Monday, May 9, 2011

KESIMPULAN PENULISAN

Sepanjang penulisan saya dalam ruangan ini, rasanya telah hampir seribu muka surat. Saya mula menulis sejak akhir tahun 2006. Banyak tajuk peristiwa dan pengetahuan yang saya sentuh. Rata-ratanya, tajuk-tajuk tersebut tidak tersusun. Saya tulis berdasarkan IT. Apa yang terlintas dalam kepala atas saya, maka saya akan jadikan kenyataan secara tulisan. Semuanya buat perkongsian pintar sesama kita; terutamanya pada mereka yang berfikiran terbuka dan sanggup menerima kenyataan. Kenyataan dari orang yang begitu lama berkecimpung dalam perjuangan mendaulatkan seni kebangsaan, iaitu Silat Cekak.

Minat menulis adalah pelbagai tujuan. Sekurang-kurangnya menjadi bahan rujukan dalam kalangan ahli-ahli dan pengamal Silat Cekak yang dikatakan mewarisi ilmu Ustaz Hanafi. Ketika ini, semakin lama maka semakin banyak tafsiran tentang kefahaman SC. Elok juga ada bahan tulisan untuk dibuat rujukan. Kalau bukan sekarang, bahan tersebut boleh digunakan pada satu ketika nanti.

Penerimaan pembaca adalah terpulang. Cuma saya sarankan supaya para pembaca terbuka sikit fikiran. Jangan menjadi bak kata pepatah, ”Umpama katak di bawah plastik”. Orang nampak hebat tetapi diri tidak berubah ke arah kehebatan yang disangkakan. Banyak perasan dan perasaan, berbanding dengan kenyataan.

Dorongan menulis ada kaitannya dengan blog yang disediakan ahli. Ketika itu saya begitu sibuk dan kekurangan masa untuk mengadakan hubungan atau konteks dengan para anak didik saya. Banyak persoalan yang bermain dalam benak mereka. Mengadakan konteks secara langsung, amat terhad.

Oleh itu, mereka menyediakan ruangan ini untuk saya terus menerus melahirkan buah fikiran dari masa ke masa. Maka saya tulis untuk habuan mereka. Banyak kata-kata dan ayat-ayat yang bercabang dua. Hanya mereka yang mengetahuinya saja yang dapat membuat tafsiran. Kalau gagal mentafsir maka tidak ada apa-apa cacat celanya. Masih dikira berguna untuk menjadi bahan bacaan dan bahan rujukan.

Tidak ada ruangan untuk pembaca bertindak balas atau membuat komen pada tulisan saya. Sebab utama ialah jika ada persoalan, maka saya kekurangan masa untuk menjawabnya semula. Jika persoalan tidak berjawab maka fitnah yang akan bermaharaja lela. Oleh itu, lebih baik luahan pemikiran dibuat secara sehala. Elakkan dosa silat pada mereka. Kalau setuju maka terima. Kalau tak setuju, ketepikan sahaja pandangan yang ada. Jangan marah-marah atau baran-baran. Cepat bangka.
Ketika ini ramai manusia yang sakit jiwa kerana melayan perasaan marah yang tak tentu hala. Anggap diri saja yang benar tanpa boleh dibincangkan kebenarannya. Tapi, jangan silap anggapan. Ada juga anggapan benar itu berupa kenyataan. Syaratnya, tidak ada kepentingan.

Kepentingan yang sebagaimana. Banyak tafsirannya. Kalau bercakap tentang kepimpinan, tentu orang itu tidak ada jawatan. Kalau bercakap tentang persilatan, tentu orang itu tiada cita-cita menjadi guru utama atau tentu orang itu tidak bercita-cita berebut jawatan LPT. Kalau bercakap tentang kuasa, tentu orang itu tidak bersaing berebut kedudukan. Kalau bercakap tentang keikhlasan, tentu orang itu kesampingkan perniagaan atau keuntungan. Kalau bercakap tentang perjuangan, tentu orang itu sentiasa turun padang atau menyumbangkan fikiran. Kalau bercakap tentang persilatan, tentu orang itu mementingkan hubungan persilatan dan bukannya hubungan persatuan. Maka itulah antara lain tafsiran saya tentang makna kepentingan diri dalam persilatan SC.

Pada awal penulisan saya, suasana pepecahan menjadi fokas utama. Saya cuba menulis berdasarkan situasi pepecahan yang ada. Tentunya berdasarkan tafsiran saya. Saya pastikan tulisan saya berasaskan kebenaran dalam konteks adat dan adab SC. Saya tidak memaksa orang lain untuk mengakui kebenaran yang saya cuba tegakkan. Tapi saya yakin. Kalau tak mengakui kebenaran yang saya ketengahkan, pasti orang itu akan rugi besar dalam konteks kefahaman dalam persilatan SC. Jangan risau hal-hal yang direka-reka. Tidak ada rekaan. Semuanya asli belaka.

Saya beri keyakinan. Penulisan saya yang beratus muka, hanyalah berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan pengalamian saya sepanjang berada di bawah didikan Ustaz. Saya tersangat yakin dengan pegangan dan pendapat saya. Tidak ada sesiapa yang mempengaruhi fikiran saya dalam SC. Saya adalah saya. Saya ingin menghayati makna kemerdekaan dalam konteks persilatan SC.

Orang lain atau pembaca lain tak perlu marah. Samalah juga dengan tulisan-tulisan lain yang mencaci antara satu sama lain. Saya membacanya dengan fikiran terbuka. Tak ada perasaan marah-marah yang keterlaluan. Tulisan mereka adalah merupakan pancaran pemikiran mereka. Ada yang berfikiran besar dan ada yang berfikiran kecil. Malah ada yang berfikiran sempit umpama apom di celah kangkang.

Tafsiran mereka berdasarkan gred dan nilai yang ada pada diri mereka sendiri. Ramai yang cari makan atas tulisan yang dikemukakan. Ingin kekal lama dan diberikan habuan. Namun begitu, tugas saya hanyalah membaca tulisan mereka. Tak rasa apa-apa. Banyak yang tersenyum daripada mengerutkan muka. Simpulan saya, apa yang ditulis mereka merupakan hasil asuhan dari kefahaman yang Ustaz tinggalkan. Tentunya melalui pembimbing mereka sendiri. Elok pembimbing maka eloklah perjalanan mereka.

Saya difahamkan betapa ada dalam kalangan pembaca yang suka membaca tulisan saya jika menyebelahi pendirian mereka. Namun begitu, bila tersentuh pegangan mereka maka lain pulak komennya. Marah dan mengkritik tak tentu hala. Bagi saya, itu semua tak perlu diambil peduli. Saya menulis bukan sebagai penghibur hati mereka. Saya menulis kerana adanya tuntutan fikiran daripada anak didik saya untuk menyatakan kebenaran. Saya yakin bahawa saya tidak ada kepentingan. Tidak ada apa yang dicari dan tidak ada hati yang perlu dijaga dalam lingkungan adat dan adab SC. Itulah asuhan dan didikan yang saya terima.

Saya yakin bahawa penulisan saya boleh dijadikan bahan rujukan pada mereka yang ingin membuat kajian. Mungkin bukan sekarang. Tapi tentunya pada satu masa nanti. Tunggulah saat dan ketikanya. Pada satu masa nanti, bahan-bahan mengenai SC amat berguna. Bila ya! Mungkin seratus tahun yang akan datang dan mungkin lima tahun yang akan datang.

Pastinya, manusia pendokong ketika ini sudah tiada lagi ketika itu. Habis semua kenangan pepecahan, pergaduhan, kianat, kenangan manis dan kenangan pahit ketika membangunkan SC, tertanam bersama dengan tertanamnya jasad mereka. Yang tinggal hanyalah ilmu yang ditinggalkan berbentuk apa saja. Pastinya ilmu secara tulisan akan memberi makna dan kesan yang mendalam. Ada juga tulisan saya.

Sepanjang tulisan saya, semuanya berdasarkan fakta yang ada sepanjang ingatan saya. Pastinya berdasarkan tafsiran saya. Maknanya kebenaran adalah berdasarkan kaca mata saya. Pengalaman dan pengalamian saya adalah menjadi rujukan utama. Itu sebabnya jangan cepat melatah. Elok terima saja. Banyak gunanya.

Pengalaman saya juga turut menyentuh tentang pelajaran SC yang saya dapat dan saya amalkan sepanjang penglibatan saya. Maka saya sampaikan amanah yang saya terima kepada ahli-ahli yang boleh ’ngam’ dengan saya. Boleh ngam jika ada sedikit ruang fikiran untuk berfikir dan bertukar-tukar pandangan.

Setakat ini, cukuplah tentang penceritaan saya berdasarkan pengalaman saya berada dalam SC. Saya banyak menyentuh pelbagai situasi yang wujud dalam SC. Lain dengan apa yang ada jika dibandingkan dulu dan sekarang. Segala-galanya telah berubah, bak kata pepetah, ”Sekali air bah maka sekali lantai berubah.”

Kita berpecah dalam gelombang kedua kerana dikatakan kes angkara yang melibatkan pencabulan guru utama. Kes itu dianggap utama. Maka tertubuhlah jawatankuasa dengan pelbagai nama. Mencari asal usul dan punca. Ramai ahli yang tidak terima akan hakikat yang ada. Maka dibawalah ke pengetahuan hakim bagi menentukan kebenarannya. Akhirnya, kes ditolak dan asas pendakwaan telah menjadi tidak ada.

Gunakan fikiran biasa. Sumpah Al-Quran telah diguna. Keputusan Majlis Tertinggi telah ada. Tak kiralah cara undinya bagaimana. Keputusan mahkamah telah jelas dan telah nyata. Maknanya, kita berpecah dalam gelombang kedua, banyak yang sia-sia. Yang ruginya ialah SC itu sendiri. Perkembangannya disekat oleh ahli yang berpaling tadah. Angkara manusia yang lebih mementingkan perjuangan diri. Maknanya juga, si tukang pecah belah perlu membetulkan kesilapan yang ada. Kembalilah ke pangkal jalan.

Saya banyak menulis untuk menyedarkan keadaan. Keputusan telah ada. Saya dapat rasakan, tak perlu lagi menulis tentang pepecahan yang ada. Lebih baik saya beralih pada tajuk yang lain.

Dalam tulisan seterusnya, saya akan membincangkan tentang erti kefahaman SC pada saya dalam konteks kehidupan. Perbincangan saya adalah dalam bentuk yang berbeza. Saya tidak lagi berminat untuk menulis tentang kenangan saya pada individu SC di masa-masa lalu. Begitu juga dengan sikap dan nilai yang ada pada mereka. Tulisan-tulisan saya yang lalu tersangat banyak menyentuh tentang hal-hal yang demikian.

Perbincangan saya dalam tulisan seterusnya adalah dalam lain. Kita tidak dapat lari dari perubahan. Umurpun berubah. Sifat fizikal kitapun sentiasa berubah. Maka blog sayapun akan berubah. Dalam kerjaya diri, saya rasa banyak kejayaan yang diperoleh. Pastinya kefahaman yang ada dalam SC telah bersebati dengan pegangan diri. Kefahaman tersebut boleh diaplikasikan dalam tindak tanduk kita berkomunuikasi, aspek kepimpinan dan aspek pengurusan organisasi.

Sekali lagi, Blog tersebut telah dicipta oleh anak didik saya. Maka ikutilah penulisan saya dalam blog baru yang berteraskan aplikasi kefahaman Ustaz Hanafi pada diri saya. Banyak kefahaman yang ada dalam SC dapat dijadikan pegangan bagi menjalani kehidupan dari hari ke hari.

Maka saya ingin berkongsi kejayaan saya mengaplikasikan segala kefahaman, pengalaman dan pengalamian saya dalam SC dalam tulisan-tulisan berikutnya. Tapi saya tulis bukan lagi dalam blog Sepakminang. Saya tinggalkan buat kenangan.

Perubahan. Ikutilah tulisan saya seterusnya dalam ”ladingemas.net.
Berjumpa di sana.

Tuesday, May 3, 2011

KENANGAN 46.

KENANGAN PAHIT.

Kenangan yang dulunya manis, ada juga yang memberi impak pahit apabila terkenang. Sedih juga. Rupa-rupanya diri telah tua. Semakin jauh peristiwa berlalu maka semakin tua umur diri. Tapi, tua-tua pun ada pasarannya. Pengalaman yang luas meletakkan taraf tinggi yang berpanjangan. Itu kata saya.

Ada juga peristiwa pahit dulunya, apabila difikir-fikirkan ada hikmah di sebaliknya. Benarlah kata Tok Guru. Setiap sesuatu yang dianggap malang, tentu ada sebab-musababnya. Namun begitu tidak semua yang pahit akan menjadi manis. Pahit tetap pahit untuk dikenang sepanjang hayat.

Pelbagai tafsiran yang ada tentang kenangan pahit. Namun begitu, konsep pahit tetap mengaitkan peristiwa pahit dengan sifat sedih diri yang berterusan apabila terkenang sesuatu peristiwa tersebut.

Kematian Ustaz adalah merupakan peristiwa pahit. Peristiwa tersebut akan berterusan dikenang sepanjang masa. Ketika itu, seolah-olah dirasakan semangat juang SC entah akan ke mana. Dahan yang dipaut telah tiada. Tempat rujukan telah tiada. Bakal penggantipun tidak ada kata putus. Dalam jangka masa yang singkat, suasana SC tidak keharuan.

Sesungguhnya, kematian Ustaz juga telah membawa kesan besar dalam perjuangan SC. Bibit-bibit pepecahan yang selama ini terpendam, mula timbul dari masa ke masa. Akhirnya, SC berpecah kepada pelbagai kumpulan besar yang berlainan Guru Utama. Masing-masing mendakwa mempunyai mandat sah sebagai guru utama. Rata-ratanya, perkaitan dengan persatuan amat diutamakan bagi mewujudkan kesahan dan kebolehpercayaaan sebagai penerima mandat.

Peristiwa pahit kematian Ustaz tetap menjadi pahit dalam sejarah perkembangan SC seterusnya. Pepecahan yang wujud tetap berterusan dan bertambah parah dari masa ke masa. Pada mulanya kita menjangkakan pepecahan pada gelombang pertama akan berhenti di situ sahaja. Tapi lain jadinya. Jadi lagi pepecahan. Semestinya akan ada lagi pepecahan. Teringat kata-kata hikmat Ustaz. ”Ada ulu, ada parang. Ada dulu, ada sekarang.”

Pepecahan sesama kawan atau rakan telah membawa kenangan pahit pada semua ahli. Hilang nilai-nilai persahabatan yang selama ini terpupuk dengan begitu baiknya. Semacam tak boleh dipercaya. Sahabat dan rakan yang dulunya amat mesra, tiba-tiba berpaling tadah dan bermusuh dengan kuatnya. Perubahan berlaku umpama serangan tsunami yang mengubah terus segala-galanya. Tak boleh ditahan-tahan lagi akan serangan yang ada dalam kalangan ahli-ahli SC.

Walau bagaimanapun, kematian Ustaz masih ada hikmahnya pada diri saya. Saya berupaya mengklasifikasikan ahli-ahli menurut gred atau mutu nilai diri. Baru saya tahu tentang wujudnya ahli-ahli SC yang bermuka-muka. Perjuangan yang selama ini dilaung-laungkan, rupa-rupanya mengikut cuaca. Kepentingan diri menjadi punca kuasa untuk meneruskan perjuangan yang selama ini dipendam dalam hati. Orang lain tidak tahu, melainkan ahli itu menunjukkan apa yang ada dalam dirinya. Masing-masing ada alasan untuk menunjukkan kebenaran perjuangan mereka. Kalau air pun ada pelbagai jenis, rupa-rupanya ahli-ahli SC pun ada pelbagai jenis. Perkara ini telah disentuh dalam penulisan yang terdahulu.

Kenangan pahit yang tidak mudah saya lupa juga ada kaitan dengan nasib saya yang menjadi mangsa kepada perasaan hasad dan dengki dalam kalangan ahli. Saya sering kali terketepi. Kadang-kadang timbul kesedaran dalam diri betapa pepecahan yang melanda SC telah menyelamatkan kedudukan diri saya sendiri. Oleh sebab pepecahanlah maka tenaga dan penglibatan saya masih relevan dan sangat-sangat dikehendaki oleh pihak yang bertelingkah.

Dalam SC, hasad dan dengki akan diakhiri dengan perbuatan kianat. Ketiga-tiga perkataan itu mempunyai makna yang berbeza dari segi kefahaman. Berdasarkan kefahaman saya dari bualan Ustaz, hasad adalah sesuatu yang terdetik di hati. Apabila dikeluarkan pada mulut maka lahirlah sifat dengki. Sifat dengki apabila diterjemahkan pada perbuatan maka wujudlah sifat kianat.

Saya dapat lihat dan dapat rasai sendiri betapa mereka yang saya asuh, akhirnya mengetepikan diri saya sendiri. Kefahaman yang saya pupuk umpama, ”Mencurah air di daun keladi”. Atau ”Umpama anu yang lalu di celah kangkang.” Kefahaman yang diberi hanya bertahan ketika saya ada bersama mereka. Apabila mereka beralih suasana persekitaran, maka kefahaman yang diberi beralih cuaca. Menurut rentak yang ada. Kepentingan diri mula diutama.

Akibat prinsip khianatlah maka saya diketepikan daripada menerima pelajaran menengah pada awal penglibatan saya dalam SC. Strategi yang digunakan mereka amat berkesan untuk mempengaruhi keputusan Guru Utama yang berjanji akan pembelajaran berkenaan pada saya. Mujurlah kata-kata perangsang Guru Utama telah menarik semula penglibatan saya dalam SC. Itu juga ada hikmahnya. Betapa hanya guru, ibu dan bapa sahajalah merupakan manusia ikhlas yang wujud di dunia ini. Saya jadikan pegangan utama dalam melaksanakan sebarang tugas yang dimanahkan pada saya. Prinsip ini akan saya bincangkan pada tajuk yang lain pula.

Anugerah pingat-pingat yang ada dalam SC menampakkan ketidakadilan dalam pelaksanaannya. Itulah tafsiran saya. Peristiwa anugerah pingat di peringkat awal perkembangan SC, telah memberi sumbangan juga pada kenangan pahit buat diri saya sendiri. Walau bagaimanapun, peristiwa pahit itu tidak kekal lama. Akhirnya, dapat juga anugerah yang lainnya. Hebat juga. Di samping anugerah pingat, ada pula iringan pemberian yang boleh dijadikan cenderamata yang berkekalan di hati dan di badan.

Sebagai ahli SC yang ingin berbakti dengan persilatan dan persatuan, mereka akan terus berusaha memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk. Sumbangan itu sama ada bentuk masa, tenaga atau wang ringgit. Sumbangan kita menuntut komitmen yang hebat. Kadang kala kita gagal menunaikan tanggungjawab itu. Di sinilah prinsip benar dan berterus terang perlu digunakan. Kalau seseorang itu perlu disingkirkan maka nyatakan secara terus terang. Apa yang ada di hati maka lahirkan melalui percakapan. Itulah sifat benar yang ada dalam percakapan. Tapi prinsip ini jarang sekali digunakan dalam pengurusan SC.

Kegagalan menggunakan prinsip benar dan berterus terang telah menyebabkan diri saya disingkirkan dari LPT secara yang tidak hormat. ”Diluah mati mak dan ditelan mati bapak.” Saya tidak berminat untuk membincangkan peristiwa tersebut dengan panjang lebar. Ramai yang bersimpati dan ramai juga yang memadan muka.

Peristiwa pemecatan saya dari LPT secara ’tiba-tiba’ amat mengecewakan saya. Caranya tidak terhormat. Merendahkan peribadi saya sebagai pejuang SC yang tidak ada apa-apa makna pada mereka. Ketika itu, semua perasaan ada pada saya. Malu, geram, marah, kecewa dan sebutlah apa saja, semuanya ada.

Setelah kehilangan jawatan, nampak sangat diri saya tidak dipedulikan sesiapa. Saya jadi tak tentu hala arah dan tujuan. Nak ke mana lagi. Orang yang dulunya rapat, mula menjauhkan diri dari saya. Ketika itu SCH telah berada dipuncak kegemilangan. Apalah ertinya diri saya yang semakin lama. Itulah agaknya kata hati saya.

Lantas saya mencari Guru Utama untuk bersalam bagi menyatakan ayat, ”Saya balik dulu.” Setelah bersalam, saya mengundur diri. Ahli-ahli cawangan saya tidak mengetahuinya. Terus saya menuju ke kereta seorang diri. Tidak ada sesiapa pun yang peduli. Macam orang salah yang terketepi. Menerima hukuman hakiki daripada manusia yang ada strategi. Begitulah nasib pada orang yang diibaratkan umpama tebu. ”Habis manis, sepah dibuang.” Nasib baik saya tidak menganggap diri saya umpama tebu. Saya adalah saya. ”Bukan kamu yang tak suka tapi saya yang membenci.”

Terkenang saya pada satu fakta peristiwa yang tidak boleh saya lupa. Ketika saya keseorangan balik menuju ke kereta, tiba-tiba bahu saya disentuh seseorang. Rupa-rupanya ketika saya mengundurkan diri, beliau bergegas mendapatkan saya. Itulah sahabat saya Am... namanya. Beliau cuba menenangkan perasaan saya. Saya rasa beliau mempunyai sifat empati berdasarkan kata-katanya yang masih saya ingat. ”Bersabarlah. Aku pun lagi teruk kena singkir masa Pak Ak.”

Kata-kata beliau mengesahkan anggapan saya. Ada strategi yang berkesan untuk menyingkirkan saya secara memalukan diri. Tapi siapa ya. Walau bagaimanapun, kenangan saya bersama sahabat saya tersebut tidak mungkin saya lupa. Banyak maknanya pada saya. Saya tetap menghormatinya sebagai ahli SC yang mendapat didikan dari Ustaz Hanafi, walaupun telah menyeberang di sebalik sana.

Dalam usia yang semakin lama, sering juga terdengar sahabat-sahabat lama dalam SC yang ’pergi’ buat selama-lamanya. Kematian rakan-rakan seperjuangan memberi impak sedih pada diri saya. Kesedihan itu adalah berupa kenangan pahit pada diri saya. Ketika berjuang rancak dalam SC, nampak hebat penglibatan mereka. Wajah-wajah dan penglibatan mereka dulunya bersama-sama saya, tetap di kenang sepanjang masa. Bukan mudah untuk dilupakan begitu saja.

Tapi, ramai juga sahabat lama yang pergi tanpa berita, atau menukar haluan utama. Ramai yang masih ada di dunia ini. Teringin juga hendak bersua muka. Namun begitu ada penghalangnya. Kalau berlainan pegangan maka tentu susah untuk berbicara. Isi percakapan akan menjadi tawar dan tak tentu hala.

Kalau tak tentu pegangannya, mungkin ada perasaan atau prasangka ketika berbual dengan mereka. Maklumlah. Telah lama tidak bersua muka. Hala mana yang mereka pergi. Nak bertanya tentu tidak sesuai lagi. Hal yang demikian tentunya membawa hubungan yang tidak selesa.

Dalam tajuk kenangan pahit ini, saya tidak begitu minat untuk mengungkit segala peristiwa. Ramai yang akan tersentuh dan berasa kecewa. Sekurang-kurangnya ialah kecewa dengan penulisan saya. Cukuplah sekadar melayan perasaan kecewa yang ada pada saya dulunya. Sekarang ini saya kurang peduli. Boleh terima seadanya. Tambahan pula, saya pegang pada kata-kata, ”Betapa sesuatu yang pahit itu ada hikmah di sebaliknya.” Sekian sahaja penulisan saya.

Sunday, May 1, 2011

KENANGAN 45.


KENANGAN MANIS.


Setiap kali berbual atau ditemu ramah, maka soalan yang sering ditanya ialah kenangan manis saya ketika berada dalam SC. Saya selalu mengelak daripada menjawab soalan tersebut secara langsung. Saya berpandangan bahawa sesuatu kenangan yang dikatakan manis, akhirnya ada juga menjadi pahit. Sebaliknya, sesuatu kenangan yang pahit, akhirnya ada juga membawa kenangan manis. Oleh itu, pahit atau manis adalah berkaitan dengan tafsiran kita. Kalau kita kata manis, maka manislah peristiwa itu. Kalau kita kata pahit maka pahitlah peristiwa atau sesuatu kenangan itu. Lain orang maka lainlah tafsiran dan pandangannya.

Kenangan manis biasanya dikaitkan dengan sesuatu kenangan atau peristiwa yang menyeronokkan atau menggembirakan hati. Kegembiraan itu meliputi sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Sudah semestinya peristiwa itu ada kaitan dengan diri kita sendiri. Dalam tulisan ini saya akan berkongsi peristiwa-peristiwa yang telah membawa kenangan manis dan menyenangkan diri saya sepanjang berada dalam SC. Walau bagaimanapun, ada antara peristiwa tersebut akhirnya membawa kenangan pahit.

Semasa saya berada di Pusat, iaitu di Lorong Haji Sirat dan Jalan Putera, kenangan manis bersama Ustaz adalah merupakan sesuatu yang tidak mudah dilupakan. Banyak pengalaman, pengetahuan dan tunjuk ajar yang berkaitan dengan dunia kehidupan dan dunia persilatan telah saya peroleh. Oleh itu, saya sangat-sangat menghormati Ustaz sebagai individu yang banyak mempengaruhi corak kehidupan saya. Kata-kata Ustaz saya jadikan prinsip hidup terutamanya dalam dunia kerjaya saya. Saya akan bincangkan hal tersebut dalam satu tajuk yang khusus. ”Kenangan Bersama Ustaz” dalam tulisan yang lain.

Selain kenangan bersama Ustaz, pelantikan saya sebagai Jurulatih SC juga adalah merupakan satu kenangan yang amat manis dan amat berharga pada diri saya. Perjawatan Jurulatih telah memberi ruang kepada saya untuk membentuk sifat bertanggungjawab, amanah dalam menjalankan tugas dan memberi kemahiran berjawatan tinggi bagi menjalankan atau mengendalikan organisasi persatuan.

Ketika itu, menjadi Jurulatih adalah merupakan satu penghormatan yang amat tinggi nilainya. Bukan mudah untuk menjadi Jurulatih. Walaupun cadangan daripada Jurulatih ’senior’ perlu ada, namun begitu kata putus pemilihan Jurulatih adalah terletak pada Ustaz. Saya telah bincangkan dalam tulisan terdahulu tentang konsep memandu merupakan asas penting pelantikan seseorang Jurulatih. Saya sendiri dapat saksikan betapa ramai ahli yang ’hebat’ tapi tidak dilantik Ustaz sebagai Jurulatih. Hal yang demikian tentu ada sebabnya. Sekurang-kurangnya dalam tulisan ini, kita boleh bincangkan dalam dua sebab utama sebagai asas pemilihan Ustaz untuk menjadikan seseorang itu tidak terpilih sebagai Jurulatih. Saya simpulkan berdasarkan perbualan saya dengan Ustaz.

Pertamanya ialah bentuk penghormatan ahli berkenaan pada Ustaz yang masih boleh dipersoalkan. Jiwanya tidak begitu ’tunduk’ pada Ustaz. Hal yang demikian ada kaitannya dengan perasaan atau kesetiaan atau pengenalan diri pesilat itu yang masih dihubung kait dengan persilatan yang lain. Selagi orang itu tidak dapat meyakinkan komitmennya pada SC maka selagi itulah peluangnya untuk terpilih sebagai Jurulatih SC adalah tipis.

Namun begitu, ada juga kalangan mereka yang hebat dengan persilatan lain tapi tetap ’tunduk’ pada Ustaz dan tunduk sepenuhnya pada ilmu yang dibawanya. Orang-orang ini telah dapat ’menyenangkan’ pelbagai pihak dalam SC. Ustaz telah melantik mereka sebagai Jurulatih. Walau bagaimanapun setelah Ustaz ’kembali’, ada yang berpaling tadah meninggalkan SC dan ada yang menjadi pemecah belah ketika ini. Tidak mengenang budi.

Keduanya ialah kehebatan mereka tidak disertai dengan kebolehan untuk menyampai. ”Tak rerti cakap.” Boleh buat buah tapi tidak boleh menerangkan akan cara-cara gerak yang betul itu terjadi. Kalau ibarat air, mungkin mereka boleh diibaratkan sebagai ’air mustakmal.’ Air yang suci tapi tidak boleh menyucikan. Tidak boleh buat air sembahyang.

Konsep air mustakmal memberi makna, ahli berkenaan cekap dan hebat. Tapi untuk pakaian diri. Untuk membuat penerangan, mereka kurang kemampuan. Kalau mereka menumbuk, akibatnya pesilat akan mudarat. Kalau pesilat yang menumbuk, juga pesilat berkenaan yang akan menerima kemudaratan. Ramai tokoh yang boleh saya namakan. Tidak sesuai dinyatakan dalam tulisan ini. Takut perasan.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan air mutlak yang bersifat suci, lagi menyucikan. Boleh buat air sembahyang. Orang-orang jenis ini adalah dalam kalangan mereka yang boleh menyampaikan pelajaran dengan tersusan dan mudah difahami penuntut. Cakapnya adalah serupa bikin. Mereka yang berada dalam kalangan sifat tersebut tentunya akan menjadi seorang Jurulatih yang amat berkesan dan disukai penuntut dalam proses penyampaian ilmu SC.

Apabila saya dilantik sebagai Jurulatih, saya berasa sangat puas. Hal yang demikian membuktikan saya berupaya untuk menyampaikan pelajaran SC dan berupaya untuk menyebarkan SC. Pelantikan sebagai seorang Jurulatih bermakna saya telah diberi penghormatan berbuat demikian. Apabila saya pulang ke kampung, dengan mandat yang ada pada saya sebagai Jurulatih, memudahkan saya membuka SC sebagai satu cawangan.

Kenangan bersama rakan-rakan di dua-dua tempat iaitu di Lorong Haji sirat dan Jalan Putera’ membawa banyak kenangan manis. Rasa-rasanya ketika itu, persefahaman dalam kalangan kami boleh dianggap akan terus berkekalan. Kami saling menghormati antara satu sama lain. Hal yang demikian kerana kami mempunyai tanggungjawab yang serupa dalam memperjuangkan SC. Persefahaman antara kami telah menerbitkan sifat menghormati dan sentiasa bersifat ingin menolong atau membantu antara satu sama lain. Ketika itu.

Saya masih ingat betapa kepimpinan tertinggi CM ketika ini yang sentiasa dibantu pada satu ketika yang lalu. Ketika itu beliau menjaga kedai runcit. Manakala saya sedang menuntut. Setiap pagi ada seorang ahli yang sekarang ini orang kuat akademik yang menumpangkan kami untuk pergi ke destinasi masing-masing. Kebetulan ketika itu sahabat saya itu baru beli kereta kerana baru bekerja. Setiap pagi kami akan berkumpul di Jalan Putera sebelum menumpang kereta ahli berkenaan. Hubungan kami ketika itu begitu mesra sekali. Mana sangka akan bertelagah. Rupa-rupanya, yang tak pernah sangka akhirnya jadi sangka. Kami berpisah pada tiga jalan yang berlainan dalam perjuangan SC. Tapi masih mendakwa Pusaka Hanafi.

Kawan saya yang menumpang itu terus dibantu oleh kawan-kawan yang lain. Kain putih, uniform silat, kain baju Melayu dan sebagainya telah diberi kepercayaan kepada beliau untuk mengurusnya. Hebat dan berkemampuan. Lama-lama lupa daratan. Adik beradik Si Tanggang. Lupa jasa baik orang lain pada dirinya. Malah mula lawan ’tokeh’. Guna kekayaan untuk mencari pengaruh dan menagih sokongan. Itulah tabiat berpersatuan. Akhirnya dapat habuan. Jadilah beliau sebagai guru pada persatuan SC yang kini asing pada generasi baru. Itulah yang dikatakan peristiwa manis yang akhirnya menjadi pahit.

Ramai dalam kalangan sahabat-sahabat yang sama gelak, sama ketawa dan sama sedih, akhirnya telah menjadi musuh. Mungkin musuh tersebut bukan bersifat peribadi, sebaliknya musuh dalam persilatan. Bila berjumpa, banyak sekali prasangkanya. Percakapan atau perbualan menjadi tawar dan hambar. Mata sesama mereka kurang dapat bertentang. Itulah juga dikatakan peristiwa manis yang berakhir dengan kepahitan.

Kenangan manis yang lain ialah peluang membuat pertunjukan silat. Dalam pertunjukan tersebut, peranan yang diberi adalah sebagai hero. Ketika itu, acara empat serang satu adalah merupakan acara yang cukup menarik dan mendapat sambutan hebat daripada penonton. Apabila diri dipilih sebagai ’hero’nya, tentulah wujud satu kepuasan yang tidak terhingga. Setiap pertunjukan disaksikan oleh orang ramai. Diri sungguh bersemangat dan berasa hebat apabila menerima tepukan atau pujian. Itulah sifat manusia yang sentiasa inginkan penghargaan. Selesai pertunjukan, sifat diri menjadi puas. Tak payah makan. Kepuasan yang diperoleh boleh ’mengenyangkan.’ Kepuasan itulah yang membawa kenangan manis yang amat sukar untuk dilupakan.

Apabila menjadi pemimpin di peringkat cawangan, bertambah lagi kenangan manis yang diperoleh. Salah satu kenangan manis yang tidak mudah dilupakan adalah peristiwa yang berkaitan dengan kempen-kempen atau usaha-usaha membuka kelas.

Setiap kelas yang ingin dibuka, kami akan bertindak dalam dua bentuk. Bentuk pertama ialah berkempen secara lisan dan keduanya secara sebar luas publisiti melalui pertunjukan secara besar-besaran. Nampaknya kempen secara lisan lebih berkesan kerana hubungan terus dengan peminat SC dapat diadakan.

Penerangan secara lisan adalah secara mengumpul mereka yang berminat untuk mempelajari SC di satu-satu tempat. Saya akan membuat penerangan. Serentak dengan penerangan itu disertai dengan pasangan silat yang akan menegaskan dan melengkapkan penerangan tersebut. Setelah itu kami akan mengadakan majlis dailog. Maka bertanyalah mereka dengan pelbagai soalan dan persoalan. Semuanya dijawab. Tak tahupun, saya tetap jawab. Pengesahan kemudian. Balik rumah, kadang kala senyum sendirian. Satu kepuasan. Kepuasan itu membawa kenangan manis.

Untuk menyebarkan publisiti secara meluas, pertunjukan SC akan dijadikan agenda utama. Sebelum tarikh pertunjukan, kempen-kempen untuk menarik kehadiran penonton sangat giat dilakukan. Kami akan membuat beberapa helai kain rentang. Kain-kain rentang tersebut akan dipasang dua atau tiga minggu sebelum pertunjukan. Ketika itu nak tempah kain rentang seperti sekarang tidak ada tempat yang berbuat demikian. Oleh itu, kami akan bergotong royong untuk membuat kain rentang tersebut.

Pelbagai teknik membuat kain rentang telah dilakukan. Ada ketikanya kami menggunakan ’pelasterin’ untuk membentuk huruf. Huruf-huruf yang dibentuk akan ditampal pada kain rentang tersebut. Ada kalanya kami menggunakan blok-blok huruf yang dijadikan acuan untuk disembur cat pada kain rentang. Semuanya dilakukan mengikut masa dan kesesuaian.

Walau apa cara yang dilakukan untuk membuat kain rentang, hubungan dan kerjasama yang erat sesama kami telah membawa banyak kenangan manis. Ada yang membawa ’bekalan’ dari rumah sebagai juadah untuk dikongsi makan bersama ketika bekerja. Lebih-lebih lagi jika kerja-kerja tersebut bermula dari larut malam. Kerja-kerja membentuk perkataan pada kain rentang selalunya tersedia pada waktu pagi. Pada waktu tengah hari kain-kain tersebut dijemur bawah sinar matahari. Ketika itu, banyak ayam dan itik yang dibela. Maka bergilirlah kami menjaga kain-kain rentang tersebut daripada tercemar najis atau lukisan kaki ayam dan itik.

Setelah kain rentang disiapkan dalam bilangan empat atau lima, maka kami akan rentangkan kain rentang tersebut di tempat-tempat yang strategik. Kebenaran daripada pihak Bandaraya telah diperoleh terlebih dahulu. Kain-kain rentang itu akan dipasang selepas waktu tengah malam. Oleh itu pada malam aktiviti pemasangan kain rentang tersebut akan dilakukan, kelas silat yang diadakan akan terus berlangsung hingga lewat malam.

Banyak perkara yang dibualkan. Cukup masa maka kami berkereta ke tempat-tempat berkenaan. Biasanya, jumlah kami adalah berempat. Dua orang akan membuka kain rentang orang lain yang telah luput tarikh aktiviti, manakala dua orang lagi akan menggantikan ruang tersebut dengan kain rentang kami. Setelah selesai, kami akan ke restoran. Hampir jam dua atau tiga pagi baru balik ke kelas silat bagi mendapatkan kenderaan sendiri. Kenangan manis yang tidak mudah dilupakan.

Pada hari pertunjukan maka kami akan mengadakan persembahan. Sekali lagi banyak kenangan manis yang kami peroleh. Sebelum itu kami akan bertukar-tukar fikiran tentang bentuk persembahan. Banyak peristiwa lucu yang terjadi dalam proses kemenjadian persembahan. Biasanya majlis diskusi tersebut akan diiringi dengan gelak ketawa.

Selesai pertunjukan, ramai yang mengambil borang untuk berdaftar sebagai ahli. Tapi, pulangan borang amat dingin sekali. Berdasarkan kajian, kemasukan ahli-ahli baru di tempat kami lebih banyak bergantung pada kempen-kempen secara peribadi. Setiap ahli SC akan mencari ahli-ahli baru. Itulah kempen yang amat berkesan. Hal yang demikian telah menyebabkan kami kurang mengadakan persembahan silat lagi. Kalau selama ini, pertunjukan silat akan diadakan setiap kali pembukaan kelas baru, tapi kini pertunjukan adalah bergantung pada keperluan.

Ketika saya menjawat jawatan Yang Di Pertua cawangan, sungguh banyak kenangan manis yang dikecapi. Banyak masa diuntukkan bagi melayan karenah ahli-ahli, bukan terhad dalam bidang persilatan, malah meliputi hal-hal yang berkaitan peribadi. Selesai setiap masalah peribadi seperti masalah rumah tangga terutamanya, akan lahir kepuasan di hati. Kenangan manis yang pelbagai. Ada yang melucukan dan ada yang kurang manisnya. Tapi tetap manis. Sambung yang pahit.

Friday, April 22, 2011

KENANGAN 44.

KEKAL HUBUNGAN.

Nampaknya hubungan kita dalam SC tidak tentu boleh kekal lama dan sukar nak percaya akan kekal lama. Sejarah telah membuktikannya. Saya telah ceritakan dalam tulisan terdahulu. Kawan yang sangat rapat, akhirnya menjadi seteru. Kalau tidak bertaraf seteru pun, suasana mesra amat sukar diwujudkan apabila telah berselisih pendapat. Semuanya gara-gara ada kaitan dengan kepentingan sesuatu ataupun kepentingan diri. Sekurang-kurangnya kepentingan menjaga diri sendiri yang telah lama berkecimpung dalam SC. Takut tersingkir dan terus tidak dipedulikan langsung. Selalu saya berbincang tentang perkara itu.

Benarlah konsep hubungan yang pernah saya nyatakan dalam tulisan terdahulu. ”Kita bertemu adalah kerana Silat Cekak. Maka kita juga akan berpisah kerana SC.” Maknanya, kerana adanya SC maka kita dapat melibatkan diri dalam satu persilatan yang sama. Tanpa SC, adatnya saya tidak akan kenal sipolan dan sipolan yang belajar bersama. Akhirnya kerana perselisihan yang berkaitan dengan silat yang sama maka kita juga berpisah. Maka jadilah pepisahan itu sebagai, ”Berkerat rotan, berpatah arang.”

Peribahasa tersebut membawa makna, hubungan yang sekian lama wujud atas konsep SC, akhirnya bila berpisah, maka kita tidak akan boleh bersatu atau berbaik sampai bila-bila. Masing-masing akan membawa hala tuju yang tersendiri walaupun semuanya mendakwa berwariskan Pusaka Hanafi. Itulah salah satu ’kelebihan’ SC dalam era globalisasi.

Jelaslah kepada kita betapa hubungan yang wujud dalam SC banyak yang diasaskan pada konsep kepura-puraan, hipokrat dan berkepentingan. Berbaik selama mana ahli-ahli berkenaan mempunyai pendirian di bawah satu kepemimpinan. Bertukar persatuan maka akan bertukarlah kawan dan pegangan. Umpama kata pepatah, ”Sekali air bah maka sekali lantai berubah.”

Saya telah sentuh betapa Ustaz pernah ’mencabar’ saya supaya menutup kelas silat jika dapat mengumpul ahli SC yang sehati dan sejiwa seramai empat puluh orang. Cabaran simbolik yang kini saya tersangat faham akan maksudnya. Betullah tanggapan dan cabaran Ustaz tersebut. Nampak semacam mudah untuk menjalankan tugas mengumpulkan ahli yang sehati dan sejiwa. Maknanya juga macam mudah untuk mengumpul ahli-ahli yang bersatu hati sepanjang masa. Rupa-rupanya amat payah tugasan tersebut untuk dilaksanakan dan dijadikan kenyataan. Saya cuba membuktikan bahawa mengumpul ahli-ahli yang sehati dan sejiwa tidak payah dilakukan. Hanya usaha dan kesungguhan dapat membuktikannya. Apakan daya. Saya juga gagal kesudahannya. Disangkakan kekal nilai persahabatan buat selama-lamanya, tapi hujan batu di tengah hari. Cukup masa dan ketikanya hubungan sehati dan sejiwa amat sukar dipertahankan.

Oleh itu, saya ingin nasihatkan para Jurulatih sekalian supaya sentiasa berhati-hati. Dalam memupuk hubungan sesama ahli SC, perlu waspada dan jangan bersahabat secara ideal. Peluang kekal lama tidak boleh diharap sangat. Contoh-contoh yang berlaku pada saya telah diceritakan dengan panjang lebar dalam tulisan kenangan saya sejak penglibatan di pejabat Lorong Haji Sirat dan di Jalan Putera.

Seperti yang dikatakan, dalam menjalinkan perhubungan, janganlah kita menceritakan kelemahan kita kepada kawan. Hal yang demikian kerana kelemahan itu nanti yang akan dijadikan modal oleh kawan kita apabila beliau menjadi musuh kita. Semasa hubungan baik, menceritakan kelemahan akan memperoleh simpati. Bila ’berpisah’ kelemahan tersebut akan dijadikan bahan caci dan maki.

Begitu juga dengan hal-hal yang berkaitan dengan diri kita. Kita juga jangan sesekali menceritakan kegemaran kita kepada rakan atau pesilat yang lainnya. Hal yang demikian akan memberi ruang kepada mereka bagi dijadikan senjata menikam dari belakang. Untuk lebih faham, contohnya begini. ”Patutlah dia suka makan daging ayam seperti yang dikatakan. Perangaipun dah jadi macam ayam.” Maknanya, perkara positif boleh dinegatifkan mengikut kehendak dan tafsiran. Oleh itu, berhati-hatilah ketika kita berkata-kata. ”Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata padah akibatnya.”

Kadang kala kita dapat kenangkan betapa pengorbanan yang kita berikan pada rakan atau sahabat, akhirnya dibalas dengan tuba. Itu sebabnya ramai yang mengeluh dan berkata-kata dalam pelbagai cara. Semuanya melahirkan kekesalan yang tidak dapat diduga. Bila diri telah terkena maka mulalah terkenang-kenang hubungan lama. Antara lain kata-kata atau rungutan yang sering kita dengar adalah seperti yang berikut.

i. ”Tak sangka perangainya macam itu. Sedih aku rasa. Banyak keistimewaan dan layanan yang aku bagi padanya. Langsung tak kenang budi.”

ii. ”Kalau aku tahu perangai dia macam itu, tak akan aku tolong dia sampai bila-bila.”

iii. ”Patutlah dia macam itu. Aku dan agak. Ada tanda-tanda perangai buruknya. Tapi aku tak kisah masa tu. Sekarang baru aku tahu.”

iv. ”Aku hairanlah. Macam mana dia boleh berubah. Dulu, bukan main rapatnya. Sampai nama anak pun akan ditanya pada orang yang disanjung. Nampak benar hipokratnya.”

v. ”Kalau aku tahu perangainya macam tu, jangan diharap aku terangkan semua perkara tentang SC pada dirinya.”

vi. ”Dahsyatnya! Tergamak dia buat macam itu pada aku. Hancuk betul. Busuk punya orang. ”

Ada banyak lagi ayat yang biasa kita dengar betapa bersahabat dengan mereka yang tidak tetap pendirian. Mereka itu tidak tahu nasib dek untung. Umpama ,”Beri bunga pada kera.” Tidak tahu menilai erti terima kasih atau nilai kesyukuran dalam kehidupan seharian.

Eloklah dibuat kajian khas tentang perubahan sikap dalam kalangan ahli-ahli SC dalam konteks hubungan sesama ahli. Adakah faktor persilatan atau kerana faktor persatuan yang menjadikan ahli-ahli bersifat demikian. Sifat yang menyanggah ikrar sumpah yang dilafazkan ketika ijazah permulaan.

Mungkin faktor persilatan puncanya. Maka eloklah dikaji maksud ikrar atau sumpah sesama ahli tak boleh bergaduh. Adakah ikrar itu masih relevan sebagai pengikat hubungan. Atau ikrar itu sekadar mengingatkan kita, jangan sesekali bergaduh sesama ahli. Hal yang demikian dirasakan perlu diberi perhatian kerana kalau ahli-ahli SC bergaduh, sifatnya amat buruk. Boleh digambarkan bak kata-kata kiasan seperti yang berikut:

Ketika renggang hubungan, terus berpatah arang. Mustahil untuk dibaik-baikkan. Kecuali pada mereka yang ada kepentingan.

Timbul kata-kata serang-menyerang. Hilang nilai-nilai sebagai kawan. Timbul pulak sifat umpama haiwan. Mencari ruang hentam-mengentam.

Perselisihan akan terus berpanjangan. Mungkin akan terus berlaku zaman berzaman.

Banyak guru yang bakal dilahirkan. Termasuklah guru wawasan. Tiada asal dan tiada warisan. Susul galur mudah dilupakan.

Menabur fitnah sebagai bekalan. Untuk mendaulatkan seni kebangsaan. Bagi diwarisi oleh jenerasi sezaman. Yang berfaham lintang pukang. Bagi disesuaikan dengan makna kemerdekaan. Kemerdekaan berdasarkan tafsiran
.”

Maka akan terbentuklah kata-kata berikut:

Ahli Silat Cekak kurang kesedaran,
Memupuk musuh di akhir pelajaran.
Macam mana nak mendaulatkan seni kebangsaan,
Hanya mensesuaikan diri dengan makna kemerdekaan
.


Ramai pemimpin kita sekarang yang telah lupa daratan. Terkapai-kapai dalam lautan. Saya ceritakan beberapa pengalaman. Untuk maksud berwaspada. Buat baik berpada-pada. Jangan melampau sangat mencurahkan amal bakti. Kelak akan memakan diri. Diri merana dan akhirnya dilupai. Cuba kita baca kenyataan-kenyataan berikut.

Ada guru SC yang telah bergelar. Dulunya berperanan mencuci pinggan mangkuk dan membancuh kopi. Pagi-pagi menumpang kereta kawan untuk ke kedai runcit. Lama-lama timbul simpati sesama ahli. Memberi peluang membekalkan bahan. Perniagaan bertambah maju. Lupa diri pada mereka yang pernah membantu. Berkuasa penuh. Akhirnya orang yang membantu disingkirkan dari persatuan. Berkuasa besar sekarang. Orang yang membantu telah dijadikan musuh nombor satu.
Kalau aku tahu macam itu jadinya, tak akan aku bantu langsung.” Itulah ungkapan yang boleh dikata agaknya pada orang yang kecewa.

Ada pesilat muda yang dahagakan ilmu pengetahuan. Datang ke rumah apabila ada cuti penggal. Bertanya banyak tentang gerak-gerak SC dan kefahaman yang ada dalam SC. Semua persoalan telah dirungkaikan. Harapan cuma satu. Menjadikan beliau pesilat yang hebat dan sangat berkemampuan. Bila beliau berpeluang menjawat jawatan tinggi di persatuan pusat, diri kita diketepikan. Langsung tak ingat ilmu yang kita curahkan. Mengampu guru dan sentiasa menyampaikan kata-kata komen terhadap kepemimpinan. Puncaknya, kita berjaya disingkirkan oleh orang yang kita bantu dulunya.
Kalau aku tahu jadi macam ni, tak akan aku bagi sebarang ilmu.”

Kesimpulannya, hubungan yang diasaskan dalam SC perlu dilanjutkan dengan lebih luas lagi dalam konteks yang berbeza. Misalnya, pupukkan hubungan sebagai satu keluarga atau hubungan sesama makhluk Allah yang maha Esa. Kalau kita hanya memupuk hubungan sesama ahli SC sahaja, hubungan itu tak tentu selamat dan tidak tentu akan kekal lama. Sekian.

Monday, April 18, 2011

KENANGAN 43.

LUPA DIRI.

Nampaknya, penjawat jawatan dalam Jawatankuasa pusat SC satu ketika yang lalu, adalah punca kepada pepecahan yang ada. Dari ahli jawatan kuasa biasa hinggalah ke jawatan Setiausaha dan Naib Presiden atau Timbalan Presiden. Nampaknya, kesemua jawatan itu telah membawa petaka pada mereka yang menjawatnya. Itulah kesimpulan umum yang boleh kita buat. Namun begitu, tanggapan tersebut lebih banyak mengikut perasaan.

Hakikatnya pada saya, manusia yang memegang jawatan tersebutlah yang membentuk petaka pada persatuan. Saya berkeyakinan bahawa konsep mudah lupa diri mula menyerap tanpa disedari. Jawatan yang disandang telah membentuk sifat penyandang. Lebih-lebih lagi jawatan Setiausaha, Timbalan dan Naib Presiden SC. Bukannya sifat penyandang jawatan yang mempengaruhi jawatan yang dipegang, sebaliknya jawatan yang dipegang telah mempengaruhi sifat penyandang jawatan.

Pada zaman saya, ketiga-tiga jawatan tersebut mempunyai kuasa dan dihormati pesilat. Kuasa dan pengaruh penyandangnya adalah bawah sikit dari kuasa Presiden. Mungkin itu sebabnya mereka mudah lupa. Kurang kesedaran diri. Akhirnya ’lawan taukeh’.

Dalam tulisan ini, saya sambung lagi perbincangan berdasarkan tulisan lalu. Masih membicarakan penjawat Setiausaha satu ketika dulu yang tak tahan daulat. Kemudian saya akan sentuh penjawat jawatan yang lain untuk perbincangan bersama.

Ada seorang lagi yang berpangkat bekas Setiausaha. Akhirnya kecundang entah ke mana dalam perjuangan menegakkan kehebatan SC. Beliau juga bergiat aktif dalam politik secara kecil-kecilan. Dalam majlis mengenang guru, bila cakap pasal Ustaz, ucapannya berapi-rapi. Tak payah menggunakan api untuk menyalakan rokok. Hinggakan beliau mesti sebak dan mengeluarkan air mata apabila dikenang dan disebut nama Ustaz Hanafi dalam sebarang majlis mengenang Guru Utama yang telah tiada. Sekarang baru saya tahu. Air mata dugong rupanya.

Dulu, semasa beliau aktif dalam SC, nilai persahabatan sangat diutamakan. Walaupun dalam mesyuarat jawatankuasa pusat, beliau merupakan kaki bangkang, tapi seperti yang dikata, setakat dalam mesyuarat sahaja. Habis mesyuarat, masih tetap nampak kemesraannya.

Apabila tugas Guru Utama diambil alih oleh Pak Ak, kecenderongannya tetap mempertahankan guru yang ada. Hal yang demikian menampakkan keadaan yang beliau tidak berlaga angin dengan bekas setiausaha yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan Naib Presiden. Saya cuba kenang-kenangkan kenapa hal yang demikian boleh terjadi.

Saya yakin, semuanya berlaku sejak mereka berada dalam jawatankuasa pusat di zaman Ustaz. Telah saya ceritakan betapa mereka selalu berlaga angin dalam membahaskan sesuatu isu. Walau bagaimanapun, lagaan angin tersebut hanya setakat dalam mesyuarat. Kini jelas nampaknya, hubungan baik yang berkekalan bukan kerana prinsip mesyuarat semata-mata, tapi kerana Ustaz. Ustaz merupakan tunggak utama yang menyebabkan ahli-ahli SC tidak berani melakukan perbuatan berdasarkan perasaan.

Ketika zaman Pak Ak, beliau masih berkuasa sebagai Setiausaha. Pengaruh Setiausaha ketika itu tersangat kuat dan mempunyai sokongan yang padu dari Guru Utama. Bekas Setiausaha telah menjawat jawatan yang lebih tinggi. Tidak hairanlah masing-masing sentiasa menegakkan pendirian. Tidak mahu mengalah ketika guru yang ada boleh disanggah pendapatnya.

Dalam pemerhatian saya, segala-galanya berubah apabila beliau meletak jawatan sebagai kaki tangan atau pegawai kerajaan. Beliau memulakan perniagaan. Wang ringgit mula menjadi keutamaan. Mulai hilang nilai persahabatan. Pernah beliau meminjamkan wang untuk keperluan persatuan. Tapi akhirnya surat peguam dilayangkan kepada individu berkenaan yang membuat pinjaman bagi pihak persatuan.

Sifat curiga berterusan hingga melibatkan kewangan persatuan. Tabung Amanah dan Tabung Jurulatih dijadikan isu. Buat dakyah sana sini untuk mencari pengaruh. Pada saya, beliaulah punca hasutan utama yang akhirnya membibitkan api dalam sekam dan melahirkan pepecahan yang berterusan. Sudah menjadi takdir manusia yang suka pepecahan terlantik menjawat jawatan Setiausaha dalam persatuan. Kalau ada pengkaji yang hendak membuat kajian asal usul pepecahan dalam Silat Cekak, bolehlah bermula kajian dari sudut yang saya perkatakan itu.

Belayarlah beliau ke sebelah sana ketika kita berpecah dalam pepecahan gelombang pertama. Saya tak tahu masih aktifkah beliau dengan puak sana. Pada saya, bila disebut pepecahan, terbayang muka beliau sebagai orang utama yang mengasaskan pepecahan dalam SC. Kenangan yang tidak mudah dilupakan.

Seterusnya saya ingin membicarakan sahabat saya yang pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden. Satu ketika yang lalu sering bersama saya dalam satu kumpulan mengajar SC dalam kalangan ahli-ahli di segenap cawangan. Tiba-tiba dalam satu mesyuarat agung, beliau terpilih sebagai orang nombor dua.

Sahabat saya itu pernah mendapat Pingat Setia. Makna kesetiaan tentunya sanggup sehidup dan semati dengan SC. Tapi, persatuan yang mati dulu. Akhirnya telah tak setia. Orang sering panggilnya dengan gelaran Pak di awal gelaran.

Kelemahannya yang ketara ialah ingin meniru seratus peratus gaya, percakapan dan perbuatan Ustaz. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan tentang rapatnya hubungan beliau dengan Ustaz ketika itu. Kemana saja Ustaz pergi di seluruh negara, maka beliaulah yang akan menjadi pemandu kereta. Hal yang demikian tentunya akan mewujudkan satu bentuk nilai hubungan yang tersendiri antara beliau dengan Ustaz. Itu sebabnya juga, walaupun beliau tersingkir dari Persatuan, hubungannya dengan Ustaz masih berkekalan.

Kalau mengajar, garangnya bukan main. Kalau potong Kaedah B misalnya, jika penuntut lambat bertindak, jawabnya penampar beliau akan hinggap di muka penuntut. Dalam masa jangka panjang, hal yang demikian telah menyebabkan kelas-kelas yang diurusnya semakin merosot kehadiran.

Setelah terkeluar dari persatuan, beliau tersangat impikan jawatan Guru Utama. Oleh itu banyak cakap Ustaz yang dijadikan tajuk perbualan dan tajuk syarahan. Beliau terkenal dengan penggunaan istilah ’kulit’ dan ’isi’. Sayang sungguh, terkeluar dari persatuan, maka diserangnya persatuan dengan pelbagai tohmahan. Lupa langsung jasa persatuan pada diri. Hilang nilai persahabatan. Namun begitu cita-cita menjadi guru tidak kesampaian.

Berbeza sekali dengan seorang lagi ahli jawatankuasa dalam Jawatankuasa Pusat. Dalam mesyuarat, selalu pendiam. Tidak ada idea yang boleh disampaikan. Kebolehan berkomunikasi amat lemah sekali. Kesungguhannya dalam SC telah menjadikan beliau sentiasa diutamakan. Namanya dikagumi oleh ahli-ahli SC sebagai salah seorang pesilat yang hebat. Sekarang berjawatan tertinggi kerana lupa pakai perkataan ’anugerah’.

Ketika Pak Ak menjadi Guru utama, riak tak bersetujunya sering dilahirkan. Pak Ak sendiri pernah mengadu pada saya. Ada cita-cita juga rupanya. Semasa pepecahan pada gelombang kedua, riaknya menampakkan hala tujunya selama ini setelah pemberi Pingat Setia padanya telah tiada. Menunggu masa, saat dan ketika bagi memenuhi cita-citanya. Rupa-rupanya ada niat menjadi orang yang akan memberi pingat setia pula. Niat telah menjadi niat apabila cita-citanya tercapai. Maka jadilah beliau sebagai pesaing kepada guru yang ada.

Kalau dulu beliau menerima Pingat Setia, maka kini tercapailah hasrat menjadi pemberi pingat setia dan pelbagai jenis pingat yang lain kepada orang lain pula. Ramai yang menjadi ’alat’ atau ’pemangsanya’ untuk memperoleh pingat-pingat yang ada melalui tangannya.

Kepada anak didik saya, selalu saya tekankan supaya sentiasa mempunyai pendirian yang tetap. Untuk tetap pendirian maka mestilah kita mempunyai pegangan. Pegangan mestilah bersumberkan adat dan adab yang ada. Adab dan adat itu perlu disandarkan atas apa yang telah diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Mungkin tafsirannya agak berbeza. Tapi, kalau belajar dengan saya, semestinya mengikut tafsiran saya. Itu sebabnya mereka yang enggan lagi menerima tafsiran saya telah cabut ke sebelah sana. Mengejar ’camouflage’ yang tak tentu ada. Maka jadilah diri tak tentu hala. Anu juga namanya. Tapi yang pentingnya janganlah memusnahkan apa saja yang telah kita sama-sama bina.

Bergaduhlah atau buatlah apa saja bagi memuaskan hawa nafsu. Tapi, janganlah sesekali memusnahkan perkembangan SC. Janganlah ditutup kelas-kelas SC yang ada. Pengkianat pada perjuangan Ustaz. Pada saya, nilai persahabatan adalah lebih mulia daripada pangkat dan harta. Pangkat yang tinggal hanya disebut allahyarham atau almarhum saja.

Menutup kelas SC bermakna kita menutup punca pahala yang sering diperoleh Ustaz. Pahala itu adalah hasil dari ilmu yang ditinggal Ustaz untuk dimanfaatkan oleh kita. Lagi banyak kelas yang dibuka maka lagi banyak ilmu tinggalan Ustaz yang kita manfaatkan. Banyak pahala berpulang pada Ustaz. Bagaimana ilmu itu boleh dimanfaatkan jika kita asyik menutup kelas SC yang ada. Maka oleh itu, merekalah pengkhianat perjuangan Ustaz. Itulah golongan yang mudah lupa dan tidak tetap pendirian. Haprak namanya.

’Aku adalah aku.’ Satu prinsip pegangan diri yang dikatakan Ustaz. Pupuk nilai ini. Rupa bentuk kita adalah berkait rapat dengan pelakuan kita. Kalau kita pentingkan wang ringgit maka itulah kita. Kalau kita pentingkan jawatan maka itulah kita yang gilakan jawatan. Kalau kita pentingkan perjuangan SC maka itulah kita yang sentiasa mementingkan perjuangan SC. Kalau kita mementingkan nilai-nilai persahabatan melebihi kepentingan diri maka itulah rupa bentuk diri kita.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh meniru-niru perwatakan orang lain. Namun begitu, sesuatu yang baik jadikan teladan dan sesuatu yang buruk jadikan sempadan. Seteruk manapun peribadi kita, jangan jadikan diri kita sebagai pemecah-belah kerana peribadi kita akan dikenang sepanjang masa sebagai si tukang pemecah belah. Kita perlu dapat membezakan antara rakan seperjuangan atau rakan berkepentingan. Hal yang demikian akan membantu diri kita agar sentiasa tetap pendirian dan mempunyai prinsip sebagai pegangan dalam SC. Sekian.

Saturday, April 16, 2011

KENANGAN 42.

TAK KEKAL PENDIRIAN.

Setelah sekian lama terlibat, saya masih ingat-ingat lagi sahabat-sahabat lama seangkatan yang sama-sama berjuang dalam SC. Sekarang ini ada yang masih aktif, ada yang sudah tidak ada dalam dunia ini, ada yang mendiamkan diri dan ada yang beralih pendapat dan menjadi penentang. Macam-macam ada. Semuanya sepancur. Mendapat ilmu yang sama punca dari Ustaz Hanafi.

Dalam kalangan mereka, ramai yang telah dapat Pingat Berjasa dan Pingat Setia. Ada dalam kalangan mereka yang berjaya menyusun strategi untuk mendapatkan pengiktirafan pingat. Sekarang baru saya tahu. Ketika itu, Pingat Setia merupakan satu anugerah yang sangat mulia. Anugerah mulia itu hanya layak diterima oleh pejuang-pejuang yang sanggup ’mati’ demi mempertahankan SC. Mempertahankan SC membawa makna akan mempastikan adat dan adab SC akan terus terpelihara. Institusi keguruan yang merupakan tunjang utama, pasti akan dipertahankan keaslian dan haknya. Rasa-rasa, itulah pegangan penerima pingat-pingat yang ada.

Tetapi hal yang saya nyatakan di atas adalah merupakan tanggapan dan kenang-kenangan saya sahaja. Sekian lama maka lain jadinya. Orang yang dikatakan setia dulunya, lama-lama telah hilang kesetiaannya. Sanggup menentang balik. Seperti dikata, kalau dulu sama-sama berhempas pulas membuka kelas-kelas SC sebagai tanda usaha mengembangkan SC maka sekarang orang yang sama sanggup untuk menutup kelas-kelas SC bagi mengehadkan perkembangan SC.

Kadang-kadang saya rasa pelik. Tak disangka orang yang hebat dalam SC akhirnya akan menjahanamkan SC yang dibina mereka bersama. ”Marahkan nyamuk, kelambu dibakar” telah menjadi pegangan utama mereka. Kalau berdasarkan perjuangan, kata-kata mereka, tindak tanduk mereka dan kesetiaan mereka, macam saya tak percaya boleh berubah. Akhirnya ramai kalangan mereka yang menjadi pertualang SC.

Betullah kata guru saya dulu.Tidak terfikir rakyat di zaman kesultanan Melaka, akan tertubuh kerajaan yang dikuasai bersama dengan bangsa yang mendatang. Mana terfikir oleh Sang Nila Utama apabila negeri yang dibuka bernama Singapura, telah terlepas ke tangan pendatang luar keturunan Cina. Rupa-rupanya, sesuatu yang kita tak terfikir, akhirnya terjadi juga. Itulah kehendak Tuhan namanya.

Cuma, kadang kala saya sendiri tertanya-tanya. Bagaimana perasaan mereka ketika menerima Pingat Setia dan bagaimana perasaan mereka ketika ini setelah menerima pingat Setia. Agaknya, kesetiaan mereka hanya pada ketika pemberinya ada sahaja. Setelah pemberinya tiada maka tidak ada lagi kesetiaan pada jiwa mereka. Itu hanya agakan sahaja. Tapi saya kenang-kenangkan lagi. Perkembangan SC yang ada adalah tetap hasil usaha pemberi pingat yang pingatnya mereka telah terima dulunya. Sepatutnya jasa pemberi pingat itu terus menerus dihormati. Caranya ialah meneruskan kesinambungan perjuangan yang ditinggalkan oleh pemberi pingat tersebut.

Tapi lain jadinya. Tak menjadi pun. Maknanya pendapat saya tersebut hanya merupakan pendapat saya sahaja. Tidak mudah berlaku. Kesetiaan telah mulai luntur akibat kepentingan yang berbeza mengikut zaman dan peristiwa.

Sepanjang pengalaman saya berada dalam SC, jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa Pusat di zaman Ustaz telah menjadi jawatan yang amat ’panas’ sekali. Setakat ini, saya mengambil kesimpulan betapa mereka yang pernah memegang jawatan dalam Jawatankuasa Pusat, akhirnya banyak yang membuat angkara. Termasuklah jawatan Setiausaha yang membawa dua makna. Satu Setia dan satu lagi Usaha.

Nampaknya konsep setia tidak berpanjangan seperti mana konsep usaha dalam menunaikan tanggungjawab mereka. Berhenti sekerat jalan. Setia yang tidak kekal. Ada yang beralih setia.

Sebalik nya konsep usaha telah membawa banyak implikasi. Ada yang ada usaha untuk menentang Guru Utama yang ada. Ada yang ada usaha untuk menguasai persatuan. Ada yang ada usaha untuk dapatkan kepentingan. Setakat pengalaman saya, kesemua bekas setiausaha yang ada, akhirnya lari dari medan perjuangan. Janji dan laungan tegas yang sering dilaungkan telah hilang begitu sahaja. Pegangan yang tidak berkekalan.

Dalam tulisan ini, saya akan kenangkan semua pengalaman saya bersama mereka. Saya kenang-kenangkan lagi sejarah penglibatan kami bersama yang sekian lama berkecimpung lama dalam SC. Ikutilah kupasan yang mungkin pernah diceritakan. Mengingat kembali dalam siri kenangan dalam tulisan ini.

Mungkin nama-nama mereka tidak saya sebut. Pastinya kesemua mereka telah bergiat sejak zaman Ustaz lagi. Saya jadikan bahan tulisan semata-mata untuk mereka yang akan membuat rujukan pada satu masa nanti. Tahun pasti berganti tahun. Tentu dalam zaman itu bahan-bahan tulisan amat bermakna pada mereka yang ingin tahu punca pepecahan. Bagaimana SC yang suatu masa dulu tersangat hebat, tiba-tiba boleh berpecah belah.

Saya tidak menyentuh penjawat jawatan Setiausaha atau penjawat jawatan lain dalam organisaasi zaman En Mat ketika ini. Pengalaman saya bersama mereka amat kurang. Tambahan pula, umur mereka mungkin berada dalam jurang yang besar. Penceritaan saya adalah bersumberkan zaman dulu kala ketika saya tersangat aktif dalam SC.

Saya cuba-cuba mengingatkan balik pengalaman saya bersama orang-orang lama dan orang lama-lama. Pastinya pengalaman dulu-dulu sebelum wujud kepentingan diri yang menyebabkan mereka berubah hati. Ketika itu kesemua mereka sememangnya hebat. Kehebatan merekalah yang banyak membantu Ustaz untuk menegakkan kehebatan SC. Guru yang hebat, dikuatkan dengan orang-orang kanannya yang hebat telah menjadikan SC sebagai silat yang hebat. Kehebatan SC tidak ada tolok bandingnya. Persilatan Melayu yang lain tersangat menghormati SC. Maka para ahli yang belajar SC menumpang hebat atas kehebatan SC itu sendiri.

Para sahabat saya dulunya ada keistimewaan tersendiri. Masing-masing ada perwatakan hebat dan sesetengahnya berperwatakan luar dari kebiasaan. Oleh kerana kehebatan yang ada itulah maka telah dapat membantu mengukuhkan perjalanan persatuan silat kita. Persatuan SC semakin kuat dari masa ke masa. Kekuatan persatuan telah menjadi nadi kepada perkembangan SC. Hal yang demikian kerana persatuan adalah merupakan penaung kepada pergerakan silat. Tanpa persatuan maka Silat Cekak tidak boleh dikembangkan secara meluas.

Teringat akan pergaulan bersama mereka. Kami pernah berselisih pendapat. Tapi cuma setakat dalam mesyuarat. Bertegang leher macam nak bergaduh. Tetapi selepas mesyuarat, pulang pulih seperti sedia kala. Perkara yang dibincang, terputus dan tidak diungkit-ungkit lagi. Tidak diulang-ulang lagi. Dengan itu semangat setiakawan dalam kalangan kami sentiasa berterusan dan berkekalan. Saya masih ingat sahabat-sahabat saya tersebut. Masing-masing ada sifat tersendiri. Ketika itu ke mana kami bergerak, perngorbanan masa, tenaga dan wang ringgit tak diambil kira.

Ketika saya mula berjinak-jinak dengan SC ada seorang Setiausaha yang bersemangat waja. Dalam tulisan-tulisan yang lalu, pernah saya sentuh watak ini tapi dalam bentuk penulisan yang lain. Sama-sama mengajar silat terutama di UPM. Beliau sangat aktif di peringkat awal di Lorong Haji sirat. Boleh dikatakan, beliaulah merupakan jurucakap Ustaz. Ketika saya mula-mula berjumpa Ustaz, beliaulah menjadi orang utama yang mendemostrasi pergerakan SC sambil Ustaz memberi penerangan.

Saya bertanya kepada beliau kenapa masih kekal dalam SC. Antara jawapannya ialah kerana bangsa. Beliau menyingkapkan bajunya. Nampak parut lima puluh sen. Katanya, ”Inilah bekas tembakan yang diterima dalam kejadian 13 Mei 1969 yang lalu. Tembus ke belakang dan saya bersyukur kerana tak mati.” Itulah kata-kata yang melambangkan kesungguhan di hati. Menurutnya, hal yang demikian telah menyebabkan beliau ingin meneruskan perjuangan membela bangsa melalui SC. ”Orang Melayu perlu bersedia dari masa ke masa.” Kata-katanya tegas dan yakin sekali. Tapi itu dulu. Terdengar suara raja lawak.

Tiba-tiba beliau juga meninggalkan persatuan. Semangatnya yang ingin berjuang atas nama bangsa dalam SC, hilang begitu saja. Dengar cerita, satu daripada sebabnya ialah tidak tahan dengan kutukan kawan dalam persatuan ketika beliau inginkan bantuan. Memang ketika itu telah wujud geng kaki kutuk.

Walau bagaimanapun, kegiatan sahabat saya itu masih dalam bidang persilatan. Cuma, beliau telah bergiat dengan silat lain. Sekarang ini tiba-tiba ternampak wajahnya dalam TV. Jadi pelakon. Rindu saya nak berjumpa. Teringin nak tanya. Mana janji membela bangsa. Cepat benar lupa.

Setiausaha berikutnya disandang oleh orang lain. Dari utara. Sekejap sahaja. Saya tidak berminat menyentuh peribadinya. Seorang yang pendiam tapi bertanggungjawab merangka perlembagaan persatuan. Besar jasanya pada Persatuan SC. Tapi disingkirkan kerana tidak sehaluan. Kini telah tiada. Al-Fatihah untuknya.

Ada seorang sahabat saya yang pernah menjadi Setiausaha dan kemudiannya menjadi Naib presiden di zaman Ustaz. Masih dalam senarai Jawatankuasa peringkat pusat. Saya kagum dengan kebolehan beliau membuat perancangan. Kalau nak berbahas dengannya, jangan mula dengan perkataan, ”Saya rasa”. Pasti dipotong cakap kita. Beliau seorang yang berfikiran positif dan sentiasa bercakap berdasarkan fakta. Itu sebab ramai ahli SC yang tidak boleh ikutnya. Saya berani kata, beliaulah merupakan salah seorang yang bertanggungjawab hingga SC berkembang pesat di zamannya.

Berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz, pernah Ustaz mengatakan bahawa, sesiapa yang menentang pendapat sahabat saya itu maka samalah seperti menentang pendapat Ustaz. Begitulah kepercayaan hebat yang diberi Ustaz kepada beliau. Mungkin beliau sendiri boleh menganggap dirinya hebat. Hinggakan pendapat orang lain sering diketepikan.

Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa penilaian pada diri kita hanya boleh dilakukan oleh orang lain. Bukannya diri kita yang layak menilai diri sendiri. Ketika kita berpecah dengan Pak Ak dalam pepecahan gelombang pertama, beliau berperanan besar menyusun strategi untuk meneguhkan kepemimpinan En Mat. Pelbagai strategi dilakukan. Semuanya hasil panduan pemikiran beliau. Maka terbitlah video ’menegakkan kebenaran.’

Beliau dibantu oleh dua orang sahabatnya yang juga merupakan sahabat saya dulunya. Mereka juga berada dalam Jawatankuasa Pusat. Perwatakan mereka tidak banyak bicara tapi hebat dalam melaksanakan tugas. Mereka sanggup berkorban mempertahankan maruah SC walaupun dalam medan laga apabila dicabar oleh silat-silat lain. Salah seorang daripada mereka pernah beradu hebat dengan musuh tradisi kita. Jawabnya ’lima berbalas kosong’. Tumbuk menang dan ditumbuk pun menang. Ustaz juga pernah mewakilkan beliau berbincang dengan guru yang mengajar silat menggunakan nama silat kita.

Ketiga-tiga mereka merupakan daya penggerak utama persatuan SC ketika itu. Semua ahli yang lain akan akur dengan tindakan mereka. Malah Ustaz sendiri banyak berhubung harap pada mereka untuk menyusun strategi bagi memperkemaskan pengurusan persatuan.

Cuma, saya masih terkenang ketika kami berada dalam Jawatankuasa Pusat. Mereka yang selalu bertengkar atau boleh mempersoalkan pemikiran mereka hanya terdiri dari beberapa orang termasuk saya, Pak Wan dan Jo Black. Seperti yang dikata. Segala pertengkaran atau perbahasan hanya setakat mesyuarat sahaja. Lepas mesyuarat, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Keputusan yang diambil, semua pihak menerimanya tanpa ada apa-apa bantahan atau cakap-cakap kemudiannya.

Sayang sekali. Akhirnya kesemua mereka mengetuai kumpulan utama menentang En Mat. Sekarang berada di pihak Akademik. Berperanan besar. Hampir-hampir menyamai peranan Guru dalam kumpulannya. Pada saya, macam tak percaya mereka boleh berubah hati menentang orang yang ditatangnya satu ketika lalu. Sanggup bersengkongkol dengan usaha-usaha menutup kelas SC yang dulunya diperjuangkan pembukaannya dari masa ke masa.

Teringat diri saya. Saya bersyukur kerana masih setia dalam memperjuangkan SC dalam landasan yang tetap sama dan bukannya dalam landasan baru yang dibina. Ada ramai sahabat saya yang kecundang di tengah jalan atau telah lari dari landasan. Lari dari landasan perjuangan tentunya berdasarkan tafsiran saya. Tapi saya yakin pada kebenaran diri saya. Saya tidak ada langsung kepentingan dalam SC. Ketika ini, jawatanpun tak ada. Dulu ada juga jawatan dalam persatuan. Tapi disingkirkan dalam satu drama yang menyanyat hati pada yang simpati. Nampaknya apabila perjuangan yang berkepentingan diri mula mendapatkan tempat di hati, maka segala janji, ikrar dan sumpah setia boleh terketepi dengan mudahnya. Sambung lagi.

KENANGAN 41.

PENGHORMATAN
SEBAGAI MOTIVASI.


Dalam SC, memberi penghormatan adalah merupakan satu langkah yang amat berkesan bagi maksud memotivasikan pesilat. Penghormatan juga membawa maksud satu pengiktirafan yang diberikan guru kepada anak muridnya. Penghormatan biasanya diberi atas kelebihan yang ada pada seseorang pesilat. Kadang kala bila kita ingin menampakkan penghormatan tersebut terhadap seseorang individu, pelbagai cara boleh ditunjukkan.

Sebagai Jurulatih, tentu kita sedar wujudnya pelbagai jenis penghormatan yang ada dalam SC. Penghormatan tersebut amat berguna pada ahli. Hal yang demikian dapat dijadikan sebagai pemangkin yang akan membolehkan mereka terus menerus bergiat. Hati mereka akan terikat dan terpaut pada SC. Secara langsung, mereka akan menjadi agen yang amat penting dalam meluaskan pengaruh SC dalam negara ini.

Penghormatan yang ada dalam SC dapat dilihat dalam dua keadaan. Pertama, penghormatan berbentuk rasmi dan nampak. Keduanya ialah penghormatan secara tidak rasmi. Hal yang sama juga berlaku sama ada di peringkat pusat ataupun di peringkat cawangan.

Penghormatan berbentuk tidak rasmi, dapat dilakukan dalam beberapa tindakan. Mengunjungi rumah pesilat adalah merupakan satu langkah yang berkesan. Lebih-lebih lagi jika ada majlis-majlis tertentu seperti kenduri nasi atau kenduri pulut atau sebarang bentuk majlis. Hal yang demikian tentunya amat berkesan jika ahli silat yang berkenaan telah berumah tangga. Secara langsung isteri persilat akan berasa dihormati dan lebih memahami kegiatan suaminya yang berkecimpung dalam bidang persilatan. Saya difahamkan, apabila kita berkunjung ke rumah mereka, pastinya mereka akan berasa bangga. Itulah penghormatan yang tertinggi diberikan oleh Jurulatih.

Ada dalam kalangan Jurulatih yang memeluk para pesilat sebagai tanda untuk menzahirkan penghormatan dan nilai persahabatan terhadap individu tersebut. Pesilat yang dipeluk akan berasa betapa dirinya diberi penghargaan. Perasaan rendah diri akan terhakis kerana dirinya diberi perhatian. Hal yang demikian adalah sebagai tanda pada orang yang dipeluk bahawa mereka sebenarnya tidak dilupakan dan sentiasa dihargai.

Dari segi psikologi, memeluk adalah merupakan satu proses pemindahan aura antara seseorang. Secara langsung apabila Jurulatih memeluk pesilatnya, aura hebatnya akan berpindah pada pesilat itu tanpa mengurangkan kehebatan pada dirinya. Itu sebabnya kita dapat lihat betapa kaedah memeluk amat popular dalam kalangan mereka yang hebat dan terkenal. Ingat. Lihat juga faktor umur dan lelaki sama lelaki sahaja. Tak ikut boleh juga.

Apabila para pesilat berkunjung ke rumah kita, jangan lupa beri jamuan sama ada minuman atau berserta dengan kueh muih. Hal yang demikian juga menunjukkan penghormatan yang kita beri pada pesilat yang berkunjung. Secara langsung diri pesilat itu akan berasa dihargai. Lebih-lebih lagi jika kita adalah seorang Jurulatih.

Apa-apa pun bentuk penghormatan, semuanya ada prinsip-prinsip yang perlu difahami. Orang yang memberi penghormatan tentunya amat menghargai atas kelebihan seseorang. Manakala orang yang menerima penghormatan perlu bersyukur atas kenikmatan dan kelebihan yang ada pada dirinya. Semua hasil kejayaan atau kelebihan seseorang adalah merupakan ketentuan Ilahi.

Saya suka mengingatkan, dalam prinsip memberi penghargaan dan penghormatan itu, berhati-hatilah pada tindak tanduk kita. Janganlah bersifat unggul hingga menceritakan kelemahan kita kepada kawan kerana kelemahan itu nanti yang akan dijadikan modal oleh kawan kita apabila beliau menjadi musuh kita. Ungkapan itu tentunya sangat besar ertinya pada kita. Mungkin kita boleh definasikan kawan berbeza dengan sahabat. Hubungannya tidak seakrab sahabat. Tapi kategori mana sahabat kita berada, kita tak tahu. Sahabat yang selama ini dikira ikhlas pada kita, mungkin rupa-rupanya tidak seperti yang dijangka.

Kita juga jangan sesekali menceritakan kegemaran kita kepada rakan atau pesilat yang lainnya kerana hal yang demikian akan menyusahkan mereka bagi memenuhi kegemaran kita.

Penghormatan rasmi yang ada dalam persatuan kita amat banyak. Satu ketika dulu, pengurniaan pingat Berjasa dan pingat Setia amat popular sekali. Semua pesilat sentiasa mengidam untuk memiliki salah satu daripada anugerah pingat-pingat itu. Saya tidak arif tentang tujuan setiap anugerah pingat berkenaan. Walau bagaimanapun berdasarkan nama, pastinya Pingat Berjasa akan dianugerahi pada mereka yang berjasa pada silat atau persatuan. Manakala Pingat Setia akan dianugerahi pada mereka yang sentiasa setia pada silat dan persatuan.

Pada tanggapan saya, tentunya makam setia sentiasa mengatasi makam berjasa. Penerima anugerah setia semestinya terdiri daripada mereka yang bersemangat waja. Hati mereka pasti tidak berubah dek masa. Sekali cakap pasti tidak berubah-rubah. Kalau cakap tidak berubah maka pendirian mereka tentu mustahil berubah. Cakap anak jantan. Mereka akan sentiasa mempertahankan kedaulatan SC. Kedaulatan SC tentunya tidak berpisah dengan pemilik SC itu sendiri. Itulah gurunya. Sekali berguru dan mengakui guru, pasti selagi itulah kekalnya pendirian. Berguru biarlah satu. Bergurulah pada guru yang ada salasilahnya atau pada perganti guru yang bertali arus mewarisi landasan perjuangan yang satu. Tidak boleh disamakan dengan berbini. Boleh banyak bini dan bertukar-bertukar bini. Agaknya. Mungkin anggapan saya salah dan mungkin juga betul. Saya tak pernah bertanya.

Berbalik pada soal pingat, kedua-dua pingat berkenaan dapat dijadikan satu dorongan kepada pesilat untuk terus melibatkan diri dalam memperkembangkan SC. Pemberian pingat bermakna, penglibatan pesilat diberi pengiktirafan. Maka secara langsung akan memotivasikan mereka untuk terus menggerakkan jentera SC dalam negara ini.

Konsep penganugerahan pingat dalam kalangan ahli SC adalah merupakan satu langkah yang amat bijak dilakukan Ustaz. Sepanjang ingatan saya, pengiktirafan melalui pemberian bengkung tidak pernah ada dalam persilatan kita. Tentunya hal yang demikian amat berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Hal yang demikian adalah merupakan satu lagi bentuk pengiktirafan yang luar dari kebiasaan persilatan Melayu yang ada. Begitulah hebatnya SC di bawah kepemimpinan Ustaz Hanafi. Sama hebatnya dengan majlis anugerah pingat pada hari-hari kebesaran istana. Silat kita pun satu masa dulu bertapak di istana.

Lama-lama terasa lucu juga. Mereka yang berjasa semakin dilupai akan jasa mereka. Ramai yang membawa diri dengan bakti jasa yang berlalu. Hanya tinggal kenangan jasa. Manakala mereka yang setia, ramai yang menjadi tak setia lagi. Ada yang bertalak tiga. Kesetiaan mereka umpama lelayang yang tersangat mudah terbang begitu sahaja akibat putus talinya.

Kadang-kadang terfikir juga. Macam mana anugerah-anugerah pingat tersebut diberi. Tarasa semacam ada ’pakatan’ dalam kalangan Jurulatih tertentu hingga memaksa mereka ’memilih bulu.’ Tambahan pula jika Jurulatih tersebut tersangat berpengaruh dan memegang tampuk persatuan. Salah guna kepercayaan Ustaz pasti berlaku. Maka mudahlah mereka menyusun perancangan.

Sebut sahaja pingat, saya sentiasa terkenang pengalaman yang lalu. Sering berulang-ulang ingatan tersebut. Maka penulisan mengenai pengalaman pingat pun sentiasa diulang-ulang. Dalam kenangan yang tidak mudah dilupakan. Kenangan yang pahit dan manis.

Dalam penulisan terdahulu, saya pernah menyentuh tentang diri saya yang terketepi daripada menerima pingat Berjasa dalam ’Perayaan Sepuluh Tahun SC’. Itulah perayaan yang pertama. Ada perancangan strategik pihak tertentu dalam pemberian pingat tersebut.

Apabila saya ditawarkan pingat Berjasa dalam perayaan berikutnya, hati berasa begitu tawar. Tambahan pula saya tidak berapa sihat dan tidak dapat hadir dalam majlis penyampaian pingat berkenaan. Akhirnya, kerana disangkakan sikap penentangan saya adalah kerana tidak dapat pingat, saya dianugerahi semula pingat berkenaan ketika PA menjadi Guru Utama. Pingat disemat melalui Mufti negeri. Saya rasa, itulah sejarah pertama kali seorang mufti menyemat pingat Berjasa di dada seorang ahli SC. Sesuatu yang luar dari kebiasaan.

Teringat lagi kenangan berulang ketika ditawarkan Pingat Setia. Sekali lagi minat berpingat telah mulai tawar. Saya tolak tawaran mereka. Tentunya mereka terkejut. Walau bagaimanapun, saya bersetuju agar nama saya sebagai penerima Pingat Setia dikekalkan dalam buku atur cara. Saya setuju sebagai penerima dalam buku cenderamata tapi tidak hadir dalam majlis penyampaian pingat di hari berkenaan. Maka kekallah saya sebagai penerima pingat Setia, tetapi pingat berkenaan tak pernah saya tengok rupanya.

Semasa saya begitu rapat dengan PA, pengalaman saya tersebut diceritakan padanya. Saya lupa bulan dan tahunnya. Apa yang pastinya, saya bersama dengan PA di suatu malam dalam perjalanan balik dari majlis ijazah penamat di Malay College, Kuala Kangsar. PA pun bersimpati dengan peristiwa yang menimpa saya. Maka diberinya janji pada saya. Lebih kurang begini katanya, ” Insyaallah, saya akan buat satu majlis khas dan akan beri anugerah tertinggi dalam SC.”

Saya tersenyum sahaja tanpa ada berkata-kata. Hati terasa semacam puas kerana guru ketika itu bersimpati dan memberi penghormatan sebagai orang yang pernah berjasa. Walaupun penghormatannya belum diberi, tapi kata-kata itupun saya anggap sebagai satu pengiktirafan yang hebat sekali pada diri saya.

Walau bagaimanapun, hajat berkenaan tidak kesampaian. Kita berpecah dan saya beralih setia pada En Mat. Maka secara langsung harapan untuk menerima anugerah tertinggi dalam SC, punah begitu sahaja. Saya tidak mengharap langsung. Namun, kata-kata janji yang pernah diluahkan itu, kadang kala muncul sekali sekala di ’kepala.’

Maklumlah. Umur semakin tua. Banyak masa yang telah digunakan dalam proses perkembangan SC. Bukannya SC terus menerus berkekalan hebat. Tapi berpecah ketika berada dalam kehebatannya. Terasa juga semacam pengorbanan masa saya selama ini menjadi sia-sia. Bukan ada yang peduli. Tambahan pula, generasi baru SC yang muncul, langsung tidak mengetahui akan pegorbanan yang pernah saya lakukan untuk memajukan SC di peringkat cawangan khasnya. Bila berpecah, maka pihak yang bertentangan akan terus melupakan kita. Nama kita pun tak akan disebut lagi walaupun kita banyak membantu dalam proses perkembangan SC yang dimilikinya itu.

Agaknya, itulah cara hidup generasi seterusnya dalam SC. Hilang harapan untuk dihargai lagi. Hanya harapkan generasi di tahap cawangan sahaja yang mengerti. Nampaknya tanggapan saya telah berubah ketika En Mat meneruskan kesinambungan SC. Mulalah hari-hari nampak cahayanya.

Akhirnya, di hujung-hujung penglibatan saya dek usia yang semakin lama, dapat juga saya menerima Pingat Seri Setia dan diikuti dengan Anugerah Guru Utama. Masih ada lagi yang ingat. Terasa diri telah diberi penghormatan yang sebenar-benarnya. Satu kepuasan yang tidak terhingga. Lebih puas dari kepuasan anu yang ada selama ini. ’Manisnya’ nikmat yang diterima tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Sendiri yang rasa. Orang lain hanya mungkin menumpang gembira. Tak sama dengan gembira saya. Penghormatan itu menjadi satu dorongan pada saya untuk terus berjuang dalam SC yang diamanahkan pada En Mat.

Malangnya, ada juga penerima Anugerah Guru Utama sebelum saya yang tak tahu makna pengormatan dan makna pengiktirafan. Akibat kurang ilmu dan mungkin akibat kurang membaca maka sanggup membuang perkataan anugerah pada prosa kata ’anugerah guru utama’. Kurang akalnya. Jadilah dia memiliki guru utama setelah perkataan anugerah tertinggal dalam benaknya. Tak faham-faham hingga terlupa tulis atau terlupa sebut perkataan anugerah di kepalanya. Kepala atas yang kurang daulat agaknya.

Dalam persilatan SC, kita ada pelbagai bentuk pengiktirafan sebagai tanda menghormati pesilat yang berjaya dalam bidang silatnya. Ujian sijil rendah telah mendorong para pesilat untuk membaiki kelemahan diri supaya mereka benar-benar menguasai pelajaran SC. Penguasaan dalam SC tersebut membolehkan mereka menerima sijil rendah dalam ujian SC peringkat pertama. Itulah satu bentuk pengiktirafan yang sangat baik dalam kalangan ahli SC. Mengiktiraf segala usaha-usaha ahli untuk menguasai pelajaran yang terkandung dalam SC.

Pemberian sijil itu telah diadakan dalam satu majlis khas. Dengan bangganya mereka menerima sijil yang dianugerahi guru sebagai satu tanda pengiktirafan. Sijil yang diterima mereka telah memberi kepuasan pada segala usaha yang mereka lakukan setelah berbulan mereka bersilat. Apatah lagi pada mereka yang memperoleh sijil rendah tahap kepujian. Lagi megah rasa di hati. Bukan mudah mendapat kepujian. Bilangan yang kecil menerima sijil kepujian menjadikan diri terasa hebat. Hebat dalam kalangan ahli-ahli yang hebat dan sama-sama menerima sijil. Tentu akan berterusan dapat kepuasan dalam persilatan.

Penerimaan Sijil Rendah telah mendorong mereka untuk terus mengembangkan SC. Biasanya setelah mendapat Sijil Rendah, mereka akan menjadi pembantu Jurulatih dan seterusnya dilantik sebagai Jurulatih. Minat mereka untuk menyebarkan SC semakin mendalam. Seiring dengan tanggungjawab yang mereka pikul, cita-cita untuk mendapat Sijil Menengah telah menjadi satu hala tuju mereka berikutnya.

Pelajaran Sijil Menengah dipimpin oleh guru. Anugerah pelajaran menengah tersebut merupakan satu penghormatan pada diri Jurulatih yang sekian lama berkecimpung dalam SC. Penghormatan itu juga adalah merupakan satu pengiktirafan guru pada kebolehan muridnya yang terpilih. Tentunya mereka berasa gembira dan puas hati hasil komitmen dalam SC. Golongan terpilih yang sentiasa berbakti pada perkembangan SC.

Saya pernah tulis sebelum ini betapa cawangan saya pernah menerima sepersalinan uniform untuk Jurulatih yang dilantik. Apabila mereka menerima uniform berkenaan, semuanya berasa kagum dan amat gembira. Sekali lagi anugerah uniform tersebut merupakan satu pengiktirafan guru pada Jurulatih. Pengiktirafan itu bermaksud sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan guru pada wakilnya.

Para Hari tenaga Pengajar, para Jurulatih akan dianugerahi satu bentuk hadiah atau cenderamata. Setiap tahun para Jurulatih akan mendapat hadiah dalam bentuk yang berbeza dari tahun sebelumnya. Perkara pastinya, semua hadiah atau cenderamata yang diberi itu merupakan satu pengiktirafan dan sebagai tanda penghormatan guru kepada anak muridnya. Jiwa Jurulatih akan terus terangsang untuk terus bergiat dalam SC. Satu langkah bijak yang perlu berterusan.

Di peringkat cawangan saya dulunya, bentuk-bentuk penghormatan pada Jurulatih pernah diwujudkan. Pemberian hadiah atau cenderamata telah dilakukan di akhir setiap tahun dalam majlis makan malam. Pengiktirafan itu adalah merupakan satu bentuk penghormatan. Jenis pengiktirafan adalah pelbagai. Merasalah Jurulatih dengan baju batik, kot dan baju yang bergelar bush jacket . Seperti yang dikatakan, aktiviti yang sedemikian adalah merupakan satu usaha mengiktiraf jasa Jurulatih yang bergiat cergas untuk mengembangkan SC. Sekarang sudah lupa agaknya.

Keseronokan adalah sesuatu yang kita cipta. Semasa berada dalam SC, maka ciptalah keseronokan dari masa ke masa. Jangan merintih tanpa usaha. Pengiktirafan dan penghormatan adalah merupakan satu bentuk keseronokan. Kalau tak ada, maka iktiraflah diri kita sendiri. Sekian.