatlah renungan betul-betul kerana apa yang saya tulis bukanlah sesuatu yang baru tapi perkara lama yang tidak dibantah. Fahaman dan pengetahuan saya yang ada sekarang inipun diajar oleh orang-orang yang terdahulu. Saya tak rebut apa-apa jawatan dalam SC yang ada. Tapi saya berebut hak untuk menyatakan sesuatu yang selama ini memiliki fahaman yang sama. Saya tidak memandang En Mat salah ke atau benar ke. Penyiasat kes dahulu pun ialah orang kita sendiri. Kecenderongan menyebelahi mana-mana pihak tentu ada. Biarlah dan tunggulah keputusan hakim nanti untuk menentukan En Mat salah atau benar. Oleh itu kesalahan beliau tersebut sepatutnya tidak dijadikan perdu perbahasan untuk menyatakan En Mat tak betul. Bahaslah dari segi prinsip dan kefahaman SC sejak zaman Ustaz lagi.

Tapi kadang kala saya pun terfikir. Generasi sekarang tahu apa tentang Ustaz Hanafi dan fahamannya. Mana pernah mereka berjumpa. Kadang kala rasa sia-sia saya menulis. Mereka bukannya faham. Generasi lama bagaimana pula. Tapi yang lama tetap lama. Benda karat sukar digalap. Bukan senang untuk berubah semula. Tapi tak kan lah dalam begitu banyak yang membaca tak ada langsung yang memendam rasa dan berubah di jiwa.

Sunday, March 9, 2008

KENANGAN

TERINGAT LAGI


Tentu puak-puak yang berpecah sekarang telah membuat kajian tentang jenis penyokong yang masih ada atau masih setia pada mereka. Kajian ini perlu sebagai riview untuk melihat gelagat murid pada masa-masa akan datang. Saya rasa pepecahan yang berlaku sedikit sebanyak memberi gambaran kepada En Mat betapa murid yang dianggapnya setia dan benar-benar faham akan asas atau prinsip perjuangan dan kefahaman SC tiba-tiba boleh beralih angin dan melupakan prinsip tersebut semata-mata kerana kesalahan guru yang tidak tentu pucuk pangkalnya atau kesahihannya.

Kerana nyamuk seekor, habis dibakar kelambu. Kerana marahkan En Mat, mereka rela melupakan ”pesanan’ allahyarham Ustaz. Saya ulang lagi bicara di ruangan ini agar kita dapat periksa diri dalam konteks SC. Semua ini dilakukan Insyaallah sebelum kita berpecah lagi. Bila berpecah, saya tak akan peduli. Insyaallah, saya tak akan sentuh lagi bab ini. Ketika itu, saya pasti telah buat ketetapan hati. Tak ada ape yang nak dicari. Tapi kepuasan hati. Kebenaran hakiki. Semuanya dalam konteks SC. Ketika itu siapa yang berpisah daripada fahaman hakiki, jangan ambil peduli. Kalau En Mat buat silat baru, murid-murid En Mat jangan peduli lagi ahli dan persatuan yang ada. Begitu juga pada ahli dan persatuan yang sedia ada dengan persatuan baru nanti. Tulis-tulis menyentuh kebenaran hakiki, jangan dibuat lagi. Masing-masing perlu menyusun stategi. Kebenaran-kebenaran hakiki, apa kita peduli.

Di ruangan ini saya teringat pesanan hakiki Ustaz Hanafi. Antara lain Ustaz pernah berpesan:-

i. Jaga dan hormati Mak Teh yang banyak berjasa kepada SC. Bersabit Mak Teh yang rela atas pemergian Ustaz mencari ilmu, maka ilmu ini dapat di tangan kita akhirnya.

ii. Sebelum pemergian Ustaz, betapa bayang-bayang diberi. En Mat di suatu masa nanti disebut-sebut sebagai pengganti. Maka hormatilah pendapat ini. Kalau tak dapat hormat, eloklah berhenti.

iii. Ustaz sangat mementingkan mandat. Untuk mengesahkan haknya daripada Pak Ya Said, soal mandat diutamakan. Ustaz pengasas silat ini. Kalau mandat dia pentingkan, bermakna itu adalah wasiat ilmu kepada kita. Kenapa kita tak penuhi. Kenapa kita mencari pelbagai alasan untuk membenarkan perbuatan kita.

iv. Sisrem pelajaran SC begitu mudah diberi. Itupun setelah Ustaz membuat kajian terperinci. Kita yang wujud dan pandai dalam SC adalah hasil perancangan beliau tempoh hari. Tapi kenapa begitu mudah kita mengubah atas apa yang kita warisi. Mengubahnya bermakna kita mungkir janji dan tak sedar diri. Kalau diri tak pandai atau ahli yang sedang belajar kurang cekap, buat tinjauan. Kalau tidak pandai menari jangan disalahkan papan yang tidak sama rata.

Banyak lagi perkara yang kita lupa diri. Tapi sampai sekarang saya tersangat hairan. Setiap kali kita mengadakan perjuampaan, nama Ustaz tetap disanjung tinggi. Mak Teh yang tak larat lagi ”dipaksa” datang untuk sama-sama meraikan satu-satu majlis. Begitu hebat janji kita secara amalan sebagai memenuhi pesanan Ustaz. Tapi begitu mudah kita lupakan janji. Dek kerana disebut binatang, habis putus tali. Dibakarnya jambatan. Jambatan kayu pulak tu.

Saya juga berasa tersangat hairan betapa ramai antara kita dikatakan benar-benar faham tentang fahaman SC. Namun akibat persengketaan tempoh hari, fahaman ini entah ke mana. Kenapa kita ubah fahaman yang ada bagi membenarkan pendapat dan pandangan diri. Secara langsung kita bertanggungjawab memporakperandakan kefahaman yang sedia wujud dalam SC. Kalau kita tak bersetuju, alangkah lebih baik kita meninggalkan SC. Jangan pandai-pandai ubah akan apa yang ada. Kalau keluar duduk diam-diam dan jangan bersuara. Silat Cekak pasti tak akan ternoda.

Sekarang nasi sudah menjadi bubur. Telah wujud satu lagi Guru Persatuan sebagai guru SC. Ada pengikut pulak tu. Manakah guru yang hakiki. Dalam SC selalu kita dengar perkataan zahir dan hakiki. Tapi dalam amalan kita, rupa-rupanya kita pun tak faham-faham istilah yang disebut selama ini. Jadi, selama ini kerut-kerut muka di depan guru sebagai tanda memerah otak untuk cuba memahami, berupa lakonan sahaja. Pandai sungguh mereka berpura.

Kepada En Mat saya berharap, kekalkan fahaman yang ada. Kajilah jenis murid yang ada. Buat kajian pada tingkat umur berapa mereka berada dan apa gelagat mereka dalam SC. Semua ini perlu dilakukan bagi memudahkan kita memasukkan fahaman sebenar SC supaya fahaman ini berterusan pada setiap generasi yang akan datang. Generasi yang ada ramai yang ternoda. Ramai yang lupa fahaman diri kerana kawan sejati. Agaknya.

En Mat masih banyak masa lagi. Sejarah mula membuktikan betapa manusia yang ditohmah dengan wanita hingga hilang kuasa, mula menyelah dan bertapak kembali. Masa yang akan menentukannya. Bersama dan tunggulah saat dan ketika. Dalam SC saat dan ketika sangat diambil kita.

Tulisan kali ini pendek sahaja. Suasana panas yang bergolak tempoh hari semakin sejuk. Cuaca pun sekarang ini sangat sejuk. Tak seronok menulis dalam suasana yang sejuk.